Taufik Abdul Halim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Taufik Abdul Halim (39 tahun) merupakan bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) dan pakar membuat bom bagi kumpulan militan itu. Beliau telah dipenjarakan selama 12 tahun di Penjara Salemba, Jakarta, Indonesia. [1]

Taufik Abdul Halim terlepas daripada hukuman tembak sampai mati di Indonesia kerana didapati bersalah terlibat dalam cubaan mengebom Pusat Beli-belah Plaza Atrium, Jakarta, pada 1 Ogos 2001. Taufik ialah antara 350 bekas anggota JI yang dibebaskan dari penjara Indonesia selepas mendapat keampunan presiden Indonesia, Joko Widodo.

Beliau mula dikenali selepas terlibat dalam rompakan Kumpulan Mujahideen Malaysia di Southern Bank, Petaling Jaya pada 2001, di mana hasil rompakan digunakan untuk membiayai kumpulan pengganas di Jakarta dan Ambon. Taufik turut dikaitkan dengan insiden serupa di dua buah gereja di timur Jakarta. Taufik cedera parah hingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong selepas bom yang dibawanya meletup di pusat membeli-belah Plaza Atrium, Jakarta pada 1 Ogos 2001. Kini kakinya kudung.

Taufik pernah mendapat 5A dalam UPSR. Kemudian merupakan bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama Kluang dan belajar di Maahad Johor di Johor Bharu. Beliau pernah menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, bergiat aktif dalam gerakan Tabligh bersama keluarganya di Kluang - mendengar ceramah-ceramah. Dia merupakan anak kedua dalam keluarga. Beliau turut dikenali sebagai Dani atau Yuli Mulya Purnomo. Perjuangannya selama ini adalah untuk saudara sesama Islam dan dia begitu tersentuh dengan apa yang berlaku di Ambon.

Taufik Abdul Halim dikatakan terjebak dengan kumpulan pengganas selepas dipengaruhi abang iparnya, Zulkifli Abdhir atau dikenali sebagai Marwan, yang menjadi individu paling dikehendaki di Asia Tenggara dan telah meninggal dunia di kejadian sebuah serangan tembakan di Mamasapano, Maguindanao, Filipina pada tahun 2015.

Aktiviti keganasan[sunting | sunting sumber]

Selepas belajar di Tingkatan Enam (Disember 1993) ,dia kemudian dihantar oleh keluarganya ke Pakistan untuk belajar agama . Dia telah bertemu dengan rakan-rakan dari Malaysia, yang kebanyakannya merupakan lulusan sekolah pondok. Peluang belajar di Pakistan digunakannya untuk melawat kem-kem tentera di Afghanistan untuk belajar menggunakan pistol, raifal dan membuat bom. Dia menyertai pertubuhan Massa-Pakindo iaitu sebuah pertubuhan pelajar-pelajar Malaysia di Pakistan dan India. Dia turut simpati dengan nasib militan-militan Khasmir yang cedera semasa Taufik dimasukkan ke Hospital Muzaffarabad.

Taufik seterusnya pulang ke tanah air dan pergi semula ke Pakistan tetapi ditangkap pihak berkuasa Pakistan di Rawalpindi kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Selepas ditahan beberapa lama , pihak Pakistan menyerahkannya kepada PDRM.

Pasukan PDRM kemudian menahannya selama dua bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan pada Disember 1996. Taufik meneruskan pengajian di sebuah kolej swasta di Kelana Jaya dan kemudiannya memasuki Universiti Teknologi mara (UiTM), Shah Alam. Tetapi dia gagal menamatkan pelajarannya, kali ini dipercayai tertipu dengan gerakan militan KMM sel Selangor yang dianggotai oleh abang iparnya Zulkifli di Kampung Sri Aman, Puchong.[2] KMM turut terlibat dalam Serangan Balai Polis Guar Chempedak pada 12 Januari 2001 [3]

Difahamkan, dengan kemahirannya membuat bom, serta pengaruh daripada Zulkifli dan dua pemimpin kanan JI iaitu Abu Bakar Bashir dan Hambali, Taufik secara sukarela menyertai kumpulan 10 lelaki ahli KMM pergi ke Ambon dan terlibat dalam perjuangan JI bagi menyelamatkan umat Islam yang ditindas oleh orang Kristian di wilayah itu. Selepas beberapa ketika berada di Ambon, Taufik dan beberapa ahli KMM lain telah menyelinap ke Jakarta dan melakukan siri serangan sehinggalah ditangkap ketika cuba mengebom Pusat Beli-belah Plaza Atrium.[4]

Taufik atau Dani membawa bom menuju ke sebuah kedai di Tingkat 2, Plaza Atrium itu yang dijadikan markas pihak Kristian dan gereja di Ambon , Maluku. Sasaran lain mereka ialah Bekasi, Bandung , Sukabumi, Ciamis, Mojokerto, Medan, Permatang Siantar dan Mataram di Lombok. Intipati perjuangan mereka ialah tentang iman (faith), jemaah (community) dan jihad (holy war).[5]

Pemantauan polis PDRM[sunting | sunting sumber]

Polis PDRM terus memantau perkembangan harian Taufik Abdul Halim dan mempunyai 'minat yang khusus' terhadap kes Taufik kerana dia merupakan adik ipar pengganas paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, Zulkifli Abdul Khir, lebih dikenali sebagai Marwan, juga seorang rakyat Malaysia. Zulkifli Abdul Hir dikatakan suspek utama pembunuhan ADUN Lunas Dr Joe Fernandez pada 4 November 2010.

Akhbar Malaysia The Star melaporkan Taufik kini berada bersama keluarganya di Johor selepas tiba dengan pesawat komersial di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada Rabu, 12 November 2014 jam 11.40 malam. Taufik terus dibawa pergi anggota polis dan kemudiannya disoal siasat Bahagian Pencegahan Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa Bukit Aman kini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan pembebasan banduan berkenaan. Walaupun tiada rakyat Malaysia lain terlibat dengan kumpulan berkenaan, Bukit Aman mengawasi perkembangan itu bagi memastikan tiada antara mereka yang memasuki negara ini. Malaysia enggan dijadikan pengkalan atau lokasi transit bagi pengganas.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Taufik tidak mahu harapkan apa-apa
  2. ^ Utusan Malaysia , 12 Mei 2002
  3. ^ Legasi Mahathir oleh Sivamurugan Pandian ; hlm 297
  4. ^ Pakar buat bom pulang selepas 12 tahun dijel
  5. ^ The Evolving Terrorist Threat to Southeast Asia: A Net Assessment oleh Angel Rabasa, William Rosenau ; hlm 98
  6. ^ Pakar bom Malaysia dipantau polis kerana hubungan dengan suspek dikehendaki FBI