Kilt

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Cetakan kayu Jerman menggambarkan orang Tanah Tinggi Scotland berpakaian kilt sekitar tahun 1630

Kilt (Bahasa Gaelic Scotland: fèileadh [ˈfeːləɣ])[1] adalah sejenis pakaian seakan skirt paras lutut tidak bercabang dengan lipatan di belakang, yang berasal dari pakaian tradisional lelaki Tanah Tinggi Scotland pada abad ke-16. Sejak abad ke-19, ia telah berkait rapat dengan budaya masyarakat Scotland, atau budaya warisan orang Celt (khususnya Gael) secara lebih meluasnya. Pakaian ini sering kali dibuat dari benang wul bercorakkan tartan.

Walaupun kilt sering kali dipakai pada acara-acara rasmi dan kesukanan, ia juga telah disesuaikan sejak beberapa tahun kini sebagai pakaian biasa lelaki, sepertimana yang dilakukan pada zaman dahulu. Maka, pakaian ini kini turut dihasilkan untuk pemakaian biasa dalam pelbagai jenis bahan, terutamanya di Amerika Utara. Jenis kancing yang berbeza boleh digunakan pada binaannya dan poket ditambahkan agar tanpa perlunya memakai sporran (sejenis beg kantung khas). Kilt juga diterima sebagai pakaian wanita untuk kegunaan beberapa sukan tertentu.

Jenis[sunting | sunting sumber]

Scotland[sunting | sunting sumber]

Kilt Scotland moden yang dipakai bersertakan beg sporran dan pakaian formal (2009)

Semua organisasi yang mengawal serta menilai pertandingan tarian Tanah tinggi dan pancaragam paip mempunyai peraturan mengawal pakaian yang boleh diterima oleh peserta. Peraturan-peraturan ini menentukan secara telitinya pemakaian kilt yang diterima (kecuali dalam pertandingan tarian peringkat negara di mana peserta wanita akan memakai sejenis gaun dipanggil gaun Aboyne).[2][3]

Reka bentuk[sunting | sunting sumber]

Kilt menutupi badan dari paras bawah pinggang hingga ke bawah kepala lutut. Lapisan rata yang bertindih di depan dipanggil "apron"; satu lapisan kain sekitar sisi dan belakang kilt berlipat. Sejenis pin dipasang di depan apron di sudut bebas (tapi tidak melalui lapisan di bawah sebagai fungsinya menambah berat). Seluar dalam boleh atau tidak perlu dipakai, meskipun pemakaian tanpa seluar dalam dianggap sebagai perlakuan "orang Scotland yang sejati".[4][5] Penguasa Tartan Scotland (The Scottish Tartans Authority) bagaimanapun tidak mengalakkan amalan ini atas sebab kebersihan dan menjaga kesopanan.[6]

Aksesori[sunting | sunting sumber]

Kilt Scotland biasanya dipakai bersama sarung kaki panjang di bawah lutut, biasanya dengan getah cerut dan pengelip, dan sporran iaitu sejenis kantung yang tergantung di sekitar pinggang dengan rantai atau tali kulit (sama ada biasa mahupun atau dihiasi dengan kulit anjing laut, bulu, atau logam saduran yang digilap).

Aksesori lain yang biasa dipakai bersama kilt (bergantung pada jenis acara) termasuklah:

  • Tali pinggang, biasanya dengan kepala berkemasan timbul
  • Jaket, dengan pelbagai reka bentuk tradisional
  • Jarum peniti
  • Sgian dubh - sejenis pisau bersarung kecil yang dipakai di atas sarung kaki
  • Kasut brogue Ghillie
  • Baju Ghillie untuk pemakaian yang lebih santai. Namun, gabungan ini merupakan ciptaan moden dan seharusnya tidak dikelirukan dengan pemakaian asalnya.

Gaya pemakaian[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan orang Scotland kini menganggap kilt sebagai pakaian formal atau pakaian kebangsaan. Walaupun masih terdapat beberapa orang yang memakainya setiap hari, ia secara umumnya dimiliki atau disewa untuk dipakai dalam majlis perkahwinan atau acara-acara rasmi lain dan boleh dipakai oleh sesiapapun tanpa mengira bangsa atau keturunan. Untuk acara separa formal, kilt biasanya dipakai dengan jaket jenis Putera Charlie atau Argyll. (Pembekal komersil kini telah menghasilkan jaket seumpamanya dengan gaya bertemakan Ireland dan Wales.) Acara formal pula mengharuskan tali leher putih serta jaket berpotongan Regulation Doublet atau yang lebih tinggi lagi.

Kilt juga digunakan untuk perarakan oleh kumpulan tertentu seperti Pengakap, dan ia turut dipakai terutamanya di Sukan Tanah Tinggi dan kejuaraan pancaragam paip serta majlis tari menari Scotland dan ceilidh (perjumpaan tradisional orang Scotland).

Unit-unit serta regimen tertentu dalam Tentera-tentera British dan negara Komanwel lain (termasuk Australia, Kanada, New Zealand dan Afrika Selatan) yang mempunyai peninggalan warisan Scotland masih memakai kilt sebagai sebahagian dari pakaian rasmi atau seragam tugasan, walaupun kilt tidak pernah digunakan dalam pertempuran sejak tahun 1940.[petikan diperlukan] Pakaian seragam di mana kilt dipakai termasuklah Pakaian Istiadat, Pakaian Perkhidmatan dan Pakaian Berek. Kilt dianggap sesuai untuk upacara perarakan, tugas pejabat, perarakan kurang formal, berjalan keluar, majlis makan malam serta arahan kelas atau latihan pancaragam. Istiadat kilt juga telah dikembangkan untuk Kor Marin Amerika Syarikat, dan pancaragam paip dan drum untuk Akademi-Akademi Tentera dan Tentera Laut negara tersebut serta Kolej Tentera Vermont Universiti Norwich.

Ireland[sunting | sunting sumber]

Meskipun asal-usul kilt Ireland masih menjadi pertikaian, bukti terbaru ada menunjukkan bahawa pemakaian kilt berasal dari Tanah Tinggi dan Kepulauan Scotland dan diguna pakai oleh golongan nasionalis Ireland pada awal abad ke-20 sebagai simbol identiti orang Gael.[7]

Bangsa Celt yang lain[sunting | sunting sumber]

Meskipun kilt tidak dipakai secara tradisional di luar Scotland, pemakaiannya turut menjadi popular di kalangan bangsa-bangsa Celt lain sebagai penunjukan identiti budaya mereka[8] seperti di Ireland, Wales, Cornwall, Pulau Man, Brittany dan Galicia.

Reka bentuk kontemporari[sunting | sunting sumber]

Contoh kilt moden

Kilt jenis moden telah muncul dalam pasaran pakaian di Scotland,[9] Amerika Syarikat dan Kanada dalam pelbagai jenis fabrik termasuk kulit, denim, korduroi, dan kapas.[10] Kilt ini mungkin direka untuk tujuan formal atau santai pakaian, untuk kegunaan sukan atau rekreasi luar, atau sebagai pakaian pekerjaan kolar putih atau kolar biru. Ada daripada rekaan kilt ini direkakan berdasarkan kilt tradisional Scotland, tapi ada juga rekaan lain yang hanya terdiri daripada skirt panjang paras untuk lelaki semata-mata. Kilt-kilt ini mungkin mempunyai lipatan kotak, lipatan pisau bersimetri dan dipasangkan bersama butang stad atau Velcro sebagai kancing. Banyak kilt jenis moden ini direka tanpa perlu memakai sporran, dan mungkin disertakan bersama poket atau tali pinggang alat.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Am Faclair Beag
  2. ^ Rules of the British Columbia Pipers Association, BC Pipers' Association, 11 Oktober 2007, diarkibkan daripada original pada 3 Oktober 2009, dicapai pada 10 Jun 2009 
  3. ^ Johnson, Erik. "Costuming Regulations of the Scottish Official Board of Highland Dancing". Margs highland dance wear. Dicapai pada 13 Mac 2009. 
  4. ^ Pearson, Andrew, "The Real Story", The Real Story: What does a Scotsman wear under his kilt?, However, there is nothing mysterious about what was worn below the clansmen's shirts. "You cannae tak the breeks aff a Hielanman!", runs an old saying, signifying the futility of attempting the impossible! 
  5. ^ "Scots Tradition Hit by Cover-Up Ruling". United Kingdom: The Times. 2 Ogos 2004. Dicapai pada 12 Mei 2008. 
  6. ^ "What's Down Under?". Scottish Tartan Authority. Dicapai pada 30 Mei 2013. 
  7. ^ Newsome, Matthew Allen C (2010). "Hibernean Dress, Caledonian Custom". Scottish Tartans Museum. Franklin, Carolina Utara: The Scottish Tartans Museum. Dicapai pada 15 Mac 2017. 
  8. ^ "Welsh National Dress". St. Fagan's National History Museum. Diarkibkan daripada original pada 13 Oktober 2008. Dicapai pada 11 Jun 2008. 
  9. ^ "Kilts Dance to New Tune". BBC News. 25 Julai 2000. Dicapai pada 10 June 2009. 
  10. ^ Harper, Christina. "Revealing a New-Look Kilt for Everyday Wear". Scotsman.com Heritage & Culture. Dicapai pada 10 Jun 2009. 

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]