Kebudayaan Amerika Syarikat
Amerika Syarikat merupakan negara berbilang budaya yang terdiri daripada pelbagai kelompok, tradisi dan nilai hidup etnik.[1][2] Selain penduduk Pribumi Amerika dan Pribumi Hawaii yang kini agak kecil jumlahnya, hampir semua orang Amerika atau nenek moyang mereka berhijrah ke sini selama lima abad yang lalu.[3] Kebudayaan arus perdana yang diamalkan oleh kebanyakan orang Amerika merupakan budaya Barat yang banyak berasal dari tradisi penghijrah Eropah, tetapi juga dipengaruhi oleh budaya lain seperti tradisi yang dibawa masuk oleh hamba abdi dari Afrika.[1][4] Penghijrah terbaru dari Asia dan Amerika Latin turut memeriahkan campuran kebudayaan yang diperikan sebagai wadah tumpuan yang semakin homogen dan juga “mangkuk salad” heterogen di mana para pendatang dan zuriatnya mengekalkan sifat kebudayaan yang tersendiri.[1]
Menurut analisa dimensi kebudayaan Geert Hofstede, AS mencatatkan markah individualisme tertinggi di kalangan negara-negara yang diselidik.[5] Sungguhpun budaya arus perdana menganggap bahawa AS merupakan masyarakat tanpa kelas,[6] namun para cendekiawan mengenal pasti perbezaan ketara antara kelas-kelas sosial dalam negara ini yang mempengaruhi sosialisasi, bahasa dan nilai-nilai rakyat.[7] Kelas menengah dan profesional Amerika Syarikat telah melancarkan pelbagai perkembangan sosial kontemporari seperti feminisme moden, environmentalisme, dan kepelbagaian budaya.[8] Imej kendiri, pandangan sosial dan jangkaan budaya orang Amerika tersangat rapat dengan pekerjaan mereka.[9] Walaupun orang AS amat menghargai pencapaian sosioekonomi, namun sekadar menjadi orang biasa pada umumnya dianggap sebagai sifat yang positif.[10] Walaupun Impian Amerika, atau tanggapan bahawa orang Amerika menikmati mobiliti sosial yang tinggi, memainkan peranan penting dalam menarik ramai penghijrah, namun kajian-kajian menunjukkan bahawa AS kurang mobiliti sosial berbanding Kanada dan negara-negara Nordik.[11]
Kaum wanita masa kini banyak bekerja di luar rumah dan menerima majoriti besar ijazah sarjana muda.[12] Pada tahun 2007, 58% orang AS berumur 18 tahun ke atas sudah berkahwin, 6% menjanda, 10% bercerai, dan 25% lagi belum berkahwin.[13] Perkahwinan sejenis adalah sah di semua negeri sejak 26 Jun 2015.
Media popular
[sunting | sunting sumber]Pameran gambar gerak komersil pertama di dunia diadakan di Bandar Raya New York pada tahun 1894, menggunakan Kinetoscope ciptaan Thomas Edison. Pada tahun berikutnya, tayangan filem terpancar komersil pertama juga diadakan di New York, maka AS menjadi peneraju pembangunan filem berbunyi pada puluhan tahun berikutnya. Sejak awal abad ke-20, industri perfileman AS amat tertumpu di kawasan dalam dan sekitar Hollywood, California. Sutradara D. W. Griffith menjadi tokoh penting dalam perkembangan nahu filem; manakala filem Citizen Kane oleh Orson Welles (1941) sering disebut-sebut sebagai filem terhebat sepanjang zaman.[14] Pelakon filem AS seperti John Wayne dan Marilyn Monroe dijulang sebagai ikon, manakala penerbit/usahawan Walt Disney menjadi peneraju perfileman animasi dan pembarangan filem. Studio-studio filem besar di Hollywood telah melahirkan filem-filem yang paling menguntungkan dalam sejarah, seperti Star Wars (1977) dan Titanic (1997). Hasil keluaran Hollywood masih mendominasi industri perfileman global hingga ke hari ini.[15]
Orang Amerikalah yang paling banyak meluangkan masa di depan kaca televisyen di dunia;[16] iaitu selama purata lima jam sehari pada tahun 2006.[17] Keempat-empat rangkaian penyiaran TV utama di negara ini adalah milik swasta. Orang AS juga gemar mendengar radio pada purata dua jam setengah sehari.[18] Selain portal web dan enjin carian, tapak-tapak web yang paling digemari di AS ialah Facebook, YouTube, Wikipedia, Blogger, eBay, dan Craigslist.[19]
Gaya irama dan seni kata muzik Amerika Afrika banyak sekali mempengaruhi muzik Amerika sehingga menjadi berlainan daripada tradisi muzik Eropah. Unsur-unsur muzik rakyat seperti blues dan old-time diserap dan ditukarkan menjadi genre-genre popular yang diminati ramai di merata dunia. Jazz dimajukan oleh tokoh-tokoh inovasi seperti Louis Armstrong dan Duke Ellington pada awal abad ke-20. Muzik country berkembang pada 1920-an, diikuti rhythm and blues pada 1940-an. Elvis Presley dan Chuck Berry menjadi pelopor rock and roll pada 1950-an. Pada 1960-an, Bob Dylan bangkit dari kebangkitan muzik rakyat untuk menjadi salah seorang penggubah lagu termasyhur di AS, manakala James Brown mengepalai perkembangan muzik funk. Ciptaan genre terbaru dari AS termasuk hip-hop dan house. Bintang pop AS seperti Elvis Presley, Michael Jackson, dan Madonna menempah nama sebagai selebriti global.[20]
Kesusasteraan, falsafah dan kesenian
[sunting | sunting sumber]Pada abad ke-18 dan awal abad ke-19, kesenian dan kesusasteraan AS banyak mendapat ilhamnya dari Eropah. Pengarang terkenal seperti Nathaniel Hawthorne, Edgar Allan Poe, dan Henry David Thoreau telah mewujudkan suara sastera Amerika yang tersendiri pada pertengahan abad ke-19. Mark Twain dan pemuisi Walt Whitman menjadi tokoh penting pada separuh akhir abad ke-19; Emily Dickinson yang tidak berapa terkenal sewaktu hidupnya, kini diiktiraf sebagai pemuisi Amerika yang penting.[21] Karya yang didapati menerapkan aspek-aspek asas pengalaman dan perwatakan kebangsaan—seperti Moby-Dick oleh Herman Melville (1851), The Adventures of Huckleberry Finn oleh Twain (1885), dan The Great Gatsby oleh F. Scott Fitzgerald (1925)—boleh digelar sebagai "Great American Novel."
Sebelas warganegara AS telah meraih Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan, yang terkini ialah Toni Morrison pada tahun 1993. William Faulkner dan Ernest Hemingway sering disebut sebagai pengarang paling berpengaruh pada abad ke-20.[22] Genre-genre sastera popular seperti Western dan hardboiled berkembang di AS. Gerakan penulis Beat Generation membuka pintu kepada pendekatan sastera yang baru, begitu juga dengan pengarang pascamoden seperti John Barth, Thomas Pynchon, dan Don DeLillo.
Gerakan transcendentalisme yang diterajui oleh Thoreau dan Ralph Waldo Emerson, mewujudkan pergerakan falsafah AS utama yang pertama. Selepas Perang Saudara, Charles Sanders Peirce, diikuti William James dan John Dewey, menjadi peneraju perkembangan pragmatisme. Pada abad ke-20, karya-karya W. V. O. Quine dan Richard Rorty yang didasarkan oleh Noam Chomsky, mengetengahkan falsafah analisa dalam bidang akademik AS. John Rawls dan Robert Nozick menerajui kebangkitan falsafah politik.
Dalam bidang seni tampak, Aliran Sungai Hudson ialah sebuah pergerakan tradisi naturalisme ala Eropah pada pertengahan abad ke-19. Hasil lukisan realis dari Thomas Eakins kini disanjungi ramai. Pada tahun 1913, sebuah pameran seni moden Eropah di New York yang bergelar “Armory Show”, mengejutkan orang ramai sambil mentransformasikan persada seni AS.[23] Georgia O'Keeffe, Marsden Hartley, dan lain-lain menguji gaya-gaya baru yang menonjolkan kepekaan yang sangat individualistik. Pergerakan kesenian yang besar-besar seperti ekspresionisme abstrak dari Jackson Pollock dan Willem de Kooning, dan seni pop dari Andy Warhol dan Roy Lichtenstein banyak berkembang di AS. Arus modenisme dan pascamodenisme telah menaikkan nama jurubina Amerika seperti Frank Lloyd Wright, Philip Johnson, dan Frank Gehry.
Antara perintis terkenal teater Amerika ialah P. T. Barnum yang mula menguruskan sebuah kompleks hiburan di Manhattan pada tahun 1841. Gandingan Harrigan dan Hart menerbitkan siri teater komedi muzikal popular di New York mulai akhir 1870-an. Pada akhir abad ke-20, bangkitnya seni muzikal moden di Broadway; lagu-lagu gubahan khas untuk teater muzikal dari Irving Berlin, Cole Porter, Stephen Sondheim dan sebagainya, menjadi asas kepada muzik pop. Dramatis Eugene O'Neill memenangi hadiah kesusasteraan Nobel pada tahun 1936; dramatis-dramatis lain yang tidak kurang hebatnya dari AS termasuk Tennessee Williams, Edward Albee, dan August Wilson yang pernah meraih Hadiah Pulitzer.
Walaupun kurang diberi perhatian sewaktu hidupnya, karya-karya Charles Ives pada 1910-an menjadikan beliau sebagai komposer klasikal utama AS yang pertama, disusuli pula oleh Henry Cowell dan John Cage yang memberikan rasa keamerikaan kepada gubahan klasikal. Aaron Copland dan George Gershwin pula mengembangkan adunan muzik popular dan klasikal. Pereka tari Isadora Duncan dan Martha Graham pula menyumbang kepada penciptaan tarian moden, manakala George Balanchine dan Jerome Robbins menerajui seni balet pada abad ke-20. AS selama ini melahirkan tokoh-tokoh penting dalam seni fotografi, misalnya jurugambar-jurugambar terhebat seperti Alfred Stieglitz, Edward Steichen, dan Ansel Adams. Di AS juga lahirnya inovasi jaluran komik dan buku komik. Adiwira komik yang terunggul, iaitu Superman, turut menjadi ikon Amerika.[24]
Makanan
[sunting | sunting sumber]Seni masak-masakan arus perdana Amerika serupa dengan negara-negara Barat yang lain. Bijian bijirin yang utama dalam masakan AS ialah gandum. Masakan tradisional AS menggunakan ramuan-ramuan seperti ayam belanda, daging rusa berekor putih, ubi kentang, keledek, jagung, labu bulu, dan sirap mapel, iaitu makanan-makanan pribumi yang disajikan oleh orang asli dan pendatang Eropah terawal. Daging babi dan lembu barbeku rendidih, kuih ketam, kentang goreng, dan biskut cip coklat memang bergaya keamerikaan yang tersendiri. Makanan soul yang direka oleh kaum hamba Afrika, digemari ramai di rantau Selatan dan orang Amerika Afrika di merata negara. Masakan sinkretik seperti Kreol Louisiana, Cajun, dan Texas-Mexico juga terpenting di rantau masing-masing.
Sajian-sajian tipikal seperti pai epal, ayam goreng, piza, hamburger, dan hot dog berasal dari resipi-resipi bawaan pelbagai kaum pendatang. Kentang jejari yang kononnya dari Perancis (French fries), burrito dan taco dari Mexico, dan masakan pasta yang disesuaikan dari resipi asli Itali juga disukai ramai.[25] Orang AS lebih gemar minum kopi daripada teh. Usaha pemasaran industri AS banyak menyumbang kepada jus oren dan susu sebagai minuman sarapan yang utama.[26] Pada 1980-an dan 1990-an, pengambilan kalori AS meningkat 24%;[25] kekerapan menjengah kedai makanan segera dikaitkan dengan "wabak obesiti" Amerika yang dihebohkan oleh pegawai kesihatan. Minuman ringan yang banyak kandungan gula juga disambut hangat; minuman bergula menyumbang kepada 9% purata pengambilan kalori orang AS.[27]
Sukan
[sunting | sunting sumber]Sejak akhir abad ke-19, besbol dianggap sebagai sukan kebangsaan, di samping football, bola keranjang, dan hoki ais yang menjadi tiga sukan profesional utama yang lain di negara ini. Football juga disebut-sebut sebagai sukan yang paling ramai penontonnya.[28] Tinju dan lumba kuda pernah menjadi sukan individu yang paling ditonton, tetapi kini sudah diatasi oleh golf dan lumba kereta, khususnya NASCAR. Bola sepak pula menjadi sukan kegemaran pada peringkat belia dan amatur. Tenis dan banyak lagi sukan luar turut disambut baik.
Biarpun kebanyakan sukan AS berevolusi daripada amalan Eropah, namun bola keranjang, bola tampar, papan selaju, luncur salji, dan pasukan sorak sememangnya ciptaan Amerika. Lacrosse dan luncur air berpunca dari kegiatan pribumi Amerika dan Hawaii yang lama wujud sebelum kedatangan orang putih. Lapan Sukan Olimpik telah diadakan di AS. Pasukan AS telah memenangi 2,301 butir pingat di Sukan Olimpik Musim Panas, iaitu lebih banyak daripada mana-mana negara lain,[29] dan 253 butir lagi dari Sukan Olimpik Musim Sejuk, iaitu yang kedua terbanyak di dunia, di belakang Norway.[30]
Sistem ukuran
[sunting | sunting sumber]Negara ini masih menggunakan unit adat Amerika Syarikat yang banyak diwarisi daripada unit imperial British seperti ela, batu, dan darjah Fahrenheit, tetapi juga memakai sukatan isipadu gelen dan pain yang tersendiri. Amerika Syarikat, berserta Burma dan Liberia, belum lagi menerima sistem metrik secara rasmi. Namun begitu, unit metrik semakin laris penggunaannya dalam bidang sains, perubatan, dan banyak lagi bidang industri.[31]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c Adams, J. Q., and Pearlie Strother-Adams (2001). Dealing with Diversity. Chicago: Kendall/Hunt. ISBN 0-7872-8145-X.
- ^ Thompson, William, and Joseph Hickey (2005). Society in Focus. Boston: Pearson. ISBN 0-205-41365-X.
- ^ Fiorina, Morris P., and Paul E. Peterson (2000). The New American Democracy. London: Longman, p. 97. ISBN 0-321-07058-5.
- ^ Holloway, Joseph E. (2005). Africanisms in American Culture, 2d ed. Bloomington: Indiana University Press, pp. 18–38. ISBN 0-253-34479-4. Johnson, Fern L. (1999). Speaking Culturally: Language Diversity in the United States. Thousand Oaks, Calif., London, and New Delhi: Sage, p. 116. ISBN 0-8039-5912-5.
- ^ "Individualism". Clearly Cultural. Dicapai pada 2009-02-28.
- ^ Gutfield, Amon (2002). American Exceptionalism: The Effects of Plenty on the American Experience. Brighton and Portland: Sussex Academic Press. m/s. 65. ISBN 1903900085.
- ^ Zweig, Michael (2004). What's Class Got To Do With It, American Society in the Twenty-First Century. Ithaca, NY: Cornell University Press. ISBN 0801488990. "Effects of Social Class and Interactive Setting on Maternal Speech". Education Resource Information Center. Dicapai pada 2007-01-27.
- ^ Ehrenreich, Barbara (1989). Fear of Falling, The Inner Life of the Middle Class. New York: HarperCollins. ISBN 0060973331.
- ^ Eichar, Douglas (1989). Occupation and Class Consciousness in America. Westport, CT: Greenwood Press. ISBN 0313261113.
- ^ O'Keefe, Kevin (2005). The Average American. New York: PublicAffairs. ISBN 158648270X.
- ^ "A Family Affair: Intergenerational Social Mobility across OECD Countries" (PDF). Economic Policy Reforms: Going for Growth. OECD. 2010. Dicapai pada 2010-09-20. Blanden, Jo, Paul Gregg, and Stephen Malchin (2005). "Intergenerational Mobility in Europe and North America" (PDF). Centre for Economic Performance. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2006-06-23. Dicapai pada 2006-08-21. Unknown parameter
|month=
ignored (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link) - ^ "Women's Advances in Education". Columbia University, Institute for Social and Economic Research and Policy. 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-06-09. Dicapai pada 2007-06-06.
- ^ "Table 55—Marital Status of the Population by Sex, Race, and Hispanic Origin: 1990 to 2007" (PDF). Statistical Abstract of the United States 2009. U.S. Census Bureau. Dicapai pada 2009-10-11.
- ^ Village Voice: 100 Best Films of the 20th century (2001). Filmsite.org; Sight and Sound Top Ten Poll 2002. BFI. Retrieved on 2007-06-19.
- ^ "World Culture Report 2000 Calls for Preservation of Intangible Cultural Heritage". UNESCO. 2000-11-17. Dicapai pada 2007-09-14. "Summary: Does Globalization Thwart Cultural Diversity?". World Bank Group. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-10-17. Dicapai pada 2007-09-14.
- ^ "Media Statistics > Television Viewing by Country". NationMaster. Dicapai pada 2007-06-03.
- ^ "Broadband and Media Consumption". eMarketer. 2007-06-07. Dicapai pada 2007-06-10.
- ^ "TV Fans Spill into Web Sites". eMarketer. 2007-06-07. Dicapai pada 2007-06-10.
- ^ "Top Sites in United States". Alexa. 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-04-09. Dicapai pada 2010-03-27.
- ^ Biddle, Julian (2001). What Was Hot!: Five Decades of Pop Culture in America. New York: Citadel, p. ix. ISBN 0-8065-2311-5.
- ^ Bloom, Harold. 1999. Emily Dickinson. Broomall, PA: Chelsea House Publishers. p. 9. ISBN 0-7910-5106-4.
- ^ Quinn, Edward (2006). A Dictionary of Literary and Thematic Terms. Infobase, p. 361. ISBN 0-8160-6243-9. Seed, David (2009). A Companion to Twentieth-Century United States Fiction. Chichester, West Sussex: John Wiley and Sons, p. 76. ISBN 1-4051-4691-5. Meyers, Jeffrey (1999). Hemingway: A Biography. New York: Da Capo, p. 139. ISBN 0-306-80890-0.
- ^ Brown, Milton W. (1988 1963). The Story of the Armory Show. New York: Abbeville. ISBN 0-89659-795-4.
- ^ Daniels, Les (1998). Superman: The Complete History (ed. 1st). Titan Books. m/s. 11. ISBN 1-85286-988-7.
- ^ a b Klapthor, James N. (2003-08-23). "What, When, and Where Americans Eat in 2003". Institute of Food Technologists. Dicapai pada 2007-06-19.
- ^ Smith, Andrew F. (2004). The Oxford Encyclopedia of Food and Drink in America. New York: Oxford University Press, pp. 131–32. ISBN 0-19-515437-1. Levenstein, Harvey (2003). Revolution at the Table: The Transformation of the American Diet. Berkeley, Los Angeles, and London: University of California Press, pp. 154–55. ISBN 0-520-23439-1.
- ^ "Fast Food, Central Nervous System Insulin Resistance, and Obesity". Arteriosclerosis, Thrombosis, and Vascular Biology. American Heart Association. 2005. Dicapai pada 2007-06-09. "Let's Eat Out: Americans Weigh Taste, Convenience, and Nutrition" (PDF). U.S. Dept. of Agriculture. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2009-12-07. Dicapai pada 2007-06-09.
- ^ Krane, David K. (2002-10-30). "Professional Football Widens Its Lead Over Baseball as Nation's Favorite Sport". Harris Interactive. Dicapai pada 2007-09-14. Maccambridge, Michael (2004). America's Game: The Epic Story of How Pro Football Captured a Nation. New York: Random House. ISBN 0-375-50454-0.
- ^ "All-Time Medal Standings, 1896–2004". Information Please. Dicapai pada 2007-06-14. "Distribution of Medals—2008 Summer Games". Fact Monster. Dicapai pada 2008-09-02.
- ^ "All-Time Medal Standings, 1924–2006". Information Please. Dicapai pada 2007-06-14. "Olympic Medals". Vancouver Organizing Committee. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-12-25. Dicapai pada 2010-03-02.
- ^ "Appendix G: Weights and Measures". The World Factbook. CIA. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-04-06. Dicapai pada 2010-04-01.