Jabatan Kereta Api Negeri Sabah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS)
Umum
Status Beroperasi
Lokasi Kota Kinabalu, Sabah
Stesen 17 (3 tidak digunakan)
Operasi
Dibuka 1896
Pemilik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah
Pengendali Jabatan Kereta Api Negeri Sabah
Depoh Tanjung Aru
Teknikal
Panjang aliran 134 km (83 bt)
Tolok landasan Sempit (1,000 mm)
Kelajuan operasi 80 km/j (50 bsj)
Peta laluan
Sembulan
Tanjung Aru
Putatan
Kinarut
Kawang
Papar
Kimanis
Bongawan
Membakut
Beaufort
Saliwangan
Weston
Halogilat
Rayoh
Pangi
Tenom
Melalap

Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) merupakan sebuah jabatan dalam Kerajaan Negeri Sabah, Malaysia, yang mengendalikan sistem rangkaian kereta api di Sabah. Ia merupakan satu-satunya sistem pengangkutan kereta api yang beroperasi di pulau Borneo. Landasan kereta api adalah sepanjang 134 km dari Tanjung Aru, berhampiran Kota Kinabalu, ke pekan Tenom, di Bahagian Pedalaman. Sebelum ini, ia dikenali sebagai Perkhidmatan Kereta Api Borneo Utara.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Logo lama bagi Perkhidmatan Keretapi Borneo Utara, digunakan sejak tahun 1896.

Pembinaan landasan kereta api bermula tahun 1896 di bawah perintah jurutera Arthur J. West bersama pembantunya Gaunon [perlu rujukan] seorang Murut yang berasal dari Keningau. Landasan kereta api ini dibina oleh pekerja yang dibawa dari Jepun diketuai oleh Akira. Pada asalnya ia dibina bagi mengangkut tembakau dari pedalaman ke kawasan pantai untuk dieksport. Landasan pertama yang dibina adalah sepanjang 32 km dari Sungai Bukau di utara Beaufort, ke selatan di pelabuhan Weston. Ia kemudian dipanjangkan sejauh 48 km lagi pada tahun 1903 ke Tenom, siap pada tahun 1905. Landasan dipanjangkan lagi pada tahun 1906 dari Tenom ke Melalap sejauh 16 km. Jurutera Arthur J. West juga bercadang membina satu lagi rangkaian landasan kereta api menuju ke Keningau tetapi beliau telah ditukarkan ke Australia menyebabkan pembinaan tersebut tergendala.

Stesen keretapi Borneo Utara pertama.

Pada masa yang sama, kerja-kerja pembinaan landasan dari Beaufort ke Jesselton (kini Kota Kinabalu) siap pada tahun 1903, dibina berhampiran kawasan pantai. Rangkaian yang sudah siap adalah sepanjang 193 km. Namun, hampir keseluruhan rangkaian dimusnahkan semasa Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1945, 24 Kumpulan Briged Infantri Australia mengendalikan rangkaian kereta api. Tenaga lokomotif yang digunakan terdiri daripada Jeep yang diubah suai.[1].

Perkhidmatan Kereta Api Borneo Utara menjalankan satu program pemulihan rangkaian serta menambah baik perkhidmatan pada tahun 1949 serta pada tahun 1960. Namun demikian, pada tahun 1963 laluan cabang ke Weston telah ditutup, begitu juga dengan laluan ke Melalap pada tahun 1970. Kos operasi di laluan yang jarang digunakan serta pembinaan jalan raya baharu menjadikan situasi bertambah parah. Pada tahun 1974 laluan utama juga dipotong dari Kota Kinabalu ke Tanjung Aru.

Laluan kereta api telah ditutup pada tahun 2007 bagi kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih. Keseluruhan laluan Tg Aru-Tenom dibuka semula pada 21 Februari 2011 dan perjalanan bakal mengambil masa selama 2 jam 15 minit pada kelajuan purata 80 km/j berbanding 50 km/j sebelum ini. Perkhidmatan kereta api kali ini menggunakan lokomotif baharu yang lebih berkuasa keluaran China Railway Co. bagi menggantikan lokomotif lama Hitachi.

Terdapat 14 stesen kesemuanya antara Sembulan ke Tenom: Sekretariat-Tg Aru-Putatan-Kinarut-Kawang-Papar-Kimanis-Bongawan-Membakut-Beaufort-Saliwangan Baru-Halogilat-Rayoh-Pangi-Tenom.

Laluan[sunting | sunting sumber]

Peta laluan Perkhidmatan Kereta Api Negeri Sabah

Stesen utama ditebalkan.

Aspek pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Rangkaian kereta api ini dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS), sebuah jabatan dalam Kerajaan Negeri Sabah.

Kerja baik pulih landasan dilakukan dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu, syarikat milik penuh Kerajaan Persekutuan yang mengendalikan rangkaian kereta api di Semenanjung Malaysia. Sungguhpun demikian, JKNS beroperasi dan ditadbirkan sebagai sebuah badan yang berasingan daripada KTM, serta menggunakan peralatan pengendalian yang berbeza.

Senarai Pengarah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah[sunting | sunting sumber]

Tahun Nama Pengarah Jabatan
1896 – 1945 tiada rekod ditemui
1945 – 1950 En. Lougi
1950 – 1957 En. Harry Jetford
1957 – 1963 En. A.F. Lucorotti
1963 – 1978 Datuk Wong Len Hin
1978 – 1988 En. Daniel Wong Thien Sung
1989 – 1994 Datuk Mohd. Tahir Jaafar
1994 – 1997 Datuk Hj. H.A. Majin
1998 Ir. Datuk Cosmas Abah (6 bulan)
1998 - 2006 Ir. Benny Wang
2006 - 2008 Ir. James Wong, P. Eng.
2008 - 2010 En. Mohd. Arshad Hj. Abd. Razak
2010 - sekarang Tuan Hj. Mohd Zain bin Hj. Mohd Said

Riadah dan Pelancongan[sunting | sunting sumber]

Masa hadapan perkhidmatan kereta api ini semakin cerah berikutan peningkatan penggunaan oleh pelancong asing. Jajaran Beaufort - Tenom yang melalui jeram Sungai Padas menawarkan satu pemandangan yang sangat menarik. Tambahan pula, perkhidmatan kereta api itu sendiri turut menjadi tarikan pelancong, dan kereta api pelancong bersejarah North Borneo Railway dikendalikan oleh Sutera Harbour untuk menakluki pasaran pelancongan di Sabah. Dengan tarikan Sabah sebagai destinasi kembara, penggunaan kereta api oleh pelancong dijangka terus meningkat saban tahun.

Kemalangan[sunting | sunting sumber]

  • Pada 9 April 2008, sebuah kereta api JKNS terjunam ke dalam Sungai Padas sedalam 10 meter setelah tergelincir dari landasan akibat tanah runtuh berhampiran Tenom, mengorbankan 2 penumpang.[2]
  • Pada 31 Oktober 2011, sebuah kereta api JKNS yang membawa 200 penumpang dari stesen Tanjung Aru menuju ke Papar bertembung dengan sebuah lori tangki yang dikatakan cuba menggunakan lintasan kereta api haram di Kepayan, Kota Kinabalu. Pertembungan tersebut menyebabkan satu letupan yang mengakibatkan 12 orang cedera parah dan tiada kematian.[3]

Galeri[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. The 24 Brigade Railway - The AIF in North Borneo: 1945 Harvey, Jim Australian Railway Historical Society Bulletin, November, 2000 pp403-427
  2. "Sabah train plungest 10m into river (Inggeris)", The Star (Malaysia), 9 April 2008. Dicapai pada 2 November 2011. 
  3. "12 seriously hurt as train slams into fuel tanker (Inggeris)", The Star, 1 November 2011. Dicapai pada 1 November 2011. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]