Sekolah Sukan Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sekolah Sukan Malaysia (SSM) ialah sekolah untuk mengumpul atlet murid yang berpotensi supaya bakat cemerlang sukan dan akademik mereka dapat dipupuk serta dipertingkatkan di bawah bimbingan jurulatih yang berdedikasi serta guru-guru akademik yang terpilih. Melalui pengawasan yang lebih tersusun dan cekap, peningkatan prestasi akademik dan sukan dapat diseimbang dan disepadukan.

Dari aspek pengurusan dan pentadbiran, sekolah ini keseluruhannya mengikut konsep Sekolah Berasrama Penuh yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sukan dan akademik.

Pengenalan Sekolah Sukan Malaysia[sunting | sunting sumber]

Hasrat untuk menubuhkan Sekolah Sukan di Malaysia telah mula diwar-warkan pada akhir tahun 80-an. Pada 20 Januari 1988, Jemaah Menteri telah meluluskan Dasar Sukan Negara, satu dokumen komprehensif ke arah kemajuan, perkembangan dan pembangunan sukan negara. Dengan penggubalan Dasar Sukan Negara ini menjadi hasrat dan aspirasi negara untuk mewujudkan masyarakat yang sihat, cergas, bersatu padu, berdisiplin serta produktif dan dalam masa yang sama melahirkan satu generasi ahli sukan yang berwibawa untuk mengharumkan serta mempertingkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Kementerian Pelajaran pula telah memberi penekanan yang baru terhadap peranan sukan dan aktiviti kokurikulum bagi melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan intelek. Menyedari betapa pentingnya peranan sukan dalam memupuk perpaduan nasional dan keperluan melahirkan ahli-ahli sukan berkaliber tinggi maka dalam Rancangan Malaysia Ke-5 ( 1991 – 1995 ) perancangan penubuhan Sekolah Sukan telah diluluskan. Sekolah Sukan ini mirip kepada Sekolah Berasrama Penuh dengan memberi tumpuan kepada konsep berikut :

  • Pembangunan atlet murid bertaraf dunia.
  • Penggunaan tenaga jurulatih profesional
  • Pengkhususan Sains Sukan merentasi kurikulum
  • Penekanan sukan sebagai kerjaya.

Pada tahun 1996 Sekolah Sukan Malaysia (SSM) yang pertama dinamakan Sekolah Sukan Bukit Jalil bertempat di dalam Kompleks Sukan Negara. Kejayaaan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menyediakan atlet-atlet untuk Sukan Komanwel telah membawa kepada pembinaan Sekolah Sukan Malaysia yang kedua iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor pada tahun 1998.

Seterusnya di dalam usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menyediakan peluang dan kesamarataan dalam bidang sukan kepada murid-murid yang berpotensi dalam bidang sukan, kerajaan akan membina tiga buah lagi Sekolah Sukan Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9 iaitu di Pahang, Sabah dan Perlis.

Cara Kemasukan[sunting | sunting sumber]

Tahun 5 dan Tahun 6[sunting | sunting sumber]

Kemasukan atlet murid ke SSM adalah melalui proses Kenal Pasti Bakat (Talent Identification, Talent Search, Talent Scouting), dan pencalonan oleh persatuan sukan kebangsaan dan MSN. Tawaran kemasukan ke SSM dibuat sepanjang tahun berdasarkan kekosongan dan keperluan sukan semasa. Pengambilan atlet murid sekolah rendah ke SSM adalah berdasarkan keperluan sukan teras negara.

Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5[sunting | sunting sumber]

Kemasukan atlet murid ke SSM adalah melalui proses Kenal Pasti Bakat (Talent Identification, Talent Search, Talent Scouting), dan pencalonan oleh persatuan sukan kebangsaan dan MSN. Tawaran kemasukan ke SSM dibuat sepanjang tahun berdasarkan kekosongan dan keperluan sukan semasa. Kelayakan minimum akademik atlet murid yang diterima masuk ke SSM adalah 3C di peringkat UPSR dan 4D di peringkat PMR.

Prauniversiti[sunting | sunting sumber]

Pengambilan atlet murid program prauniversiti adalah berdasarkan kelulusan SPM serta memenuhi syarat-syarat am yang ditetapkan. Mereka yang dipilih terdiri daripada atlet murid yang mewakili negara atau berpotensi mewakili negara dalam masa terdekat. Cara memohon adalah secara online di laman web KPM. Syarat-syarat kemasukan adalah seperti berikut :

Syarat-syarat Am[sunting | sunting sumber]

  • Mewakili negara/berpotensi mewakili negara.
  • Telah menduduki peperiksaan SPM dan lulus dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia.
  • Umur tidak melebihi 20 tahun pada tarikh pendaftaran tahun kemasukan.
  • Aktif dalam bidang sukan yang diceburi secara berterusan dan diiktiraf Majlis Sukan Negara dan persatuan sukan kebangsaan.
  • Lulus temuduga oleh jawatankuasa pemilihan jika diperlukan.

Syarat-syarat Khusus[sunting | sunting sumber]

Aliran Sains
  • Sekurang-kurangnya mendapat kepujian dalam mata pelajaran Matematik Moden dan
  • Sekurang-kurangnya mendapat kepujian dalam mata pelajaran Biologi/ Fizik/ Kimia/ Matematik Tambahan/ Teknologi Maklumat/ Perdagangan/ Ekonomi Asas/ Prinsip Akaun/ Bahasa Inggeris/ Lukisan Kejuruteraan/ Reka Cipta/ Teknologi Kejuruteraan
Aliran Sastera Ikhtisas
  • Sekurang-kurangnya lulus dalam Matematik Moden dan
  • Lulus 2 mata pelajaran berikut iaitu Perdagangan/ Ekonomi Asas/ Prinsip Akaun/ Bahasa Inggeris/ Lukisan Kejuruteraan/ Reka Cipta/ Teknologi Kejuruteraan/ Sains Tambahan/ Teknologi Maklumat/ Biologi/ Fizik/ Kimia/ Sains Sukan

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]