Orang Kuala

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Orang Kuala merupakan salah satu dari 18 suku yang membentuk kaum Orang Asli di Malaysia. Mereka tergolong di dalam kumpulan Melayu Proto iaitu salah satu dari 3 kumpulan utama kaum Orang Asli.

Mereka digelar sebagai Orang Kuala kerana lokasi suku tersebut yang kebanyakannya tinggal di kawasan kuala sungai dan persisiran pantai. Walau bagaimanapun, Orang Kuala menggelarkan diri mereka sendiri sebagai ‘Desin Duano’ (Orang Duano). Raut wajah dan tingkah laku Orang Kuala lebih mirip kepada orang Melayu yang secara tradisinya menjadi jiran turun temurun mereka.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Orang Kuala dipercayai berasal dari Pulau Bengkalis di Wilayah Riau, Sumatera, Indonesia. Suatu ketika dahulu, mereka adalah sebahagian dari kaum Orang Laut yang tinggal di dalam sampan panjang serta hidup secara nomad di permukaan laut, pulau, persisiran pantai dan kuala sungai.

Walau bagaimanapun, kini mereka sudah tinggal di kawasan darat Semenanjung Malaysia serta memiliki kawasan perkampungan mereka sendiri.

Meskipun Orang Kuala pada asalnya adalah sebahagian dari kaum Orang Laut, namun kini kerajaan Malaysia telah mengkategorikan suku mereka sebagai sebahagian dari kaum Orang Asli.

Kawasan Penempatan[sunting | sunting sumber]

Kawasan penempatan Orang Kuala terletak di daerah Batu Pahat (Kuala Rengit, Kuala Senggarang dan Tanjung Segenting) serta daerah Pontian (Kuala Benut, Kuala Sungai Pontian dan Kukup) di negeri Johor.

Salah satu dari aktiviti ekonomi sara diri Orang Kuala ialah menangkap ikan. Namun demikian, ada di kalangan mereka yang telah berjaya dalam bidang perniagaan, pertanian serta bidang-bidang profesional yang lain.

Masalah Takrifan[sunting | sunting sumber]

Orang Kuala sebenarnya enggan dikategorikan sebangsa dengan suku-suku kaum Orang Asli yang lain kerana menurut mereka, suku-suku tersebut membela anjing dan makan babi. Sebagai suku yang beragama Islam, Orang Kuala beranggapan bahawa adalah tidak seharusnya suku mereka dikategorikan sebangsa dengan suku-suku yang bukan beragama Islam.

Selain itu, Orang Kuala juga sebenarnya tidak suka dirujuk sebagai kaum Orang Asli kerana mereka menganggap gelaran tersebut hanyalah satu istilah rasmi yang lebih sopan untuk Orang Sakai. Oleh itu, mereka meminta agar Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia merujuk suku mereka sebagai Orang Melayu Kuala.

Suku Orang Kuala Di Indonesia[sunting | sunting sumber]

Suku Orang Kuala di Indonesia dikenali sebagai 'Desin Dolaq'. Istilah ‘Desin Dolaq’ secara harafiahnya bermaksud 'orang laut' kerana menurut sejarah, mereka dahulunya adalah sebahagian dari kaum Orang Laut yang tinggal di dalam sampan panjang dan hidup secara nomad di permukaan laut.

Suku Desin Dolaq tinggal di sepanjang pantai timur Sumatera yang meliputi Pulau Bengkalis, Pulau Kundur, Pulau Burung, Pulau Bangkong, Pulau Punai, Pulau Mendulang, Tanjung Datu, Pasang Api, Istira, Batang Tuato, Djamih, Perigi Radja, Concong Luar (Kuala Langan) serta di sekitar muara Sungai Batang Hari, Sungai Kateman, Sungai Kampar, Sungai Tungkal, Sungai Retih dan Sungai Indragiri.

Masyarakat Desin Dolaq yang tinggal di muara Sungai Indragiri kini mengamalkan perkahwinan campur dengan masyarakat Melayu Sumatera. Sebelum Perang Dunia Kedua, suku Desin Dolaq dari Pulau Bengkalis sering bertemu dengan saudara mereka yang menetap di sepanjang pantai timur Sumatera di muara Sungai Siak.

Rujukan[sunting | sunting sumber]