Temasek

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sebahagian peta Mao Kun dari buku Wubei Zhi yang dibuat berdasarkan peta-peta pelayaran abad ke-15 Cheng Ho, menunjukkan Temasek (淡馬錫) pada bahagian kiri atas.

Temasek (juga dieja Temasik; Hanacaraka: ꧋ꦡꦸꦩꦯꦶꦑ꧀꧈; Jawi: تماسيق; Hanzi: 單馬錫; Pinyin: Dānmǎxí; Pe̍h-ōe-jī: Tan-má-sek) merupakan nama awal tercatat bagi sebuah penempatan yang terdapat di kawasan moden Singapura. Nama ini muncul dalam sumber sastera awal Melayu dan Jawa, dan juga terjumpa dalam sumber Cina dinasti Yuan dan Ming sebagai Danmaxi (Cina: 單馬錫 atau 淡馬錫). Dua penempatan berlainan yang telah direkodkan di Temasek ialah Batu Berlayar (Cina: 龍牙門; pinyin: lóngyámén) dan Pancur (Cina: 班卒; pinyin: Bānzú). Kini, nama Temasek digunakan di Singapura dalam penamaan penghormatan-penghormatan kebangsaan dan juga institusi-institusi dan perbadanan-perbadanan tertentu.

Nama[sunting | sunting sumber]

Asal usul nama Temasek tidak diketahui dengan pasti. Terdapat usulan bahawa ia berasal dari perkataan 'tasik' (dengan imbuhan sisipan -em-) dengan memaksudkan "tempat dikelilingi laut", atau Bandar Laut.[1] Satu lagi usulan ialah nama tersebut mungkin berkaitan dengan raja Srivijaya, Maharaja Tan ma sa na ho.[2] Nama Temasik muncul sebagai Tumasik dalam puisi epik Jawa Kuno, Nagarakretagama yang ditulis pada 1356. Ia juga disebut sebanyak dua kali dalam Sejarah Melayu dan juga dalam karya Jawa, Pararaton. Temasek digambarkan dalam kisah pengembara Cina, Wang Dayuan yang datang ke pulau tersebut pada 1330 dan menulis tentang penempatan yang dipanggil Danmaxi, sebuah transkripsi nama Temasik. Dalam satu versi penceritaan Marco Polo tentang pengembaraannya, sebuah tempat bernama Chiamassie yang mungkin merupakan Temasik disebut dengan hubung kait dengan kerajaan Malayur.[2] Temasek juga berkemungkinan disebut dalam catatan Vietnam seperti Sach Ma Tich pada abad ke-14.[3]

Pada suatu masa pada abad ke-14, nama Temasik telah digantikan dengan Singapura, nama Melayu yang berasal dari bahasa Sanskrit yang bermaksud "Bandar Singa". Menurut legenda, nama itu diberikan oleh Sang Nila Utama apabila beliau melawat pulau itu pada 1299 dan ternampak seekor binatang tidak diketahuinya dan diberitahu bahawa binatang itu merupakan singa. Walaupun nama Temasek tetap digunakan dalam catatan Cina untuk masa tertentu (contohnya dalam peta Mao Kun), dan juga dalam Sejarah Melayu, nama tersebut telah menjadi usang dan tidak muncul pada peta-peta dan dokumen-dokumen Eropah dari 1500 ke 1800.[4] Nama itu digunakan semula di zaman penjajahan dan zaman moden, dan kini diguna sebagai nama bagi institusi-institusi, perbadanan-perbadanan dan penghormatan-penghormatan kebangsaan di Singapura.

Penghormatan kebangsaan Singapura[sunting | sunting sumber]

Dua penghormatan kebangsaan terpenting bagi republik itu dijudulkan Bintang Temasek dan Darjah Utama Temasek.

Institusi-institusi yang mengandungi "Temasek" di dalam nama institusi masing-masing termasuk:

  • Temasek Holdings
  • Maktab Rendah Temasek
  • Temasek Life Sciences Laboratory
  • Temasek Laboratories
  • Politeknik Temasek
  • Sekolah Rendah Temasek
  • Sekolah Menengah Temasek
  • Temasek Tower

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ John N. Miksic (15 November 2013). Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300–1800 [Singapura dan Jalan Sutera Laut, 1300–1800]. NUS Press. m/s. 183–184. ISBN 978-9971695743.
  2. ^ a b Victor R Savage, Brenda Yeoh (15 Jun 2013). Singapore Street Names: A Study of Toponymics [Nama-nama Jalan Singapura: Sebuah Kajian Toponimi]. Marshall Cavendish. m/s. 381. ISBN 9789814484749.CS1 maint: uses authors parameter (link)
  3. ^ John N. Miksic (15 November 2013). Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300–1800 [Singapura dan Jalan Sutera Laut, 1300–1800]. NUS Press. m/s. 181–182. ISBN 978-9971695743.
  4. ^ Peter Borschberg, penyunting (Disember 2004). Iberians in the Singapore-Melaka Area and Adjacent Regions (16th to 18th Century) [Orang Iberia di Kawasan Singapura-Melaka dan Kawasan Bersempadanan (Abad ke-16 ke Abad ke-18)]. Harrassowitz. m/s. 98–99. ISBN 978-3447051071.

Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.