Garis Masa Kempen Penaklukan Jepun Di Tanah Melayu Februari 1942

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sambungan Dari Garis Masa Kempen Penaklukan Jepun Di Tanah Melayu Januari 1942


1 Februari 1942

Rencana utama: Pertempuran Singapura
Singapura
Lt. Jen. Percival pergi ke studio Radio Singapura di Bukit Caldecott dan memberitahu pendengar bahawa penguasaan Jepun setakat itu didominasi dengan penguasaan udara yang muktamad dan juga kebebasan pergerakan di laut. Lt. Jen. Percival menyatakan Singapura perlu bertahan di kubu kota sehingga bantuan yang pasti sampai.
Percival memindahkan markasnya daripada Fort Canning ke kem tentera di Jalan Sime kerana tempat itu lebih hampir dengan medan pertempuran. Di situ, Lt. Jen. Percival mendakan perjumpaan dengan Bennett yang dilantik menjadi Panglima Sektor Barat Singapura dan Mej. Jen. Simmons yang menjadi Panglima Sektor Selatan Singapura. Turut hadir adalah Mej. Jen. Billy Key selaku panglima 11 Divisyen dan Mej. Jen. Smith selaku Panglima Divisyen ke-18 Infantri British.
Mesyuarat membincangkan kelemahan pertahanan Singapura khususnya di bahagian utara Singapura dan juga perancangan Percival untuk pertahanan Singapura. Bennett dan Simmons hanya diberitahu perancangan pertahanan itu oleh Percival hanya 4 hari sebelumnya, walaupun mereka berdua adalah Panglima Sektor di Singapura.
Bennett terkejut diberitahu bahawa Pangkalan Tentera Laut Singapura kini hampir ditinggalkan keseluruhannya. Kerja-kerja memusnahkan sedang dijalankan. Bennett menerima berita ini sebagai tanda pihak British sudah menerima kekalahan.
Askar Australia, India dan British bergerak ke tempat pertahanan yang ditetapkan dan terkejut melihatkan ketiadaan perkubuan pertahanan disediakan. Walaupun kesuntukan masa dan bahan binaan, mereka cuba membina pertahanan setakat yang terdaya.
Kluang
Yamashita memindahkan markasnya ke sebuah banglo estet yang ditinggalkan di Kluang di mana beliau mengadakan perjumpaan penuh emosi dengan pegawai-pegawai kanannya. Mereka yang hadir merasakan seperti ada kehadiran roh 1,793 askar Jepun yang maut sepanjang kempen penaklukan Tanah Melayu. Yamashita menggariskan rancangan penaklukan Pulau Singapura.
  1. Serangan permulaan akan dibuat di bahagian Barat Laut Singapura dan akan ditugaskan kepada Divisyen Ke-5 Infantri Jepun dan Divisyen Ke-8 Infantri Jepun.
  2. Divisyen Pengawal Imperial Jepun akan membuat serangan di sebelah timur Singapura untuk mengalihkan perhatian Markas Gerakan Tanah Melayu supaya menjangkakan serangan penaklukan dibuat di arah Changi.
  3. Pasukan artileri Jepun akan membuat bedilan sengit di sepanjang sektor utara Singapura sebagai satu lagi helah untuk mengelirukan Percival mengenai kawasan sebenar yang dipilih sebagai kawasan pendaratan. Sejurus sebelum pelancaran pasukan serangan menyeberangi Selat Johor, bedilan meriam di sebelah barat Tambak Johor akan dibuat untuk melemahkan kedudukan tentera British di kawasan-kawasan pendaratan askar Jepun.
  4. Objektif pertama pasukan penyerang adakan untuk menawan Pangkalan Udara Tengah dan kemudiannya untuk mara ke arah Kampung Bukit Panjang. Dalam fasa kedua penaklukan, Divisyen Pengawal Imperial Jepun akan menawan kampung Mandai dan kemudian membelok ke kiri menuju ke Nee Soon dan mengasingkan mana-mana unit Tentera British di sekitar Pangkalan Sembawang.
  5. Tentera Jepun kemudiannya akan menawan kawasan tanah tinggi di Bukit Timah dan seterusnya menawan empangan-empangan Selatar, Pierce dan MacRitchie. Yamashita tahu Singapura tidak akan dapat bertahan lama dan akan menyerah kalah sekiranya bekalan air terputus.
  6. Sekiranya Tentera British masih enggan menyerah kalah, tentera Jepun kemudiannya akan menyerah kawasan pusat bandar Singapura.
Nishimura, Panglima Divisyen Pengawal Imperial Jepun naik berang kerana menyangka Yamashita sengaja menghina dirinya dan divisyen elitnya dengan memberikan tugasan tidak penting. Selepas mesyuarat, Yamashita menghidang sake untuk pegawai-pegawai kanannya, tetapi Nishimura dan pegawai-pegawai dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun tidak turut serta.

2 Februari 1942

meriam 6 inci yang sepatutnya mempertahankan Singapura dipasangkan untuk pertahanan serangan dari arah laut dan tdiak boleh dipusingkan untuk membantu pertahanan serangan dari arah utara
Singapura
Rancangan pertahanan Percival bergantung kepada kebolehan pasukan bertahan melumpuhkan pendaratan askar Jepun di pantai dan menyekat kebolehan askar Jepun menubuhkan kubu jambat di Singapura. Percival tahu dia tidak mempunyai kekuatan tentera dan ketiadaan pertahanan mendalam untuk melancarkan serangan balas sekiranya tentera Jepun dapat bertapak di Singapura.
Panglima Tentera Australia Bennett membuat pemeriksaan kedudukan pertahanan askar Australia di bahagian Barat Laut. Walaupun sudah dua hari mengarahkan pembinaan pertahanan dan perkubuan, Bennett mendapati pembinaan perkubuan pertahanan tidak seperti yang diharapkan. Bennett mendapati barisan pertahanan terlalu panjang sedangkan bilangan askar tidak mencukupi. Hutan bakau dan paya yang banyak di bahagian Barat Laut Singapura tidak membolehkan pembinaan kubu pertahanan dan mengurangkan medan tembakan (fields of fire). Kedudukan askar terletak terlampau jauh di antara satu sama lain dan memudahkan penyusupan askar musuh. Batalion 2/20 berjumlah 750 orang anggota bertanggungjawab mempertahankan barisan sepanjang 7.2 km dari Sungai Kranji ke Sungai Sarimbun.
Pesawat pengebom Jepun membuat lapan serangan pengeboman ke atas tangki simpanan minyak Tentera Laut Diraja yang menyebabkan kebakaran besar. Lain-lain pesawat pengebom Jepun menyerang Stesen kereta api Tanjong Pagar yang juga memusnahkan kawasan dermaga dan kepentingan awam di sekitarnya.

3 Februari 1942

Fail:Sarimbunsite.jpg
gambar semasa menunjukkan tempat pendaratan Jepun di Sarimbun
Singapura
Bennett mengadakan perjumpaan dengan pemerintah-pemerintah Australia di markasnya di Hillview berhampiran Balai Polis Bukit Timah untuk meneliti persiapan pertahanan. Kesemua pemerintah yang hadir mengakui tidak mempunyai keanggotaan mencukupi untuk mempertahankan sektor yang ditugaskan kepada mereka.
Gabenor Sir Shenton Thomas dan Lt. Jen. Percival meninjau kerosakan berikutan serangan udara Jepun. Mereka dimaklumkan kesukaran pihak berkuasa pelabuhan mengadakan tenaga buruh untuk memunggah dan memuatkan kapal di pelabuhan kerana ramai buruh telah lari menyelamatkan diri.
Johor Bahru
Sebagai persiapan melancarkan serangan, pihak tentera Jepun menyuruh orang-orang awam dalam kawasan kurang dari 12 batu daripada pantai untuk meninggalkan tempat tersebut sebagai langkah keselamatan. Pasukan artileri Jepun membuat kedudukan meriam berganda untuk menempatkan meriam mereka. Unit pengangkutan Jepun menyediakan 3,000 buah kenderaan untuk kegunaan pasukan penyerang sementara bot pendarat disiapkan dan dipastikan dalam keadaan baik.
Pasukan perisikan Jepun menghantar dua pasukan perisikan ke Singapura untuk membuat tinjauan kedudukan dan kekuatan askar yang bertahan di sana. Kumpulan ini mengintip selama 3 hari dan membuat peta-peta dengan maklumat yang amat tepat sebelum kembali ke kawasan kawalan Jepun untuk membuat laporan.
Kluang
Di markas Yamashita's pegawai turus melihat ancaman bahaya daripada tangki minyak di Pelabuhan Tentera Laut Di Singapura. Mereka menganggarkan simpanan minyak di situ boleh membekalkan minyak kepada keseluruhan Tentera Laut Diraja untuk operasi selama 6 bulan. Laporan risikan dimajukan kepada Yamashita membayangkan kemungkinan minyak itu dilimpahkan ke dalam Selat Johor dan dijadikan satu lautan api semasa askar Jepun menyerang. Yamashita mengarahkan pasukan artilerinya memusnahkan tangki-tangki minyak itu.


4 Februari 1942

Singapura
Pasukan artileri Jepun mensasarkan pangkalan udara di bahagian utara Singapura di Pangkalan udara Tengah Tengah, Seletar dan Sembawang. Pasukan artileri juga mensasarkan tangki simpanan minyak Tentera Laut Diraja menyebabkan kebakaran besar yang tidak dapat dipadamkan.
Johor Bahru
Pos pemerhati Jepun ditempatkan di bangunan-bangunan tinggi di Johor Bahru membolehkan mereka melihat persiapan yang diambil oleh Tentera British. Salah satu tempat memerhati ditempatkan di menara di Istana Bukit Serene. Belon udara panas juga digunakan untuk tugas-tugas tinjauan. Maklumat ini membolehkan pasukan udara Jepun membuat serangan-serangan yang tepat ke atas kedudukan British. Askar-askar Australia khasnya hanya dapat bergerak di waktu malam untuk membuat persiapan perkubuan mereka.
Markas Gerakan Tanah Melayu
Percival, Heath, Simmons dan Bennett mengadakan perjumpaan tengah hari, bila mana Gabenor Sir Shenton Thomas dikecam hebat, terutamanya daripada Bennett. Bennett menyatakan kumpulan penduduk majmuk terdiri daripada orang-orang Melayu, Cina, India, Serani dan Eropah membawa bersamanya masalah-masalah yang unik kepada Singapura dan memerlukan perhatian yang istimewa. Bennett mencadangkan perlantikan penasihat tentera kepada Gabenor, tetapi cadangan ini tidak diambil tindakan.

5 Februari 1942

Johor Bahru
Meriam-meriam Jepun dari Johor Bahru membedil kedudukan askar Australia di bahagian utara Singapura
Singapura
Di Sembawang, Tentera Udara Diraja Australia tidak lagi dapat beroperasi kerana bedilan hebat artileri Jepun. Semua pesawat yang masih boleh digunakan diundurkan ke Palembang di Sumatra. Pesawat-pesawat udara yang tinggal dari pangkalan Tengah dan Selatar juga diterbangkan ke pangkalan udara di Palembang, Hindia Belanda, sementara pangkalan Tentera Laut (yang sebelumnya menjadi kemegahan British) ditinggalkan.
Pelabuhan Keppel
Di dermaga Keppel, kapal-kapal yang membawa sebahagian lagi askar dari Divisyen Ke-18 Infantri British tiba di Singapura. Sebaik sahaja berlabuh, kawasan pelabuhan dibedil dengan meriam Jepun. Askar-askar Divisyen Ke-18 Infantri British tidak mempunyai tahap kecergasan yang baik, dalam keadaan keliru dan belum menyesuaikan diri dengan iklim tropika, kerana mereka sudah berada di laut selama 11 minggu. Sebuah kapal lagi, Empress of Asia ketinggalan di belakang dan diserang pesawat bom junam Jepun di selat Singapura dan tenggelam berhampiran Rumah Api Raffles. Walaupun banyak nyawa dapat diselamatkan, kelengkapan senjata dan peluru yang dibawa oleh kapal tersebut tenggelam bersama.
Kelang
Jen. Takuma Nishimura menghantar nota kepada Yamashita menuntut supaya Divisyen Pengawal Imperial Jepun ditugaskan untuk mengetuai serangan ke atas Singapura dengan alasan dia dan askar-askarnya perlu diberikan peluang untuk membuktikan keberanian mereka. Tuntutan ini tidak diambil endah oleh Yamashita.

6 Februari 1942

Singapura
Pasukan artileri Jepun meningkatkan bedilan sepanjang barisan Barat Laut sebagai persiapan untuk serangan amfibi. Pihak British mula memusnahkan pangkalan Tentera Laut Singapura untuk menafikan kegunaannya kepada pihak Jepun apabila Singapura ditawan. Beberapa kawasan menempatkan jabatan-jabatan kerajaan Singapura juga dibedil. Percival memberitahu Bennett bahawa barisan pertahanan dipertahankan oleh bilangan askar yang tidak mencukupi dan mereka mempunyai kesukaran mempertahankannya.
Ketua Askar Jurutera Brig. Jen. Ivan Simson memberitahu Percival bahawa kemungkinan besar serangan Jepun akan dilancarkan di bahagian Barat Laut Singapura. Tetapi Percival tidak mempercayai kata Ketua Askar Jurutera itu dan sebaliknya mengarahkan Simson untuk menumpukan perhatian dan sumber di bahagian timur laut Singapura.
Kluang
Yamashita memberikan arahan serangan kepada panglima-panglima tentera Jepun. Pada jam 10 pagi, 8 Februari, Divisyen Pengawal Imperial Jepun akan membuat serangan ke atas Pulau Ubin untuk mengalihkan perhatian pihak British. Keesokan harinya, Divisyen ke-5 Infantri Jepun dan Divisyen ke-8 Infantri Jepun akan melancarkan serangan ke sebelah bahagian barat daya Singapura. Rancangan perang ini menyerupai rancangan perang yang digunakan oleh Fil Marsyal Edmund Allenby semasa kempen di Palestin dalam tahun 1918. (Yamashita yakin tentera British akan menumpukan perhatian ke bahagian timur di mana Divisyen Pengawal Imperial Jepun ditempatkan kerana akan menyangkakan pasukan elit ini akan menjadi teras serangan).
Takuma Nishimura dan pegawai-pegawai kanan Divisyen Pengawal Imperial Jepun tidak berpuas hati dengan rancangan perang Yamashita. Yamashita bimbangkan reaksi buruk dari Nishimuradan menghantar Jeneral Sosaku Suzuki, seorang rakan Nishimura dan Jeneral Imaye untuk membaiki keadaan tetapi gagal.
Johor Bahru
Petang itu, Yamashita memindahkan markasnya ke Istana Bukit Serene di Johor Bahru. Daripada istana tersebut, Yamashita dapat melihat kedudukan askar Australia kira-kira satu batu dari situ. Walaupun diberikan nasihat oleh pegawai-pegawainya bahawa Istana Bukit Serene sasaran mudah untuk diserang, Yamashita sendiri yakin pihak British tidak akan menyerang Istana Bukit Serene yang menjadi pusaka Sultan Johor. Tekaan Yamashita rtepat sekali; pihak British tidak menyerang Istana Bukit Serene.
Singapura
Pasukan artileri Jepun membedil kawasan sebelah timur laut untuk menguatkan lagi tekaan British bahawa paksi ancaman serangan akan datang daripada arah tersebut dan akan dibuat oleh Divisyen Pengawal Imperial Jepun. Tumpuan diberikan kepada kawasan Changi.
Pasukan Australia menghantar dua pasukan peninjau setiap satu terdiri dari 5 orang anggota menyeberangi Selat Johor dalam kegelapan malam dengan menggunakan perahu getah kecil untuk membuat laporan mengenai kekuatan tentera Jepun. Satu pasukan diambil dari Batalion 2/19 dan satu lagi daripada Batalion 2/20. pasukan-pasukan itu sepatutnya kembali pada keesokan malamnya.

7 Februari 1942

Pulau Ubin
Sebaik sahaja gela, pihak Jepun menggerakkan 20 buah bot getah melalui kawasan paya dan hutan hingga sampai ke tepian air. Mereka menghidupkan enjin sangkut mereka membuat penyeberangan ke Pulau Ubin. Ini adalah langkah pertama rancangan penaklukan Yamahita untuk mengelirukan Markas Gerakan Tanah Melayu
Sebelum tengah malam, 400 orang askar dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun membuat serangan sebaik sahaja gelap ke atas Pulau Ubin. Pasukan Jepun kini berada tidak jauh daripada Changi dan membawa bersama mereka dua pucuk meriam ringan. Mereka tidak diberikan tentangan keras oleh pasukan yang bertahan.
Singapura
Lt. Jen. Percival mengumumkan bahawa Singapura akan dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir. Dalam masa itu, kontinjen Australia mendapat maklumat bahawa serangan akan dibuat dari arah Barat Daya. Mereka meminta Percival menghantar satu pesawat peninjau untuk membuat tentukuran jatuhan peluru meriam supaya boleh digunakan dengan berkesan sekiranya Jepun mendarat nanti. Percival menafikan permintaan ini dengan alasan tidak mempunyai pesawat untuk membuat tugasan tersebut.
Bennett pula risaukan kemudahan hospital untuk askar-askarnya dalam membuat lawatan ke Hospital Besar 2/10 Australia yang terletak di Manor House. Bennett meminta untuk gunakan rumah-rumah di sekitar kemudahan itu sebagai persediaan menerima korban cedera apabila pertempuran bermula. Tetapi pemilik bangunan-bangunan itu membuat bantahan kepada Setiausaha Kolonial.
Petang hari itu, 15 butir peluru meriam Jepun jatuh di Hospital Besar Australia itu, mengakibatkan satu kematian dan banyak kecederaan. Ketika itu Bennett sedang melawat Hospital besar 2/13 Australia di Siglap.
Unit-unit Australia di barisan hadapan diarahkan untuk menunggu kepulangan pasukan peninjau yang dihantar menyeberangi Selat Johor pada malam sebelumnya. Tetapi pasukan peninjau itu tidak muncul. Pada jam 10 malam, arahan diberikan supaya satu pasukan yang lain dihantar untuk membuat tinjauan yang sama. Semasa askar-askar sedang membuat undian siapa yang akan dihantar membuat tinjauan, kumpulan peninjau kembali. Mereka memberikan maklumat mengenai persediaan askar Jepun, dan juga kedudukan meriam yang dipasangkan penyamaran yang baik. Mereka juga menceritakan dapur medan yang bersedia menyediakan masakan panas bagi askar-askar yang akan membuat serangan. Panglima-panglima Australia melihat ini sebagai persiapan terakhir sebelum pelancaran serangan oleh pihak Jepun. Tetapi Markas Gerakan Tanah Melayu masih berkeyakinan yang serangan utama akan datang dari arah Pulau Ubin
kesan pengeboman udara Jepun

8 Februari 1942

Singapura
Pada jam 10.00 pagi, 440 pucuk meriam pasukan artileri dan pesawat udara Jepun mula membedil dan mengebom dengan hebat bahagian barat Singapura. Bedilan artileri Jepun berterusan sepanjang hari dan ditumpukan kepada kawasan yang dikawal oleh Batalion 2/20, Batalion 2/19 dan Batalion 2/18. Bedilan artileri ditumpukan di bahagian pantai di Barat Laut Singapura sehingga jam 7.00 malam. Bedilan ini menyebabkan markas dan pasukan hadapan terputus hubungan secara menyeluruh. Perhubungan antara unit-unit Tentera British sudah tidak wujud lagi.
Askar-askar dari 5 Div Jepun dan 8 Div Jepun berkumpul untuk operasi penaklukan Singapura. Apabila menerima isyarat, mereka membawa bot gempur mereka ke tepi air Selat Johor. Setiap divisyen disediakan 15 buah motor bot dan 100 bot gempur. Pada jam 7.00 malam, kumpulan pertama menghidupkan enjin bot mereka dan keluar daripada tempat persembunyian mereka di muara Sungai Danga, Sungai Skudai dan Sungai Melayu.
Pada jam 8.00 malam, bot gempur Jepun menghampiri pantai Singapura. Pendaratan ini diikuti dengan pertempuran sengit dengan askar-askar 22 Briged Australia dan 44 Briged India yang membuat pertahanan di pantai Singapura. Askar-askar Australia dari 22 Briged ini kurang pengalaman dan belum cukup terlatih. Ada askar-askar yang ketakutan dan lari meninggalkan kubu mereka.
Pada malam itu, dilindungi oleh bedilan meriam berterusan, 13,000 orang askar dalam kumpulan pertama telah mendarat di Singapura. Mereka mendarat di kawasan yang dipertahankan oleh 22 Briged Australia dan 44 Briged India. Walaupun mengalami jumlah korban yang tinggi, askar-askar Jepun meneruskan serangan. Menjelang subuh, pasukan kedua seramai 10,000 orang lagi telah selesai membuat pendaratan.
Pesawat pengebom Jepun menyerang Markas pemerintahan Bennett. Serangan udara diikuti dengan bedilan artileri selama 1 jam. Bennett membuat keputusan untuk lagi sekali memindahkan markasnya. Bennett melawat markas 22 Briged Australia dan berbincang dengan Brig. Jen. Taylor, Panglima apabila markas itu dibedil. Bennett diberikan taklimat perisikan yang diperolehi daripada pasukan pengintip mengenai penempatan askar Jepun. Bennett mengarahkan bedilan artileri di tempat askar Jepun dari 5 Div Jepun berkumpul di Sungai Skudai dan Sungai Melayu.
Johor Bahru
Di Istana Bukit Serene, Yamashita dan pegawai-pegawai kanannya yang berada di menara pemerhati menunggu dengan debaran melihatkan penaklukan yang berada di hadapan mereka. Yamashita tidak mempunyai perhubungan dengan pasukan penyerang dan kegelapan malam menyukarkan mereka memahami keadaan perang. Pada tengah malam, mereka melihat satu das peluru suar (star shell) daripada kedudukan yang diserang oleh 5 Div Jepun. Itu adalah isyarat yang telah dipersetujui untuk mengesahkan bahawa 5 Div Jepun telah berjaya bertapak di Singapura. Tidak berapa lama kemudian, satu lagi peluru suar kelihatan dari kawasan yang diserang oleh 18 Div Jepun. mereka juga telah berjaya bertapak dan kini mara ke pedalaman. Yamashita dan pegawai-pegawai lain merasa terharu dan melimpahkan air mata kegembiraan.

9 Februari 1942

Markas Gerakan Tanah Melayu
Lt. Jen. Percival kini yakin serangan yang dilancarkan di bahagian Barat Laut Singapura adalah serangan sebenar dan bukan serangan olok-olok. Dia mengarahkan 12 Briged India untuk mengukuhkan pertahanan Bukit Panjang di Jalan Keat Hong. Briged ini terdiri dari 400 orang askar Argyll and Sutherland Highlanders dan dibantu oleh 150 askar Marin Diraja dan 440 orang askar infantri dari Batalion 4/19th Hyderabad yang baru tiba di Singapura dan masih belum cukup terlatih. Kedudukan ini adalah di sebelah kanan garisan Kranji-Jurong, satu garisan rabung dari arah utara ke selatan yang menjadi hulu Sungai Kranji dan Sungai Jurong. Kedudukan ini adalah rintangan semula jadi terakhir di kawasan Barat Laut Singapura.
10 buah pesawat pejuang Hawker Hurricane Tentera Udara Diraja British (RAF) berlepas dari Kallang untuk memintas 84 buah pesawat Jepun dan berjaya menembak jatuh 8 buah pesawat pengebom Jepun tanpa mengalami apa-apa kerugian di pihak sendiri. Selepas dua misi penerbangan lain, pesawat-pesawat Hurricane yang masih tinggal diarahkan berundur ke Sumatra.
Pasukan Australia
Pesawat udara Jepun mengebom kedudukan askar-askar Australia. Bennett mengarahkan Batalion 2/29 Australia memperkukuhkan sektor Barat Laut. Panglima 22 Briged Australia Brig. Jen. Taylor mengarahkan pengunduran ke barisan Jurong dengan alasan dia diserang pasukan yang kuat.
Percival, melawat markas Bennett dan setelah berbincang membuat beberapa keputusan penting. 27 Briged Australia akan terus mengekalkan kedudukan mereka sementara 22 Briged Australia yang kini diperkuatkan akan cuba mengukuhkan garisan pertahanan Kranji-Jurong. 44 Briged India yang diancam pengasingan daripada pasukan utama akan berundur ke bahagian kiri garisan Kranji-Jurong ini. 6/15 Briged India akan bergerak ke Padang Lumba Kuda Bukit Timah dan mempertahankan simpanan makanan dan minyak yang tersimpan di situ. Selepas perjumpaan itu, Bennett memindahkan lagi markasnya, kali ini ke Jalan Holland.
Rejimen Askar Melayu
Kompeni B, Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu (2 Melayu) di bawah pimpinan Kapten R. A. Monks diserang oleh pesawat-pesawat udara Jepun yang terbang rendah. Kesemua meriam 6-inci dimusnahkan oleh pesawat Jepun, dan ramai askar terkorban. Kompeni B, Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu berundur menyusuri Jalan Jurong sambil dibedil tembakan meriam dan mortar dan tiba di pangkalan mereka di Kem Normanton pada jam 2.00 pagi

10 Februari 1942.

Pasukan Jepun
Pasukan Jepun sampai ke perkampungan Ama Keng. Walaupun ditentang hebat, mereka berjaya menawan Tengah. Petang itu, 4,000 orang askar Jepun membuat pendaratan di Tanjong Buloh dan Tanjong Murai di sebelah Barat Laut Singapura. Pada waktu senja, Yamashita menyeberangi Selat Johor dan menyaksikan sendiri askar-askar British dan India yang menjadi tawanan perang.
Di Pangkalan Udara Tengah, pertempuran sengit berlaku dengan serangan hebat oleh 5 Divisyen Jepun. Tembakan meriam dan serangan pesawat udara ditujukan ke atas kedudukan pertahanan Batalion 2/18, Batalion 2/20 dan Batalion 2/29 Australia serta batalion dari Rejimen Jind. Pada jam 1.00 tengah hari, Brig. Jen. Taylor mengarahkan kesemua pasukannya berundur ke garisan Kranji-Jurong.
Kranji
Nishimura mencabar wibawa Yamashita dan melengahkan serangan oleh pasukan Pengawal Imperial Jepun menyeberangi Selat Johor untuk menyerang kedudukan di antara Tambak Johor dan Sungai Kranji yang dikawal oleh 27 Briged Australia.
Selepas tengah malam, bot penggempur dibawa ke tebing Selat Johor. Air surut menyebabkan banyak bot penggempur Pengawal Imperial terkandas. Askar yang terjatuh ke dalam air tersangkut di dalam selut dan mati kelemasan lemas apabila air pasang semula. Dalam masa yang sama, askar Australia menembak menggunakan mesingan dan mortar.
Pada jam 4 pagi, Nishimura naik panik dan menghubungi Yamashita meminta kebenaran untuk membatalkan serangan. Tetapi Yamashita bertekad meneruskan rancangan perangnya, kerana sekiranya 27 Briged Australia dapat bertahan di garisan Kranji-Tambak Johor, seluruh rancangan perang yang dibuat akan tergugat. Dengan marah Yamashita meminta Nishimura menjalankan tugas yang diberikan. Nasib menyebelahi tentera Jepun. Setengah jam kemudian, 27 Briged Australia berundur ke garisan pertahanan baru (disebabkan oleh salah tafsir arahan yang diberikan). Divisyen Pengawal Imperial Jepun merasa lega.
Markas Gerakan Tanah Melayu
Percival kini melihat kemungkinan pasukan Jepun lolos barisan pertahanannya dan mara menggunakan Jalan Bukit Timah. Pada tengah malam, Percival mengeluarkan arahan rahsia kepada Bennett, Simmons danHeath. Percival, memilih untuk menubuhkan perimeter pertahanan sekeliling pusat bandar Singapura meliputi pangkalan udara Kallang, empangan-empangan MacRitchie dan Pierce dan juga depoh simpanan Bukit Timah.
Sektor Australia
Di Kranji, penembak mesingan 27 Briged Australia hampir berjaya menyekat kemaraan Pengawal Imperial Jepun tetapi bilangan mereka terlalu ramai. Menjelang siang, pasukan Tentera Jepun selesai membuat pendaratan. Askar-askar Australia berundur daripada Kranji. Menjelang tengah hari, barisan pertahanan Kranji-Jurong dapat dibolos.
Wavell terbang ke Singapura dan mendapati keadaan moral tentera begitu rendah sekali. Walaupun demikian, Wavell mengarahkan askar-askar untuk tidak menyerah kalah dan berjuang sehingga akhir.
Tentera Jepun berjaya mendaratkan kereta kebal di Singapura dan digunakan untuk menyerang kedudukan askar India yang bertempiaran lari di Bukit Timah. Di Bukit Timah, pasukan Jepun disekat oleh 2 Bn Argyll and Sutherland Highlanders yang dipimpin Ian MacAlister Stewart.
Jurong
Di Jurong, Tentera Jepun bertembung dengan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 Melayu). Barisan pertahanan yang dikawal oleh Kompeni “C” 2 Melayu yang bersungguh-sungguh mempertahankan kedudukan. Tetapi apabila 44 Briged India yang bertahan disebelah kanan kedudukan 2 Melayu berundur, rusuk sebelah kanan 2 Melayu terdedah dan Kompeni “C” 2 Melayu terpaksa berundur ke kedudukan baru.
Markas 8 Div Australia
Bennett memindahkan lagi markasnya, kali ini ke Jalan Holland. Pada awal pagi, Wavell melawat markas Bennett. Semasa memberikan penerangan, markas itu diserang pesawat udara Jepun yag mengenai tepat bilik operasi. Wavell, Percival dan Bennett todak cedera. Serangan itu mengukuhkan lagi keyakinan Wavell mengenai kekuatan sebenar perisikan Tentera Jepun.
Brig. Jen. Taylor tersalah tafsir arahan Percival yang diubah dan dimajukan melalui markas Bennett. Brig. Jen. Taylor berfikiran Bennett mengarahkan pasukannya bergerak menduduki pertahanan baru. Kesilapan ini menyebabkan keruntuhan barisan pertahanan di keseluruhan garisan Kranji-Jurong. Pada tengah hari, 44 Briged India bertembung dengan pasukan Jepun. Askar-askar 44 Briged India lari lintang pukang. Pegawai-pegawai tidak dapat mengawal askar-askar India. Panglima 44 Briged India, Brig. Jen. G. C. Ballentine dapat menguasai semula 44 Briged India di Ulu Pandan, 6 km daripada kedudukan sepatutnya.
Kereta kebal Jepun menyerang kedudukan yang dipertahankan oleh Bn 4/19 Rejimen Hyderabad kira-kira 2 km dari Kampung Bukit Panjang. Serangan seumpamanya berjaya memaksa Bn 2/29 Australia dan 2 Argyll and Sutherland Highlanders berundur ke Bukit Panjang.

11 Februari 1942

Pangkalan Tengah
Hari “Kigensetsu" (Kebangsaan) Jepun, satu hari yang amat bermakna bagi rakyat Jepun. Yamashita menempatkan markasnya di Tengah. Yamashita mensasarkan kejatuhan Singapura tarikh ini, tetapi kini gusar dengan keadaan di medan perang. Bekalan peluru sudah berkurangan. Yamashita menulis surat kepada Percival meminta pihak British menyerah kalah.
Divisyen ke-5 Infantri Jepun telah mara ke timur melalui Jalan Jurong dan ke selatan melalui Bukit Timah. Briged 6/15 India meninggalkan kedudukan pertahanan mereka di Bukit Timah setelah pertempuran jarak dekat menggunakan bayonet . Askar-askar dari 22 Briged Australia juga dipaksa berundur setelah mengalami bilangan korban perang yang tinggi.
Markas Gerakan Tanah Melayu
Kepaduan Unit kini menjadi masalah. Askar-askar keletihan, dan ketakutan. Beribu-ribu askar British, Australia, dan India meninggalkan barisan hadapan untuk mencari perlindungan daripada serangan udara yang tidak putus-putus. Pada jam 8 malam, kedudukan Askar Melayu dibedil hebat. Kedudukan Askar Melayu di simpang Jalan Reformatory juga bertempur dengan askar Jepun.
Pesawat pengebom Jepun menggugurkan bom api ke atas hospital Tentera British India di Tyersall. Api yang marak merebak cepat mengakibatkan kematian lebih 700 orang askar India yang sedang dirawat.

12 Februari 1942

Markas Gerakan Tanah Melayu
Percival mengundurkan perimeter pertahanannya untuk mengelilingi pangkalan udara Kallang, Kampung Thomas, Empangan MacRitchie dan Jalan-jalan Adam, Farrer, Holland dan Buena Vista. Tentera Jepun berjaya menawan Kampung Racecourse dan Empangan MacRitchie, sementara askar-askar Gurkha terpaksa berundur dari Kampung Nee Soon. Percubaan merempuh Jalan Bukit Timah menggunakan Kereta kebal dapat dipatahkan oleh meriam anti-Kereta kebal British. Di kawasan Ulu Pandan, 22 briged Australia berulang kali mematahkan serangan oleh askar Jepun. Kampung bukit panjang jatuh ke tangan Jepun.
Melihatkan keadaan semakin meruncing, Sir Shenton Thomas memerintahkan peralatan mesin berat dan lain-lain peralatan serta bekalan penting dimusnahkan. Arahan ini jelas menunjukkan kesediaan Thomas menyerahkan kalah.
Medan Tempur
Pada awal pagi, Tentera Jepun mula menghampiri pinggir bandar raya Singapura dan kereta kebal Jepun berjaya disekat oleh meriam anti-kereta kebal British berhampiran padang lumba kuda di Bukit Timah. 22 Briged Australia diserang dengan pesawat udara dan bedilan artileri tanpa henti. Di Nee Soon, British dan India berhadapan dengan Pengawal Pengawal Imperial.
Di Pasir Panjang, anggota Batalion Pertama Askar Melayu dan 44 Briged India diserang oleh askar-askar 18 Div Jepun. Pertama Askar Melayu bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kedudukan mereka kerana mempertahankan kompleks tentera di Alexandra (termasuk hospital). Askar Melayu berjaya mengakibatkan bilangan korban yang tinggi ke atas Tentera Jepun.
Fort Canning
Percival merumuskan bahawa pertahanan akhir adalah perimeter sepanjang 28 batu merentasi pangkalan udara Kallang, perkampungan Thomson, the Empangan MacRitchie, dan Jalan-jalan Adam, Farrer, Holland dan Buena Vista. Percival menyediakan arahan untuk memusnahkan stesen radio BBC Singapura di Caldecott Hill.
Markas 22 Briged
Bennett bergaduh dengan Brig. Jen. Taylor, Panglima 22 Briged Australia. Permusuhan di antara mereka memuncak apabila Taylor (yang sudah tidak tidur selama 3 hari), meminta Lt. Kol. A. L. Varley mengambil alih sementara 22 Briged Australia untuk membolehkan Taylor berehat sebentar. Taylor terus pengsan dan dibawa ke hospital. Bennett menaikkan pangkat Varley kepada Brigedier Jeneral (sementara) dan mengarahkan beliau mengambil alih jawatan panglima 22 Briged Australia. Dalam kemelut sedemikian, Bennett cuba menghantar pulang Taylor ke Australia (untuk memalukan Taylor).
Askar Melayu
Askar Melayu dengan 44 Briged India di sebelah kanan dan Bn 2 Rejimen Loyals terus bertahan. Apabila 44 Briged India berundur, Askar Melayu dan Briged Infantri Pertama Malaya terpaksa ikut berundur.

13 Februari 1942

Markas Yamashita di Bukit Timah
Yamashita memindahkan markasnya ke kilang kereta Ford di Bukit Timah. Pegawai risik melaporkan askar-askar British sedang membuat kubu menggunakan perimeter pertahanan yang dicerutkan. Kerisauan Yamashita memuncak. Yamashita tahu jika Percival akan mengarahkan pertempuran jalan demi jalan yang berpanjangan untuk membolehkan pasukan-pasukan bantuan dari luar sampai ke Singapura. Yamashita juga sedar anggota-anggota tenteranya sudah keletihan dan kedudukan bekalan peluru juga makin meruncing. Yamashita mengarahkan Tentera Laut Imperial Jepun dan Tentera Udara Jepun mengawal perairan masuk ke Singapura untuk menyekat ketibaan mana-mana konvoi yang membawa pasukan bantuan.
Yamashita merancangkan serangan dua penjuru ke rah bandar raya Singapura sebelum pasukan pertahanan mengukuhkan kedudukan mereka. Serangan pertama diterajui oleh Divisyen ke-18 Jepun dibuat di arahkan selatan untuk menawan Alexandra Barracks. (Pasukan Askar Melayu dan Briged Infantri Pertama Malaya menduduki sebahagian daripada pertama di situ.
Serangan kedua diterajui oleh Divisyen Pengawal Imperial Jepun akan mengepung empangan MacRitchie dan menyerang dari arah utara. Lagi sekali, Nishimura sangsi dengan perancangan Yamashita dan enggan menurut arahan untuk menyerang. Yamashita terpaksa memberikan arahan secara bertulis kepada Nishimura untuk menyerang, barulah Nishimura menggerakkan divisyennya untuk menyerang.
Pasukan Jepun menawan kesemua empangan simpanan bekalan air. Singapura kini mempunyai bekalan air untuk selama 7 hari sahaja. Ramai askar India dan Australia bolos lari meninggalkan pasukan mereka menyebabkan kekeliruan dan kesesakan jalan raya. Askar-askar yang masih bertahan pula sudah kepenatan dan sudah lama tidak mendapat tidur.
Markas Gerakan Tanah Melayu
Percival menghantar kawat kepada Wavell memberitahu bahawa dia tidak boleh bertahan selama dua hari lagi, tetapi disuruh Wavell untuk bertahan. Percival memanggil mesyuarat pegawai-pegawai kanannya. Bennett mendesak Percival menyerah kalah (tetapi Bennett sendiri sudah merancang untuk melarikan diri dari Singapura).
Kapten Patrick Heenan
Di dalam kemelut bom yang meletup di sekeliling dan bunyi tembakan yang berterusan, pegawai-pegawai British mengambil masa untuk menjalankan perbicaraan mahkamah tentera untuk Kapten Patrick Heenan dari Tentera British India atas tuduhan menderhaka kepada negara. Jenayah Heenan amat berat sekali – dia memberikan maklumat kepada pihak Jepun semasa Pertempuran Jitra dan sebagai seorang pegawai perhubungan udara, tetapi memberikan arahan yang mengelirukan sehingga membolehkan bekalan Tentera Udara Diraja di Pangkalan udara Alor Setar dapat ditawan oleh Tentera Jepun. Pihak British mendapati Heenan sudah bertahun-tahun memberikan maklumat kepada pihak Jepun sejak dia diangkat menjadi perisik Jepun semasa menjalankan satu tugasan di negeri Jepun. Keputusan mahkamah tersurat .. pada waktu senja, Heenan dijatuhkan hukuman mati oleh pasukan penembak.
Pasir Panjang
Pasukan Askar Melayu dan 2 Loyals mengalami bilangan korban yang tinggi akibat serangan berterusan. Markas 1 Melayu di gap House dan markas 2 Melayu di Durian Camp di serang dengan pesawat udara dan juga bedilan artileri. Markas kedua-dua batalion Askar Melayu itu musnah mengakibatkan kematian Kapten Roxburgh dan kebanyakan pegawai dan kakitangan markas yang lain. Bedilan terkena kedudukan komunikasi Askar Melayu merosakkan perhubungan telefon pasukan itu.
Di Bukit Chandu, satu kawasan rabung semula jadi di belakang Kampung Pasir Panjang, Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu memulakan pertempuran epik selama 48 jam menentang kemaraan askar Jepun. Pasukan Askar Melayu tetap bertahan di kedudukan mereka walaupun kedudukan-kedudukan di sekeliling mereka tumpas kepada serangan Jepun. Rabung Pasir Panjang jatuh ke tangan tentera Jepun selepas pertempuran sengit dengan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

14 Februari 1942

Markas Yamashita
Yamashita mengarahkan serangan dua penjuru, dengan Divisyen Ke-18 menumpukan kemaraan melalui Pasir Panjang dan Jalan Ayer Raja menuju Alexandra Barracks. Divisyen Pengawal Imperial Jepun yang disokong oleh Kereta kebal meluru keluar dari kawasan empangan MacRitchie dan bertempur dengan 53 Briged, 54 Briged dan 55 Briged dan berusaha menahan perimeter sepanjang Jalan Lornie dan Jalan Ferrer. Tentera Jepun menguasai 3 buah lapangan terbang tentera dan ketiga-tiga buah empangan yang membekalkan air minuman kepada Pulau Singapura. Tentera Jepun mengancam hendak menghentikan bekalan air.
Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu kini bertahan di Bukit Chandu. Mereka diserang dengan hebat oleh Tentera Jepun pada waktu tengah hari. Askar Melayu menentang menggunakan grenad dan senjata automatik. Rejimen Askar Melayu mengukir nama dalam sejarah apabila platun seramai 40 orang Askar Melayu di bawah pimpinan Lt. Muda Adnan bin Saidi menentang bermati-matian dan menyeru anggota-anggotanya supaya “”biar putih tulang jangan putih mata”. Dalam pertempuran yang kini dipanggil Pertempuran Bukit Chandu, hampir kesemua anggota Askar Melayu terbunuh termasuk Lt. Muda Adnan bin Saidi. Di kawasan Kilang batu bata Alexandra, Kompeni “D” Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu berjaya menyebabkan kematian 100 orang askar Jepun yang mara menyusuri Jalan pasir Panjang.
Tentera Jepun dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun sampai ke Hospital Alexandra Barracks pada jam 2.00 petang. Hospital itu penuh dengan askar yang cedera. Kerana marahkan penentangan yang diberikan oleh pasukan Askar Melayu di Bukit Chandu, askar-askar Jepun meluru masuk ke dalam hospital dan menikam pesakit serta doktor dan kakitangan hospital dengan bayonet (sebagai dendam kerana kedegilan Askar Melayu). Hanya tiga orang sahaja yang terselamat. Seramai 200 orang lain yang cedera parah dikurung dalam kuarters pekerja dengan setiap bilik diisikan dengan 70 orang pesakit. Pada waktu malam, mereka dibawa keluar dalam kumpulan-kumpulan kecil dan ditikam mati dengan bayonet .
Markas Tentera Australia di Tanglin
Wavell menghantar kawat kepada Churchill menyatakan keadaan getir dan tiada harapan untuk terus bertahan. Churchill memberikan kebenaran untuk menyerah diri.
Di Markas Tentera Australia, seorang pegawai Australia yang boleh berbahasa Jepun menerangkan isi kandungan perancangan dan peta yang menggariskan rancangan serangan terakhir Tomoyuki Yamashita ke atas kedudukan British. Maklumat itu diperolehi daripada dua orang penghantar cepat yang berjaya ditembak mati oleh askar-askar Australia. Menurut pegawai yang menterjemahkan dokumen dan peta itu, Bennett dan lain-lain pegawai kanan tidak lagi berminat dan hanya setakat mendengar dengan pemerhatian akademik sahaja.
Dewan Bandaraya
Semasa membuat tinjauan pada awal pagi, Percival diberitahu oleh Ketua Jurutera Majlis Perbandaran bahawa kegagalan sistem bekalan air sudah hampir terjadi. Percival kemudian memberitahu Gabenor Shenton Thomas bahawa selama mana bekalan air dapat diadakan, tentangan masih boleh diteruskan. Thomas menceritakan kerisauannya mengenai wabak penyakit yang mungkin merebak. Thomas menghantar kawat ke Pejabat Kolonial di London menerangkan “tiga juta orang kini berada dalam kawasan seluas 3 batu. Banyak mayat korban bergelimpangan di jalan-jalan raya dan pengkebumian tidak dapat dibuat. Bekalan air pula akan terputus dalam masa 24 jam lagi. Ketiadaan air akan menyebabkan wabak penyakit (pestilence)”
Percival menghantar kawat kepada Wavell menerangkan krisis air yang dihadapi. Wavell mengarahkan Percival untuk meneruskan tentangan. “Tentangan kamu amat bermakna dan mesti diteruskan setakat mana yang terdaya”
Battle of Bukit Timah.jpg
Allahyarham Lt. Adnan bin Saidi
Pasukan Mortar Askar Melayu

15 Februari 1942

A. E. Percival didahului pegawai Jepun berjalan menuju kilang Ford Motor untuk rundingan dengan Yamashita untuk menyerah kalah
Yamashita menuntut Percival menyerah kalah tanpa syarat
Pada awal pagi, Jen. A. E. Percival menghadiri Perjamuan Suci (communion) di Fort Canning. Selepas itu A. E. Percival menerima kawat terakhir dari Wavell mengarahkan Percival untuk terus menentang “selagi mana kamu di dalam kedudukan boleh menyebabkan kemalangan dan kerosakan di pihak musuh dan anggota tentera kamu masih berdaya memberikan tentangan Masa yang boleh diperolehi dan kerosakan yang diberikan kepada mush amat penting ketika ini. Apabila kamu berpuas hati bahawa tentangan tidak lagi boleh diberikan, saya memberikan kamu budi bicara untuk menghentikan tentangan. Beritahu saya hasrat kamu. Walau apapun, saya ucapkan terima kasih kepada kamu dan anggota-anggota kamu untuk usaha kamu beberapa hari yang silam”.
Percival berjumpa dengan pegawai kanannya dan memberitahu mereka kebenaran yang diberikan Wavell. Dia dimaklumkan air hampir kehabisan, makan hanya mencukupi untuk beberapa hari dan minyak yang tinggal hanyalah minyak yang ada dalam tangki kenderaan. Percival dan pegawai-pegawai kanan tersebut mengambil keputusan untuk menyerah diri.
Percival menghantar dua orang utusan ke garisan hadapan Jepun di Bukit Timah dengan bendera Union Jack dan bendera putih meminta gencatan senjata pada jam 4.00 petang. Ketika itu Jepun membuat pengeboman dan bedilan meriam dengan hebat. Walaupun tidak di ketahui Percival, pengeboman ini hanya helah, kerana sebenarnya Yamashita sudah hampir kehabisan peluru dan bom. Dia sebenarnya mengharapkan bedilan itu dapat memutuskan pihak British untuk menyerah kalah.
Jawapan Yamashita amat ringkas – tiada syarat, tiada perbincangan mengenai syarat, tiada gencatan senjata sehinggalah Percival meletakkan tanda tangan di garis titik. Walaupun keletihan, Percival dan kumpulannya berjalan melalui Jalan Bukit Timah ke Kilang ford Motor bertemu Yamashita.
Pada jam 1715, Percival dan anggota-anggota turusnya tiba di kilang Ford Motor Company untuk menyerah diri tanpa syarat kepada Tentera Jepun. Dokumen serah diri ditandatangani.
Semasa berdepan, Yamashita menuntut Percival menyerah kalah. Percival meminta tempoh. Yamashita naik berang dan bertanya “Ya atau Tidak?” Percival tiada pilihan. Pada jam 6.10 petang dia menandatangani surat cara penyerahan kalah. Pada jam 8.30 malam bedilan dihentikan.
Percival mengarahkan pegawai-pegawainya untuk bersama-sama dengan anggota-anggota tentera mereka menjadi tawanan perang. Mej. Jen. Gordon Bennett memberikan arahan sama kepada pegawai-pegawai Australia, tetapi dia sendiri lari ke pelabuhan menaiki kapal ke Sumatra. (Tindakan ini dikecam pihak berkuasa Australia dan Bennett tidak lagi diberikan pemerintahan di medan)
Kejatuhan Singapura dianggap malu paling besar dalam sejarah perang British. “Gibraltar Timur” tewas dalam masa kurang 100 hari kepada pasukan tentera Asia yang jauh lebih kecil. Bencana ini mengakibatkan Hindia Belanda dan Australia terdedah kepada serangan terbuka dan menjatuhkan moral rakyat British. Ia juga menjatuhkan kredibiliti British sebagai kuasa penjajah dan kegagahan orang putih.
Pihak British mengalami 8,708 korban perang yang mati ataupun cedera; sementara pihak Jepun mengalami 9,824 orang korban perang. Lebih daripada 130,000 askar British (32,000 India, 16,000 British and 14,000 Australia) menjadi tawanan perang. 20,000 orang askar India yang menyerah diri kemudian memilih untuk menyertai Tentera Nasional India pimpinan Mohan Singh.
Kira-kira 600 orang anggota Rejimen Askar Melayu dikumpulkan semula di padang Gold Keppel Link. Di sana, anggota-anggota lain-lain pangkat dipisahkan daripada pegawai-pegawai mereka dan dihantar ke pusat tahanan di Farrer Park yang menempatkan askar-askar India. Pegawai-pegawai Rejimen Askar Melayu dihantar ke pusat tahanan tawanan perang yang disediakan untuk orang-orang British dan Australia.

Korban Perang[sunting | sunting sumber]

Fail:Senarainamaasakrmelayu.jpg
Senarai Nama Korban Askar Melayu
Kuburan Tentera Komanwel dan Rejimen Askar Melayu di Peringatan Perang Kranji

Jepun

Penaklukan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura mengakibatkan jumlah korban di pihak Jepun sebanyak 2, 876 terbunuh dan 6,948 lain yang cedera. Jumlah ini dipertikaikan oleh Alan Warren yang memberikan bilangan sejumlah 9,824 korban perang, terdiri dari 3,507 terbunuh dengan 1,715 terbunuh semasa penaklukan Singapura dan sejumlah 6,150 kecederaan termasuk 3,378 kecederaan yang dialami semasa penaklukan Singapura]
Alan Warren membutirkan jumlah korban mengikut unit besar terlibat seperti berikut :
Divisyen ke-5 Infantri Jepun
Semenanjung Tanah Melayu -- 695 terbunuh dan 1,292 tercedera
Singapura -- 541 terbunuh dan 1,166 orang tercedera
Jumlah=1236 terbunuh,2458 tercedera
Divisyen ke-18 Infantri Jepun
Semenanjung Tanah Melayu --400 terbunuh dan 600 tercedera (anggaran)
Singapura island--938 terbunuh dan 1,708 tercedera
Jumlah = 1,338 terbunuh, 2308 tercedera
Divisyen Pengawal Imperial Jepun
Semenanjung Tanah Melayu --300 terbunuh,600 tercedera (anggaran)
Singapura island--211 terbunuh,468 tercedera
Jumlah = 511 terbunuh,1068 tercedera
Lain-Lain Unit Ketumbukan Tentera Ke-25 Jepun
Semenanjung Tanah Melayu -- 30 terbunuh,70 tercedera (anggaran)
Singapura island--23 terbunuh,36 tercedera
Jumlah=53 terbunuh,106 tercedera

Tentera British/India/Komanwel

Jumlah Korban British/India/Komanwel dianggarkan sejumlah ...7,500 terbunuh dan 10,000 tercedera.
Divisyen ke-8 Infantri Australia mengalami jumlah korban perang terdiri dari :
Semenanjung Tanah Melayu -- 462 terbunuh termasuk mati akibat kecederaan
Singapura -- 883 terbunuh, termasuk mati akibat kecederaan
Jumlah korban perang Australia = 1789 terbunuh, mati akibat kecederaan ataupun hilang dan 1,306 tercedera.
Rejimen Askar Melayu
Sepanjang kempen mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu dan khususnya semasa mempertahankan Singapura pada 12 Februari hingga 14 Februari 1942, Rejimen Askar Melayu mengalami 159 orang pegawai dan anggota yang terbunuh (6 orang pegawai British, 7 orang pegawai Melayu dan 146 orang lain-lain pangkat). Ramai lagi yang cedera. Bilangan askar Jepun yang terbunuh dalam pertempuran dengan askar Melayu tidak diketahui, tetapi bilangannya tentu ramai.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]