Zainal Abidin bin Ahmad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Zaba)

Zainal Abidin Ahmad

PMN
زين العابدين أحمد
Kelahiran
Zainal Abidin bin Ahmad

(1895-09-16)16 September 1895
Meninggal dunia23 Oktober 1973(1973-10-23) (umur 78)
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur
Nama lainZa’aba, Za'ba
OrganisasiKongres Bahasa dan Persuratan Melayu
Terkenal keranaAhli akademik dan penulis
Gerakan politikGerakan Akademik Malaya

Tan Sri (Dr.) Zainal Abidin bin Ahmad (16 September 1895 – 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Za'ba merupakan seorang sasterawan bahasa Melayu dan pemikir keturunan Minangkabau dan Bugis [1] yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.

Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Zainal Abidin dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan. Beliau anak sulung daripada tiga adik-beradik kepada Intan Awaluddin (1877-1907), seorang Minangkabau Tanah Datar dan Ahmad Ibrahim (1862-1927), seorang suku Bugis Linggi Kepulauan Riau; Ahmad berharta hasil kerjanya sebagai petani dan pemborong yang mengerjakan jalan-jalan kecil di Bahau dan Kuala Pilah,[2] dia tidak sahaja berpengetahuan agama malah satu-satunya penduduk kampungnya yang pandai membaca dan menulis.[3]

Zainal belajar sendiri menulis ketika berusia lima tahun pada daun-daun pokok pisang, gelagatnya menarik perhatian ayahnya yang membelikannya papan tulis untuknya. Hadiah tersebut mendorong Zainal mendalamkan lagi minatnya menulis serta tajamkan lagi kemahirannya.[4] Beliau turut diajar untuk mengaji al-Quran pada usia muda ini.

Ibunya meninggal dunia pada tahun 1907 ketika Za'ba berumur 12 tahun.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau mula mendapat pendidikan secara rasmi di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Disebabkan beliau sudah bijak membaca, menulis jawi dan rumi, beliau ditempatkan dalam darjah tiga. Ayahnya menghantarkannya ke sebuah sekolah berdekatan di Linggi tahun 1909 kerana mahukannya belajar bahasa Arab dan fekah sehingga mahir sebagai seorang ulama, namun Zainal berubah minat sendiri

Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.[5]

Kerjaya awal[sunting | sunting sumber]

Za'ba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916 di English College, dan kemudiannya bertukar ke:

Za'ba adalah seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah tempatan seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare terbitan Percetakan Gudang Chap di Singapura yang menghimpunkan seberapa karya terpilih mahakaryawan bahasa Inggeris William Shakespeare yang diterjemahkan Za'ba sendiri.

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Zaaba sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur. Tentera British datang semula ke Tanah Melayu. Oleh sebab itu, mereka menubuhkan Malayan Union. Penubuhan ini ditentang oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Penentangan tersebut diketuai oleh Dato' Onn Jaafar dan menubuhkan UMNO sebagai usaha untuk menyatupadukan bangsa Melayu. Za'ba dilantik menjadi Setiausaha Agung UMNO yang pertama namun jawatan tersebut tidak kekal lama kerana beliau lebih berminat dengan bidang penulisan dan Bahasa Melayu.

Senarai karya[sunting | sunting sumber]

  • Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling.[6]
  • Ilmu Bahasa Melayu (1926)
  • Rahsia Ejaan Jawi (1929) [7]
  • Umbi Kemajuan (1932) [6]
  • Falsafah Takdir (1932)
  • Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (1934)
  • Pelita Mengarang: Ilmu Mengarang Melayu (1934)
  • Daftar Ejaan Melayu: Jawa-Rumi (1938)
  • Siri Pelita Bahasa Melayu
  • Jilid I (1940)
  • Jilid II (1946)
  • Jilid III (1949)
  • Asuhan Budi Menerusi Islam (1958) [7]

Penghargaan[sunting | sunting sumber]

Untuk menghargai jasa beliau, Za'ba telah dianugerahkan:

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Kesihatan Za'ba semakin terjejas apabila umurnya semakin meningkat. Akhirnya pada 23 Oktober 1973, beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Selasa pada umur 78 tahun setelah menjalani pembedahan batu karang. Beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pemergian beliau sebagai seorang pendeta dan karyawan merupakan suatu kehilangan besar kepada negara. Sumbangan Za'ba terhadap ilmu Bahasa Melayu tidak ternilai harganya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Zaaba pencetus kebangkitan Melayu". Dicapai pada 23 Oktober 2023.
  2. ^ Norazit Selat (1990). Negeri Sembilan: Dahulu dan Sekarang.
  3. ^ "Biodata Tokoh - Pendeta Za'ba". Universiti Kebangsaan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-12-24. Dicapai pada 23 Disember 2016.
  4. ^ Norhalim Hj. Ibrahim; Aiani Sudeen (2008). Za'ba,1895-1973 : perjuangannya belum selesai (ed. Cet. 1.). Seremban: Lembaga Muzium Negeri Sembilan (the Negeri Sembilan Muzium Board). ISBN 9789832877080.
  5. ^ Syed Naquib al-Attas. Za'aba dalam kenangan // "Panji Masyarakat", Sept/Okt 1981
  6. ^ a b "Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba)" Diarkibkan 2015-03-20 di Wayback Machine Portal Rasmi Arkib Negara Malaysia. Diakses 1 Februari 2015.
  7. ^ a b "Zainal Abidin bin Ahmad" Melayuonline.com. Diakses 6 Februari 2015.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]