Orang Kanaq

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Orang Kanaq merupakan salah satu dari 18 buah suku yang membentuk kaum Orang Asli di Malaysia. Mereka tergolong di dalam kumpulan Melayu Proto iaitu salah satu dari tiga kumpulan utama kaum Orang Asli.

Orang Kanaq merupakan suku kaum Orang Asli yang paling sedikit jumlahnya iaitu kira-kira 83 orang sahaja. Bahasa pertuturan mereka seakan-akan bahasa Melayu dengan lenggok bahasa yang agak kasar.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Orang Kanaq dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, Indonesia. Mereka dikatakan telah melarikan diri ke negeri Johor di Semenanjung Malaysia setelah menerima ancaman dari tentera Belanda.

Suatu ketika dahulu, Orang Kanaq adalah sebahagian dari kaum Orang Laut yang tinggal di dalam sampan panjang serta hidup secara nomad di permukaan laut, pulau, persisiran pantai dan kuala sungai. Walau bagaimanapun, kini mereka sudah tinggal di kawasan darat Semenanjung Malaysia serta memiliki kawasan perkampungan mereka sendiri.

Meskipun Orang Kanaq pada asalnya adalah sebahagian dari kaum Orang Laut, namun kini kerajaan Malaysia telah mengkategorikan suku mereka sebagai sebahagian dari kaum Orang Asli.

Kawasan Penempatan Dan Cara Hidup[sunting | sunting sumber]

Orang Kanaq kini menetap di Kampung Sungai Selangi, Mawai, daerah Kota Tinggi, Johor. Kampung berkenaan telah menerima bekalan elektrik selama 24 jam. Selain itu kemudahan air paip, jalan tar, surau dan tadika turut disediakan.

Punca pendapatan tetap Orang Kanaq adalah melalui hasil kelapa sawit yang dilaksanakan oleh FELCRA. Kini, ada di antara mereka yang telah memiliki motorsikal dan peralatan elektrik di rumah masing-masing.

Atas kesedaran mengenai betapa pentingnya ilmu pengetahuan, golongan ibubapa dari suku Orang Kanaq telah mula menghantar anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Mawai.

Kini, kesemua ahli suku Orang Kanaq telah menganut agama Islam. Malahan, perkahwinan campur di antara Orang Kanaq dengan masyarakat luar juga sudah menjadi satu kebiasaan.

Orang Kanaq Dan Orang Sengkanak[sunting | sunting sumber]

Orang Kanaq berkemungkinan besar mempunyai hubungan persaudaraan dengan suku Orang Sengkanak yang tinggal di Pulau Daik, sebuah pulau kecil yang terletak di Kepulauan Riau, Indonesia.

Rujukan[sunting | sunting sumber]