Pergi ke kandungan

Sawo manila

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Ciku)

Sawo manila
Ciku
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
M. sapota
Nama binomial
Manilkara sapota
(L.) P.Royen
Sinonim

Lihat teks

Sawo manila, sauh menila, sawo atau ciku (nama botani: Manilkara zapota)[1]:17 merupakan spesies tumbuhan saka dalam genus Manilkara keluarga Sapotaceae.[2] Ia tumbuh asal dari selatan Mexico, Amerika Tengah dan Caribbean;[3] namun ia juga diperkenalkan di Asia Selatan dan Asia Tenggara di Filipina yang dijajah Empayar Sepanyol.[4] Ia mudah beradaptasi kepada pelbagai jenis iklim tropika dan monsun yang ada di kawasan-kawasan ini.[5] Tumbuhan ini menghasilkan buah manis yang boleh dimakan.

Peristilahan

[sunting | sunting sumber]

Nama sawo manila (Jawi: ساوو مانيلا) diberikan daripada nama kota Manila di Filipina yang dikuasai penjajah Sepanyol,[6]:144 ia digunakan di Jawa, Jambi dan Malaysia.[7]:111 Nama-nama setempat lain yang seasal adalah:

Nama-nama sawo (Jawi: ساوو), sawoh (Jawi: ساووه) dan sawa (Jawi: ساوا) digunakan di Kedah dan Pulau Pinang.[8][10]

Nama ciku (Jawi: چيکو) digunakan di semenanjung Malaysia; ia datang daripada nama setempat tumbuhan ini di Mexico iaitu chico daripada nama chicozapote atau chiquizapote.[11]

Taksonomi

[sunting | sunting sumber]

Spesies ini mempunyai banyak sinonim:[2]

  • Achradelpha mammosa (L.) O.F.Cook
  • Achras breviloba (Gilly) Lundell
  • Achras calderonii (Gilly) Lundell
  • Achras conzattii (Gilly) Lundell
  • Achras coriacea Lundell
  • Achras dactylina Lundell
  • Achras gaumeri (Gilly) Lundell
  • Achras latiloba Lundell
  • Achras lobulata (Lundell) Lundell
  • Achras lucuma Blanco
  • Achras mammosa L. nom. illeg.
  • Achras meridionalis (Gilly) Lundell
  • Achras occidentalis Cels ex Ten.
  • Achras paludosa Lundell
  • Achras petenensis (Lundell) Lundell
  • Achras rojasii (Gilly) Lundell
  • Achras sapatilla J.Paul & W.Arnold
  • Achras sapota L. [Spelling variant]
  • Achras striata (Gilly) Lundell
  • Achras tabogaensis (Gilly) Lundell
  • Achras tainteriana Lundell
  • Achras tchicoomame Perr.
  • Achras verrucosa Stokes
  • Achras zapota[8] L.
  • Achras zapotilla (Jacq.) Nutt.
  • Calocarpum mammosum (L.) Pierre
  • Calospermum mammosum (L.) Pierre
  • Gambeya mammosa (L.) Pierre
  • Lucuma mammosa (L.) C.F.Gaertn.
  • Lucuma zapota (L.) Urb.
  • Manilkara achras (Mill.) Fosberg
  • Manilkara breviloba Gilly
  • Manilkara calderonii Gilly
  • Manilkara conzattii Gilly
  • Manilkara gaumeri Gilly
  • Manilkara grisebachii (Pierre) Dubard
  • Manilkara meridionalis Gilly
  • Manilkara rojasii Gilly
  • Manilkara striata Gilly
  • Manilkara tabogaensis Gilly
  • Manilkara zapotilla (Jacq.) Gilly
  • Manilkariopsis lobulata Lundell
  • Manilkariopsis meridionalis (Gilly) Lundell
  • Manilkariopsis petenensis Lundell
  • Manilkariopsis rojasii (Gilly) Lundell
  • Manilkariopsis striata (Gilly) Lundell
  • Manilkariopsis tabogaensis (Gilly) Lundell
  • Mimusops grisebachii Pierre
  • Nispero achras (Mill.) Aubrév.
  • Pouteria mammosa (L.) Cronquist
  • Sapota achras Mill.
  • Sapota zapotilla (Jacq.) Coville ex Safford
  • Vitellaria mammosa (L.) Radlk.
Sebatang pokok ciku berbuah di Tamil Nadu, India.

Pokok sawo manila atau ciku jenis pokok saka yang bersaiz sederhana, ia tumbuh menegak dengan ketinggian maksima 40 meter.[1]:32 Pokok ciku mempunyai kadar pertumbuhan yang lambat dan banyak menghasilkan buah apabila cukup dewasa (matang). Pokok yang tumbuh daripada biji benih berakar tunjang, tetapi pokok yang tumbuh melalui tut hanya berakar serabut sahaja. Batangnya berwarna perang tua dengan kayu yang keras dan liat. Ia mempunyai banyak dahan dan berbentuk piramid semasa kecil dan rendang apabila cukup matang. Keseluruhan bahagian pokok akan mengeluarkan getah berwarna putih apabila ditoreh. Daun-daun pokok ciku berbentuk bujur dan berpermukaan tebal yang berkilat disusun secara berpusar di hujung ranting. Setiap helai daunnya sekitar 3.5–15 sentimeter panjang dan 1.5–7 sm lebar.[1]:32[12]

Pokok sawo manila atau ciku tumbuh bunga daripada pangkal ketiak daun atau pada hujung ranting, ia lengkap dengan stigma dan cepu debu jantan pada kuntum yang sama. Setiap kuntum bunganya mempunyai 6 kelopak berwarna putih atau merah dengan saiz ukuran 0.7-1.5 sm serta ditutupi dengan sepal yang berwarna keperangan.[12] Kajian mendapati bunga ciku kembang pada waktu pagi tetapi kelopak tidak terbuka semuanya dan lazimnya bunga ciku berbau harum pada waktu malam. Kemungkinan proses pendebungaan bunga ciku oleh angin walau pun belum ada kepastian mengenai perkara ini. Bunga yang tidak yang tidak menjalani proses pendebungaan akan layu dan gugur.[perlu rujukan]

Buah ciku berbentuk bulat atau bujur lonjong bergantung kepada varieti. Sebiji buah yang matang berukuran antara 3–8 sm lebar dan 5–10 sm panjang,[1]:32 dengan berat antara 80-120 gram. Kulit buah ciku berwarna perang, nipis dan kesat. Buah muda agak keras, bergetah dan mempunyai rasa yang kelat kerana kandungan bahan tanin di dalamnya. Lazimnya buah yang cukup matang perlu diperam selama 3-5 hari untuk masak. Biji ciku berwarna hitam, berbentuk bujur leper dan keras yang tajam dihujungnya dan ukuran 1–2 sm panjang dan 0.3–1 sm lebar.

Terdapat 17 varieti atau klon ciku telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian di mana hanya 3 klon sahaja disyorkan untuk ditanam. Klon yang disyorkan adalah klon ciku Jantung (C62) , klon ciku Subang (C63) dan klon ciku Mega (C19)(belum didaftarkan). Klon Ciku Jantung berasal dari Pekan Ramuan Cina Besar, Melaka dengan ciri buah berbentuk jantung atau oval dan besar yang mempunyai isi perang kemerahan. Lazimnya varieti ini mempunyai 4 biji benih. Rasa buahnya manis dan berbau harum dengan ira yang halus. Varieti ini mempunyai purata berat 110 gram dan merupakan di antara varieti yang paling popular di tanam. Ciku Subang pula berasal dari Subang, Selangor yang buahnya berbentuk bulat bujur (epiliptik) bersaiz sederhana besar. Ciku ini juga mempunyai satu biji sahaja walau pun kadang-kala ada yang mempunyai 3 biji. Purata berat cuma 90 gram sebiji. Ciku Subang agak kurang berpasir.

Ciku Mega (C19)

[sunting | sunting sumber]

Pokok ciku C19 mempunyai batang yang tidak berbonggol seperti ciku Subang atau Jantung. Pokoknya cepat membesar dan relatifnya mempunyai kanopi rendah dan sesuai untuk tanaman padat. Ciku C19 mampu berbuah sebiji sahaja setiap tangkai. Ciri ini penting untuk kurangkan serangan perosak (lalat buah - Bactocera papayae) dan kulapuk hitam. Penjarangan buah juga didakwa tak perlu seperti klon lain. Buah ciku ini berbentuk simeteri dengan bahu buah yang rata. Ia mudahkan proses pembungkusan dan kurangkan kecederaan semasa pembungkusan. Berat buah lingkungan 320-400 gram sebiji (Jantung cuma 90-130 gram/biji dan Subang cuma 80-120 gram/ biji).

Kadar pembentukkan buah C19 sebanyak 10.2% iaitu sama seperti ciku Subang (10.65) berbanding dengan ciku Jantung mempu mencapai 21.0%. Kajian MARDI juga mendapati potensi hasi ciku C19 sebanyak 21.9 mt sepokok berbanding dengan ciku Jantung (24.4 mt sepokok) dan ciku Subang sebanyak 24.5 mt sepokok. Jika dikira anggaran pengeluaran hasil untuk setahun paling tinggi ialah ciku Subang (8.3 mt/ tahun) diikuti ciku Jantung (8.2 mt/ tahun) dan ciku C19 (7.3 mt/tahun). Buah ciku C19 sesuai dihidangkan segar tanpa perlu dikupas.

Dari segi amalan agronomi ciku C19 sesuai ditanam pada jarak 18m x 18 m pada kepadatan 134 pokok seekar atau orang kampong suka kata sebanyak 336 sehektar. Oleh kerana C19 kurang debunga, disyorkan agar ditanam klon ciku Subang sebagai sumber debunga dalam kebun pada kadar 5-10%/ha. Benih boleh didapati dari sumber Tut atau cantuman baji dari sumber-sumber yang telah di sahkan oleh jabatan Pertanian atau MARDI. Ada penjual pasar malam yang bubuh label ciku C19 tetapi pembeli kena pastikan asal usul benih tersebut jika tak mahu tertipu.

Penanaman

[sunting | sunting sumber]

Pokok Ciku sesuai ditanam di kawasan tanah lom berpasir dengan pH 5.5 - pH 7.0 dengan taburan hujan 1,250 mm - 2,500 mm setahun. Sebaiknya kawasan dibajak dahulu dan mempunyai sistem saliran yang baik. Anak benih pokok ciku boleh diperolehi daripada kaedah tut atau kaedah cantuman baji. Biji benih juga boleh dicambahkan dalam polibeg tetapi pertumbuhan adalah sangat lambat. Jika pokok ditanam dari benih tut lazimnya pokok cepat berbuah tetapi kelemahannya ialah pokok mudah tumbang jika ditiup angin kencang kerana tiada akar tunjang. Ini boleh diatasi dengan meletakkan sokongan dikeliling pokok apabila pokok matang. Bilangan anak benih tut juga tidak banyak diperolehi dari satu-satu pokok induk.

Jarak tanaman ciku disyorkan adalah 9 meter x 9 meter dalam bentuk empat segi sama (123 pokok sehektar) atau dalam susunan 3 segi (138 pokok sehektar). Lubang penanaman berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm disediakan 3-4 minggu sebelum menanam dengan mengaulkan baja organik (10 kg) dan baja CIRP (200 gram). Bubuh anak benih ke dalam lubang penanaman dengan memotong plastik polibeg dan padatkan kemudian disiram dengan air. Sebaiknya menanam ciku adalah pada musim hujan dan berikan sungkupan dengan rumput kering atau bahan sungkupan yang sesuai. Sualamn perlu dilakukan jika ada anak pokok yang mati.

Pembajaan pokok ciku seperti pokok buah-buahan lain menggunakan baja NPK 15:15:15 untuk peringkat vegetatif dan baja NPK 12:12:17:2 untuk peringkat repproduktif. Baja tumbesaran NPK 15:15:15 diberikan sebanyak 4.0 - 5.0 kg sepokok sebanyak 4 aplikasi setahun untuk tahun pertama dan kedua. Selepas itu baja NPK 12:12:17:2 diberikan dengan kadar 1.5 – 8 kg sepokok dari tahun ke 3 hingga tahun ke 15 sebanyak 4 aplikasi setahun untuk penghasilan buah. Sebanyak 10 kg baja organik seperti tahi ayam atau tahi kambing perlu diberikan setiap pokok setiap tahun.

Kerja membuat penjarangan buah dibuat dengan membuant putik buah yang bersaiz kecil, berpenyakit , bentuk ganjik dan meninggalkan hanya 1-2 biji sahaja satu jambak buah. Kaedah ini menjamin saiz buah yang seragam dan lebih besar untuk dipasarkan selain dari tahap kemanisan yang baik. Pokok ciku berbuah selepas 2-3 tahun ditanam. Kadar hasil buah bergantung kepada kejayaan proses pendebungaan. Lazimnya bunga ciku akan keluar pada hujung ranting tua selepas musim panas. Didapati walaupun bunga ciku keluar sepanjang tahun tetapi ada dua masa pengeluaran puncak dalam setahun iaitu pada bulan Januari-Febuari dan Oktober-November.

Kawalan perosak

[sunting | sunting sumber]

Antara serangga perosak tanaman ciku adalah ulat pengorek buah (Nephopterix piratis) yang mana kupu-kupu dewasa bertelur pada permukaan buah ciku yang membesar dan larvanya masuk kedalam buah yang mengakibatkan buah akan rosak dan gugur. Kawalan dengan mengutip buah yang rosak dan masukkan ke dalam plastik diikat selama 10 hari sehingga kitaran hidupnya tamat. Lalat buah (Bactocera spp) pula menyerang buah ciku yang hampir masak dengan lalat betina menyucuk permukaan buah untuk bertelur. Larva yang menetas 2-3 hari kemudan merosakan isi buah dan berair. Kawalan dengan memasang perangkap dengan feromon metil eugenol dan mengutip buah rosak dan musnahkannya. Ulat pelipat daun (Banisia myrusalis) menyerang bahagian pucuk daun iaitu kupu-kupu dewasa betina bertelur di kawasan pucuk dan larvanya merosakkan pucuk dengan memakan epidermis daun dan kawalan hanyalah dengan mengutip larva dan musnahkannya. Ulat pelombong daun (Acrocercops spp) pula menebuk lubang terowong di bahagian bawah epidermis daun dan menyebabkan daun menjadi kering dan gugur kemudiannya. Kawalan menggunakan pelekat kuning atau pelakat biru bagi menarik serangga perosak. Koya (Phaenococcus spp) merupakan serangga yang menghisap air masisan sap di bahagian pucuk dan daun. Ia akan menyebabkan serangan kulat kulapuk berdebu dan jelaga hitam. Ia boleh dikawal dengan menggunakan bahan 'minyak putih' pada 0.1% ai.

Antara masalah perosak untuk tanaman ciku C19 pula seperti lalat buah dan ulat pelipat daun (Banisia myrsusalis) dan buah gugur. Kawalan perosak lalat buah dengan umpan protin atau semburan racun Dimethoate atau Fention dengan kadar disyorkan. Pastikan tidak memetik hasil sebelim PHI tamat. Ulat pelipat daun boleh dikawal dengan semburan racun acephate setiap kali pucuk baru keluar. Kempen lebih giat untuk penanaman ciku C19 perlu dibuat lagi.

Terdapat 3 jenis penyakit yang menyerang tanaman ciku. Penyakit pertama adalah penyakit cendawan angin (Corticum salmonicolor) yang menyerang bahagian batang, ranting dan dahan. Terdapat miselium berwarna merah jambu pada bahagian celah-celah kulit batang diserang dan keadaan teruk meliputi sekeliling batang. Bahagian diserang akan menjadi kering dan akan mati. Kawalan dengan mencantas bahagian diserang dan musnahkannya serta menggunakan bahan kimia copper-oxychloride yang disapu pada bahagian serangan. Penyakit jelaga hitam (disebabkan oleh kulat Atalorderma satosum, kulat Microxipium spp dan kulat Nitrochambe nitrese) menyerang permukaan daun, ranting, dahan dan batang akibat cairan manis oleh patogen lain seperti koya dan teritip. Kawalan dengan musnahkan serangga teritip dan koya dengan semburan racun kimia. Penyakit puru (Agrobacterium spp) menyerang bahagian pucuk dan dahan yang kelihatan seperti membengkak seakan berpuru. Kawalan dengan mencantas bahagian yang diserang dan musnahkannya.

Penuaian buah ciku ada 5 tahap masak yang boleh dijadikan garis panduan. Indeks 1 adalah di mana buah ciku masih hijau dan tidak akan masak sebaliknya kecut jika dituai. Indeks 2 di mana buah ciku berwarna hijau kekuningan dan akan masak dalam masa 8-10 hari jika diperam selepas tuai. Indeks 3 dimana buah ciku berwarna coklat dan akan masak dalam masa 6-8 hari. Indeks 4 buah ciku berwarna coklat kekuningan dan masak dalam masa 5-7 hari. Indeks 5 adalah paling masak di mana kulit ciku berwarna kuning kecoklatan dan masak dalam masa 0-3 hari sahaja iaitu tak sesuai untuk pasaran komersial. Cara memetik buah ciku sebaiknya dengan tangan dan memanjat pokok atau menggunakan tangga. Ada yang menggunakan galah yang ada sarung jaring supaya buah melorot ke dalam bekas. Ini bagi mengelakkan buah cedera jatuh ke atas tanah. Ada juga menggunakan buluh yang ada kon terbuka disalut kain agar buah tidak cedera.

Buah ciku lazimnya tahan selama 7-8 hari yang dipetik pada indeks 2-4 pada keadaan suhu biasa. Bagaimana pun ketahanan penyimpanan buah ciku boleh dipanjangkan lagi dengan memasukkannya dalam stor penyimpanan bersuhu dingin sekitar 13-15 darjah selsius. Didapati ciku Subang tahan sehingga 1-2 minggu dan ciku Jantung sehingga 2-3 minggu melalui penyimpanan dalam stor simpanan sejuk. Kajian menunjukkan belum ada teknologi yang mampu menyimpan buah ciku melebihi 3 minggu berbanding dengan penyimpanan buah kiwi yang berbulan-bulan lamanya boleh disimpan. Dari segi gred pula buah yang beratnya lebih 100 gram sebiji adalah Gred A sementara buah ciku yang beratnya kurang dari 100 gram sebiji jatuh Gred B. Teknologi mempercepatkan buah ciku masak yang lazim digunakan di Malaysia menggunakan bahan kalsium karbid dengan kadar 20 gram setiap 1 kg buah. Caranya adalah dengan memasukkan buah dalam guni bersama kalsium karbid selama 24 jam dan buah dikeluarkan kemudiannya. Buah akan masak 2-3 hari selepas itu.

Buah ciku juga boleh dibuat jem, jus, kepingan ciku kering dan ditinkan dalam bentuk kepingan untuk membuat serbat, gula-gula dan aiskrim. Selain itu, ciku juga boleh digunakan sebagai bahan mentah dalam industri yang melibatkan pengendalian pektin, glukosa dan jeli.

Pucuk dan daun muda pokok ini dimakan baik mentah mahupun bersama nasi dijadikan lalab.[7]:112

Di negara lain seperti Amerika Latin, getah pokok yang boleh dikunyah sebagai suatu manisan disebut sebagai chicle. Bahan turut diterapkan dalam bidang perindustrian sebagai selain sebagai bahan pengganti getah perca.[5]

Analisa ekonomi penanaman ciku menunjukkan pokok ciku mula berhasil pada tahun ke 3 sebanyak 1,200 kg sehektar meningkat kepada 40,000 kg sehektar pada umur lebih 20 tahun. Dengan purata harga ladang RM 1.00 sekilogram petani akan dapat pulang balik midal pada tahun ke 8 penanaman. Nilai kini bersih projek ciku sekitar RM 41,000 dengan kadar pulangan dalam (IRR) sebanyak 24%. Nilai kadar faedah kos projek ciku (BC Ratio) pula adalah sebanyak RM 1.95 iaitu nilai positif yang menguntungkan. Kepada mereka yang ingin menceburi penanaman ciku perlu tahu teknologi penanaman ciku sehingga mampu memasarkannya. Penanam ciku kena banyak bersabar kerana pokok ciku memang lambat membesar tetapi apabila pokok sudah cukup matang kerjanya adalah menuai hasil sahaja. Potensi ciku masih besar di Malaysia.[perlu rujukan]

Kajian mendapati keluasan tanaman ciku di Malaysia pada tahun 2010 adalah sebanyak 1,115 hektar dengan hanya sekitar 515 hektar sahaja yang menghasilkan buah. Sebanyak 6,050 metrik tan ciku dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai sekitar RM 18,149,940 (atau mudahnya disebut RM 18.1 juta). Anggaran purata hasil tanaman ciku di Malaysia adalah sebanyak 11.7 mertik tan sehektar. Tanaman ciku banyak di Pahang (226 hektar), Johor (176 ha), Kelantan (173 ha), Terengganu (145 ha), Selangor (104 ha) dan Kedah (128 ha). Lain-lain negeri menanam ciku kurang dari 100 hektar. Pasaran ciku kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik sahaja walau pun ada sebahagian kecil yang diekspot ke Singapura dan Brunei.[perlu rujukan]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b c d Hean Chooi Ong (2006). Buah: khasiat makanan & ubatan. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications. m/s. 17, 42–43. ISBN 9789676118929.
  2. ^ a b "Manilkara zapota (L.) P.Royen (L.) P. Royen". Plants of the World Online. Taman Botani Diraja, Kew. 2024. Dicapai pada 4 Mei 2024.
  3. ^ "Manilkara zapota". Rangkaian Maklumat Sumber Germplasma (GRIN). Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat. Dicapai pada 2010-04-30.
  4. ^ Fernandez, Doreen G. (1997). Fruits of the Philippines. Makati City, Luzon, Philippines: Bookmark Inc. m/s. 22. ISBN 9715692613.
  5. ^ a b Coronel, R. E. (1991). "Manilkara zapota (L.)". Dalam Verheij, E. W. M.; Coronel, R. E. (penyunting). Edible Fruits and Nuts. Plant Resources of South-East Asia Foundation. Dicapai pada 25 April 2021 – melalui ProseaBase.
  6. ^ Merrill, Elmer Drew (Oktober 1937). "On the Significance of Certain Oriental Plant Names in Relation to Introduced Species". Proceedings of the American Philosophical Society. 78 (1): 111–146.
  7. ^ a b c d e Lim, T. K. (2012). "Manilkara zapota". Edible Medicinal And Non-Medicinal Plants. 6: Fruits. Springer Nature Switzerland AG. m/s. 110–112.
  8. ^ a b c "Achras zapota". Kamus Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  9. ^ Wilkinson, Richard James (1901). A Malay-English dictionary. Hong Kong: Kelly & Walsh, limited. m/s. 367. Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
  10. ^ Wilkinson, Richard James (1932). "sauh". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 393 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
  11. ^ Colmeiro, Miguel (1871). Diccionario de los diversos nombres vulgares de muchas plantas usuales ó notables del antiguo y nuevo mundo. Madrid, Sepanyol.
  12. ^ a b "Manilkara zapota". Flora of North America. 8. New York: Persatuan Flora Amerika Utara. 2009. m/s. 232, 234–235 – melalui eFloras.
Sumber utama
  • Setiawan Dalimartha (2006). Atlas Tumbuhan Obat Indonesia. 4. Jakarta: Puspa Swara. m/s. 77–78. ISBN 979-1133-14-X. Check |isbn= value: invalid character (bantuan).
  • Morton, Julia F. (1987). "Sapodilla". Fruits of Warm Climates. Miami, FL. m/s. 393–398.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]