Ab Aziz Ab Latiff

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Mejar (B)
Ab Aziz Ab Latiff
PGB
Mej. (B) Abd Aziz Abd Latif, Panglima Gagah Berani
Nama lahirAb Aziz bin Ab Latiff
Kelahiran(1955-08-04)4 Ogos 1955
Bachok, Kelantan, Persekutuan Tanah Melayu
Meninggal dunia12 Oktober 2022(2022-10-12) (umur 67)
Hospital Alor Gajah, Melaka
DisemadikanTanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Serai, Hulu Langat
Kesetiaan Malaysia
PerkhidmatanBendera Tentera Darat Malaysia Tentera Darat Malaysia
Rejimen Askar Melayu DiRaja
Pangkat Mejar
Unit
  • - Batalion 21 RAMD
  • - Kompeni A 19 RAMD (Mekanise)
  • - MALBAT UNOSOM II
PertempuranPertempuran Mogadishu (1993)
AnugerahPanglima Gagah Berani pada 4 Jun 1994
PasanganRozita Ismail

Mejar (B) Ab Aziz Ab Latiff adalah seorang pegawai tentera Malaysia yang berasal daripada Kampong Pak Badol, Bachok, Kelantan. Beliau ditauliahkan pada 31 Mei 1980 dan menyertai Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) berpengkalan di Bentong, Pahang. Sejurus selepas ditauliahkan selaku Pegawai Infantri, beliau telah terlibat di dalam operasi menentang pengganas komunis terutamanya di kawasan Pahang Barat dan Perbatasan Malaysia - Thailand. Beliau dikenali sebagai wira Malaysia di Pertempuran Mogadishu.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Mejar (B) Ab Aziz merupakan salah seorang pegawai kumpulan pertama daripada Kor Infantri yang menerima latihan untuk penubuhan Batalion Infantri Mekanise. Beliau telah diberi kepercayaan untuk mengetuai Kompeni A, 19 RAMD (Mekanise) semenjak 1 Januari 1989 diatas kebolehan dan pengalaman beliau selain terpilih menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia pada Julai 1993.

Semasa operasi di Somalia, keberanian beliau dibuktikan dengan mengetuai Kompeni A untuk menyelamatkan empat wartawan CNN yang terperangkap di Hotel Al Shahafi pada 10 September 1993. Beliau sendiri telah mendahului anggotanya menuruni kenderaan APC untuk masuk ke hotel ketika tembak menembak sedang berlaku di sekitar kawasan tersebut.

Kepimpinan beliau sekali lagi teruji ketika operasi menyelamat anggota Renjer dan Tentera Udara Amerika Syarikat (peristiwa helikopter Black Hawk jatuh) yang terperangkap di timur Pasar Bakara, Mogadishu pada 3 dan 4 Oktober 1993. Beliau telah dipertanggungjawabkan di kawasan pertahanan musuh (militia Mohamed Farrah Aidid) yang paling berbahaya dan sukar ditembusi kerana dipenuhi dengan senjata berat seperti RPG-7 dan Mortar. Semasa pertempuran tembak menembak yang berterusan, beliau dengan beraninya menuruni APC bagi menyelamatkan anggota APC Kompeni B yang tercedera dan terperangkap. Kejadian ini telah mencederakan pemandunya iaitu Koperal Mat Aznan Awang (akhirnya gugur sebagai 'bunga bangsa') dan memusnahkan dua APC Kompeni B. Semangat juang yang tinggi, keberanian dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau berjaya mententeramkan keadaan serta menyemarakkan semangat perjuangan anggotanya. Oleh kerana itu, pertempuran dalam suasana getir tersebut telah berlaku dengan hebatnya sehingga membawa mereka kepada kejayaan misi menyelamat.

Beliau mempunyai sikap tenang dalam membuat perkiraan keadaan dengan baik selain mampu mengaturgerakkan subunitnya secara taktikal dan teratur. Keberkesanan beliau mengetuai dan mengendalikan Kompeninya telah berjaya menyelamatkan banyak nyawa dikalangan anggota MALBAT dan tentera Amerika Syarikat. Beliau telah mempamerkan semangat perjuangan dan keberanian yang tinggi serta membuktikan ketokohan sebagai seorang pegawai memerintah di medan pertempuran. Beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 4 Jun 1994 sebagai menghargai semangat perjuangan, keberanian yang tinggi, pengorbanan, jasa serta ketokohan sebagai pegawai memerintah yang berjaya di medan pertempuran.

Pasca Perkhidmatan Tentera[sunting | sunting sumber]

Mejar (B) Ab Aziz telah bersara daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2005 dengan cemerlangnya. Beliau meneruskan kehidupannya sebagai penceramah jemputan bagi program patriotik di stesen-stesen TV, radio, syarikat swasta, sekolah, dan juga di kalangan tentera. Selain itu, beliau juga mengusahakan perniagaan makanan bersama isteri tercintanya di Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada pagi 11 Oktober 2022, Mejar (B) Ab Aziz telah rebah dan tidak sedarkan diri di Melaka ketika sedang bercuti bersama isteri dan anaknya. Beliau telah dikejarkan ke klinik kesihatan yang berdekatan bagi mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Alor Gajah. Beliau pada usia 67 tahun telah menghembuskan nafas terakhirnya disisi keluarga pada jam 8.45 pagi, 12 Oktober 2022 di Hospital Alor Gajah, Melaka akibat kegagalan buah pinggang dan komplikasi penyakit lain.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Rozita Ismail dan lima orang anak. Jenazah beliau telah disembahyangkan di Masjid As-Syuhada', Kem Terendak, Melaka dan Masjid Al-Ehsan, Kampung Sungai Serai sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Serai. Pengebumian jenazah beliau telah dihadiri oleh beberapa pegawai tertinggi dan anggota ATM, rakan-rakan seperjuangan (misi Mogadishu), keluarga serta saudara-mara.

Dalam budaya popular[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Perjuangan Mejar (B) Ab Aziz Ab Latiff dan pasukannya telah direkodkan melalui filem berjudul 'Malbatt: Misi Bakara' oleh produksi Act 2 Pictures dengan kerjasama Tentera Darat Malaysia (TDM) serta sokongan Tan Sri Dato' Seri Vincent Tan (Berjaya Corporation). Pada tahun 2001, filem berkaitan pertempuran yang sama pernah diterbitkan Hollywood oleh produksi Ridley Scott dan Jerry Bruckheimer berjudul ‘Black Hawk Down’, namun ia hanya memaparkan penglibatan tentera Amerika Syarikat semata-mata.

Penggambaran filem yang dibuat berdasarkan cerita daripada pengalaman beliau dan anggota tentera Malaysia yang telah menyertai pertempuran pada 3 dan 4 Oktober 1993 ini bermula pada Jun 2022 dan ditayangkan pada 18 Ogos 2023. Filem yang membabitkan kos sebanyak RM20 juta itu diarahkan oleh sutradara Adrian Teh yang pernah mengarahkan filem PASKAL dan WIRA. Barisan pelakon tempatan yang membintanginya adalah seperti Bront Palarae yang memegang watak Mejar (B) Ab Aziz Ab Latiff dengan menggunakan nama fiksyen Mejar Adnan, Tony Eusoff, Adlin Aman Ramlie, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Fauzi Nawawi dan Iedil Dzuhrie. Ini adalah filem pertama Malaysia yang ditayangkan di IMAX Golden Screen Cinemas.

Rujukan[sunting | sunting sumber]