Adnan Semp-It
Adnan Sempit | |
---|---|
Pengarah | Ahmad Idham |
Penulis | Panel MIG Aranina Zulfra |
Dihasilkan oleh | David Teo |
Dibintangi | |
Sinematografi | Raja Mukhriz |
Disunting oleh | Ahmad Mustadha |
Muzik oleh | Brian Ng MIG Sound Factory |
Tarikh tayangan | 14 Januari 2010 |
Masa tayangan | 95 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Bahasa Malaysia |
Bajet | RM1.50 juta[1] |
Pecah panggung | RM 7.66 Juta |
Adnan Sempit (digayakan dalam poster sebagai Adnan Semp-It) ialah sebuah filem komedi aksi Malaysia 2010 arahan Ahmad Idham yang ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 14 Januari 2010. Filem yang dibintangi oleh Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Along Cham dan Yana Samsudin ini merupakan filem yang mengupas budaya mat rempit atau samseng jalanan di Malaysia secara santai.
Filem ini diibaratkan sebagai parodi filem Remp-It yang diarahkan oleh pengarah yang sama (filem V3 Samseng Jalanan ialah sekuel Remp-it). Filem ini diberi tajuk asal Rempit Nan Sempit tetapi ditukar tajuknya kerana berikutan arahan kerajaan terbaru pada pertengahan tahun 2009 yang tidak menggalakkan tema mat rempit dalam penerbitan filem dan televisyen terbaru Malaysia.[2]
Adnan Sempit menjadi filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman, dengan jumlah hasilnya pada takat RM7.66 juta[1] sepanjang tempoh tayangan awal di pawagam, mengatasi peneraju terdahulu Lagi-Lagi Senario yang mengutip RM6.33 juta[3], dan juga filem terbitan Metrowealth yang paling lumayan sebelum ini, Jangan Pandang Belakang, yang mengutip RM7.5 juta di dalam dan luar negara. Pada 13 hari pertamanya sahaja, filem ini berjaya meraih RM 5.5 juta jualan pawagam, sehingga membuatkan penerbitnya, David Teo untuk menyasarkan filem ini mencapai penontonan sejuta orang untuk mencecah kutipan RM8 juta.[4] Akan tetapi, rekod Adnan Sempit tidak kekal lama apabila sebuah lagi filem terbitan Metrowealth, Ngangkung, memecah rekod jumlah kutipan Adnan Sempit dengan mengumpul RM7.9 juta dalam masa 20 hari tayangan di pawagam.[5]
Kejayaan filem Adnan Sempit juga mencetuskan siri komedi televisyen, Adnan Sempit the Series yang disiarkan di Astro Warna pada pertengahan tahun 2010. Sekuel filem ini, Adnan Sempit 2 telah ditayangkan pada 23 Februari 2012, disusuli filem ketiga, Adnan Sempit 3 pada 8 Ogos 2013 serta filem keempat, Adnan Sempit Sawadikap pada 7 Ogos 2014.[6] sebuah filem spin off Wawa Semput ditayankan Pada 31 Januari 2013[7]
Plot
[sunting | sunting sumber]Mengisahkan Adnan, seorang mat rempit yang berusia lingkungan 27 tahun. Adnan atau lebih dikenali sebagai Nan Sempit di kalangan rakan-rakannya adalah seorang anak yatim piatu yang dibela serta dijaga oleh makciknya sejak kecil selepas kematian ayahnya. Namun dia berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tidak mendapat kasih sayang dan layanan yang baik dari keluarga makciknya. Di ibu kota, Adnan tinggal bersama Macha, abang saudaranya dan menjadi tempat dia meluahkan rasa hati. Dia mula hidup di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai mat despacth di sebuah syarikat swasta dan menyimpan perasaan pada bosnya, Nadia.
Nadia dilahirkan dalam keluarga mewah dan stabil dalam kerjayanya. Nadia sering ditemani pembantu peribadinya,Wawa.Wawa adalah teman wanita kepada Bobby dan juga menjadi sahabat pada Adnan. Nadia pernah kecewa akibat putus cinta, menyebabkan Nadia susah dan takut untuk bercinta lagi. Sehinggalah pada suatu hari, rakan-rakannya merancang untuk membuat “reunion party”. Pada mulanya Nadia kurang bersetuju, tetapi Nadia disindir enggan pergi ke reunion tersebut kerana malu tiada teman lelaki. Nadia tercabar dan kebetulan Adnan lalu di hadapan mereka dengan tidak sengaja. Nadia terus menarik Adnan dan terus memperkenalkan Adnan adalah teman lelakinya. Adnan terkelu. Sejak peristiwa itu,pelbagai cerita yang berlaku antara mereka sehinggalah pada satu hari Nadia cedera akibat diserang sekumpulan remaja dan telah diselamatkan oleh Adnan. Nadia mula menyimpan perasaaan pada Adnan. Walaubagaimanapun Nadia tidak pernah mengabaikan kerjayanya sehinggalah Nadia telah mendapat tender kontrak besar dari Datuk Harun seorang usahawan yang berjaya dan telah bertemu dengan Jofri. Jofri adalah rakan Nadia ketika di kolej mempunyai agendanya tersendiri. Jofri menyimpan hasrat dendam pada Adnan untuk memiliki Nadia dan bersubahat dengan Zack bagi membantu rancangannya memisahkan Adnan dan Nadia selain ingin mendapat tender Datuk Harun.
Namun, Nadia dan Adnan semakin mesra, Nadia berjinak-jinak dengan dunia Adnan sebagai seorang mat rempit dengan niat untuk mengenali Adnan dengan lebih mendalam. Nadia sangat teruja. sehinggalah satu kejadian berlaku di mana Zack telah cuba mengambil kesempatan pada Nadia dan Adnan menyerang sehingga menyebabkan pergaduhan besar. Nadia mula merasa tidak selesa serta memarahi Adnan dan semenjak kejadian itu Nadia mula rasa benci pada Adnan walaupun Adnan cuba memujuk. Nadia mengambil keputusan untuk memecat Adnan selain memaki dan menghina Adnan. Jofri mengambil kesempatan itu untuk menenang dan menceriakan Nadia dengan harapan Nadia jatuh ke tangannya. Namun,segalanya terbongkar apabila Adnan mengetahui Jofri dan Zack bersubahat merancang segalanya selepas Jofri mengupah Zack merompak bag laptop yang mengandungi pelbagai proposal dan dokumen penting untuk tender Datuk Harun. Nadia menyesal mengenali Jofri. Nadia cuba memandang Adnan tetapi Adnan tidak mengendahkannya dan berlalu pergi, tetapi Nadia masih cuba memujuk Adnan, dan mereka kembali bersama dan mula bercinta.
Pelakon
[sunting | sunting sumber]Pelakon utama
[sunting | sunting sumber]- Shaheizy Sam sebagai Adnan
- Intan Ladyana sebagai Nadia
- Yana Samsudin sebagai Wawa
- Along Cham Sebagai Bobby
Pelakon pembantu
[sunting | sunting sumber]- Cat Farish sebagai Macha
- Julia Hana sebagai Ieka
- Angah Raja Lawak sebagai Ismad
- Zack X-Factor sebagai Jofri (antagonis utama).
- Adeline Tsen sebagai Kawan Nadia
- Shakilla Khoriri sebagai Kawan Nadia
- Shah Rempit sebagai Zack
Pelakon undangan
[sunting | sunting sumber]- Ahmad Tarmimi Siregar sebagai Bapa Nadia
- Aznah Hamid sebagai Ibu Nadia
- Hafizuddin Fadzil sebagai Dato' Harun
Penerbitan
[sunting | sunting sumber]Penggambaran filem yang asalnya berjudul Remp-it Nan Sempit bermula penggambarannya pada 25 Mei 2009, setelah menerima Sijil Perakuan Penggambaran Filem yang dikeluarkan oleh Finas tiga hari sebelumnya[8], tatkala diperdengarkan arahan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan agar penerbit filem dan televisyen Malaysia dilarang daripada menerbitkan adegan mat rempit dan mak nyah[2], apatah lagi tiada pampasan akan diberikan oleh Kementerian tersebut kepada mana-mana pihak yang sudah menggambarkan babak-babak sedemikian.[9] Apapun, David Teo memaklumkan kesediaan pihaknya untuk menukar tajuk filemnya seandainya diarah berbuat demikian.[10] Proses penggambarannya dilaporkan mengambil masa lebih kurang sebulan.
Sungguhpun didesas-desuskan bakal diharamkan dari tayangan kerana melanggar arahan untuk tidak menerbitkan filem berkisah mat rempit, namun filem Rempit Nan Sempit berjaya diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem dengan rating PG-13, dan ditukar judulnya ke Adnan Sempit.[11] Ketika ditemubual oleh pihak akhbar sebelum tayangannya, Ahmad Idham menjelaskan bahawa "filem berkonsepkan komedi memanglah filem bergenre ringan dan mengambil latar pekerjaan sebagai budak penghantar surat yang sering disalahertikan", ketika menyentuh Adnan yang mempertikaikan jika semua penunggang motosikal itu adalah mat rempit, bagaimana pula sekiranya mereka yang sememangnya bekerja menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama.[12]
Lebih-lebih lagi, difahamkan bahawa terdapat satu babak memaparkan dua gadis sedang asyik menari sambil menayangkan sebahagian tubuhnya dalam keadaan menggiurkan sambil dikelilingi sekumpulan remaja liar; sebenarnya pelakon berkenaan masih berbaju tetapi gambar mereka disunting dengan teknik 'mozek' pada bahagian atas tubuh gadis itu seolah-olah gadis itu benar-benar telanjang.[12]
Sambutan
[sunting | sunting sumber]Kutipan pawagam
[sunting | sunting sumber]Pada minggu pertama tayangannya, filem Adnan Sempit dilaporkan berjaya mencatat rekod baru bagi MiG dengan meraih kutipan tiket sebanyak RM3.7 juta[13], sekaligus mengatasi filem-filem antarabangsa terhebat seperti Avatar 3D dan The Spy Next Door untuk menduduki tangga teratas carta filem pada hujung minggu pertamanya (14 hingga 17 Januari 2010).[14] Malah, pada hari pertama sahaja, filem ini dikatakan berupaya mengaut RM 510,000 dari pawagam,[15] sekaligus mengatasi kutipan Jangan Pandang Belakang yang meraih RM 480,000 pada hari pertamanya[16]; tidak lupa juga mencatat rekod kutipan sehari tertinggi bagi filem Malaysia iaitu RM950,000 pada hari Sabtu, 16 Januari.[17] Lebih mengagumkan, pada takat 11 hari di pawagam, filem ini dilaporkan mencapai kutipan sebanyak RM 5 juta.[18]
Ketua Pegawai Eksekutif MiG, David Teo, menyifatkan pencapaian Adnan Sempit sebagai luar biasa, dengan mengulas bahawa "Untuk tayangan pada hari Sabtu saja, filem ini berjaya mengutip sebanyak RM 950,000 dan ini juga adalah satu sejarah buat industri perfileman tempatan. Jumlah kutipan ini takkan berjaya tanpa sokongan pelbagai pihak. … Malah, untuk kawasan bukan Melayu seperti di Cheras Leisure Mall juga mencatat kutipan yang membanggakan serta jumlah penonton yang ramai. Begitu juga dengan situasi di Cathay Cineleisure apabila pihak pengurusan pawagam berkenaan terpaksa membuka dua panggung serentak kerana jumlah permintaan yang cukup menggalakkan."[16]
Pada 17 Februari 2010, setelah 35 hari ditayangkan[19], dilaporkan bahawa filem Adnan Sempit berjaya menjadi filem Melayu #1 dari segi kutipan pawagam sepanjang zaman dengan mencecah kutipan berjumlah RM 7.7 juta[20], tidak lupa juga menjadi rekod baru untuk MIG dengan mengatasi kutipan RM 5.8 juta[21] yang dibawa oleh Jangan Pandang Belakang yang juga menjumlahkan kutipannya RM 7.5 juta oleh tayangan di negara luar.
Ulasan
[sunting | sunting sumber]Nur Safina Othman dalam portal Tupai/cinema.com.my (31 Disember 2009) memberi 2.5/5 bintang kepada filem ini, dengan mengulas bahawa Shaheizy Sam memainkan watak lucunya dengan berkesan, tetapi tidak berpuas hati akan mutu lakonan Intan Ladyana yang "yang nampak lebih kaku dan tiada keserasian dengan wataknya itu".[22][23]
Dalam sisipan B*Pop Berita Minggu (10 Januari 2010), biarpun dianggap "komedi tipikal", namun Adnan Sempit dipuji kerana "digarap ringan dan tidak mengelirukan penonton", lebih-lebih lagi menyatakan "keberanian Idham mengenepikan aspek populariti pelakon untuk menjadi teras yang menghidupkan filem ke-33 terbitan MIG Production itu", dengan memaksudkan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam dan Intan Ladyana yang ketika ini belum benar-benar tersergah namanya dalam industri perfileman.[24]
Sambungan
[sunting | sunting sumber]Sekuel filem ini, Adnan Sempit 2 telah ditayangkan pada 23 Februari 2012, disusuli filem ketiga, Adnan Sempit 3[25] pada 8 Ogos 2013 serta Telefilem Di TV3 pada Hari Raya iaitu Adnan Sempit Balik Raya dan filem keempat, Adnan Sempit Sawadikap pada 7 Ogos 2014.[26][27] Sebuah filem spinoff bertajuk Wawa Semput pula telah ditayangkan pada 31 Januari 2013.[28][29].
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b TAYANGAN FILEM CEREKA TAHUN 2010, Finas. Dicapai pada 24 Disember 2010.
- ^ a b "Mat Rempit and drag queens OUT". AsiaOne. 19 Jul 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-07-22. Dicapai pada 18 Feb 2010.
- ^ Box-office bonanza for local flicks Diarkibkan 2010-12-02 di Wayback Machine, The Sun, 27 Mei 2010. Dicapai pada 29 Mei 2010.
- ^ Nur Safina Othman (29 Jan 2010). "Adnan Sempit: 1 million viewers?". Cinema Online. Dicapai pada 11 Mac 2010.
- ^ 'Ngangkung' leads in box-office takings, New Straits Times, 18 Disember 2010. Dicapai pada 24 Disember 2010.
- ^ http://www.gsc.com.my/Movie-Synopsis/Adnan-Sempit-Sawadikap
- ^ http://www.gsc.com.my/Movie-Synopsis/Wawa-Semput
- ^ Wahida Asrani (26 Mei 2009). "David akan tukar judul Remp-It jika diminta". mStar Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-08-18. Dicapai pada 18 Feb 2010.
- ^ "Rempit ban: Ministry won't compensate filmmakers". Bernama. 20 Jul 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-07-31. Dicapai pada 18 Feb 2010.
- ^ Serimah Mohd Sallehuddin (29 Mei 2009). "Tiada Masalah Tukar Tajuk". Berita Harian. Dicapai pada 18 Feb 2010.[pautan mati kekal]
- ^ Wahi Aziz (14 Jan 2010). [Bukan Sembarangan Rempit, 'Adnan Sempit' Ada Stail "Bukan Sembarangan Rempit, 'Adnan Sempit' Ada Stail"] Check
|url=
value (bantuan). mStar Online. Dicapai pada 18 Feb 2010. - ^ a b Rozdan Mazalan (10 Jan 2010). "Adnan Sempit Bukan Sekadar Kisah Mat Rempit Sahaja". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-01-22. Dicapai pada 18 Feb 2010.
- ^ Roslen Fadzil (23 Januari 2010). "Adnan Sempit Seminggu Kaut RM3.7 Juta!". murai.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-01-24. Dicapai pada 23 Januari 2010.
- ^ Charts: Week of 14 January 2010-20 January 2010, Cinema.com.my. Dicapai pada 23 Januari 2010.
- ^ Nurulhisham Abdul Latiff (23 Januari 2010). "@Sinepleks: Adnan Sempit memang pecah panggung". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-01-26. Dicapai pada 23 Januari 2010.
- ^ a b Farihad Shalla Mahmud (20 Januari 2010). "Adnan Sempit sasar kutipan RM8 juta". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-01-22. Dicapai pada 23 Januari 2010.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ "Mat Rempit film sets new record". New Straits Times. 23 Jan 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-01-28. Dicapai pada 18 Feb 2010.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ "'Adnan Sempit' set to be top grossing local movie". New Straits Times. 30 Jan 2010. Dicapai pada 18 Feb 2010.
- ^ Thani Hasbullah (17 Feb 2010). "Adnan Sempit Catat RM7.5 Juta". Murai.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-08-06. Dicapai pada 18 Feb 2010.
- ^ Yip Yoke Theng (7 Mac 2010). "Teo plays an unlikely role". The Star. Dicapai pada 11 Mac 2010.
- ^ TAYANGAN FILEM CEREKA TEMPATAN 2007, Finas. Dicapai pada 18 Februari 2010.
- ^ Ulasan ADNAN SEMPIT Diarkibkan 2011-01-01 di Wayback Machine, Tupai, 31 Disember 2009. Dicapai pada 23 Januari 2010.
- ^ Adnan Sempit, Cinema.com.my, 5 Januari 2010. Dicapai pada 23 Januari 2010.
- ^ "Komedi tipikal untuk ketawa". Berita Harian – B*Pop. 10 Jan 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-02-13. Dicapai pada 18 Feb 2010.
- ^ http://www.gua.com.my/berita-artis/Adnan_Sempit_3_Tampil_Komedi_Ringan.html
- ^ http://www.broframestone.com/2014/08/sekuel-ke-4-adnan-sempit-sawadikap/
- ^ http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Urban&pg=ur_04.htm
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-11-13. Dicapai pada 2014-11-13.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-23. Dicapai pada 2011-09-20.