Portal:Binatang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Selamat Datang ke Portal Binatang
سلامت داتڠ کڤورتل بيناتڠ
Kepelbagaian jenis binatang
Kepelbagaian jenis binatang

Binatang atau haiwan ialah organisma eukariot multisel di dalam alam biologi Animalia. Dengan beberapa pengecualian, binatang mengambil bahan organik, menghirup oksigen, berupaya untuk bergerak, boleh membiak secara seksual dan melalui peringkat ontogenetik di mana badan mereka terdiri daripada sel sfera yang berongga, blastula semasa perkembangan embrio. Lebih daripada 1.5 juta spesies binatang hidup telah diterangkan—yang mana sekitar 1 juta adalah serangga—tetapi dianggarkan terdapat lebih daripada 7 juta spesies haiwan secara keseluruhannya. Binatang mempunyai julat panjang dari 8.5 mikrometer (0.00033 in) hingga 33.6 meter (110 ka). Mereka juga mempunyai saling tindak yang kompleks di antara satu sama lain dan persekitaran mereka, serta membentuk siratan makanan. Kajian saintifik mengenai binatang dikenali sebagai zoologi.

Kebanyakan spesies binatang hidup berada dalam Bilateria, suatu klad di mana makhluk tersebut mempunyai pelan tubuh badan bersimetri secara dwisisi. Bilateria termasuklah protostomia dan deuterostomia. Di dalam protostomia terdapat haiwan-haiwan seperti nematod (cacing gelang), artropod, platyhelminthes (cacing pipih), anelid dan moluska, manakala deuterostomia pula mencakupi ekinoderma dan kordata (termasuklah vertebrat). Bentuk hidupan yang ditafsirkan sebagai binatang purba terdapat dalam biota Ediakara yang wujud pada zaman Prakambria akhir. Filum binatang moden terbentuk jelas dalam rekod fosil sebagai spesies laut semasa letupan Kambria, yang mula berlaku sekitar 539 juta tahun lalu. 6,331 kumpulan gen yang terdapat pada semua haiwan hidup telah dikenal pasti; ini mungkin timbul daripada nenek moyang tunggal yang hidup 650 juta tahun dahulu.

Rencana pilihan
Bekantan jantan
Bekantan jantan

Kera bekantan, monyet belanda atau bayau (Nama saintifik: Nasalis larvatus) merupakan sejenis monyet yang mendiami pokok dan endemik di pulau Borneo. Monyet spesies ini hidup di samping orang utan. Ia merupakan satu-satunya ahli genus Nasalis, biarpun langur Pulau Pagai juga pernah dikatakan serumpun dalam genus tersebut. Spesies monyet ini mudah dicam kerana hidungnya yang begitu besar. Bekantan tergolong dalam subfamili Colobinae di bawah rumpun monyet Dunia Lama. Terdapat dua subspesiesnya, iaitu N. l. larvatus (Wurmb, 1787) yang menduduki seluruh taburan spesiesnya dan N. l. orientalis (Chasen, 1940) yang terhad di Kalimantan barat laut. Walau bagaimanapun, perbezaan antara dua subspesies ini halus sekali.

Nama timangan bagi monyet ini adalah "monyet belanda" ataupun "orang belanda" kerana ia disamakan oleh orang tempatan dengan penjajah Belanda yang demikian besar abdomen dan hidungnya. (Rencana penuh...)
Gambar pilihan
Rapang pasir jantan

Rapang pasir (Charadrius peronit) adalah sejenis burung randuk kecil (kira-kira 35–42 gram) yang membina sarang di pantai dan dataran garam di Asia Tenggara. Sebesar 15 sentimeter (5.9 in), burung rapang pasir jantan dan betina boleh dibezakan menerusi warna jalur nipis yang terdapat pada leher burung ini. Burung jantan mempunyai jalur nipis berwarna hitam, manakala betinanya pula mempunyai jalur berwarna perang. Kakinya pucat dan suara kecipannya halus.

(Kredit gambar: JJ Harrison)

Kategori