Kias

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Qiyas)
Jump to navigation Jump to search

Sebahagian siri
Usul al-fiqh

Fiqh
Hukum dalam Islam
  • Batil — tidak sah, tidak betul
  • Fasiq — rosak ahklak
Gelaran cendekiawan

Kias, juga dieja sebagai qiyas (bahasa Arab: قياس), adalah menyamakan hukum suatu perkara yang baharu yang belum ada pada masa sebelumnya dengan perkara yang sedia ada kerana persamaan sebab dan manfaat.[1] Pada makna bahasa ia adalah ukuran, persamaan, pengukuran atau perbandingan.

Ia adalah proses (ijtihad) berasaskan pengibaratan daripada ayat Al-Quran dan sunah atau perintah yang telah diketahui untuk perkara-perkara baru. Kias menetapkan suatu hukum suatu perkara baru yang belum ada pada masa sebelumnya berasaskan perkara terdahulu yang memiliki kesamaan dari segi ilat, sebab, manfaat, bahaya dan berbagai aspek lain sehingga dihukumi sama.

Rukun kias[sunting | sunting sumber]

Kias ialah menetapkan hukum sesuatu yang tertentu, pada masa yang lain kerana persamaan kedua-duanya dari segi ilat. Kias mempunyai empat rukun iaitu:

  1. Masalah utama (al-asal; الأصل atau al-aslu), masalah sebelum ini
  2. Masalah cabang (al-furuk; الفرع atau al-far‘u), masalah berkaitan yang perlukan hukum
  3. Hukum masalah utama (hukum al-asal; حكم الأصل atau hukmu al-aslu) hukum kepada masalah sebelum ini
  4. Alasan (ilat; العلّة atau al-'illah, juga as-sabab), penyebab kepada hukum masalah utama

Contoh pembinaan hukum[sunting | sunting sumber]

Sebagai contoh, dalil yang terdapat di dalam hadis mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat gandum. Jika di kawasan yang menggunakan padi pula, maka zakat padi diwajibkan kerana terdapat banyak persamaan atau ilat di antara padi dengan gandum selepas perbandingan atau kias dilakukan.

Hadis Rasulullah s.a.w[sunting | sunting sumber]

Hadis riwayat Ibnu Umar r.a. yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah pada setiap bulan Ramadan kepada umat Islam, iaitu sebanyak satu saa' (gantang) iaitu satu gantang kurma atau satu saa' (gantang) gandum. Kewajipan itu dikenakan kepada keseluruhan orang-orang Islam, merdeka ataupun hamba, lelaki ataupun wanita." (Nombor hadis dalam kitab Sahih Muslim: 1635)[2][3]

Contoh penggunaan kias:

  • Al-asal: Gandum dikenakan zakat gandum (al-asal).
  • Furuk: Bagaimana pula dengan tempat yang tidak ada gandum, misalnya yang ada padi? (tidak termaktub dalam Al-Quran dan hadis).
  • Hukum al-asal: Hukum zakat gandum itu wajib.
  • Ilat: Gandum adalah makanan ruji setempat, dan sama seperti padi.

Maka, dengan kias, zakat dikenakan pada padi dan adalah wajib.

Hukum berjual beli selepas azan solat Jumaat[sunting | sunting sumber]

Daripada Surah Al-Jumuah, ayat ke-9:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),"[4]

Contoh penggunaan kias:

  • Al-asal: Berjual beli setelah azan solat Jumaat berkumandang adalah tidak dibenarkan.
  • Al-furuk: Bagaimana pula dengan urusan lain seperti bercucuk tanam, akad nikah dan sebagainya?
  • Hukum al-asal: Hukum berjual beli adalah haram setelah azan Jumaat sehingga selesai solat Jumaat.
  • Ilat: Alasannya ialah berjual beli boleh kurangkan hajat jemaah untuk hadiri khutbah dan solat Jumaat.

Natijahnya, apabila azan (kedua) dilaungkan segala urusan diharamkan sehinggalah selesai solat Jumaat.

Hukum menggunakan dadah[sunting | sunting sumber]

Daripada Surah Al-Maidah, ayat 90:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya khamar, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."[5]

Contoh penggunaan kias:

  • Al-asal: Meminum arak dan apa-apa yang memabukkan, disebut dalam ayat sebagai khamar.
  • Al-furuk: Penggunaan dadah seperti ecstacy dan ice.
  • Hukum al-asal: Hukum meminum arak adalah haram.
  • Ilat: Kerana arak dan bahan pemabuk menyebabkan seseorang itu tidak dapat berfikir dengan elok. Sama seperti dadah.

Jadi, hukum dadah adalah haram kerana ia juga menyebabkan seseorang itu tidak dapat berfikir dengan elok.

Bahagian kias[sunting | sunting sumber]

Ada dua bahagian kias, iaitu :

  1. Kias jali (yang amat ketara, قياس جليّ), kias yang ilatnya jelas dan ada dalam Al-Quran atau hadis. Contohnya seorang wanita berhaid tidak boleh membaca Al-Quran kerana dalam keadaan tidak suci. Dengan kias jali, ketaksucian tersebut digunakan kepada orang yang dalam keadaan junub dan mereka juga tidak dibenarkan membaca Al-Quran.
  2. Kias khafi (yang tersembunyi, قياس خفيّ), kias yang ilatnya tidak jelas dan ulama harus berfikir panjang untuk mencari sebabnya. Contohnya mengeluarkan zakat dalam bentuk seekor kambing, bagi seorang fakir miskin duit dikiaskan lebih bernilai dan bermanfaat kepada mereka daripada seekor kambing. Ia juga dikenali sebagai istihsan.

Jenis-jenis kias[sunting | sunting sumber]

Kias ada tiga jenis, iaitu:[6][7]

  1. Kias aula (utama, قياس الأولى) ialah kias yang ilatnya mewajibkan adanya hukum, dan hukum furuk adalah lebih kuat. Contohnya mengatakan "uf", "ah" dan cercaan menyakitkan hati ibu bapa hukumnya adalah haram.[8] Dengan kias aula, menyebut "uf", "ah", "uh" berhukum haram.
  2. Kias musawi (ketara, قياس المساوي) ialah kias yang apabila ilatnya mewajibkan adanya hukum pada al-asal mahupun al-furuk. Contohnya memakan harta anak yatim adalah haram.[9] Dengan kias, menyebabkan harta tersebut hilang atau rosak juga dilarang, dan hukum furuk adalah sama dengan hukum asal.
  3. Kias adna (rendah, قياس الأدنى) ialah apabila hukum al-furuk lebih lemah bila dirujuk dengan hukum al-asal. Contohnya dalam kes riba fadl: jika 10kg beras jepun mesti ditukarkan dengan 10kg beras basmati walaupun mutunya berlainan, maka 10kg apa-apa beras kalau ditukarkan dengan buah mempelam dengan proses kias mesti ditukarkan sebanyak 10kg. Ilatnya adalah kedua-dua adalah bahan yang dibuat untuk makan dan timbang. Dalam ini, hukum asal adalah lebih kuat.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Siti Asmah Kasmo (2018) Kamus Pendidikan Islam KSSM. Shah Alam: Oxford Fajar. ISBN 9789834725525. h. 36.
  2. ^ https://www.mymasjid.net.my/al-hadith/sahih-muslim/13/kitab-zakat/299/bab-zakat-fitrah-ke-atas-orang-islam-dari-kurma-dan-gandum/
  3. ^ https://sunnah.com/muslim/12/17
  4. ^ https://quran.com/62/9
  5. ^ https://quran.com/5/90
  6. ^ Hassan, S. A. (t.t.) Strategi Penyelidikan Berteraskan Islam Menurut Qiyas Al-Usuliy. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. hh. 112–113
  7. ^ Abdul Karim Zaidan, & Saleh Ahmad. (1993). Prinsip-prinsip pendakwah dan pembuktian dalam sistem kehakiman Islam. Shah Alam: Hizbi.
  8. ^ QS Al-Israk 17:23
  9. ^ QS Al-Nisa 4:10