Perkhidmatan Feri Pulau Pinang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Perkhidmatan Feri Pulau Pinang

Perkhidmatan Feri Pulau Pinang merupakan perkhidmatan feri tertua di Malaysia. Perkhidmatan feri terkenal ini dihubungkan antara terminal feri Pulau Pinang di Butterworth ke terminal feri Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay di George Town di Pulau Pinang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Perkhidmatan feri pertama di Pulau Pinang bermula sejak tahun 1894 oleh seorang pengusaha persendirian, Encik Quah Beng Kee dan saudara-saudaranya (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1981). Walau bagaimanapun, reka bentuk feri pada masa itu bukan seperti yang dapat disaksikan pada hari ini, feri pada masa itu hanya merupakan lanci-lanci kecil yang menggunakan kuasa wap untuk berjalan (Mahanum Ghazali, 1995). Feri itu juga hanya dapat mengangkut penumpang dan barang-barang yang terhad sahaja kerana pada masa itu masih belum ada kenderaan bermotor (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1981). Manakala lokasi pendaratan feri pada waktu itu adalah diantara Jeti Kedah di Pulau Pinang dan beberapa tempat pendaratan di Seberang Perai (Mahanum Ghazali, 1995). Perkhidmatan feri yang dapat mengangkut kenderaan bermotor hanya bermula selepas Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang (LPPP) mengambil alih pengurusan dan penyeliaan feri pada Disember 1924. Pada tahun berikutnya, perkhidmatan ini telah dikendalikan di jeti yang khusus, iaitu Jeti Lebuh Gereja di Pulau Pinang dan Jeti Mitchell di Butterworth. Pada masa itu, hanya terdapat satu feri berkuasa wap bernama “Seberang” yang dibina oleh Lembaga Pelabuhan Singapura sahaja yang beroperasi untuk memuatkan penumpang pejalan kaki dan kereta-kerata (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1977).

Sejak perkhidmatan feri diperkenalkan, sambutan daripada penduduk-penduduk sekitar Pulau Pinang dan Butterworth semakin ramai. Justeru, jeti-jeti yang sedia ada tidak dapat menampung permintaan penduduk menyebabkan LPPP terpaksa membesarkan jeti-jeti berkenaan, dan penambahan lagi dua buah feri yang lebih besar (Tanjung dan Kulim) juga telah dilakukan (Mahanum Ghazali, 1995). Ketiga-tiga feri itu beroperasi pada kadar setengah jam satu feri. Pada tahun 1983, sebuah feri yang lebih besar lagi telah dibeli dan diberi nama Bagan digunakan untuk mengangkut penumpang-penumpang yang semakin bertambah. Meskipun begitu, pada tahun 1941 hingga 1945, perkhidmatan feri telah lumpuh kerana dilanda perang dunia kedua, ketika tentera Jepun menjajah Tanah Melayu (Mahanum Ghazali, 1995). Perkhidmatan feri telah dipulihkan selepas perang dunia ke-2 pada tahun 1945 oleh pentadbiran tentera British. Malangnya, feri-feri yang sedia ada telah dimusnahkan semasa peperangan, maka kapal-kapal tongkang yang mempunyai dek dan ditunda dengan lanci telah digunakan untuk tujuan pengangkutan (Mahanum Ghazali, 1995). Setelah LPPP diberkan nafas baru pada April 1946, lembaga ini telah mengambil alih perkhidmatan feri ini. Di samping itu, 4 buah kapal perisal pendarat pihak tentera British turut diubahsuai untuk menyediakan kemudahan tempat duduk bagi penumpang (Mahanum Ghazali, 1995).

Jumlah pengangkutan bermotor yang dikendalikan telah meningkatkan dengan pesatnya daripada 247,000 buah kenderaan pada tahun 1946 bertambah kepada 717,000 buah pada tahun 1956, dan meningkat lagi ke paras 814,000 buah pada tahun 1958 (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1977). Memandangkan permintaan untuk perkhidmatan feri kian meningkat saban tahun, maka satu perancangan telah dilakukan untuk memodenkan perkhidmatan feri secara keseluruhan pada tahun 1953. Merentasi tahun 1959, feri-feri yang lama dan uzur telah digantikan dengan 5 buah feri baru yang boleh memuat dan memunggah di kedua-dua hujung feri dalam kategori kelas Aman (Mahanum Ghazali, 1995). Disebabkan permintaan yang semakin bertambah, pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah membeli sebuah feri lagi pada tahun 1965 dan dua buah feri lagi pada tahun 1971. Dengan 8 buah feri ini, perkhidmatan feri ini telah ditingkatkan dengan sebanyak 1699 400 buah kenderaan pada tahun 1968 berbanding hanya 776 500 buah pada tahun 1959. Manakala pada tahun 1971, peningkatan terhadap penggunaan perkhidmatan feri ini bertambah lagi kepada 3098 500 buah kenderaan dan 15 juta penumpang pejalan kaki (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1977).

Permintaan yang semakin meningkat telah memaksa pihak pentadbiran feri, SPPP menjalankan satu kajian pada tahun 1968 untuk menganalisis tingkatkan kedayaan perkhidmatan feri ini. Hasil daripada kajian menunjukkan bahawa 8 buah feri dan pangkalan feri yang sedia ada telah mencapai had kedayaan mengendalikan kenderaan maksimum (Mahanum Ghazali, 1995). Pada Jun 1971, SPPP telah melancarkan Projek Pengeluasan Feri di bawah Rancangan Malaysia ke-2 dengan peruntukan sebanyak $ 17.5 juta (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1977). Projek ini melibatkan pembinaan terminal feri yang mampu mengendalikan 2 feri pada masa serentak. Terminal baru ini terletak bersebelahan dengan terminal lama untuk memudahkan kawalan trafik dan kecekapan operasi. Pangkalan feri dua tingkat ini dirasmikan pada 16 Januari 1977 (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1977). Terminal feri ini juga berupaya melakukan kerja-kerja pemunggukan kenderaan dan penumpang pejalan kaki sekaligus (Mahanum Ghazali, 1995). Pihal SPPP turut membeli 3 buah feri baru yang direka bentuk khas untuk pangkalan baru ini. Feri-feri ini akan digunakan untuk mengangkut kenderaan sahaja di dek atas dan bawah. Dengan adanya feri-feri ini, pihak SPPP berharap dapat mengurangkan masalah trafik yang semakin meruncing (Mahanum Ghazali, 1995).

Pada tahun 1981, 3 lagi feri baru kelas Rimau telah dibeli oleh pihak SPPP. Pada tahun 1984 merupakan tahun kemuncak bagi permintaan perkhidmatan feri Pulau Pinang. Jumlah kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri telah bertambah 5% untuk kereta dan 10% untuk lori berbanding tahun sebelumnya. Bilangan motosikal sahaja yang menggunakan perkhidmatan feri telah mencecah angka 6.8 juta unit (kiraan trafik 2 hala), manakala jumlah penumpang meningkat kepada 22. 2 juta orang (Mahanum Ghazali, 1995). Pada tahun 1987 pula, jumlah trip perjalanan feri telah mencatat yang tertinggi berbanding tahun-tahun yang lepas, iaitu 137 128 trip sehala (79 490 oleh feri lama dan 57 638 oleh feri baru). Jumlah trip ini sepatutnya akan meningkat dengan lebih baik lagi pada tahun-tahun akan datang, malangnya disebabkan peristiwa Jeti Runtuh pada 31 Julai 1988 telah menyebabkan pangkalan jeti lama tidak boleh lagi digunakan untuk mengangkut penumpang (Mahanum Ghazali, 1995). Memandangkan perkhidmatan jeti lama di Pangkalan Sultan Abdul Halim tidak mungkin dapat dipulihkan lagi, banyak feri lama telah direhatkan dan tidak digunakan lagi sejak Disember 1993. Dengan struktur organisasi pada tahun 1995, hanya menggunakan satu pangkalan (pangkalan kenderaan) dan lima buah feri dalam setiap hari operasi (6 buah pada hari kelepasan umum, cuti sekolah dan hari perayaan), pihak feri cuba memenuhi permintaan pengguna dengan meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan (Mahanum Ghazali, 1995).

Pada masa kini, pelabuhan Pulau Pinang menyediakan perkhidmatan feri mulai jam 5.30 pagi sehingga 1.00 pagi menghubungkan Georgetown di bahagian pulau dan Butterworth di tanah besar. Perkhidmatan feri ini beroperasi dengan lapan buah feri (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 2007). Feri-feri tersebut yang membawa penumpang pejalan kaki dan kenderaan di dek atas dan kenderaan di dek bawah tersebut berlepas dari terminal setiap lapan minit pada waktu puncak dan frekuensinya berkurangan menjelang tengah malam. Perjalanan feri mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk menyeberang selat sepanjang 3.2 kilometer Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 2007). Jumlah keseluruhan trafik feri dalam tahun 2006 termasuk semua perkhdimatan seperti pejalan kaki, basikal, motosikal, kereta dan lori telah meningkat 1.1% daripada 5.859 juta unit pada tahun 2005 kepada 5.922 juta unit (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 2007). Pelabuhan Pulau Pinang telah menetapkan beberapa peningkatan harga tiket terhadap perkhidmatan komersil dan pengguna awam. Dengan kos yang baru dan komitmen terhadap pembangunan perkhidmatan, satu tarif baru harga tiket telah diperkenalkan dan sedang dilaksanakan sejak 1 Mei 2005 (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 2007).

Jenis feri[sunting | sunting sumber]

Feri Pulau Undan
  • Pulau Undan
  • Pulau Angsa
  • Pulau Rimau
  • Pulau Pinang
  • Pulau Payar
  • Pulau Kapas
  • Pulau Rawa
  • Pulau Talang-talang

Jeti runtuh[sunting | sunting sumber]

  • 31 Julai 1988 jam 4.40 petang, Terminal feri Sultan Abdul Halim di Butterworth tiba-tiba runtuh. Pangkalan yang runtuh ini dibina pada 1956. Seramai 32 orang mati dan mencederakan 1,674 orang.

Pangkalan ini dinamakan sempena nama Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang menjadi Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Malaysia.

Jadual feri[sunting | sunting sumber]

Terminal Feri Sultan Abdul Halim (Tanah Besar)[sunting | sunting sumber]

  • Operasi feri pertama : Jam 0600
  • Operasi feri terakhir : Jam 0100

Terminal Feri Raja Tun Uda (Pulau)[sunting | sunting sumber]

  • Operasi feri pertama : Jam 0530
  • Operasi feri terakhir : Jam 0030

Kadar tiket feri[sunting | sunting sumber]

Pejalan kaki[sunting | sunting sumber]

  • Dewasa : RM1.20
  • Kanak-kanak (antara 5 hingga 12 tahun) : RM0.60

Tiket Semusim (pejalan kaki)[sunting | sunting sumber]

  • Dewasa : RM30.00 – sah dalam tempoh dua bulan sejak tarikh tiket dikeluarkan.

Penumpang istimewa[sunting | sunting sumber]

  • Kanak-kanak sekolah : RM0.60
  • Kad Orang Kurang Upaya : Percuma

Kenderaan bermotor[sunting | sunting sumber]

  • Basikal: RM1.40
  • Motosikal (termasuk pembonceng): RM2.00
  • Beca/pacuan tiga roda: RM3.00
  • Motokar (termasuk van, pacuan empat roda, kenderaan komersial pacuan tiga roda, motosikal dengan kereta sebelah): RM7.70
  • Lori (2 gandar dengan 4 roda): RM13.20
  • Lori (2 gandar dengan 6 roda): RM27.50

Rujukan dan Pautan luar[sunting | sunting sumber]



https://www.facebook.com/pages/Feri-Penang/763493480343729