Negara bahagian

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Siri Politik
Subsiri Politik

Negara bahagian atau negeri bahagian (Bahasa Inggeris: constituent state) bermaksud entiti negeri yang menjadi sebahagian daripada sebuah negara berdaulat. Sesebuah negara bahagian mempunyai bidang kuasa serantau ke atas sesebuah wilayah pentadbiran yang ditetapkan di dalam negara berdaulat. Pemerintahan bagi negara bahagian merupakan satu bentuk kerajaan tempatan. Dari dahulu hingga sekarang, kebanyakan negara bahagian merupakan anggota dalam negara kompleks seperti persekutuan atau konfederasi. Negara bahagian boleh memiliki bentuk kerajaan republik mahupun monarki. Yang berbentuk republik biasanya dipanggil negeri atau negeri autonomi, republik atau republik autonomi, dan juga kanton. Yang mempunyai bentuk pemerintahan monarki pula sering ditakrifkan oleh pangkat penguasanya dalam hierarki tradisional negara berkenaan (biasanya prinsipaliti, atau emiriah).

Negeri bersekutu[sunting | sunting sumber]

Negeri-negeri bahagian Amerika Syarikat

Negara-negara bahagian yang bersatu dalam kesatuan sekutu-sekutu (federal) di bawah kerajaan persekutuan lebih khusus dikenali sebagai negeri-negeri bersekutu (federated states).[1][2] Terdapat banyak contoh sejarah untuk negeri-negeri konstituen dalam pelbagai persekutuan. Antara contoh yang paling umum di dunia politik masa kini ialah negeri-negeri Amerika Syarikat dan entiti-entiti bahagian dalam Persekutuan Rusia.

Negeri bergabung[sunting | sunting sumber]

Negara-negara bahagian yang bersatu dalam kesatuan gabungan (konfederasi) di bawah kerajaan gabungan lebih khusus dikenali sebagai negeri-negeri bergabung (confederated state). Antara contoh yang paling terkenal dalam sejarah ialah negeri-negeri Gabungan Jerman dan negeri-negeri Gabungan Amerika. Bagi masa kini pula, contohnya adalah kanton-kanton di Switzerland atau entiti-entiti di Bosnia dan Herzegovina .

Negeri berkaitan[sunting | sunting sumber]

Negara-negara yang menjalin hubungan sekutu bebas (associated state) dengan negara berdaulat lain boleh dianggap sebagai negara bahagian dalam sesebuah entiti berperlembagaan. Sebagai contoh, Alam New Zealand terdiri daripada perkaitan antara Kepulauan Cook, New Zealand dan Niue yang bersatu di bawah seorang ketua negara, iaitu Raja atau Ratu New Zealand.[3]

Bentuk-bentuk lain[sunting | sunting sumber]

Unit-unit pentadbiran yang tidak bersekutu mahupun bergabung, tetapi menerima tahap autonomi atau pemerintahan sendiri yang lebih tinggi daripada wilayah-wilayah lain dalam negara yang sama boleh dianggap sebagai negara konstituen negara tersebut. Hubungan ini dipanggil federasi oleh sesetengah pihak.[4] Contohnya, republik autonomi seperti Karakalpakstan di Uzbekistan.[5]

Status politik negeri berpisah[sunting | sunting sumber]

Konsep negara bahagian juga digunakan dalam proses-proses politik dan rundingan mengenai status politik untuk sesetengah negeri yang hendak berpisah dari negara yang lebih besar. Idea ini sering dicadangkan sebagai penyelesaian kompromi atau alternatif kepada pengiktirafan rasmi bagi negara pemisah yang mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral sedangkan kedaulatannya secara de jure masih dipertikaikan.

Kaukasus[sunting | sunting sumber]

Wilayah Kaukasus Selatan terdiri daripada beberapa republik berpisah atau berautonomi di samping negara-negara Armenia, Azerbaijan dan Georgia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Republik-republik pemisah Abkhazia dan Ossetia Selatan yang telah memelihara kemerdekaan yang efektif sejak pengisytiharan, dianggap sebagai republik bahagian dalam Georgia oleh kebanyakan pemerintahan dunia. Republik Artsakh yang juga merdeka secara amali, dianggap oleh Bangsa-bangsa Bersatu sebagai sebahagian daripada Azerbaijan.[6]

Cyprus[sunting | sunting sumber]

Negara Cyprus terbahagi kepada dua entiti politik yang bebas, iaitu Republik Cyprus yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, dan Republik Turki Cyprus Utara yang diiktiraf sebagai negara berdaulat oleh Turki sahaja. Kedua-dua entiti diberi gelaran "negara-negara bahagian" Cyprus oleh Pertubuhan Kerjasama Islam, sementara Rancangan Annan untuk menyatukan semula Cyprus secara tekal menggunakan istilah negara bahagian untuk merujuk kepada setiap entiti.[7]

Cadangan untuk Palestin[sunting | sunting sumber]

Istilah "negara bahagian" juga telah digunakan untuk melabel kedua-dua negeri dalam salah satu cadangan untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin dengan membentuk satu negara persekutuan.[8] Ini juga boleh menggambarkan rantau Palestin pada masa kini yang dibahagikan antara kerajaan Israel dan Pihak Berkuasa Palestin.

Kegunaan lain[sunting | sunting sumber]

Istilah "negeri bahagian" kadang-kadang juga digunakan untuk merujuk kepada negara anggota pertubuhan antarabangsa. Istilah ini digunakan dalam Kesatuan Eropah untuk merujuk kepada negara anggota. Ia juga digunakan untuk merujuk kepada negara berdaulat dalam rundingan atau perjanjian dua hala antara dua atau lebih negara.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Constituent Units Risk Lengthy Dependency on Federal Aid Error in webarchive template: Check |url= value. Empty.. Bird, Richard M (2009). Forum of Federations. Accessed 2009-11-01.
  2. ^ California . Encyclopædia Britannica . Diakses pada 2009-11-01.
  3. ^ Laman web Gabenor-Jeneral New Zealand . Diakses pada 2009-11-01.
  4. ^ Stepan, Alfred (1999), "Federalism and Democracy: Beyond the U.S. Model" (PDF), Journal of Democracy, 10 (4): 19–34, doi:10.1353/jod.1999.0072 
  5. ^ Perjanjian Antarabangsa Mengenai Awam Dan Politik Hak , p 5. Bangsa-Bangsa Bersatu Jawatankuasa Hak Asasi Manusia . Diakses pada 2009-11-01.
  6. ^ Aghayev, Nasimi (2008), Caucasian Review of International Affairs (PDF), m/s. 13, dicapai 2009-11-01 
  7. ^ Annan Plan - Final Revision Error in webarchive template: Check |url= value. Empty.. UNFICYP. Accessed 2009-11-01.
  8. ^ Penyelesaian Persekutuan / Bersekutu kepada Konflik Israel-Palestin-Jordanian Elazar, Daniel J. Pusat Baitul Ehwal Awam. Diakses pada 2009-11-01.