Laporan Keciciran 1973

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Laporan Keciciran, lebih dikenali sebagai Laporan Murad, juga merupakan singkatan kepada Laporan Jawatankuasa di atas Kajian Pendapat mengenai Pelajaran dan Masyarakat, merupakan satu laporan yang mula dibentangkan pada tahun 1972 dan ditulis pada tahun 1973 sebagai satu usaha untuk mengurangkan tahap keciciran dalam pendidikan di negara Malaysia. Laporan ini diketuai oleh Tan Sri Murad Mohamed Noor selaku Pengarah Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran pada ketika itu. Laporan ini menyimpulkan bahawa anak-anak yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah sering tercicir dalam pelajaran kerana ibu bapa tidak mampu untuk menyekolahkan anak-anak mereka. [1]

Pengenalan[sunting | sunting sumber]

Laporan Murad dibentangkan pada tahun 1972 merupakan laporan yang diketuai oleh Encik Murad bin Mohd Noor ketika beliau menjadi Pengarah Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran di Kementerian Pelajaran Malaysia. Fenomena keciciran yang wujud sejak dari awal penubuhan sistem pendidikan Malaysia menjadi semakin serius sekitar tahun 1960-an telah membawa kepada pembentangan laporan ini. Laporan ini adalah hasil daripada kajian beliau dalam “Operasi Sedar” yang dilancarkan bagi mengatasi masalah keciciran pelajar di luar bandar akibat kemiskinan tegar dalam tahun 1969. Jawatankuasa bagi kajian ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Jawatankuasa Polisi dan Jawatankuasa Teknikal. Jawatankuasa Polisi dianggotai seramai 10 ahli dan diketuai oleh Encik Murad bin Mohd Noor manakala Jawatankuasa Teknikal pula dianggotai seramai 14 ahli dan diketuai oleh Encik Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin. Selain itu, jawatankuasa laporan ini turut dibantu oleh Profesor Dr. Alan B. Wilson dari Universiti California.

Tujuan laporan ini dibuat adalah untuk mengkaji punca-punca masalah keciciran dan mencadangkan polisi-polisi dan pelan yang boleh dilaksanakan untuk memperbaiki perkhidmatan sistem persekolahan di samping membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar. Laporan keciciran ini merupakan sebuah laporan yang lengkap dan komprehensif kerana dilengkapi dengan hipotesis, statistik sebagai bukti dan menyatakan perkaitan setiap faktor dengan faktor yang lain dalam mempengaruhi masalah keciciran ini. Selain itu, kajian mengenai keciciran ini dilaksanakan di semua negeri yang melibatkan semua jenis kawasan tempat tinggal iaitu bandaraya, kota-kota besar, pekan dan luar bandar, para pelajar pula terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Jurnal Kebajikan Masyarakat" (PDF). Jabatan Kebajikan Masyarakat. 2011. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2015-02-10. Dicapai pada 2015-02-10.
  2. ^ https://www.scribd.com/doc/16670203/LAPORAN-KECICIRAN-MURAD-1972

Pautan luar[sunting | sunting sumber]