Perang Ahzab

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Perang Ahzab
Sebahagian daripada Perang Muslim-Quraisy
تخطيط إسم محمد.png
Seni khat dari atas ke bawah:
Rasulullah Muhammad SAW
Maklumat am
Tarikh 627 Masihi / 5 Hijrah
Lokasi Madinah
Hasil Kemenangan Islam
Pihak yang berperang
Muslim Quraisy dan sekutunya (lihat Tentera Gabungan)
Komander dan pemimpin
Nabi Muhammad SAW Abu Sufyan bin Harb
Kekuatan
3,000 orang 10,000 orang, termasuk pasukan berkuda
sunting
Lihat pendokumenan templat ini

Perang Ahzab (Bahasa Arab: غزوة الاحزابtranslit.: Ghazwah al-Ahzab, harfiah "pencerobohan/serangan pihak gabungan") juga dikenali sebagai Perang Khandaq (Arab: غزوة الخندق, Ghazwah al-Khandaq, harfiah "pencerobohan parit") ialah peristiwa pengepungan Madinah selama lebih kurang empat minggu oleh suku-suku dalam kalangan orang Arab dan Yahudi yang bergabung, di mana ia bermula pada 31 Mac 627 M. Kekuatan pihak Gabungan dianggarkan seramai 10,000 orang, diiringi oleh 600 ekor kuda dan sebilangan ekor unta, manakala di pihak Madinah pula terdiri daripada 3,000 orang.

Pihak yang mempertahankan Madinah, kebanyakannya Muslim di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW, menggali parit bersama-sama dengan kubu alami Madinah berjaya membuatkan pasukan berkuda Gabungan menjadi tidak berguna dan sekali gus menimbulkan kebuntuan buat kedua-dua pihak. Pihak Gabungan merancang untuk membuat beberapa serangan secara serentak dan berjaya meyakinkan sekutu mereka, Bani Quraizah, sebuah suku kaum Yahudi, untuk menyerang kota Madinah dari arah selatan. Walau bagaimanapun, diplomasi Nabi Muhammad berjaya menjejaskan rundingan antara pihak Gabungan dan Quraizah, lalu mematahkan pakatan yang menentang baginda. Susunan pertahanan yang teratur, kejatuhan semangat pihak Gabungan dan keadaan cuaca yang buruk akhirnya menyebabkan kepungan berakhir dalam keadaan kelam-kabut.

Pengepungan ini merupakan sebuah "pertarungan kepintaran" yang menyaksikan musuh dikalahkan oleh pihak Muslim secara taktikal sambil menanggung kerugian yang kecil. Usaha-usaha untuk mengalahkan Muslim gagal dan Islam semakin berpengaruh di rantau itu. Susulan daripada itu, tentera Muslim mengepung perkampungan Quraizah, satu tindakan yang membawa kepada penyerahan diri tanpa syarat bani tersebut.

Kekalahan dalam peperangan ini menyebabkan pihak Quraisy kehilangan kuasa dalam perdagangan serta darjat mereka.[1]

Nama[sunting | sunting sumber]

Kawasan berlakunya Perang Ahzab, Madinah
Masjid Salman al-Farisi, tapak Pertempuran Ahzab, Madinah

Pertempuran ini dikenali sebagai "Perang/Pertempuran Ahzab" (Arab غزوة الاحزاب) . Al-Quran menggunakan perkataan "gabungan" (Arab: الاحزاب) dalam Surah Al-Ahzab[33:9-32] bagi menggambarkan gabungan orang musyrik dan Yahudi menentang Islam.

Nama pertempuran juga mengambil sempena perkataan khandaq (Arab: الخندق) yang bermaksud "parit"—merujuk kepada parit yang digali oleh orang Islam semasa bersiap sedia untuk bertempur. Perkataan khandaq pula ialah perkataan Arab yang terbit daripada perkataan Parsi kandak (bermaksud "apa yang telah digali"). Salman al-Farisi menasihatkan Nabi Muhammad agar menggali parit dalam pertempuran ini.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Selepas berhijrah dari Makkah, orang Islam bertempur dengan Quraisy Makkah di Badar dalam tahun 624 M,[2] dan dalam Perang Uhud setahun kemudian, yakni dalam tahun 625 M.[3] Mahupun pihak Muslim tidak menang dan tidak kalah dalam Perang Uhud, kekuatan ketenteraan mereka semakin bertambah. Pada bulan April 626, Nabi Muhammad mengetuai pasukan seramai 300 orang dan sepuluh ekor kuda untuk berperang dengan Quraisy buat kali kedua di Badar. Tiada pertempuran berlaku pada kali ini, tetapi suku-suku kaum Arab yang tinggal di kawasan pesisiran pantai tertarik dengan kekuatan tentera Islam. Nabi Muhammad juga mencuba, kendatipun dengan kejayaan terbatas, bagi merosakkan perikatan yang menentang pengembangan Islam di tanah Arab. Namun demikian, baginda gagal merosakkan perjanjian perikatan yang dibuat oleh pihak Quraisy Makkah.[4]

Sebagaimana yang mereka lakukan semasa perang-perang Badar dan Uhud, tentera Islam sekali lagi menggunakan kaedah-kaedah yang luar biasa untuk menentang musuh-musuh mereka (di Badar, pihak Muslim mengepung perigi air, dan menyekat pihak musuh daripada mendapatkan air; dalam Perang Uhud, orang Islam mengguna bukit-bakau di sekitar Uhud dengan cara strategik). Dalam pertempuran ini mereka menggali parit bagi memastikan pasukan berkuda musuh tidak berkesan.[5]

Tentera Gabungan[sunting | sunting sumber]

Pada awal tahun 627 M, Yahudi Bani Nadhir bertemu dengan Arab Quraisy Makkah. Ketua Nadhir, Huyayy bin Akhtab, bersama-sama pemimpin-pemimpin lain dari Khaibar, pergi ke Makkah untuk membuat perjanjian dengan Safwan.[6]

Sebahagian besar tentera Gabungan dikumpulkan oleh musyrik Makkah dengan diketuai oleh Abu Sufyan. Tentera Gabungan membawa 4,000 anggota infantri (tentera berjalan kaki), 300 tentera berkuda, dan antara 1,000 ke 1,500 orang penunggang unta.[7]

Bani Nadhir pula mula menghasut nomad di bahagian timur Semenanjung Arab (Nejd). Pihak Nadhir juga berjaya membawa Bani Ghatafan bersama-sama menyertai mereka, dengan menyogok Ghatafan dengan separuh hasil tanaman mereka.[8][4] Kumpulan ini, yang kedua terbesar, menambahkan kekuatan Gabungan seramai lebih kurang 2,000 orang tentera dan 300 ekor kuda, diketuai oleh Unaina bin Hasan Fazari. Bani Assad yang diketuai oleh Tuleha Asadi juga bersetuju untuk menyertai pihak Nadhir dan Gabungan.[7] Bani Nadhir juga mendapat 700 orang daripada Bani Sulaim, walaupun kelompok ini, jika tidak kerana beberapa orang pembesarnya menyenangi Islam, mungkin lebih besar kekuatannya.

Bani Amir, yang ada membuat perjanjian dengan Nabi Muhammad, enggan turut serta.[6]

Suku-suku lain termasuk Bani Murrah, dengan kekuatan 400 orang di bawah pimpinan Hars bin Auf Murri, dan Bani Shujah, dengan 700 orang yang dipimpin Sufyan bin Abd Shams. Jumlah keseluruhan tentera Gabungan, mahupun tidak dipersetujui semua sarjana, dianggarkan seramai lebih kurang 10,000 orang infantri dan 600 orang tentera berkuda.

Pada akhir bulan Mac 627 M tentera yang diketuai Abu Sufyan ini bergerak mara ke Madinah.[9]

Bertepatan dengan perancangan yang dibuat, tentera-tentera yang terkumpul bergerak mara ke hala Madinah—orang Makkah dari arah selatan (di kawasan pesisiran pantai) sementara yang lain dari arah timur. Pada masa yang sama pula, penunggang kuda daripada Bani Khuza'ah yang telah memeterai perjanjian dengan Nabi Muhammad, berangkat ke Madinah untuk memberi amaran kepada orang Islam tentang gerakan tentera Kafir ke arah mereka.[6]

Pertahanan Muslim[sunting | sunting sumber]

Penunggang kuda Khuza'ah sampai di Madinah dalam masa empat hari, dan memberi amaran kepada Nabi Muhammad bahawa tentera Gabungan dijangka sampai di Madinah dalam masa seminggu.[6] Rasulullah SAW mengumpulkan orang Madinah bagi membincangkan strategi terbaik bagi menangkis serangan musuh yang bakal menyerang.

Tindakan untuk bertemu dan bertempur di tanah lapang (yang membawa kepada kemenangan di Badar), dan menunggu mereka di dalam bandar (pengajaran daripada Uhud) turut dibincangkan. [5] Akhirnya, orang Islam yang lebih kecil bilangan berbanding dengan musuh mereka memilih strategi peperangan pertahanan dengan menggali parit dalam yang dapat menjadi rintangan kepada musuh di kawasan utara Madinah. Taktik ini, yang mungkin diubahsuai daripada taktik tentera Empayar Sasan, dicadangkan oleh Salman al-Farisi. Setiap Muslim di Madinah, termasuk Nabi Muhammad, mula menggali parit besar yang selesai digali dalam tempoh enam hari.[10] Parit digali pada bahagian utara Madinah sahaja (lihat peta di bawah) memandangkan wilayah lain Madinah dikelilingi gunung berbatu dan kawasan berpokok, yang sukar direntasi ketumbukan tentera besar (khususnya pasukan berkuda). Dari segi taktik, ini bermakna serangan musuh dalam bilangan yang besar hanya dapat dilakukan dari satu arah sahaja, yakni arah utara.

Seiring dengan kerja menggali parit, Madinah juga berdepan dengan kemungkinan kekurangan makanan. Orang Madinah menuai tanaman mereka lebih awal agar memastikan tentera Gabungan bergantung pada bekalan makanan mereka sendiri.[5][10] Sementara itu, kaum wanita dan kanak-kanak ditempatkan di pusat bandar Madinah.[10]

Nabi Muhammad menubuhkan markas baginda di sebuah bukit kecil yang digelar Sala' dan tentera Islam diatur di sana;[8] kedudukan ini memberi pihak Muslim kelebihan sekiranya tentera Musyrik berjaya menyeberangi parit.[4]

Kekuatan keseluruhan tentera Islam yang mempertahankan Madinah daripada serangan musuh terdiri daripada 3,000 orang,[11] dan melibatkan semua penduduk Madinah yang berumur 15 tahun ke atas, melainkan orang Yahudi warga Bani Quraizah. Walau bagaimanapun, Quraizah ada membekalkan orang Islam dengan alat penggali parit).[4]

Pengepungan Madinah[sunting | sunting sumber]

Peta diagram Perang Ahzab (Perang Khandaq), tahun 627 M. Parit digali di kawasan utara dan barat laut Madinah.

Pengepungan Madinah bermula pada 31 Mac 627 M dan berlanjutan selama 27 hari.[12] Memandangkan peperangan pengepungan jarang berlaku di negeri Arab, pihak Bergabung yang tiba di Madinah mendapati mereka tidak bersedia untuk menangani parit yang digali Muslim. Tentera Gabungan cuba menyerang dengan penunggang kuda dengan harapan mencari laluan, tetapi pihak Muslim diatur dalam kedudukan kukuh dan dapat mematahkan setiap percubaan.[1] Kedua-dua bala tentera berkumpul masing-masing pada dua belah parit yang bertentangan dan masing-masing menghabiskan masa dua atau tiga minggu menghamburkan penghinaan dalam bentuk syair terhadap lawan, diiringi dengan anak panah yang dilepaskan dari jarak jauh. Maxime Rodinson menulis bahawa tiga orang penyerang dan lima orang yang bertahan korban dalam tempoh itu. Sebaliknya, tanaman sudah siap dituai Muslim dan pihak Gabungan sukar mendapatkan makanan untuk kuda mereka yang pada kesudahannya tidak membantu dalam serangan yang mereka lakukan. [13]

Para veteran Quraisy mula berasa bosan dengan kebuntuan dan sekumpulan yang diketuai Amr ibn Abd Wudd (yang difikirkan Quraisy sama dengan seribu pejuang)[14]) dan Ikrimah bin Abu Jahal cuba menggempur parit. Mereka berjaya merentasi parit dan mara ke kawasan paya berdekatan bukit Sala'. Amr mencabar Muslim berperang tanding. Sayidina Ali bin Abi Talib RA menerima cabaran tersebut dan selepas pergelutuan pendek, Amr dibunuh Sayidina Ali diiringi tidak lama kemudian dengan teriakan "Allahu Akbar" – Allah Maha Besar. Pasukan kecil Gabungan berundur dalam keadaan kelam kabut berikutan pembunuhan Amr.[15] Kendatipun pihak Gabungan hanya kehilangan tiga orang pejuang, mereka gagal mencapai apa-apa matlamat.[1]

Pasukan Gabungan cuba beberapa kali untuk melintasi parit pada waktu malam tetapi gagal. Walaupun pihak Gabungan mampu mengatur anggota mereka di sepanjang parit, mereka agak keberatan untuk bertempur berdepan-depan dengan orang Islam kerana pejuang Muslim dianggap lebih cekap dalam pertempuran berdepan-depan.[1] Oleh sebab tentera Islam berada dalam kedudukan kukuh di belakang tebing parit yang dibina daripada tanah, dan bersedia untuk melontarkan batu dan anak panah sekiranya sesiapa cuba menyeberang parit, apa jua gerakan menyeberang akan menyebabkan ramai korban.[13]

Bani Quraizah[sunting | sunting sumber]

Pihak Gabungan cuba menyerang secara serentak. Dalam satu percubaan khususnya, mereka memujuk Bani Quraizah agar menyerang dari selatan. Quraizah tinggal di dalam perkarangan Madinah dan penempatan mereka terletak di arah selatan Madinah.[1] Huyayy ibn Akhtab, ketua Yahudi Bani Nadhir dari Khaibar, pulang ke Madinah untuk mendapatkan sokongan daripada Quraizah.[16]

Setakat ini Bani Quraizah telah mencuba untuk berkecuali dalam perang antara Muslim Madinah dengan tentera Gabungan Arab musyrik dan beberapa puak Yahudi lain,[4] dan berkeberatan untuk menyertai pihak Gabungan disebabkan perjanjian dengan Nabi Muhammad (Piagam Madinah) yang telah mereka buat pada awalnya.[17] Malah, ketua Quraizah enggan menerima Huyayy ibn Akhtab apabila Huyayy datang berjumpa buat kali pertama.[18]

Namun, Huyayy bin Akhtab akhirnya berjaya bertemu Quraizah dan meyakinkan mereka bahawa orang Islam sudah tentu dapat ditewaskan.[1] Quraizah dapat melihat ketumbukan tentera Gabungan yang besar, yang bergerak di merata tempat dengan ramai anggota tentera berjalan kaki dan yang berkuda, dan akhirnya Quraizah bertukar fikiran dan menyertai Gabungan.[18]

Berita yang kononnya Quraizah telah belot mula tersebar dan Sayidina Umar Al-Khattab RA dengan cepat memaklumi Nabi Muhammad. Telahan berkaitan pembelotan Quraizah diperkuat dengan pergerakan tentera Gabungan ke arah penempatan dan kubu kuat Quraizah.[5][18] Timbul perasaan risau pada Nabi Muhammad tentang pergerakan mereka,[19] dan Nabi Muhammad menyedari bahawa Quraizah menimbulkan keadaan yang amat berbahaya kepada orang Islam. Nabi Muhammad tidak membuat persiapan rapi terhadap pertahanan di perbatasan Madinah (di arah selatan) dengan kaum tersebut kerana berpegang pada perjanjian antara baginda dengan Bani Quraizah.[17] Tambahan pula Quraizah memiliki senjata: 1,500 bilah pedang, 2,000 batang lembing, 300 buah baju besi, dan 500 buah perisai.[20]

Nabi Muhammad menghantar tiga orang Sahabat untuk meninjau perkembangan terkini Quraizah. Baginda menasihati mereka agar memberikan pendapat mereka secara terbuka sekiranya Quraizah masih taat, kerana ini boleh mengekalkan semangat pejuang Islam. Namun, baginda juga menasihati mereka agar tidak menyebarkan berita tentang pembelotan sekiranya benar kerana ini boleh menimbulkan perasaan cemas dan kelam kabut dalam kalangan Muslim.[17][18]

Para Sahabat mendapati sesungguhnya Quraizah telah melanggar perjanjian dan cuba meyakinkan mereka agar berpegang kepada perjanjian yang dibuat dengan Nabi Muhammad tempoh hari dengan memperingatkan mereka tentang nasib Bani Nadhir dan Bani Qainuqak; namun mereka gagal meyakinkan Quraizah.[18] Hasil tinjauan Sahabat disampaikan kepada Nabi Muhammad dengan menggunakan metafora: "Adal dan Qarah"—Maududi berpendapat metafora tersebut bermaksud Quraizah telah belot dan membunuh orang Islam apabila mendapat kesempatan. Ini kerana kaum Adal dan Qarah pernah berkelakuan serupa.[17]

Krisis di Madinah[sunting | sunting sumber]

Nabi Muhammad cuba menyorokkan maklumat yang baginda terima. Namun, khabar angin tentang serangan besar-besaran terhadap Madinah dari arah penempatan Quraizah mula tersebar secara meluas. Khabar angin ini menjejaskan orang Islam dan menjejas serta melemahkan semangat mereka.[21]

Penduduk Muslim Madinah mendapati keadaan mereka bertambah buruk selang hari. Bekalan makanan menyusut, dan malam bertambah sejuk. Mereka kekurangan tidur dan ini juga menjejaskan mereka.[22] Keadaan menjadi genting dan dilaporkan buat kali pertamanya solat berjemaah hanya dilakukan pada malam hari.[21] Mengikut Ibn Ishaq, pada waktu ini keadaan menjadi amat serius dan perasaan takut dirasai di mana sahaja.[23]

Al-Quran memerikan keadaan getir dalam Surah Al-Ahzab:

“Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. (10) Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (11) Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja". (12) Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah". Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan", pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam). (13) Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja. (14) Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya). (15)”[al-Quran 33:10-15 (Terjemahan oleh Basmeih)]

Surah ini menyambung:

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja". (16) Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? " Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka. (17) Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: "Marilah bersatu dengan kami", sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja. (18) Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakkan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (19) Mereka menyangka bahawa tentera "Al-Ahzaab" itu belum pergi; dan kalaulah tentera Al-Ahzaab datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu), mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja. (20) Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (21) Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (22)”[al-Quran 33:16-22]

Gerak balas Muslim[sunting | sunting sumber]

Nabi Muhammad menghantar 100 orang Islam ke pusat bandar Madinah bagi pertahanannya sebaik sahaja baginda mendengar berita angin tentang pembelotan Bani Quraizah. Kemudian baginda menghantar 300 orang askar berkuda (askar berkuda tidak diperlukan di parit) juga bagi mempertahankan Madinah.[5] Namun dalam keadaan cemas ini suara kuat para tentera Islam semasa menunaikan solat berjamaah di malam hari memberikan gambaran seolah-olah mereka ramai dan kuat.[18]

Krisis ini menunjukkan Nabi Muhammad bahawa ramai anggota tentera baginda sudah hampir hilang daya. Baginda menghubungi Ghatafan (suku Badwi) dan cuba memujuk mereka menyertai tentera Islam dengan menawarkan mereka sepertiga hasil tanaman buah kurma Madinah sekiranya mereka berundur. Walaupun Ghatafan pada mulanya meminta dibayar setengah hasil kurma, akhirnya selepas berunding dengan Nabi Muhammad, mereka bersetuju dengan syarat-syarat yang dirundingkan. Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad telah bermesyuarat terdahulu dengan ketua-ketua Madinah sebelum membuat perjanjian. Pembesar-pembesar Madinah membantah dan tidak bersetuju akan syarat-syarat perjanjian,[22] dengan alasan Madinah tidak pernah jatuh ke tahap itu; justeru rundingan dengan Ghatafan dihentikan. Mahupun Ghatafan tidak berundur, mereka telah mengundang kecurigaan sekutu lain kerana mereka telah mengadakan rundingan dengan pihak Islam. Ekoran itu, pertelagahan dalaman Gabungan bertambah runcing.[1]

Mengikut sejarawan Ibn Ishaq, pada ketika itu Nabi Muhammad didatangi Nuaim bin Masud, seorang kenamaan Arab yang dihormati orang Gabungan, yang telah memeluk Islam secara rahsia. Pada lawatan itu Nabi Muhammad meminta Nuaim membantu mengakhirkan pengepungan dengan menanam rasa curiga dalam kalangan pihak Gabungan.

Perang Ahzab merupakan pertempuran kepintaran minda yang dimenangi Muslim; tanpa merugikan diri sendiri, mereka telah melemahkan musuh dan menambahkan pertelagahan dalam kalangan mereka.

William Montgomery Watt[1]

Nuaim kemudiannya melahirkan satu strategi yang berkesan. Beliau pertamanya pergi ke Bani Quraizah dan memberi amaran kepada mereka tentang niat ahli Gabungan yang lain. Kata beliau, sekiranya pengepungan itu gagal, pihak Arab Gabungan tidak akan ragu-ragu meninggalkan orang Yahudi kepada belas kasihan Nabi Muhammad. Justeru, Quraizah harus meminta Gabungan memberi beberapa orang sandera bagi memastikan kerjasama berterusan Quraizah. Nasihat Nuaim ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang Quraizah yang sememangnya sudah mula berasa curiga.[5][22]

Kemudian Nuaim pergi bertemu Abu Sufyan, ketua Gabungan, dan memberitahunya bahawa kaum Quraizah sudah berpaling tadah dan menyertai Nabi Muhammad. Beliau menyatakan bahawa kaum Yahudi itu berniat meminta sandera daripada pihak Gabungan, kononnya sebagai balasan kerjasama yang diberikan mereka, tetapi sebenarnya Quraizah mahu menyerahkan sandera kepada Nabi Muhammad. Justeru, pihak Gabungan tidak sepatutnya memberikan walau seorang pun sandera kepada Quraizah. Dan Nuaim mengulangi ceritanya kepada kaum-kaum Gabungan yang lain.[5][22]

Keruntuhan Gabungan[sunting | sunting sumber]

Strategi Nuaim berkesan. Setelah berunding, ketua-ketua Gabungan menyuruh Ikrimah pergi ke Quraizah sebagai isyarat serangan bersatu terhadap Madinah. Sebaliknya, Quraizah berkeras meminta orang tebusan sebagai jaminan yang pihak Gabungan tidak akan meninggalkan Bani Quraizah sekiranya pengepungan gagal. Pihak Gabungan pula berfikiran bahawa Quraizah akan menyerahkan sandera tersebut kepada Nabi Muhammad dan seterusnya enggan memberi orang tebusan. Perutusan dihantar pergi balik antara kedua belah pihak, namun tidak ada yang mahu berganjak.[5][22]

Abu Sufyan memanggil Huyayy bin Akhtab, dan memaklumkannya tentang sambutan Quraizah. Huyayy tersentak dan Abu Sufyan menuduhnya sebagai "pengkhianat". Risau akan keselamatannya, Huyayy melarikan diri ke kubu kuat Quraizah di selatan Madinah.[5][22]

Puak Badwi, kaum Ghatafan, dan puak-puak Gabungan yang lain pula terjejas dengan rundingan yang diadakan Quraizah dengan Nabi Muhammad. Mereka menyertai ekspedisi gabungan hanya dengan harapan mendapat hasil penjarahan dan bukan kerana membenci Islam. Mereka putus harapan kerana pengepungan memakan masa yang lama (mereka tidak biasa dengan kaedah peperangan berbentuk pengepungan) dan oleh sebab itu berasa kurang minat meneruskan pengepungan. Kedua-dua kelompok pihak Gabungan ini pada kesudahannya mula menuding jari dan saling mencurigai pihak yang lagi satu.[22]

Pada masa yang sama bekalan pihak Gubungan juga menyusut. Kuda dan unta mati akibat kebuluran dan kecederaan. Cuaca pula amat sejuk dan hujan turun buat beberapa hari. Angin kencang bertiup dan memadamkan unggun api, sekaligus menghilangkan punca haba anggota Gabungan. Sebaliknya, petempatan Muslim terlindung daripada angin. Khemah-khemah tentera Gabungan ranap ditiup angin, unggun api padam, hujan dan pasir memercik muka mereka; mereka menjadi takut tentang keadaan mereka. Kesemua ini mereka anggap sebagai petanda sesuatu yang buruk yang bakal melanda mereka. Kesatuan mereka sudah berkecai. Akhirnya mereka mula berundur pada waktu malam dan pada keesokan harinya medan perang menjadi kosong.[24]

Kesan: Pengepungan dan kemusnahan Bani Quraizah[sunting | sunting sumber]

Berikutan pengunduran tentera Gabungan, orang Islam mengepung penempatan Bani Quraizah yang terletak di selatan Madinah. Mereka melakukan demikian kerana pembelotan Quraizah. Bani Quraizah menyerah kalah selepas pengepungan selama 25 hari dan kubu kuat serta harta mereka dirampas oleh Muslim.[25] Semasa dibawa untuk pengadilan, Quraizah memohon agar diadili oleh Bani Aws, sekutu lama mereka. Nabi Muhammad melantik ketua Aws, Sa'd bin Mu'az, sebagai hakim. Sa'd, yang tercedera semasa pertempuran, menghakimi Quraizah mengikut lunas-lunas agama yang mereka anuti, yakni mengikut undang-undang Taurat. Hasil daripada itu, hukuman yang dijatuhkan terhadap Quraizah ialah hukuman bunuh bagi orang lelaki sementara kaum wanita dan kanak-kanak Quraizah diambil sebagai hamba abdi. Nabi Muhammad mempersetujui keputusan ini dan hukuman dijalankan pada keesokan harinya.[25]

Orang lelaki – antara 400 ke 900[26] orang kesemuanya – diikat dan diletakkan di bawah jagaan Muhammad bin Maslamah, sementara wanita dan kanak-kanak diletakkan di bawah jagaan Abdullah bin Salam, bekas rabai yang memeluk Islam.[5][27]

Ibn Ishaq memerikan hukuman bunuh yang dilaksanakan terhadap Bani Quraizah seperti berikut:

Kemudian mereka menyerah diri dan Rasulullah menahan mereka di kawasan rumah al-Harith, seorang wanita Bani al-Najjar. Kemudian Rasulullah pergi ke pekan dan menggali parit di sana. Rasulullah kemudiannya memanggil mereka, dan apabila mereka dibawa dalam kelompok-kelompok, dipenggal kepala mereka di dalam parit. Di kalangan musuh Allah ialah Huyayy bin Akhtab dan Ka'b bin Asad ketua mereka. Bilangan mereka 600 atau 700 orang kesemuanya, walaupun ada yang meletakkan bilangan setinggi 800 atau 900. Semasa mereka dibawa keluar dalam kelompok kepada Rasulullah, mereka bertanya Ka'b apa yang akan dilakukan orang Islam terhadap mereka. Dia menjawab, "Tidakkah anda faham? Tidakkah anda lihat yang si pemanggil tidak henti dan yang dipanggil itu tidak pulang? Wallah, ia adalah kematian!" Ini berlarutan sehinggalah dihentikan oleh Rasulullah. Huyayy dibawa keluar dengan tangannya diikat pada lehernya dengan seutas tali, memakai jubah bercorak bunga; jubahnya telah ditebuk agar berlubang sebesar hujung jari agar ia tidak dirampas sebagai jarah. Apabila dia melihat Rasulullah dia berkata, "Demi Tuhan, aku tidak menyalahkan diriku kerana menentangmu, tetapi dia yang melupakan Tuhan akan dilupakan Tuhan." Kemudian dia pergi bertemu orang lelaki Quraizah dan berkata, "Benar perintah Tuhan. Sebuah kitab, dan sebuah perintah, dan pembunuhan beramai-ramai telah ditulis terhadap Bani Israel". Kemudian diapun duduk dan kepalanya dipenggal.[26][28][29]

Beberapa laporan menyatakan pertanda (orang yg melaksanakan hukuman bunuh)[nota 1] terdiri daripada para Sahabat Nabi, dan setiap suku kaum Aws juga ditugaskan bagi pelaksanaan hukuman.[30]

Hukuman selain lelaki Quraizah[sunting | sunting sumber]

Ibn Asakir menulis dalam kitabnya Sejarah Damsyik bahawa Bani Kilab, suku kaum klien Arab Bani Quraizah, juga dibunuh bersama-sama kaum Yahudi itu.[31]

Juga dilaporkan bahawa seorang wanita yang telah membaling batu giling dari kubu Quraizah dan membunuh seorang pejuang Islam semasa pengepungan juga menjalani hukuman bunuh dan kepalanya dipenggal bersama-sama lelaki Quraizah.[32]

Jarah[sunting | sunting sumber]

Jarah pertempuran, termasuk wanita dan kanak-kanak kaum Quraizah yang diambil sebagai hamba, dibahagi-bahagikan dalam kalangan pejuang Islam yang mengambil bahagian dalam pengepungan tersebut, dan juga dibahagi-bahagikan dalam kalangan Muhajirin.[33]

Nabi Muhammad mengambil satu perlima jarah bagi diri baginda, seperti lazim dilakukan Muslim. Sebagai sebahagian jarah, Nabi Muhammad memilih seorang daripada wanita Quraizah, Raihanah binti Zaid.[33] Mengikut beberapa laporan, Nabi Muhammad menawar untuk berkahwin dan membebaskannya dan Raihanah menerima tawaran Nabi Muhammad. Ada laporan yang menyatakan Raihanah menolak tawaran Nabi Muhammad dan kekal menjadi hamba.[34] Laporan lain pula mengatakan Raihanah kemudiannya memeluk Islam.[19]

Beberapa sarjana menyatakan bahawa Nabi Muhammad telahpun menetapkan hukuman sebelum Quraizah menyerah diri, dan Sa'd meletakkan kesetiaannya kepada Islam lebih tinggi daripada kesetiaannya kepada sukunya.[1] Mereka menyatakan satu alasan bagi hukuman tersebut adalah pengampunan yang diberikan Nabi Muhammad kepada musuh-musuh yang ditewaskan terdahulu bercanggah dengan lunas-lunas budaya Arab dan Yahudi pada masa itu dan pengampunan itu menggambarkan kelemahan. Sarjana lain pula menyatakan bahawa hukuman yang dikenakan terhadap Bani Quraizah merupakan tindak balas bagi pengkhianatan Quraizah yang telah membuat persetujuan pertahanan dengan orang Islam Madinah tetapi sebaliknya memberi pertolongan dan sokongan kepada musuh orang Muslim.[5]

Kesan[sunting | sunting sumber]

Kegagalan pengepungan Madinah menandakan permulaan kebangkitan kekuasaan politik Nabi Muhammad di Madinah.[35] Orang Makkah mencuba sedaya upaya untuk mengusir Nabi Muhammad dari Madinah, dan kekalahan ini menyebabkan mereka hilang penguasaan perdagangan dengan Syam dan martabat mereka sekali. Daripada kekuatan bala tentera yang dikalahkan Muslim, jelas bahawa angkatan tentera Arab, tidak kira betapa besar, tidak dapat mengalahkan tentera Islam.[36]

Pensejarahan[sunting | sunting sumber]

Sumber sezaman utama tentang pertempuran ini ialah Surah Al-Ahzab (Surah 33) dalam al-Quran. Walaupun al-Quran tidak mengatakan kejadian-kejadian yang berlaku semasa Ahzab, kitab ini memerikan keadaan psikologi dan sosial penduduk Madinah serta pendekatan berlainan yang diambil oleh mereka terhadap konfrontasi yang berlaku.

Sumber terkuat yang dapat dipercayai tentang kejadian-kejadian dalam kehidupan Nabi Muhammad ialah al-Quran.[37] Dalam bentuk hakikinya, secara amnya al-Quran dianggap oleh para sarjana yang bukan beragama Islam sebagai merakam kata-kata Nabi Muhammad kerana kajian dan pencarian sarjana Barat untuk mendapatkan varian al-Quran tidak dapat ketemu banyak kelainan.[38]

Dari sudut pandangan pengkaji Barat, selepas al-Quran, sumber penting tentang kehidupan Nabi Muhammad ialah karya-karya pengarang abad ketiga dan keempat Hijrah.[39] Karya-karya ini termasuklah biografi tradisional Nabi Muhammad atau Sirah hasil penulis Muslim, dan Hadis (kata-kata yang disandarkan kepada Nabi Muhammad).[40] Sirah terawal yang masih kekal ialah sirah karya Ibn Ishaq, Sirah Rasulullah yang dikarang lebih kurang 120 ke 130 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad. Walaupun karya aslinya sudah hilang, cebisan-cebisan karangan asli terkandung dalam sirah-sirah resensi Ibn Hisham dan al-Tabari.[41] Satu lagi sumber awal ialah Al-Maghazi ("Kempen Perang") karya al-Waqidi (meninggal 823 M).[39]

Sumber primer Islam[sunting | sunting sumber]

Laporan kejadian Perang Ahzab terdapat dalam himpunan hadis Sahih al-Bukhari yang melaporkan kematian Sa'd bin Mu'az.[42]

Pada hari Al-Khandaq (pertempuran Parit) urat medial lengan Sa'd bin Mu'ad tercedera dan Rasulullah (SAW) mendirikan khemah di masjid bagi menjaganya. Ada satu lagi khemah buat Bani Ghaffar di dalam masjid dan darah mula mengalir dari khemah Sa'd kepada khemah Bani Ghaffar. Mereka berteriak, "Wahai penghuni khemah! Apa yang datang dari kamu kepada kami?" Mereka mendapati bahawa luka Sa'd berdarah dan Sa'd meninggal dunia di dalam khemahnya.
___

Terjemahan daripada hadis dalam Bahasa Inggeris.
Sahih al-Bukhari Jilid 1, Buku 8, Hadis nombor 452 (Hadis riwayat Aisyah)

Sahih al-Bukhari juga menyatakan bahawa selepas pertempuran, orang Islam menjalankan operasi serangan terhadap musuh mereka.[43]:

Pada hari al-Ahzab (yakni gabungan) Nabi (SAW) berkata, (Selepas pertempuran ini) kita akan menyerang mereka (yakni orang kafir) dan mereka tidak akan datang menyerang kita. [44]
___

Terjemahan daripada hadis dalam Bahasa Inggeris.
Sahih al-Bukhari Jilid 1, Buku 59, Hadis nombor 435 (Hadis riwayat Sulaiman bin Surd).

Pertempuran Al-Ahzab juga dinyatakan dalam Sahih Muslim:

Abdullah b. Zubair meriwayatkan pada Hari Pertempuran Khandaq: Saya dan Umar b. Abu Salama bersama-sama kaum wanita [berada] di dalam kubu Hassan (b. Thabit). Sekali dia menyendeng terhadap ku dan saya menjeling dan pada satu ketika lain saya menyendeng terhadapnya dan dia dapat melihat dan saya melihat bapaku ketika dia menunggang kudanya dengan lengannya [menunjuk] ke arah kaum Quraizah. Abdullah b. Urwa meriwayatkan daripada Abdullah b. Zubair: Saya mengatakan kejadian tersebut kepada bapa saya, dan beliau berkata: Anakku, adakah kamu melihatku (pada ketika itu)? Beliau berkata: Ya. Beliau terus berkata: Demi Allah, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) berkata kepadaku: Untukmu akan aku korbankan bapaku dan ibuku.[45]
___

Terjemahan daripada hadis dalam Bahasa Inggeris.
Sahih Muslim, Buku 31, Hadis nombor 5940.

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Dewan Bahasa dan Pustaka: takrif "pertanda"

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 1.2 1.3 1.4 1.5 1.6 1.7 1.8 Watt, Muhammad: Prophet and Statesman, ms. 167-174.
  2. Peters, Muhammad and the Origins of Islam, ms. 211—214.
  3. Watt, Muhammad: Prophet and Statesman, ms. 135.
  4. 4.0 4.1 4.2 4.3 4.4 Watt, Muhammad at Medina, ms. 34-37.
  5. 5.00 5.01 5.02 5.03 5.04 5.05 5.06 5.07 5.08 5.09 5.10 Ramadan, In the Footsteps of the Prophet, ms. 137-145.
  6. 6.0 6.1 6.2 6.3 Lings, Muhammad: his life based on the earliest sources, ms. 215f.
  7. 7.0 7.1 al-Halabi, al-Sirat al-Halbiyyah, ms. 19.
  8. 8.0 8.1 Nomani, Sirat al-Nabi, ms. 368-370
  9. Rodinson, Muhammad: Prophet of Islam, m. 208.
  10. 10.0 10.1 10.2 Rodinson, ms.209
  11. Glasse & Smith , New Encyclopedia of Islam: A Revised Edition of the Concise Encyclopedia of Islam, ms. 81.
  12. Watt, Muhammad at Medina, ms. 36f.
  13. 13.0 13.1 Rodinson , p. 209f.
  14. Tabqaar ibn-e-Sadd 1:412, Anwaar Mohammadiya minal mawahib ms. 84
  15. Zafrulla Khan, Muhammad, Seal of the Prophets, ms. 177-179.
  16. Nomani, ms. 382.
  17. 17.0 17.1 17.2 17.3 Maududi, The Meaning of the Quran, ms. 64f.
  18. 18.0 18.1 18.2 18.3 18.4 18.5 Lings, ms. 221-223.
  19. 19.0 19.1 Watt, "Kurayza, Banu" Encyclopaedia of Islam.
  20. Heck, "Arabia Without Spices: An Alternate Hypothesis", ms. 547-567.
  21. 21.0 21.1 Peterson, Muhammad. Prophet of God, ms. 123f.
  22. 22.0 22.1 22.2 22.3 22.4 22.5 22.6 Lings, ms. 224-226.
  23. Peters Muhammad and the Origins of Islam, ms. 221f.
  24. Lings, m/s. 227f.
  25. 25.0 25.1 Watt, Muhammad: Prophet and Statesman, ms. 170-176.
  26. 26.0 26.1 Guillaume, The Life of Muhammad: A Translation of Ibn Ishaq's Sirat Rasul Allah, ms. 461-464.
  27. Muir, A Life of Mahomet and History of Islam to the Era of the Hegira, ms. 272-274.
  28. Peters, Muhammad and the Origins of Islam, ms. 222-224.
  29. Stillman, ms. 141f.
  30. Inamdar, Muhammad and the Rise of Islam, ms. 166f.
  31. Lecker, "On Arabs of the Banū Kilāb executed together with the Jewish Banū Qurayza", m. 69.
  32. Muir (m. 277)
  33. 33.0 33.1 Rodinson, Muhammad: Prophet of Islam, m. 213.
  34. Ramadan, ms. 146.
  35. Watt, Muhammad: Prophet and Statesman, m/s. 96.
  36. Rodinson, p. 211.
  37. Alford Welch, Muhammad, Encyclopaedia of Islam
  38. Peters (1991), ms. 291–315.
  39. 39.0 39.1 Watt, Muhammad at Mecca, ms. xi.
  40. Reeves, Muhammad in Europe: A Thousand Years of Western Myth-Making, ms. 6–7.
  41. Donner, Narratives of Islamic Origins: The Beginnings of Islamic Historical Writing, ms. 132.
  42. Sahih al-Bukhari, Laman Web Universiti Islam Antarabangsa Malaysia al-Bukhari Vol 1, Book 8, Hadith Number 452.(Inggeris)
  43. [Dr. M. Sa’id Ramadan Al-Buti – "Jurisprudence of Muhammad’s Biography" ("Jurisprudens Biografi Muhammad"), ms. 73, edisi bahasa Inggeris, terbitan Universiti al-Azhar, Mesir (1988)]
  44. [http://www.iium.edu.my/deed/hadith/bukhari/008_sbt.html Sahih al-Bukhari, Laman Web Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 5,59,435] al-Bukhari Vol 5, Book 59, Hadith Number 435.(Inggeris)
  45. [http://www.iium.edu.my/deed/hadith/muslim/031_smt.html Sahih Muslim, Laman Web Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 31,5940] Muslim, Book 31, Hadith Number 5940. (Inggeris)

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Bahasa Inggeris


Didahului oleh
Perang Uhud
Pertempuran Utama Muslim
Tahun: 627 M
Diikuti oleh:
Perang Khaibar