Pergi ke kandungan

Tempat berlindung cukai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tempat berlindung cukai atau syurga cukai (bahasa Inggeris: tax haven) ialah tempat di mana cukai tertentu dilevi (dikenakan) pada kadar yang rendah atau tidak sama sekali.

Individu dan/atau syarikat boleh tertarik kepada kawasan yang mempunyai kadar cukai rendah. Ini mewujudkan situasi persaingan percukaian di antara negara. Jurisdiksi yang berlainan cenderung menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai jenis cukai dan untuk kategori berlainan bagi syarikat dan individu.

Terdapat beberapa takrif mengenai tempat berlindung cukai. Majalah The Economist mengambil takrifan Geoffrey Colin Powell: "Ia ... dikenalpasti sebagai kawasan tempat berlindung cukai dengan kewujudan struktur percukaian yang digubah dan didirikan untuk mengambil kesempatan, dan mengekspoitasi permintaan sedunia bagi peluang mengelakkan cukai." Majalah The Economist mengatakan takrif ini masih tidak termasuk banyak jurisdiksi yang secara tradisinya dianggap sebagai tempat berlindung cukai.[1] Mereka yang lain mengatakan mana-mana negara yang mengubah undang-undang cukai bagi menarik modal asing boleh dianggap sebagai tempat berlindung cukai.[2] Mengikut takrif lain,[3] ciri utama tempat berlindung cukai adalah undang-undang dan langkah lain yang diambil adalah bertujuan untuk mengelak atau menghindari dari undang-undang dan peraturan cukai dari jurisdiksi lain.

Konsep asal tempat berlindung cukai dilihat sebagai respons kepada prinsip percukaian. Contohnya, pada zaman Greece Kuno beberapa pulau Greek menjadi tempat simpanan pedagang laut zaman tersebut untuk menyimpan barangan mereka bagi mengelakkan membayar cukai dua peratus yang dikenakan oleh Athens bagi barang yang diimport. Pada Zaman Pertengahan, pedagang Hanseatik yang menjalankan perniagaan di London dikecualikan cukai. Pada tahun 1721, koloni Amerika Syarikat berdagang di Amerika Latin untuk mengelakkan cukai British.

Apa yang pasti, penggunaan undang-undang percukaian yang berlainan di antara dua atau lebih negara bukan sesuatu yang baru. Kebanyakan pengulas ekonomi percaya tempat berlindung cukai pertama yang benar adalah Switzerland diikuti dengan Liechtenstein. Bank-bank di Switzerland (atau lebih dikenali dengan bank Swiss) sudah lama menjadi tempat berlindung modal bagi mereka yang lari dari pergolakan sosial di Rusia, Jerman, Amerika Selatan dan tempat-tempat lain. Sebagai negara yang bersifat neutral semasa perang dunia, Switzerland juga tidak memerlukan perbelanjaan banyak untuk membina infrastruktur dan menyebabkan negara itu berjaya mengekalkan cukai yang rendah. Hasilnya, banyak modal masuk ke negara itu.

Senarai hitam kumpulan G20

[sunting | sunting sumber]

Dalam sidang kemuncak G20 di London pada 2 April 2009, negara-negara G20 bersetuju mendefinisikan senarai hitam bagi tempat berlindung cukai, yang dibahagikan kepada empat tingkat berdasarkan kepatuhan kepada "piawaian cukai antarabangsa yang dipersetujui". Senarai ini, dibuat oleh OECD dikemaskini pada 2 April 2009 sempena dengan mesyuarat di London.[4] Empat peringkat ini adalah:

  1. Jurisdiksi yang telah melaksanakan sebahagian besar piawaian (termasuk negara seperti Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Republik Czech, Perancis, Jerman, Greece, Guernsey, Hungary, Ireland, Itali, Jepun, Mexico, Belanda, Poland, Portugal, Rusia, Slovakia, Afrika Selatan, Korea Selatan, Sepanyol, Sweden, Turki, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom termasuk Jersey, dan Amerika Syarikat)
  2. Jurisdiksi yang komited tetapi tidak lagi melaksanakan sepenuhnya piawaian (termasuk Andorra, Monaco, Gibraltar, Liechtenstein, Kepulauan Cayman, Costa Rica, Malaysia (Wilayah Persekutuan Labuan)[5], Filipina, Uruguay, dan Bahamas)
  3. Pusat kewangan lain yang komited tetapi tidak melaksanakan sepenuhnya piawaian (termasuk Switzerland, Singapura, Chile, dan tiga negara Kesatuan EropahBelgium, Luxembourg dan Austria)
  4. Jurisdiksi yang tidak komited terhadap piawaian.

Negara yang berada di tingkat bawah dikelaskan sebagai "tempat berlindung cukai yang tidak bekerjasama". Malaysia, Costa Rica, Filipina dan Uruguay pada mulakan dikelaskan sebagai tidak bekerjasama tetapi menyatakan komitmen mereka kepada OECD untuk memenuhi peraturan piawaian cukai antarabangsa.[6] Walaupun terdapat desakan dari Presiden Perancis Nicholas Sarkozy agar Hong Kong dan Macau diasingkan dari China dalam senarai, mereka tidak diasingkan lagi walaupun dijangka kedua-dua tempat ini akan ditambah sebagai terasing dari China pada masa akan datang.

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]