Semang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Semang
Negrito / Pangan / Ngò' Pa
Fail:The Orang Asli.jpg
Sekumpulan orang Semang.
Jumlah populasi
Kira-kira 4,596
Kawasan ramai penduduk
Semenanjung Melayu:
 MalaysiaKira-kira 2,000–3,000[1]
 Thailand300[2]
Bahasa
Jedek,[3] Bateq, Lanoh, Jahai, Mendriq, Mintil, Kensiu, Kintaq, Ten'edn, Melayu
Agama
Animisme, Kristian, Islam, Buddha atau Hindu
Kumpulan etnik yang berkaitan
Negrito (Andaman, Aeta),[4] Orang Asli (Che Wong)

Orang Semang merupakan kelompok etnik Negrito yang berasal dari Semenanjung Melayu.[5][6] Mereka terdapat di negeri Perak, Pahang, Kelantan[7] dan Kedah di Malaysia[8] serta wilayah selatan di Thailand.[9] Orang Semang dicatatkan pernah menduduki Semenanjung Melayu sejak sebelum abad ketiga. Secara etnologi, mereka dihuraikan sebagai masyarakat pemburu-pengumpul yang berpindah-randah.[10]

Orang Semang tergolong dalam masyarakat suku Orang Asli. Dalam sejarah, mereka cenderung berdagang dengan masyarakat setempat, tetapi mereka juga dipergunakan, dijarah, diabdikan atau dipaksa membayar ufti oleh bangsa Melayu. Selama lebih seribu tahun, sesetengah orang Semang dari hutan selatan diabdikan dan dipergunakan sehingga zaman moden, dan ada juga yang hidup terpencil.[11]

Nama dan status[sunting | sunting sumber]

Sekumpulan lelaki Semang di Gerik, Perak, Malaya, 1906.

Di Malaysia, istilah Orang Semang membawa maksud suku pribumi yang diberi gelaran am Negrito atau "hitam kecil" dalam bahasa Sepanyol. Pada zaman dahulu, kelompok-kelompok Semang timur digelar Pangan. Orang Semang di Thailand dipanggil Sakai, tetapi gelaran ini kini dianggap menghina di Malaysia.[12]

Di Malaysia, orang Semang merupakan salah satu daripada tiga kelompok yang digelar "Orang Asli", iaitu kaum pribumi Semenanjung Malaysia, di samping Senoi dan Melayu Proto. Orang Semang terdiri daripada enam cabang, iaitu Kensiu, Kintaq, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Kerajaan persekutuan Malaysia telah menubuhkan agensi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan tujuan menyepadukan Orang Asli ke dalam masyarakat raya Malaysia.

Pembahagian Orang Asli kepada tiga kategori ini diwarisi oleh kerajaan Malaysia dari penjajah British, berdasarkan konsep ras yang menanggap golongan Negrito sebagai kaum paling primitif yang menjalani kehidupan seakan petualang sebagai pemburu-pengumpul. Senoi dianggap lebih maju, semenatara Melayu Proto disamatarafkan dengan Melayu Malaysia.

Di Thailand, istilah Semang dan Orang Asli digantikan dengan istilah Sakai atau Ngopa (Ngopa bermaksud "orang berambut keriting"). Istilah Sakai adalah menghina di Malaysia kerana dikaitkan dengan gambaran orang liar, orang tawanan, atau hamba abdi. Orang Semang menerima sedikit sebanyak naungan daripada kerabat diraja Thailand.

Ciri-ciri fizikal[sunting | sunting sumber]

Lelaki Semang di Malaya, 1906.

Orang Semang berbeza dari jiran-jiran etnik mereka bukan hanya dari segi gaya hidup, bahkan juga dari segi antropologi. Mereka tergolong dalam ras Negrito yang mempunyai ciri-ciri am seperti susuk badan yang pendek (kira-kira 150 cm bagi lelaki dan 140 cm bagi wanita), kulit gelap, rambut keriting, hidung lebar, bibir berisi, mata bulat dan tulang pipi rendah.[13][14] Antara wakil-wakil lain bagi ras ini termasuk penduduk pribumi Kepulauan Andaman di India dan orang Aeta di Filipina.[15]

Kelompok etnik[sunting | sunting sumber]

Sekumpulan Semang berpakaian tarian tradisional di Kuala Sam, Kelantan, 1906.

Orang Semang merupakan kelompok etnik yang biasanya hanya disatukan atas dasar ciri-ciri ras dan budaya, padahal mereka tidak berkongsi jati diri etnik yang sama.[16]

Terdapat sekurang-kurangnya 10 kelompok etnik Orang Asli yang tergolong dalam "Semang" (bukan semua diperakui oleh kerajaan Malaysia):-

  • Suku Kensiu tinggal di bahagian utara Kedah, berdekatan sempadan Thailand. Kebanyakannya menghuni Kampung Lubuk-Legong di Daerah Baling, Kedah.[17]
  • Suku Kintaq juga mempunyai satu buah kampung sahaja yang terletak berhampiran bandar Gerik di Daerah Hulu Perak, Perak.[18] Dahulu mereka berpindah-randah sekitar Klian Intan di Daerah Hulu Perak District dan berhampiran Daerah Baling di Kedah.
  • Suku Lanoh tertumpu di tiga buah kampung yang terletak berhampiran Gerik di Daerah Hulu Perak.[19] Di kalangan mereka juga terdapat pelbagai puak seperti Lanoh Yir (barangkali berpindah-randah), Lanoh Jengjeng (separa menetap) dan lain-lain lagi.[20]
    • Suku Semnam tidak termasuk dalam senarai rasmi JAKOA, sebaliknya tergolong dalam suku Lanoh. Mereka tinggal di tepi Sungai Ayer Bal berhampiran Kampung Kuala Kenering di Daerah Hulu Perak.[20]
    • Suku Sabub'n juga tergolong dalam Lanoh. Saki-baki puak yang hampir pupus ini di samping lain-lain kelompok Lanoh tinggal berhampiran Lenggong dan Gerik di Daerah Hulu Perak.[21]
  • Suku Jahai tinggal di pergunungan yang menyempadankan negeri Perak dan Kelantan, di selatan sempadan Thailand. Inilah satu-satunya puak Semang yang mendiami kawasan gunung. Mereka tertumpu di kawasan tepi sungai atau tasik. Di Perak, mereka hidup di sepanjang sungai seperti Sungai Banun, Sungai Tiang dan berhampiran Tasik Temenggor di Daerah Hulu Perak.[22] Di Kelantan, mereka tertumpu sepanjang sungai-sungai seperti Sungai Rual dan Sungai Jeli di Jajahan Jeli.[23]
  • Suku Mendriq tinggal di beberapa kampung di sepanjang kawasan pertengahan Sungai Kelantan, di kawasan terpencil Jajahan Gua Musang di selatan Kelantan.[24]
  • Suku Bateq:-
    • Bateg Deq rata-ratanya tinggal di Sungai Aring di selatan Kelantan, dan daerah-daerah berhampiran di Terengganu dan Pahang. JAKOA tidak membezakan puak-puak Bateq.[25]
    • Bateg Nong, tinggal di daerah-daerah Jerantut (dua kampung) dan Lipis (lima kampung) di utara Pahang, dan Jajahan Gua Musang (empat kampung) di Kelantan.[25]
    • Suku Mintil atau "Mayah" tinggal di sepanjang tebing Sungai Tanum berdekatan Chegar Perah di Daerah Lipis, Pahang.[25] Secara rasminya, mereka tergolong dalam Bateq.[26]

Beberapa lagi kelompok kecil Semang tinggal di wilayah selatan Thailand. Kelompok berpindah-randah ini disebut dengan nama-nama seperti Tonga, Mos, Chong and Ten'en. Mereka menggelar diri Mani,[27] tetapi belum dipastikan hubungan linguistik mereka.

Disebabkan jumlah mereka yang kurang, kaum Semang semuanya berdepan dengan kepupusan.

Bahasa[sunting | sunting sumber]

Semang dari Gerik atau Janing, Perak, 1906.

Bahasa-bahasa Semang tergolong dalam cabang Asli dalam salasilah Austroasiatik. Bahasa-bahasa Asli juga dituturkan oleh masyarakat jiran Senoi. Pertalian bahasa inilah yang membezakan Semang dan Senoi daripada populasi Melayu dan Thai.

Dipercayai bahawa bahasa-bahasa Asli didatangkan ke Semenanjung Melayu dari kawasan Thailand moden di utara. Nenek moyang Semang sudah lama mendiami semenanjung sebelum ini, maka ternyata mereka pernah menuturkan bahasa-bahasa lain yang tidak diketahui, namun tidak terdapat buktinya yang diperoleh secara langsung dari kosa kata mereka.[28]

Bahasa-bahasa Asli terdiri daripada empat cabang, iaitu bahasa-bahasa Asli Utara, bahasa-bahasa Asli Tengah, bahasa-bahasa Asli Selatan, dan bahasa Jah Hut.

Di kalangan masyarakat Semang Malaysia, terdapat bahasa-bahasa dan loghat-loghat seperti Kensiu, Kentaq Bong, Kintaq Nakil, Jahai, Minriq, Bateg Deq, Mintil, Bateg Nong, Semnam, Sabüm, Lanoh Yir dan Lanoh Jengjeng. Kebanyakan bahasa tersebut membentuk cabang bahasa Asli Utara di bawah bahasa-bahasa Asli, kecuali loghat-loghat Lanoh dan Semnam yang tergolong dalam bahasa Asli Tengah. Sedikit sahaja bahasa Semang yang dikaji di Thailand, iaitu Kensiu atau Jahai.[25]

Antara ciri-ciri khas bahasa-bahasa Semang ialah tiadanya sempadan yang jelas sesama mereka. Perkara ini kebiasaan bagi bahasa-bahasa yang penuturnya terdiri daripada kelompok kecil yang berpindah-randah, di mana seringkali terdapat ahli-ahli dari pelbagai suku etnik yang hidup bersama dalam penempatan sementara yang sama. Oleh itu, kesemua bahasa Asli Utara sama-sama membentuk satu jaringan besar bahasa yang saling berhubungan. Begitu juga dengan bahasa Lanoh yang mempunyai jaringan serupa tetapi lebih kecil.[29]

Bukan semua bahasa Semang diteruskan hingga hari ini, malah sesetengah loghat sudah pupus sama sekali. Loghat-loghat yang masih ada turut terancam, misalnya Sabüm, Semnam, dan Mintil. Selain bahasa ibunda masing-masing, masyarakat Semang juga bertutur dalam bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Thai di Thailand. Juga terdapat banyak kata serapan Melayu dan Thai dalam semua bahasa Semang. Selain daripada itu, bahasa-bahasa Asli turut meminjam kata dari satu sama lain.

Populasi[sunting | sunting sumber]

Sekumpulan orang Semang di sempadan Jarum, Kedah-Daerah Raman, Thailand, 1906.

Dinamik populasi Negrito (Semang) semenjak Malaysia diisytiharkan merdeka:-

Tahun 1960[30] 1965[30] 1969[30] 1974[30] 1980[30] 1996[30] 2000[31] 2003[31] 2010[32]
Kensiu 126 76 98 101 130 224 254 232 280
Kintaq 256 76 122 103 103 235 150 157 234
Lanoh 142 142 264 302 224 359 173 350 390
Jahai 621 546 702 769 740 1,049 1,244 1,843 2,326
Mendriq 106 94 118 121 144 145 167 164 253
Bateq 530 339 501 585 720 960 1,519 1,255 1,359
Jumlah 1,781 1,273 1,805 1,981 2,061 2,972 3,507 4,001 4,842

Taburan subkumpulan Orang Asli Negrito di Malaysia mengikut negeri (1996):-[30]

Kedah Perak Kelantan Terengganu Pahang Jumlah
Kensiu 180 30 14 224
Kintaq 227 8 235
Lanoh 359 359
Jahai 740 309 1,049
Mendriq 131 14 145
Bateq 247 55 658 960
Jumlah 180 1,356 709 55 672 2,972

Populasi Semang di Thailand dianggarkan seramai 240 orang (2010).[29]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Dipercayai bahawa orang Semang sudah mendiami Semenanjung Melayu selama sekurang-kurangnya 25,000 tahun. Mereka dikaitkan dengan pembawa awal budaya Hòa Bình dari Zaman Mesolitik yang tertabur di Asia Selatan dari kawasan Vietnam hingga bahagian timur laut Sumatera pada alaf ke-9 hingga ke-3 SM. Budaya hidup Hòa Bình pada dasarnya sejajar dengan Semang, iaitu selaku pemburu-pengumpul. Akan tetapi, ini tidak bermakna Orang Asli moden mempunyai persamaan fizikal dengan penghuni kuno tadi. Pembawa budaya Hòa Bình tingginya sederhana, tengkoraknya besar dengan muka yang sangat kecil dan lebar. Terbantutnya pertumbuhan penduduk Semenanjung Melayu serta terbentuknya tengkorak yang bujur dikaitkan dengan penyesuaian kepada keadaan persekitaran.[33]

Kira-kira 4,000 tahun lalu, amalan pertanian tebang bakar tiba di Semenanjung Melayu, tetapi amalan memburu dan memungut masih diteruskan.[34] Pendatang baru memperkenalkan bahasa-bahasa Asli kepada semenanjung, dan kini penduduk Semang bertutur dalam bahasa-bahasa Senoi dan Semang. Dipercayai bahawa nenek moyang Senoi adalah petani sementara nenek moyang Semang terus mengamalkan pemungutan tanaman di samping perdagangan dan pertanian. Golongan Semang dan Senoi masih ketara berbeza kerana terdapat pantang-larang utuh yang menegah perkahwinan campur sesama dua kaum.

Selepas 500 SM, sudah dibangunkan perdagangan maritim dan Semenanjung Tanah Melayu menjadi persimpangan yang menghubungkan India dengan China.[35] Di kawasan pantai terbinanya petempatan, ada di antaranya dimajukan menjadi bandar besar, terdiri daripada saudagar luar yang menjalin hubungan erat dengan China, India, Timur Tengah, dan Mediterranean. Orang Semang berperanan sebagai pembekal hasil hutan yang mendapat permintaan tinggi di negara luar seperti kayu wangi, kapur barus, rotan, sumbu badak, gading gajah, dan sebagainya, di samping menjadi pengawal hutan.

Kaum Semang dihampiri Kerajaan Melayu Srivijaya, di mana pada tahun 724 M, dua orang Semang kerdil dijadikan ufti kepada raja-raja Melayu. Orang Semang kerdil dari hutan-hutan selatan diabdikan dan dipergunakan sehingga zaman moden.[11]

Di akhir abad ke-14, di pesisir Selat Melaka, petempatan saudagar terawal ditubuhkan oleh penduduk Melayu dari Sumatera,[36] berpusatkan negeri Melaka. Di awal abad ke-15, raja Melaka memeluk agama Islam. Penduduk Melayu beransur-ansur berpindah ke hulu, menyebabkan orang Asli ditakluki atau terpaksa berpindah ke pedalaman.[37]

Pada awalnya, masyarakat Semang berdamai dan berdagang dengan orang Melayu, tetapi semenjak mantapnya negeri-negeri Melayu, hubungan antara dua kaum mula tegang. Pada abad-abad ke-18 dan ke-19, orang Semang dan Orang Asli lain ditawan oleh penjarah Melayu sebagai hamba abdi.[37] Sebagai balasan, masyarakat Semang berikhtiar untuk mengelak sebarang pertembungan dengan orang luar. Demi mempertahankan kebebasan mereka, orang Semang memusnahkan kediaman mereka serta-merta seandainya diceroboh orang luar, maka mereka akan kekal bersembunyi atau "tertutup" di tengah hutan.[38]

Lelaki Semang, 1899.

Makin terpencilnya Semang dari masyarakat sekeliling, maka makin hairanlah dipandang orang. Ramai penduduk Asia Tenggara beranggapan bahawa hutan rimba dihuni oleh makhluk-makhluk ajaib, antaranya orang Negrito yang 'dianugerahi' dengan sifat-sifat ajaib dan dikaitkan dengan pelbagai legenda dan dongengan. Di kalangan raja-raja Melayu zaman dahulu, menyimpan orang Negrito dalam halaman sebagai himpunan makhluk hutan yang aneh-aneh merupakan tanda martabat.[39][40]

Pada awal abad ke-20, Raja Chulalongkorn (Rama V) dari Thailand mengunjungi kawasan selatan negara dan bertemu dengan orang Semang. Pada 1906, seorang anak piatu lelaki Semang Khanung dibawa ke istana di mana dia dilayan sebagai anak angkat raja.[41] Peristiwa ini memulakan naungan kerabat diraja ke atas kaum Semang.

Kerajaan penjajah British mengharamkan amalan pengabdian pada akhir abad ke-19 dan memperkenalkan dasar pembelaan bagi Orang Asli. British menganggap Orang Asli sebagai noble savage yang menjalani kehidupan yang ideal dan diidam-idamkan, dan oleh itu memerlukan perlindungan daripada kesan mudarat kehidupan moden.[40]

Orang Asli kembali mencuri perhatian sewaktu Darurat di Malaysia pada 1950-an.[42] Untuk memujuk Orang Asli untuk berpihak dengan kerajaan dalam usaha menentang komunis, ditubuhkannya jabatan khusus baharu iaitu Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan tujuan membekalkan pendidikan, kemudahan kesihatan, dan pembangunan ekonomi kepada Orang Asli, disusuli kawalan menyeluruh ke atas seluruh masyarakat pribumi.[42] Kerajaan Thailand juga melakukan tindakan seumpama untuk meneutralkan puak Negrito mereka sebagai reaksi terhadap kemasukan komunis ke dalam wilayah mereka.

Pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 serta penamatan Darurat pada 1961 tidak banyak mengubah dasar negara terhadap Orang Asli. Pada 1970-an, JHEOA mula mengaturkan penempatan baharu untuk sesetengah kelompok Semang yang berpindah-randah.[43] Menjelang 1980, usaha penggantian kawasan hutan dengan dusun secara berleluasa telah banyak menjejaskan kehidupan ramai puak Semang.[43]

Kebanyakan suku Kintaq, Jahai, Bateq dan Lanoh kini tinggal di perkampungan yang dibina negara, dikelilingi oleh hutan sekunder dan dusun-dusun, dan juga kampung-kampung petempatan bukan Orang Asli. Mereka terpaksa meninggalkan kehidupan lama dan sedikit sebanyak menyesuaikan diri dengan pertanian kecil-kecilan.[44]

Pada tahun 1966 (atau 1973),[45] sebuah kampung Semang ditubuhkan di Thailand untuk memperbaiki kualiti hidup mereka, dilengkapi dengan dusun getah. Pada awal 1990-an, kampung tersebut dijadikan pusat tumpuan pelancong untuk mempamerkan gaya hidup tradisional Semang.

Budaya[sunting | sunting sumber]

Cara hidup tradisional[sunting | sunting sumber]

Secara tradisi, masyarakat Semang menjalani kehidupan pemburu-pengumpul yang berpindah-randah dalam kawasan hutan.[46] Setiap puak menduduki satu kawasan adat tertentu yang menjadi tempat sara hidup mereka. Dalam kawasan inilah mereka berpindah dari tempat ke setempat untuk mencari bekalan makanan baharu. Orang Semang bukan pemburu-pengumpul secara literal kerana mereka sentiasa berubah cara hidup sesuai dengan keadaan semasa. Sebaik sahaja satu punca makanan habis ditebus, mereka beralih ke satu lagi.[47]

Cara hidup ini terpelihara selama ribuan tahun disebabkan ciri-ciri khusus dalam struktur sosial masyarakat mereka. Setiap satu keluarga dalam masyarakat Semang menyara diri secara berdikari sepenuhnya;[48] mereka akan berkumpul beramai-ramai di perkhemahan sementara, kemudian berpecah mengikut hala tuju masing-masing, dan kemudian berkumpul dengan keluarga lain di perkhemahan baharu. Begitu ketaranya amalan eksogami (perkahwinan luar puak sahaja) sehingga terjadinya pertalian antara keluarga berskala besar.[44] Struktur sosial begini memang padan dengan cara hidup nomad dan tidak serasi sama sekali untuk golongan penetap, malah ia menjadi perintang yang membahagikan populasi yang hidup bersama selama ribuan tahun.

Kawasan adat Semang dianggap bebas digunakan oleh semua ahli kaum setempat. Orang Semang Barat mempertahankan hak mereka untuk memiliki pokok-pokok beracun dan pokok-pokok berbuah malar yang ditanam atau ditemui dalam hutan, sedangkan kelompok lain menganggap pokok-pokok tersebut bebas digunakan semua ahli.[49] Tuntutan hak eksklusif ke atas kawasan tertentu dalam sebarang pertikaian dengan kelompok Semang yang lain mahupun kaum-kaum lain selalunya tidak dikemukakan kepada pihak berkuasa, dan oleh itu tidak sah sama sekali. Kerajaan Malaysian tidak sama sekali mengiktiraf hak Semang ke atas tanah atau sumber adat.[49]

Biarpun dianggap umum sebagai penduduk tengah hutan, orang Semang sebenarnya mendiami zon peralihan antara hutan tropika dan daerah pertanian kerana bekalan makanan di sini sangat banyak dan berbagai-bagai. Di sini juga mereka boleh mengumpul kayu-kayan berharga dan berdagang dengan masyarakat jiran. Di tengah hutan pula, mereka hanya boleh memburu haiwan kecil yang hidup di kalangan pokok kerana sumber makanan tumbuhan yang berharga amat terhad.[50]

Jabatan Kemajuan Orang Asli berusaha menggalakkan masyarakat semang untuk bercucuk tanam di kampung-kampung negeri. Di kawasan hutan yang ditebang, pihak negeri menganjurkan penanaman getah, durian, rambutan, kelapa sawit, dan pisang. Masyarakat Semang dipaksa menyesuaikan diri dengan keadaan baharu, tetapi aktiviti pertanian memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan buah, dan itu bercanggah dengan pandangan duia mereka. Dari waktu ke waktu, sesetengah kelompok Semang menghantar ahli mereka untuk memungut hasil hutan untuk dijual, mencari kerja sambilan dengan petani Melayu, memancing ikan, atau sekadar mengemis atau meminta sedekah dari pelawat.[51]

Oleh yang demikian, JAKOA membekalkan bekalan runcit kepada mereka supaya mereka tidak meninggalkan kerja, tetapi jika berlakunya tunggakan bekalan, orang Semang berhenti bercucuk tanam serta-merta dan ada di kalangan mereka juga yang kembali hidup di hutan. Aktiviti memungut hasil hutan untuk dijual masih diutamakan berbanding kerja upah dan pertanian tetap.[52]

Kepercayaan[sunting | sunting sumber]

Kumpulan Semang di Siong, Daerah Baling, Kedah, 1906.

Masyarakat Semang pada asalnya mengamalkan animisme,[53] iaitu kepercayaan bahawa bukan sahaja manusia, bahkan juga segala benda semula jadi mempunyai roh.[54]

Masyarakat Semang membayangkan bahawa bumi mereka berbentuk cakera yang terletak di atas belikat ular atau kura-kura yang terapung di bawah tanah. Bumi dihubungkan dengan langit dengan tonggak batu, dunia dipenuhi entiti-entiti ghaib yang daim dalam bentuk semangat-semangat yang hidup di langit, di dalam tonggak batu, mahupun di bawah tanah. Latar langit merupakan syurga yang dipenuhi bunga-bungaan dan pokok buah-buahan. Hutan hujan dicipta oleh entiti-entiti ghaib untuk memenuhi keperluan penduduk bumi. Sesetengah entiti ghaib ini pernah hidup di atas bumi sebagai manusia biasa dan kembali dari masa ke semasa dengan menjelma dalam mimpi orang.[55]

Kebanyakan entiti ghaib ini tiada nama dan sering dikaitkan dengan fenomena alam atau benda-benda tertentu seperti angin mahupun pokok berbuah. Ada entiti ghaib yang mempunyai nama dan sifat-sifat khusus. Kebanyakan orang Semang takut dengan tiga kejadian alam, iaitu petir, banjir, dan ribut,[56] kerana ia melambangkan dewa petir Karey yang dianggap kejam dan durjana. Menurut kepercayaan asal, Karey menjalankan peranan moral penting dengan menghukum pencabul pantang larang, malah menyebabkan kematian dengan panahan petir atau serangan haiwan liar.[57]

Setiap puak mempunyai bomoh yang dipanggil hala, yang bertindak sebagai penghubung antara alam nyata dan alam ghaib. Hala mengadakan ritual, mengamalkan ilmu sihir, meramal masa depan, merawat penyakit, dan mencari tempat penempatan yang selamat. Mereka merawat penyakit dengan menggunakan pelbagai herba dan jampi. Orang Semang bahawa hala bersawai menghubungi entiti ghaib untuk menyampaikan kesyukuran serta mempelajari ilmu merawat penyakit tenat.[58]

Lelaki mahupun wanita boleh menjadi hala. Hala juga terdiri daripada yang besar dan yang kecil. Hala kecil adalah manusia biasa yang tahu serba sedikit cara merawat penyakit menerusi lagu-lagu, urut-mengurut, ubat-ubatan herba dan jampi serapah, dan ada kalanya bersawai. Hala besar pula adalah mereka yang mempunyai keupayaan luar biasa, bukan sahaja menghubungi semangat melalui mimpi atau sawai, bahkan mereka sendiri juga makhluk ghaib, misalnya boleh menjelma sebagai harimau dan menghalau haiwan buas. Hala besar mahupun kecil memperoleh ilmu daripada roh-roh melalui mimpi atau dari hala lain. Cara yang terbaik ialah menunggu di tepi pusara hala yang sudah meninggal sehingga rohnya menjelma dalam rupa harimau, dan kemudian ia akan berpaling kepada diri dan menurunkan ilmu.

Upacara khas diadakan sempena peristiwa penting dalam kehidupan seperti kelahiran, kesakitan, kematian, bahkan juga peralihan ekonomi.[59] Apabila ritual diadakan, simbol-simbol animisme digunakan.

Kerajaan Malaysia sedang mengusahakan dasar menukarkan Orang Asli ke agama Islam. Terdapat secukup bilangan Semang yang dikira Muslim pada akhir abad ke-20. Statistiknya seperti berikut:[30]

Кensiu Кintaq Jahai Lanoh Меndriq Bateq
Negrito Muslim (1997) 108 67 292 94 61 710
Jumlah populasi (1996) 224 235 1 049 359 145 960

Upacara[sunting | sunting sumber]

Fail:Bateq (3730924243).jpg
Lelaki Bateq dengan lengan berlelas-lelas.

Masyarakat Semang mengamalkan ritual pelelasan,[60] yang mana anak-anak muda dilelas (dikupas kulit) untuk menandakan akhir usia kanak-kanak.[61] Pelelasan dilakukan dengan menggores kulit dengan daun tebu yang bergerigi halus, kemudian menyapu serbuk arang ke atas cakaran.[62]

Alat muzik tradisional Semang diperbuat daripada buluh, antaranya termasuk genggong dan seruling hidung.[63] Sewaktu perayaan, lelaki mahupun wanita menari-nari sambil menyanyi dengan berpakaian daun-daunan.[64][65]

Orang Semang yang meninggal dunia dikebumikan pada hari yang sama; mayatnya berkafankan tikar sementara harta kepunyaan si mati disimpan dalam para-para buluh kecil yang terletak di atas pusara.[66] Orang-orang besar seperti penghulu atau bomoh pula dikebumikan di bawah pokok.[67]

Masyarakat Semang menilik dengan asap untuk menentukan sama ada perkhemahan mereka selamat untuk bermalam.[68]

Catatan[sunting | sunting sumber]

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Geoffrey Benjamin & Cynthia Chou (2002), Tribal Communities in the Malay World: Historical, Cultural and Social Perspectives, Institute of Southeast Asian Studies, ISBN 98-123-0167-4
  • Alberto G. Gomes (September 1982), Ecological Adaptation And Population Change: Semang Foragers And Temuan Horticulturalists In West Malaysia (PDF), East-West Environment And Policy Institute
  • Joachim Schliesinger (2015), Ethnic Groups of Thailand: Non-Tai-Speaking Peoples, Booksmango, ISBN 978-16-332-3229-7
  • Alberto G. Gomes (2007), Modernity and Malaysia: Settling the Menraq Forest Nomads, Routledge, ISBN 978-11-341-0077-4

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Geoffrey Benjamin & Cynthia Chou (2002). Tribal Communities in the Malay World. m/s. 36.
  2. ^ "Kensiu in Thailand". Joshua Project. Dicapai pada 2016-11-10.
  3. ^ Joanne Yager & Niclas Burenhult (6 February 2018). "LISTEN: Unknown language discovered in Southeast Asia". Lund University. Dicapai pada 2019-06-29.
  4. ^ John M. Cooper (April 1940). "Andamanese-Semang-Eta Cultural Relations". The George Washington University Institute for Ethnographic Research. 13 (2): 29–47. doi:10.2307/3316490. Dicapai pada 2020-12-25.
  5. ^ "35 Map". The Andaman Association. 18 August 2002. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 November 2003. Dicapai pada 2017-11-23.
  6. ^ "35. The Negrito of Malaysia: Semang". The Andaman Association. 18 August 2002. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 December 2002. Dicapai pada 2017-11-23.
  7. ^ "Association of British Malaya". British Malaya, Volume 1. Newton. 1927. m/s. 259. OCLC 499453712.
  8. ^ Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (1998). The Encyclopedia of Malaysia: Early History, Volume 4. Archipelago Press. ISBN 981-3018-42-9.
  9. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan :0 tidak disediakan
  10. ^ Fix, Alan G. (June 1995). "Malayan Paleosociology: Implications for Patterns of Genetic Variation among the Orang Asli". American Anthropologist. New Series. 97 (2): 313–323. doi:10.1525/aa.1995.97.2.02a00090. JSTOR 681964.
  11. ^ a b Archives of the Chinese Art Society of America
  12. ^ Hajek, John (June 1996). "Unraveling Lowland Semang". Oceanic Linguistics. 35 (1): 138–141. doi:10.2307/3623034. JSTOR 3623034.
  13. ^ Marta Mirazón Lahr (1996). "R. A. Foley; Nina Jablonski; Michael Little; C. G. Nicholas Mascie-Taylor; Karen Strier; Kenneth M. Weiss". The Evolution of Modern Human Diversity: A Study of Cranial Variation. Cambridge University Press. m/s. 303. ISBN 05-214-7393-4.
  14. ^ The Encyclopedia Americana, Volume 20. Grolier Incorporated. 1990. m/s. 76. ISBN 07-172-0121-X.
  15. ^ Encyclopedia Americana: Pumps to Russell. Scholastic Library Publishing. 2005. m/s. 31. ISBN 07-172-0138-4.
  16. ^ Alberto G. Gomes (2007). Modernity and Malaysia. m/s. 23–24.
  17. ^ Ab. Aziz Mohd. Zin (2006). Dakwah Islam di Malaysia. Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. m/s. 18. ISBN 98-310-0381-0.
  18. ^ Raihanah Abdullah (2009). Pembelaan kumpulan minoriti di Malaysia: isu dan cabaran. Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. m/s. 96. ISBN 978-98-330-7034-3.
  19. ^ Contributions to Southeast Asian Ethnography. Board of Editors, Contributions to Southeast Asian Ethnography. 2004. m/s. 101.
  20. ^ a b Robert Parkin (1991). A Guide to Austroasiatic Speakers and Their Languages. University of Hawaii Press. m/s. 53. ISBN 08-248-1377-4.
  21. ^ "Berliner Gesellschaft für Anthropologie, Ethnologie und Urgeschichte, Deutsche Gesellschaft für Anthropologie, Ethnologie und Urgeschichte, Deutsche Gesellschaft für Völkerkunde". Zeitschrift für Ethnologie, Volumes 77-78. A. Asher & Company. 1952. m/s. 200.
  22. ^ Hamid Mohd Isa & Mokhtar Saidin (2014). "Sustainable Hunters and Gatherers in Belum-Temenggor Tropical Rainforest" (PDF). Centre for Global Archaeological Research, Universiti Sains Malaysia. Dicapai pada 2018-12-13.
  23. ^ Nazaruddin Zainun & A. S. Hardy Shafii, penyunting (2018). Nusantara daripada Pelbagai Perspektif Kearifan Tempatan. Penerbit USM. ISBN 978-96-746-1171-2.
  24. ^ Riduan Makhtar; Nurliyana SM Soflee; Mohd Sharifudin Yusop; Abd Ganing Laengkang (2018). "Pengaruh Dialek Kelantan Dalam Bahasa Temiar: Satu Analisis Fonologi Struktural". International Journal of Education, Psychology and Counseling. 3 (11): 44. Dicapai pada 2018-12-13.
  25. ^ a b c d Geoffrey Benjamin (1976). "Austroasiatic Subgroupings and Prehistory in the Malay Peninsula" (PDF). Oceanic Linguistics Special Publications, No. 13, Austroasiatic Studies Part I. University of Hawai'i Press: 37–128. Dicapai pada 2018-12-13.
  26. ^ Lim, Teckwyn. 2020. Ethnolinguistic Notes on the Language Endangerment Status of Mintil, an Aslian Language. Journal of the Southeast Asian Linguistics Society (JSEALS) 13.1 (2020): i-xiv. ISSN 1836-6821. University of Hawaiʼi Press.
  27. ^ Thonghom (2003). George Weber (penyunting). "36. The Negrito of Thailand: The Mani". The Andaman Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 May 2013. Dicapai pada 2017-11-23.
  28. ^ Geoffrey Benjamin (2013). "Why have the Peninsular "Negritos" remained distinct?". Human Biology. 85 (1): 445–483. doi:10.13110/humanbiology.85.1-3.0445. hdl:10220/24020. ISSN 0018-7143. Dicapai pada 2019-01-14.
  29. ^ a b Geoffrey Benjamin (2012). "The Aslian languages of Malaysia and Thailand: an assessment" (PDF). Language Documentation and Description. 11. ISSN 1740-6234. Dicapai pada 2019-01-12.
  30. ^ a b c d e f g h Nobuta Toshihiro. Living On The Periphery: Development and Islamization Among the Orang Asli in Malaysia (PDF). Center for Orang Asli Concerns, Subang Jaya, Malaysia, 2009. ISBN 978-983-43248-4-1. Dicapai pada 2019-01-12. (dalam bahasa Inggeris)
  31. ^ a b "Basic Data / Statistics". Center for Orang Asli Concerns (COAC). Dicapai pada 2019-01-12. (dalam bahasa Inggeris)
  32. ^ Kirk Endicott (27 November 2015). Malaysia's Original People: Past, Present and Future of the Orang Asli. Introduction. NUS Press, National University of Singapore Press. 2016, pp. 1-38. ISBN 978-9971-69-861-4. Dicapai pada 2019-01-12. (dalam bahasa Inggeris)
  33. ^ David Bulbeck (1996). Emily Rousham; Leonard Freedman; Rayma Pervan (penyunting). "Holocene Biological Evolution Of The Malay Peninsula Aborigines (Orang Asli)". Humans in the Australasian Region. World Scientific. 2: 37. ISBN 98-102-3007-9.
  34. ^ Jeffrey Hays (2008). "Semang (Negritos), Senoi, Temiar And Orang Asli Of Malaysia". Facts And Details. Dicapai pada 2019-01-25.
  35. ^ DK Travel (2016). DK Eyewitness Travel Guide Malaysia and Singapore. Dorling Kindersley Ltd. m/s. 39. ISBN 978-02-412-5431-8.
  36. ^ Robert Garth Cant (1972). An Historical Geography of Pahang, Issues 4-7. MBRAS. m/s. 19. OCLC 1068038809.
  37. ^ a b Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. 1878. m/s. 46. OCLC 16746647.
  38. ^ Joachim Schliesinger (2015). Ethnic Groups of Thailand. m/s. 129.
  39. ^ John H. Brandt (1961). "The Negrito of Peninsular Thailand". Journal of the Siam Society. Sirindhorn Anthropology Centre. 49 (Pt. 2). Dicapai pada 2019-01-30.
  40. ^ a b Barbara Watson Andaya & Leonard Y Andaya (2016). A History of Malaysia. Macmillan International Higher Education. m/s. 168–169. ISBN 978-11-376-0515-3.
  41. ^ Woodhouse, Leslie (Spring 2019). "Picturing Siwilai: Colonial Anxiety and Ethnic Difference in Elite Photography during Siam's Fifth Reign (1868–1910)". Amerasia Journal. 43 (2). doi:10.17953/aj.43.2.141-157. S2CID 150259232.
  42. ^ a b Anja Lingjerde Lillegraven (May 2006). "Paths of Change in Fields of Power: A study of the Chewong – an indigenous minority group in peninsular Malaysia" (PDF). Department of Social Anthropology, University of Oslo. Dicapai pada 2017-11-20.
  43. ^ a b Kirk Endicott (June 1982). "The Effects Of Logging On The Bateq Of Malaysia". Cultural Survival. Dicapai pada 2019-02-01.
  44. ^ a b Csilla Dallos (2011). From Equality to Inequality: Social Change Among Newly Sedentary Lanoh Hunter-gatherer Traders of Peninsular Malaysia. University of Toronto Press. m/s. 34–37. ISBN 978-14-426-1122-1.
  45. ^ Geoffrey Benjamin & Cynthia Chou (2002). Tribal Communities in the Malay World. m/s. 77–96.
  46. ^ Emily Rousham; Leonard Freedman; Rayma Pervan (1996). Humans in the Australasian Region. World Scientific. m/s. 37. ISBN 98-102-3007-9.
  47. ^ Betty Meehan & Neville White (1990). Hunter-gatherer demography: past and present. University of Sydney. m/s. 136. ISBN 08-675-8491-2.
  48. ^ Alberto G. Gomes (2007). Modernity and Malaysia. m/s. 29.
  49. ^ a b David Levinson, penyunting (1993). Encyclopedia of World Cultures, Volume 5. G.K. Hall. m/s. 234. ISBN 08-168-8840-X.
  50. ^ Alberto G. Gomes (1982). Ecological Adaptation And Population Change. m/s. 6.
  51. ^ Alberto G. Gomes (1982). Ecological Adaptation And Population Change. m/s. 8.
  52. ^ Alberto G. Gomes (1982). Ecological Adaptation And Population Change. m/s. 9.
  53. ^ Alton L. Becker & Aram A. Yengoyan (1979). The Imagination of reality: essays in Southeast Asian coherence systems. ABLEX Pub. Corp. m/s. 15. ISBN 08-939-1021-X.
  54. ^ Karen Lee Adams (1989). Systems of Numeral Classification in the Mon-Khmer, Nicobaresse and Aslian Subfamilies of Austroasiatic. Department of Linguistics, Research School of Pacific Studies, Australian National University. m/s. 124. ISBN 08-588-3373-5.
  55. ^ Lindsay Jones (2005). Encyclopedia of religion, Volume 10. Macmillan Reference USA. m/s. 6456. ISBN 00-286-5743-8.
  56. ^ Alberto G. Gomes (2007). Modernity and Malaysia. m/s. 38.
  57. ^ Charles F. Keyes (1995). The Golden Peninsula: Culture and Adaptation in Mainland Southeast Asia. University of Hawaii Press. m/s. 37. ISBN 08-248-1696-X.
  58. ^ Sociologus, Volumes 14-15. Duncker & Humblot. 1964. m/s. 137.
  59. ^ Eugene Albert Nida & William Allen Smalley (1959). Introducing animism. Friendship Press. m/s. 54. OCLC 42355258.
  60. ^ Wilfrid Dyson Hambly (1925). The History of Tattooing. Courier Corporation. ISBN 0-486-46812-7.
  61. ^ Julian Haynes Steward (1972). Theory of Culture Change: The Methodology of Multilinear Evolution. University of Illinois Press. ISBN 0-252-00295-4.
  62. ^ Alan Caillou (2000). Rampage. iUniverse. ISBN 0-595-09143-1.
  63. ^ Terry Miller & Sean Williams, penyunting (2011). The Garland Handbook of Southeast Asian Music. Routledge. ISBN 978-1-135-90154-7.
  64. ^ Hugo Adolf Bernatzik & Jacques Ivanoff (2005). Moken and Semang: 1936-2004, Persistence and Change. White Lotus. ISBN 97-448-0082-8.
  65. ^ Harry S. Ashmore (1961). Encyclopaedia Britannica: a new survey of universal knowledge, Volume 20. Encyclopaedia Britannica. m/s. 313.
  66. ^ Joachim Schliesinger (2015). Ethnic Groups of Thailand. m/s. 133.
  67. ^ Robert W. Williamson (2010). The Mafulu Mountain People of British New Guinea. Lulu.com. ISBN 978-1-4092-2652-9.
  68. ^ Scott Cunningham (2003). Divination for Beginners: Reading the Past, Present & Future. Llewellyn Publications. ISBN 0-7387-0384-2.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Human Relations Area Files, inc. (1976), Semang, Ann Arbor, Mich: University Microfilms
  • Mirante, Edith (2014), The Wind in the Bamboo: Journeys in Search of Asia's 'Negrito' Indigenous Peoples, Bangkok, Orchid Press

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • Kategori berkenaan Semang di Wikimedia Commons