Naga Cina

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Naga Cina

Chinese Dragon Banner.svg

Nama Cina
Cina Tradisional:
Cina Ringkas:
Hanyu Pinyin: lóng
Nama Jepun
Hiragana: 1. りゅう
2. たつ
Kyūjitai:
Shinjitai:
Nama Korea
Hangul: 룡/용
Hanja:
Nama Vietnam
Quốc ngữ: rồng, long
Hán tự:

Naga Cina ialah makhluk legenda dalam mitos dan budaya rakyat Cina, yang sejawat dengan naga-naga Jepun, Korea, Vietnam dan Turki. Dalam seni Cina, naga biasanya digambarkan sebagai makhluk seakan-akan ular yang panjang, bersisik dan berkaki empat.

Berbeza dengan naga Eropah yang dianggap sebagai jahat, naga Cina melambangkan kekuatan dan tuah, khususnya mengawal air, hujan, dan banjir. Dalam peristilahan yin dan yang, naga adalah yang (jantan) yang melengkapi fenghuang (phoenix Cina) yang bersifat yin (betina).

Walaupun dianggap sebagai lambang negara China oleh masyarakat Barat, namun sebenarnya tidak sedemikian rupanya bagi kedua-dua Republik Rakyat China dan Republik China di Taiwan. Sebaliknya, naga Cina dijadikan lambang kebudayaan yang berwibawa dan bertuah.

Dalam perbualan seharian Cina, sesiapa yang cemerlang dan berkemampuan luar biasa ditarafkan dengan naga manakala yang kurang berkemampuan dan tiada pencapaian pula dibandingkan dengan makhluk-makhluk hina seperti cacing. Terdapat sebilangan besar bidalan dan simpulan bahasa Cina yang menyebut tentang naga, misalnya "Harapkan anak menjadi naga" (望子成龍), yang bermaksud menaruh harapan tinggi kepada anak supaya cemerlang dalam hidup.[1]

Nilai simbolik[sunting | sunting sumber]

Dalam sejarah, naga merupakan lambang Maharaja China. Pada zaman Dinasti Zhou, naga berkuku lima diuntukkan kepada Putera Kayangan (Maharaja), naga berkuku empat untuk golongan bangsawan, dan naga berkuku tiga untuk para menteri. Pada zaman Dinasti Qing pula, naga berkuku lima mewakili Maharaja manakal naga berkuku tiga dan empat diuntukkan kepada rakyat jelata. Pada Dinasti Qing juga, terlukisnya naga pada bendera kebangsaan.[2]

Dalam lingkungan budaya terpengaruh Eropah, naga membawa konotasi agresif seakan-akan mahu berperang, maka pernah diduga bahawa kerajaan China tidak ingin menggunakan naga sebagai lambang atas sebab-sebab itu, tetapi ramai rakyat China tidak setuju dengan keputusan ini[3]. Cuma adakalanya, orang Barat keliru akan kecenderungan naga Cina yang mulia dengan naga Barat yang garang. Di Hong Kong, naga terangkum dalam reka bentuk lambang Brand Hong Kong yang digunakan untuk mempromosikan Hong Kong sebagai jenama antarabangsa.[4]

Ramai orang Cina memakai istilah "Keturunan Naga" (龍的傳人) sebagai lambang identiti kaum, mengikut trend yang tercetus pada 1970-an apabila pelbagai bangsa Asia mencari-cari lambang haiwan masing-masing.[2] Serigala digunakan oleh orang Mongol, dan monyet bagi orang Tibet.[2]

Dalam kebudayaan Cina masa kini, naga Cina banyak digunakan sebagai hiasan. Pantang sekali gambar naga dicacati, misalnya: kempen iklan tempahan Nike, yang menampilkan bintang bola keranjang Amerika Syarikat, LeBron James membunuh seekor naga (di samping membelasah seorang mahaguru kung fu), diharamkan oleh kerajaan Cina setelah mendengar bangkangan kuat orang awam kerana lambang budaya negara tidak dihormati.[5]

Pemujaan naga[sunting | sunting sumber]

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Totem jed berbentuk C dari kebudayaan Hongshan
Hiasan pakaian naga ukiran jed dari Zaman Negeri-Negeri Berperang (403 BC-221 BC).
Pemegang bersepuh gangsa yang berbentuk kepala dan leher naga, dibuat sewaktu zaman Han Timur (25–220 M)

Asal-usul naga Cina ini kurang pasti. Naga wujud dalam budaya Cina sejak ribuan tahun dahulu, dengan penemuan sebuah patung naga yang wujud sejak alaf kelima SM dari kebudayaan Yangshao di Henan pada tahun 1987,[6] dan juga lencana-lencana pangkat buatan jed dalam bentuk melingkar yang digali dari kebudayaan Hongshan sekitar 4700-2900 SM.[7]

Bentuk ular atau naga melingkar itu memainkan peranan yang penting dalam kebudayaan Cina awal. Aksara "naga" dalam tulisan Cina terawal juga berbentuk melingkar, begitu juga dengan tangkal-tangkal naga jed yang dibuat pada zaman Shang.[8]

Masyarakat Cina purba memanggil dan merakam tulang-tulang dinosaur yang digali dari tanah sebagai tulang naga. Misalnya, Chang Qu merakam penemuan "tulang naga" di Sichuan pada 300 SM.[9] Dinosaur dalam bahasa Cina moden dipanggil kǒnglóng (恐龍, bererti "naga yang dahsyat"). Sejak dahulu lagi hingga kini, penduduk desa di pedalaman negara China mengamalkan penggalian fosil "tulang naga" untuk kegunaan perubatan tradisional.[10]

Di China ditemuinya sejenis dinosaur yang bergelar mèi lóng (寐龍) atau "naga tidur". Tinggalan fosil mei long ini ditemui dalam keadaan tidur dalam bentuk melingkar, menyendeh muncungnya di bawah sebelah kaki hadapannya sambil ekornya mengelilingi seluruh tubuh.[11]

Sesetengah pihak turut berpendapat bahawa bentuk naga Cina berasal daripada gambaran haiwan-haiwan maujud yang diolah gayanya, seperti ular, ikan atau buaya. He Xin menyokong pendapat bahawa gambaran naga purba ini adalah bagi satu spesies buaya, iaitu Crocodylus porosus atau buaya katak, iaitu reptilia maujud yang terbesar, dan pernah bertaburan di China pada zaman purba.[12] Buaya ini terkenal kerana mampu merasai perubahan dalam tekanan udara dengan jitu, serta mengesan hujan yang akan turun. Mungkin inilah asal-usul sifat-sifat mitos yang terdapat pada naga iaitu mengawal cuaca, terutamanya hujan. Kaitan dengan buaya ini juga disokong oleh pandangan masyarakat zaman kuno bahawa buaya besar ini merupakan sejenis naga. Misalnya, dalam Kisah Zhou Chu yang menceritakan riwayat seorang pahlawan Dinasti Jin, beliau dikatakan membunuh seekor "naga" yang mengganas di perairan kampung halamannya, tetapi rupanya seekor buaya.[13]

Makhluk mitos[sunting | sunting sumber]

Naga Cina bukan diraja di Shanghai
Patung kecil naga di atas sebuah tokong di Hsinchu, Taiwan

Dari asal-usulnya sebagai olahan hidupan alam yang bergaya, naga Cina berevolusi menjadi sejenis haiwan mitos. Seorang cendekiawan Dinasti Han yang bernama Wang Fu mencatatkan mitos Cina bahawa naga mempunyai sembilan kemiripan anatomi.

Bentuk naga sering kali dilukis dengan kepala kuda dan ekor ular. Naga juga dikatakan mempunyai 'tiga sendi' dan 'sembilan kemiripan'. Tiga sendi tersebut adalah dari kepala hingga bahu, dari bahu hingga dada, dan dari dada hingga ekor. Sembilan kemiripan pula adalah: tanduknya umpama rusa, kepalanya umpama unta, matanya umpama syaitan, lehernya umpama ular, perutnya umpama kerang (shen, ), sisiknya umpama ikan kap, cakarnya umpama helang, tapak kakiknya umpama harimau, dan telinganya umpama lembu. Di atasnya ada anggota seumpama benjol besar yang dipanggil chimu (尺木). Tanpa chimu ini, naga tidak boleh terbang ke angkasa.[14]

Sumber-sumber yang lain pula memberikan kelainan daripada sembilan kemiripan haiwan tersebut. Ahli sinologi, Henri Doré memberikan ciri-ciri naga sejati seperti: "Tanduk rusa, kepala unta, mata syaitan, leher ular, visera kura-kura, cakar helang, tapak kaki harimau, dan telinga lembu. Naga mendengar dengan tanduknya, kerana telinganya tidak berdaya mendengar."[15] Tambahnya lagi, "Ada pihak lain mengatakan ia bermata arnab, berperut katak, dan bersisik ikan kap."

Naga Cina dikatakan mempunyai 117 keping sisik kesemuanya, yang mana 81 berintipati yang (positif) manakala 36 yang selebihnya berintipati yin (negatif). Walaupun disanjungi sebagai makhluk yang mulia, namun naga Cina dikatakan mampu menimbulkan malapetaka seperti kemarau atau banjir dengan kuasa hebatnya, lebih-lebih lagi jika disinggung oleh manusia.[16]

Kebanyakan gambar naga Cina turut dilukis dengan bola atau mutiara berapi yang dikejar oleh naga dalam udara atau berada di bawah dagu naga. Mutiara ini dikatakan mengandungi kebijaksanaan teramat banyak yang dimiliki oleh naga, di samping melambangkan kekayaan, tuah dan kemakmuran.[16]

Beginilah pemerian yang sejajar dengan gambaran naga dalam kesenian hingga ke hari ini. Naga juga dipercayai memiliki kuasa-kuasa ghaib yang tidak terbilang. Menurut riwayat Guanzi, naga dikatakan mampu menyamar sebagai makhluk sehalus ulat, ataupun membesar menjadi sebesar alam semesta, terbang di tengah awan-awan atau bersembunyi dalam air.[17]

Penguasa cuaca dan air[sunting | sunting sumber]

Ukiran naga yang terbang di tengah awan-awan, pada tabung air emas yang dibuat pada abad ke-15, sewaktu Dinasti Ming.

Dalam kepercayaan umum, naga Cina sangat dikaitkan dengan air. Dipercayai bahawa naga ini merupakan "raja" atau penguasa perairan yang mengalir, seperti air terjun, sungai atau laut. Naga boleh menjelma dalam bentuk pancutan air (puting beliung atas air). Selaku penguasa air dan cuaca, naga berbentuk lebih kurang seakan manusia, memakai pakaian kebesaran maharaja, tetapi berkepala naga dan bermahkota maharaja.

Dalam mitos terdapat empat Raja Naga, setiap satunya mewakili setiap satu daripada empat laut yang mengelilingi negara China, iaitu: Laut Timur (Laut China Timur), Laut Selatan (Laut China Selatan), Laut Barat (mungkin Lautan Hindi dan jauh lagi), dan Laut Utara (mungkin Tasik Baikal). Oleh yang demikian, naga-naga ini dilihat sebagai "menguasai" fenomena yang berkaitan dengan air. Pada zaman silam, kebanyakan kampung Cina (terutamanya yang dekat dengan sungai dan laut) mendirikan tokong yang khusus buat "raja naga" setempatnya. Ketika berlakunya kemarau atau banjir, adalah satu adat resam bagi golongan atasan dan para menteri untuk memimpin rakyat jelata dalam menyembahkan korban atau mengadakan bermacam-macam upacara keagamaan untuk memuja naga demi memohon hujan turun atau berhenti.

Pada zaman Zaman Lima Dinasti dan Sepuluh Kerajaan, Raja Wuyue sering bergelar "Raja Naga" atau "Raja Naga Laut" kerana melaksanakan projek-projek kejuruteraan air yang "menjinakkan" laut.

Lambang kekuasaan maharaja[sunting | sunting sumber]

Sehelai jubah maharaja Dinasti Qing.

Menurut legenda Cina, dua orang maharaja yang terawal, iaitu Huangdi dan Yandi, amat berkait rapat dengan naga. Di akhir zaman pemerintahannya, Maharaja legenda yang pertama, iaitu Huangdi, dipercayai telah diabadikan dengan menaiki seekor naga untuk menaiki Syurga.[18] Seorang lagi Maharaja legenda, iaitu Yandi, lahir melalui hubungan telepati bondanya dengan seekor naga. Memandangkan masyarakat Cina menganggap Huangdi dan Yandi sebagai nenek moyang mereka, mereka juga menggelar diri mereka sebagai "keturunan naga". Legenda ini turut menyumbang kepada penggunaan naga sebagai lambang kekuasaan maharaja China.

Makhluk naga, terutamanya yang berwarna kuning atau emas dan bercakar lima pada setiap kaki, merupakan lambang bagi maharaja pada kebanyakan dinasti China; nyata sekali pada pakaian kebesaran maharaja pasti ada lukisan atau sulaman naga. Takhta diraja China bergelar "Takhta Naga". Pada akhir zaman Dinasti Qing, lambang naga juga dipakai dalam bendera kebangsaan. Naga juga terdapat pada ukiran tangga istana dan makam diraja, misalnya Kota Larangan di Beijing. Sementara itu, maharani China pula dikaitkan dengan burung fenghuang.

Kepercayaan zaman sekarang[sunting | sunting sumber]

Pada zaman sekarang, jarang sekali ada orang yang percaya akan kewujudan naga, apatah lagi naga sebagai makhluk yang wujud. Namun begitu, naga masih dipuja sebagai dewa di sesetengah kampung di China, dan amat berurat-akar dalam tradisi kebudayaan China seperti sambutan Tahun Baru Cina.

Gambaran naga[sunting | sunting sumber]

Bentuk tulisan mohor bagi aksara "naga" yang kini ditulis atau dan disebut lóng dalam bahasa Mandarin.

Gambaran Neolitik[sunting | sunting sumber]

Lukisan naga atau makhluk seakan naga banyak ditemui di tapak-tapak kaji purba zaman Neolitik di seluruh negara China. Gambaran naga yang terawal ditemui di tapak-tapak kebudayaan Xinglongwa. Di tapak-tapak kebudayaan Yangshao di Xi'an pula terdapat periuk-periuk buatan tanah liat yang bermotif naga. Kebudayaan Liangzhu turut meninggalkan corak-corak seakan naga. Tapak-tapak kebudayaan Hongshan di wilayah Mongolia Dalam pula mempunyai tangkal-tangkal jed yang berbentuk "naga babi", iaitu sejenis makhluk panjang berlingkar yang kepalanya umpama babi hutan.[19] Aksara Cina bagi "naga" dalam sistem tulisan Cina purba menunjukkan bentuk melingkar yang seumpama begitu, begitu juga dengan tangkal-tangkal naga jed yang berasal dari zaman Dinasti Shang.

Gambaran Klasik[sunting | sunting sumber]

Kesusasteraan dan mitos Cina menyentuh pelbagai jenis naga. Ahli linguistik, Michael Carr telah mengupas lebih 100 nama naga purba yang terkandung dalam naskhah-naskhah klasik Cina.[20] Kebanyakan nama-naman ini terbit daripada akhiran -lóng:

  • Tianlong (天龍, "naga syurga"), naga samawi yang menjaga istana kayangan dan menarik rata dewa-dewi; juga nama bagi Draco
  • Shenlong (神龍, "naga dewa"), naga petir yang mengawal cuaca, berkepala manusia, berbadan naga, dan berperut bagai gendang
  • Fucanglong (伏藏龍, "naga harta karun"), penjaga barang kemas yang berharga di alam ghaib, dikaitkan dengan gunung berapi
  • Dilong (地龍, "naga tanah"), pengawal sungai dan laut; juga nama bagi cacing tanah
  • Yinglong (應龍, "naga pembalas"), naga berkepak yang dikaitkan dengan hujan dan banjir, digunakan oleh Huangdi untuk membunuh Chi You
  • Jiaolong (蛟龍, "naga buaya"), naga tanpa tanduk, raja segala hidupan air
  • Panlong (蟠龍, "naga melingkar"), naga tasik yang tidak naik ke syurga
  • Huanglong (黃龍, "naga kuning"), naga tanpa tanduk yang melambangkan maharaja
  • Feilong (飛龍, "naga berkepak"), naga berkepak yang terbang dalam awan dan kabus; juga nama bagi pterosaur
  • Qinglong (青龍, "naga biru"), makhluk yang mewakili arah Timur dalam fahaman Empat Lambang dalam ilmu falak Cina
  • Qiulong (虯龍, "naga bergulung"), mendapat maksud bercanggah sama ada "naga bertanduk" atau "naga tanpa tanduk"
  • Chilong (螭龍, "naga puaka"), naga tanpa tanduk atau puaka gunung

Terdapat sebilangan kecil nama naga Cina yang terbit daripada awalan lóng-:

  • Longwang (龍王, "raja naga") dewaraja Empat Samudera
  • Longma (龍馬, "kuda naga"), muncul dari Sungai Luo dan mentanzilkan ilmu ba gua kepada Fu Xi

Sesetengah lagi naga Cina langsung tiada lóng dalam namanya, misalnya:

  • Hong (, "pelangi"), naga pelangi berkepala dua
  • Shen (, "kerang gergasi"), naga atau raksasa laut yang dipercayai membuat logamaya
  • Bashe (巴蛇, "ular melekap"), naga seakan ular sawa yang memakan gajah
  • Teng () atau Tengshe (騰蛇, "ular melayang";), naga terbang tanpa kaki

Anak-anak naga[sunting | sunting sumber]

Patung pulao di Tokong Changchun, Wuhan
Patung bixi zaman Qianlong dekat Jambatan Marco Polo, Beijing

Sestengah naskhah Dinasti Ming menyenaraikan apa yang diperkatakan sebagai Sembilan Anak Naga (龍生九子) yang kemudiannya menjadi ciri-ciri utama dalam subsequently these feature prominently in popular Chinese stories and writings. Cendekiawan bernama Xie Zhaozhe (1567–1624) meninggalkan senaraian yang berikut dalam karyanya Wu Za Zu (五雜俎, "Lima Rampaian", ca. 1592), seperti yang dikaji oleh de Visser:[21]

Sebagai karya terkenal pada akhir abad ke-16, Lima Rampaian menceritakan perihal sembilan anak naga berbeza yang bentuk-bentuknya dijadikan hiasan mengikut sifat-sifatnya.

  • Makhluk pulao (蒲牢) yang suka berteriak, digambarkan sebagai tangkal di atas genta;
  • Makhluk qiuniu (囚牛) yang suka akan lagu, dijadikan hiasan alat muzik;
  • Makhluk chiwen (螭吻/鴟吻) yang suka menelan, terletak di kedua-dua hujung tiang rabung bumbung (untuk menelan segala anasir jahat);
  • Makhluk chaofeng (嘲風) yang suka akan cenuram, terletak di empat sudut bumbung
  • Makhluk yazi (睚眦/睚眥) yang suka membunuh, dijadikan hiasan hulu pedang
  • Makhluk bixi (贔屭) yang suka akan sastera, digambarkan di tepi tugu kubur.
  • Makhluk bi'an (狴犴) yang suka berhujah, terletak di atas pintu penjara (untuk mengawal).
  • Makhluk suanni (狻猊) yang suka duduk, digambarkan di tapak berhala Buddha (di bawah kaki Buddha atau Bodhisattva)
  • Makhluk baxia (霸下) yang suka memikul beban, terletak di bawah tugu kubur.

Himpunan Sheng'an waiji (升庵外集) karya pemuisi Yang Shen (1488–1559) memberikan senarai yang berbeza tentang sembilan anak naga, iaitubixi, chiwen atau cháofēng, pulao, bi'an, taotie, qiuniu, yazi, suanni, dan jiaotu.[22] Dalam senarai ini, taotie (饕餮) yang suka makan dan ditemui pada barang-barang berkenaan makanan; dan jiaotu (椒圖) yang menyerupai kerang dan tidak suka diganggu, dan terletak di pintu depan atau anak tangga depan pintu.

Pengakuan bersurat terlama tentang "anak-anak naga" ini ditemui dalam Shuyuan Zaji (菽園雜記, "Rampaian Taman Kacang") oleh Lu Rong (1436–1494); bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa senarai ini hanya menyebut satu demi satu daripada pelbagai barang antik, bukan anak naga pun.[23]

Cakar naga[sunting | sunting sumber]

Gambar naga berjari tiga di setiap kaki pada permukaan belakang cermin gangsa bercuping enam dari abad ke-8, zaman Dinasti Tang (618–907)

Undang-undang naga bercakar lima mula-mula dikuatkuasakan pada tahun 1336 M (tahun kedua Yuan), yang mana golongan orang kebanyakan "dilarang memakai sebarang pakaian dengan corak qilin, fenghuang (cenderawasih Cina) jantan, arnab putih, lingzhi, naga bercakar lima bertanduk dua, lapan naga, Nine Longs, ungkapan "sepuluh ribu tahun", aksara "tuah" dan "panjang umur", dan warna kuning tanah."[24]

Maharaja Ming yang pertama meminjam titah dinasti Yuan itu dan bertitah bahawa naga dijadikan lambang baginda dan berjari (atau bercakar) lima. Naga bercakar empat biasanya dikhususkan untuk golongan bangsawan diraja dan pegawai berpangkat tinggi yang tertentu. Naga bercakar tiga pula digunakan oleh menteri berpangkat rendah dan rakyat jelata. Adalah satu kesalahan besar dan tanda derhaka bagi sesiapa selain maharaja sesekali memakai corak naga yang bercakar lima dan berwarna emas sepenuhnya. Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati buat seluruh kaum kerabat pesalah. Memandangkan kebanyakan bangsa Asia Timur yang lain pernah dijadikan negara ufti China, mereka hanya dibenarkan melukis naga bercakar empat atau kurang.

Naga Cina dalam budaya[sunting | sunting sumber]

Angka sembilan[sunting | sunting sumber]

Gambar yang diambil dari dekat dari skrol Sembilan Naga yang dilukis pada tahun 1244 M oleh Chen Rong, seorang karyawan Dinasti Song.

Nombor sembilan adalah istimewa dalam kebudayaan Cina kerana sering kali berkait dengan naga. Misalnya, naga Cina lazimnya dihuraikan dengan sembilan kemiripan dan mempunyai 117 (9x13) keping sisik, iaitu 81 (9x9) sisik yang dan 36 (9x4) sisik yin. Tidak lupa juga, naga dikatakan beranak sembilan.

"Tembok Sembilan Naga" ialah sebuah tembok atau dinding yang dihiasi gambar sembilan ekor naga, ditemui di perkarangan istana China. Oleh sebab sembilan dianggap sebagai bilangan maharaja, hanya para pegawai yang tertinggi boleh memakai jubah bernaga sembilan, dan itu pun harus dilitupi dengan baju luar. Pegawai yang berpangkat rendah pula memakai jubah bernaga kurang daripada sembilan dan juga baju luar. Maharaja sendiri memakai jubah naganya dengan menutupi salah seekor naganya dengan sehelai lapel.[25]

Terdapat beberapa tempat di China yang bernama "Sembilan Naga", terutamanya Kowloon (dalam bahasa Kantonis) di Hong Kong. Bahagian Sungai Mekong di Vietnam dikenali sebagai Cửu Long dengan erti yang sama.

Zodiak Cina[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Naga (zodiak)

Naga merupakan salah satu daripada 12 haiwan yang membentuk zodiak Cina yang digunakan untuk menamai tahun-tahun dalam kalendar Cina. Dipercayai bahawa setiap haiwan ini dikaitkan dengan sifat-sifat keperibadian yang tertentu. Selalunya, tahun nagalah yang paling digemari masyarakat Cina untuk melahirkan bayi, maka terdapat lebih ramai bayi yang lahir pada tahun naga berbanding tahun-tahun haiwan yang lain.[26]

Astrologi[sunting | sunting sumber]

Naga Biru Langit, iaitu Qing Long dianggap sebagai yang paling penting daripada empat pelindung samawi, di samping Zhu Que (Burung Merah Merona), Bai Hu (Harimau Putih), dan Xuan Wu (Kura-Kura Hitam). Dalam konteks ini, Naga Biru Langit ini dikaitkan dengan arah Timur dan unsur Kayu.

Perayaan[sunting | sunting sumber]

Pada keraian gilang-gemilang, termasuk Tahun Baru Cina serta pembukaan kedai dan rumah, selalunya ada persembahan tarian naga. Boneka naga "seakan hidup" yang buatan kain dan kayu ini didalangi oleh sekumpulan orang yang menyokongnya dengan tiang sambil menari mengikut rentak gendang dan muzik.

Pada Perayaan Duan Wu, perlumbaan perahu naga merupakan salah satu acara penting. Biasanya, perahu naga digerakkan oleh sepasukan dua belas pendayung, dan berhiasa naga ukiran sebagai kepala perahu.

Bentuk kelainan setempat di serata Asia[sunting | sunting sumber]

Sungguhpun gambaran naga dalam kesenian dan kesusasteraan amat seiras dalam semua kebudayaan yang memakai makhluk tersebut, namun terdapat beberapa perbezaan dari rantau ke serantau. Rencana ini membincangkan segi-segi yang dikongsi oleh semua kebudayaan itu di samping ciri-ciri yang khusus kepada kebudayaan China.

Untuk maklumat lanjut tentang kelainan-kelainan yang terdapat pada gambaran naga dalam kebudayaan-kebudayaan Asia yang lain, lihat:

Rujukan dan petikan[sunting | sunting sumber]

Ukiran naga berkuku lima pada permukaan bekas dupa.
  1. 望子成龍, MDBG.net. Dicapai pada 18 Disember 2011.
  2. 2.0 2.1 2.2 Sleeboom, Margaret. [2004] (2004). Academic Nations in China and Japan: Framed in Concepts of Nature, Culture and the Universe. Routledge publishing. ISBN 041531545X
  3. BBC Article: Fiery Debate Over China's Dragon, an article covering China's decision not to use a dragon mascot and the resulting disappointment.
  4. "Brand Overview", Brand Hong Kong, 09-2004. Retrieved on 23-02-2007.
  5. Robertson, Benjamin. "The Dragon battles back to beat Nike", Asia Times Online, 2004-12-17. Dicapai pada 2007-03-20. 
  6. Howard Giskin and Bettye S. Walsh (2001). An introduction to Chinese culture through the family. State University of New York Press. m/s. 126. ISBN 0791450473. 
  7. Teaching Chinese Archeology, National Gallery of Art, Washington, DC
  8. Salviati, Filippo (2002). The Language of Adornment: Chinese Ornaments of Jade, Crystal, Amber and Glass, Fig. 17. Ten Speed Press. ISBN 1580085873.
  9. Dong Zhiming (1992). Dinosaurian Faunas of China. China Ocean Press, Beijing. ISBN 3-540-52084-8. OCLC 26522845. 
  10. "Dinosaur bones 'used as medicine'", BBC News, 2007-07-06. Dicapai pada 2007-07-06. 
  11. Xu and Norell, (2004). "A new troodontid dinosaur from China with avian-like sleeping posture." Nature, 431(7010): 838-841. doi: 10.1038/news041011-7
  12. 中国龙的起源, Muzium Shandong, 10 Mei 2011. Dicapai pada 23 November 2011. (Cina)
  13. 周处, Humane College of Huzhou Teachers' College, 2005. Dicapai pada 2 Disember 2011. (Cina)
  14. de Visser, Marinus Willem (1913), The Dragon in China and Japan, Verhandelingen der Koninklijke akademie van wetenschappen te Amsterdam. Afdeeling Letterkunde. Nieuwe reeks, deel xiii, no. 2, Amsterdam: Johannes Müller, p. 70, http://www.archive.org/details/cu31924021444728  (Also available at University of Georgia Library)
  15. Doré, Henri. 1917.Researches into Chinese Superstitions. M. Kennelly, D.J. Finn, and L.F. McGreat, trs. T'usewei. Ch'eng-wen reprint 1966, 681.
  16. 16.0 16.1 Asian, Oriental Dragons, Dragonsinn.net. Dicapai pada 3 Disember 2011.
  17. "水地6" (dalam bahasa bahasa Cina). 管子. http://ctext.org/guanzi/shui-di#n48548. Capaian 3 Disember 2011.. "龍生於水,被五色而游,故神。欲小則化如蠶蠋,欲大則藏於天下,欲上則凌於雲氣,欲下則入於深泉" 
  18. "黃帝乘龍升天" (dalam bahasa bahasa Cina). Epoch Times. http://www.epochtimes.com/b5/2/8/6/c8408.htm. Capaian 3 Disember 2011. 
  19. "Jade coiled dragon, Hongshan Culture (c. 4700-2920 B.C.)", National Gallery of Art, Washington DC. Retrieved on 23-02-2007.
  20. Carr, Michael. 1990. "Chinese Dragon Names", Linguistics of the Tibeto-Burman Area 13.2:87-189. He classified them into seven categories: Rain-dragons, Flying-dragons, Snake-dragons, Wug-dragons [wug refers to "worms, bugs, and small reptiles"], Crocodile-dragons, Hill-dragons, and Miscellaneous dragons.
  21. de Visser 1913, halaman 101–102. Sumber asal ialah Wu Za Zu, bab 9, "蒲牢好鳴,囚牛好音,蚩吻好吞,嘲風好險,睚眥好殺,好文,狴犴好訟,狻猊好坐,霸下好負重".
  22. Wu Sansheng (2006), 中國文化背景八千詞 (Lapan ribu patah kata tentang latar belakang kebudayaan Cina), Commercial Press, Hong Kong, p. 345, ISBN 9620718461, http://books.google.com.au/books?id=KQJ_tIU1ixoC&pg=PA345  (Cina)
  23. 九、龙的繁衍与附会——龙生九子 (1) ("Chapter 9, Dragon's derived and associated creatures: Nine children of the dragon (1)"), Yang Jingrong and Liu Zhixiong (2008). Teks penuh Shuyuan Zaji yang dipetik oleh Yang dan Liu ini terdapat dalam bentuk elektronik di beberapa tapak web, misalnya di sini: 菽園雜記
  24. Dua Puluh Empat Sejarah: Sejarah Yuan-Hukum Pakaian (zh:元史·舆服), dihimpunkan oleh Song Lian (宋濂), 1370 M. "禁服麒麟、鸞鳳、白兔、靈芝、雙角五爪龍、八龍、九龍、萬壽、福壽字、赭黃等服"
  25. 为什么古代皇帝的龙袍上绣有九条龙?, 360doc. Dicapai pada 3 Disember 2011.
  26. China Investors Rush Into Baby Care for Year of Dragon: Retail, Bloomberg Businessweek, 30 November 2011. Dicapai pada 3 Disember 2011.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]