Pergi ke kandungan

Matrikulasi di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Matrikulasi merujuk kepada proses kemasukan ke universiti awam, ataupun proses kelayakan untuk masuk ke universiti. Program Matrikulasi KPM diwujudkan disebabkan kurang penyertaan kaum Bumiputera dalam mengambil mata pelajaran aliran sains pada peringkat Tingkatan Enam.

Program matrikulasi merupakan satu program persediaan pra-universiti bagi lepasan SPM (90% Bumiputera dan 10% bukan bumiputera) untuk melanjutkan pelajaran sebelum ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti ataupun kolej universiti.

Program pra-universiti ini sebelum ini dikendalikan sendiri oleh setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sejak lebih 30 tahun yang lalu dengan cara dan corak pelaksanaan yang berbeza.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil alih dan menyatukan program matrikulasi bertujuan untuk menyelaras dan menyeragamkan pelaksanaan program tersebut. Pengambilalihan ini berlaku secara berperingkat dengan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil kumpulan pertama (perintis) di kalangan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan MRSM pada awal tahun 1999.

Selain daripada 9 buah kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia, 2 buah pusat/kolej lain yang turut mengendalikan program ini adalah Kolej MARA Kulim dan Kolej MARA Kuala Nerang.

Walaupun program Matrikulasi dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, ini tidak bermakna peranan universiti awam (IPTA) tidak diperlukan lagi. IPTA terlibat secara langsung dengan penggubalan kurikulum program, penggubalan soalan peperiksaan, penaksiran soalan peperiksaan dan pemeriksaan kertas jawapan peperiksaan.

Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertanggungjawab mengurus rancagan martikulasi ini telah berjaya memenuhi syarat pensijilan MS ISO 9001:2000 dengan audit terkini dilakukan pada 15 - 16 Jun 2009.[1]

Mulai tahun 2008, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan program matrikulasi teknikal khusus kepada bekas-bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) lulusan Sains Teknikal di beberapa kolej di Pendang, Jengka dan Pontian.

Program Matrikulasi diwujudkan pada tahun 1998 merupakan satu program persediaan bagi pelajar Bumiputera untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara. Berdasarkan keperluan semasa bagi menampung pertambahan jumlah pelajar cemerlang, mengisi kekosongan tempat di bidang-bidang sains, profesional dan kritikal khususnya pelajar Bumiputera di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pada tahun 1998, Yab Dato’ Sri Najib bin Tun Haji Abd. Razak, yang pada ketika itu Menteri Pendidikan telah mencetuskan idea mewujudkan Program Matrikulasi di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyeragamkan semua Program Matrikulasi/Asasi yang selama ini dikendalikan oleh IPTA.

Kumpulan pertama pelajar program ini pada tahun 1998 terdiri dari kalangan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Pemilihan pelajar ini berdasarkan kepada keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semasa mereka. Pelajar ini telah ditempatkan di Kolej Yayasan Pendidikan MARA, Bangi (penempatan sementara) kerana pada ketika itu Kolej Matrikulasi KPM belum siap dibina. Pada tahun 1999, dua kolej pertama KPM iaitu, Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) dan Kolej Matrikulasi Labuan (KML) telah membuat pengambilan pertamanya dalam Jurusan Sains dan Perakaunan. Tempoh pengajian selama 1 tahun 6 bulan dalam 3 semester. Ini diikuti dengan pengoperasian 3 buah kolej matrikulasi baru iaitu Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS), Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) dan Kolej Matrikulasi Perlis (KMP) pada tahun 2000.

Pada peringkat awal pengambilalihan sehingga tahun 2002, sejumlah 21 buah IPTS telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan Program Matrikulasi KPM. Pemilihan kolej-kolej ini dibuat melalui satu jawatankuasa khas (Jawatankuasa Validasi) yang merupakan gabungan tenaga pegawai daripada Jabatan Pendidikan Swasta dan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM). Pemilihan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh BMKPM. Bilangan pelajar yang ditempatkan di IPTS pada setiap sesi berbeza, bergantung kepada bilangan tempat yang boleh disediakan oleh kolej matrikulasi KPM.

Untuk memastikan program matrikulasi berada pada landasan yang betul, peringkat awal pengurusan dan pengendalian program telah berpandukan kepada program yang sedia ada di IPTA dengan membuat sedikit pengubahsuaian mengikut keperluan KPM. Kepakaran IPTA masih digunakan dalam urusan penggubalan, penaksiran, pemeriksaan dan juga pembangunan kurikulum serta dalam hal-hal lain yang berkaitan. Malahan kursus-kursus peningkatan profesionalisme pensyarah juga masih menggunakan tenaga pakar dari IPTA.

Program Matrikulasi KPM terus berkembang dengan perubahan tempoh masa pengajian dari 1 tahun 6 bulan kepada 1 tahun (Program Matrikulasi Satu Tahun-PST) pada tahun 2002. Ini diikuti dengan pertambahan beberapa buah kolej baru yang beroperasi mulai tahun 2002, 2003 dan 2010 iaitu Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh), Kolej Matrikulasi Perak (KMPk), Kolej Matrikulasi Johor (KMJ), Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) dan Kolej Matrikulasi Selangor (KMS). Mulai sesi 2003/2004, Program Matrikulasi telah membuka ruang 10% kepada pelajar bukan Bumiputera untuk mengikuti program ini. Pada tahun 2008 pula, Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT) bagi Jurusan Sains telah ditawarkan khas kepada pelajar Bumiputera. Kemudiannya Program Matrikulasi telah memperluaskan Jurusan Sains dengan menawarkan Aliran Teknikal pada tahun 2009. Ini bertepatan dengan matlamat Teras 2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu mengadakan lebih banyak pilihan kepada pelajar dan memberi peluang yang sama kepada semua pelajar lepasan SPM.Tiga (3) buah kolej matrikulasi telah diamanahkan untuk mengendalikan program ini iaitu Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah (KMTK), Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang (KMTPh) dan Kolej Matrikulasi Teknikal Johor (KMTJ).

Pada tahun 2013, dua (2) buah lagi kolej baru telah dibuka iaitu Kolej Matrikulasi Kelantan (KMKt) dan Kolej Matrikulasi Sarawak (KMSw). Peningkatan jumlah permohonan dan pertambahan jumlah kolej matrikulasi KPM telah menyebabkan lebih ramai pelajar cemerlang SPM mampu ditempatkan bagi mengikuti program ini. Sehingga tahun 2013, seramai 30,000 tempat disediakan bagi pelajar PST dan PDT. 15 buah kolej matrikulasi KPM yang beroperasi sepenuh masa pada tahun 2013 dan mengendalikan Program Matrikulasi.

Program Matrikulasi KPM adalah untuk memastikan pembangunan potensi pelajar bumiputera melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di IPT di dalam dan di luar negara dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Semua lulusan Program Matrikulasi KPM dianugerahkan Sijil Matrikulasi KPM yang diiktiraf ke Perkhidmatan Awam mulai tahun 2017.

  • Membangunkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan;
  • Mengeluarkan lulusan Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memenuhi keperluan institusi pengajian tinggi awam dalam bidang sains, teknologi dan profesional; dan
  • Menjana lepasan Program Matrikulasi KPM yang berpengetahuan, kreatif dan berdaya saing.

Struktur Program

[sunting | sunting sumber]

Pendidikan di Malaysia berasaskan sistem pendidikan United Kingdom, maka Program Matrikulasi merupakan salah satu program "pra-universiti" yang berfungsi sebagai laluan persediaan bagi pelajar lepasan SPM. Bahasa pengantar di Kolej Matrikulasi adalah Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu, tetapi subjek sains dan matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Pelajar matrikulasi perlu menghadiri kuliah di kolej dan wajib tinggal di asrama yang disediakan oleh kolej. Jenis pembelajaran di kolej ini merangkumi kuliah, tutoran dan praktikal.

Program Matrikulasi terdiri daripada dua semester. Setiap semester bertempoh 5 bulan. Bagi pelajar program dua tahun (PDT/SES), semester ketiga akan bermula serentak dengan semester pertama bagi pelajar program satu tahun (PST/SDS). Setiap semester mengandungi 18 minggu pembelajaran, 1 minggu ulang kaji, 1 minggu peperiksaan, serta 1 minggu orientasi (hanya bagi semester pertama). Selain itu, terdapat dua cuti pertengahan semester dan satu cuti akhir semester. Pada hujung minggu, pelajar boleh memilih untuk keluar (outing) atau pulang ke rumah sebulan sekali (balik bermalam).

Dari segi kos sara hidup, yuran pengajian dan penginapan bagi pelajar matrikulasi ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Selain itu,pelajar juga menerima Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP) sebanyak RM250 sebulan.

Syarat Permohonan

[sunting | sunting sumber]

Pemohon mesti berumur tidak melebihi 20 tahun semasa permohonan, merupakan warganegara Malaysia, dan calon SPM tahun semasa. Syarat kelayakan minimum kemasukan ke Program Matrikulasi bagi setiap jurusan adalah seperti berikut:

Jurusan Sains SDS

[sunting | sunting sumber]
  • Sekurang-kurangnya gred B dalam mata pelajaran Matematik.
  • Sekurang-kurangnya gred C dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik/Biologi
  • Sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran Sejarah.

Jurusan Sains SES

[sunting | sunting sumber]
  • Sekurang-kurangnya gred C dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik
  • Sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, Kimia, Fizik/ Biologi/ Sains Komputer dan Sejarah

Jurusan Sains Komputer

[sunting | sunting sumber]
  • Sekurang-kurangnya gred C dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan dan Sains Komputer
  • Sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran Sejarah
  • Sekurang-kurangnya gred C dalam 1 mata pelajaran berikut: Fizik/ Kimia / Biologi/ Sains/ Sains Tambahan/ Teknologi Kejuruteraan/ Asas Kelestarian/ Pertanian/ Reka Cipta/ Sains Sukan/ Perniagaan/ Tasawwur Islam/ Pendidikan Syari'ah Islamiah/Prinsip Perakaunan/ Grafik Komunikasi Teknikal/Ekonomi/ Pengajian Kejuruteraan Awam/ Pengajian Kejuruteraan Mekanikal/ Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik

Jurusan Kejuruteraan

[sunting | sunting sumber]
  • Sekurang-kurangnya gred B dalam mata pelajaran Matematik.
  • Sekurang-kurangnya gred C dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan dan Fizik
  • Sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran Kimia dan Sejarah.
  • Sekurang-kurangnya gred C dalam 1 mata pelajaran berikut: Biologi/ Kimia/ Asas Kelestarian/ Pertanian/ Sains Rumah Tangga/ Reka Cipta/ Sains Komputer/ Sains Sukan/ Lukisan Kejuruteraan/ Geografi/ Grafik Komunikasi Teknikal/ Pendidikan Seni Visual/ Pendidikan Syari ah Islamiah/ Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah/ Prinsip Perakaunan/ Ekonomi/ Pengajian Keusahawanan/ Perniagaan/ Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik/ Pengajian Kejuruteraan Awam/ Pengajian Kejuruteraan Mekanikal.

Jurusan Perakaunan

[sunting | sunting sumber]
  • Sekurang-kurangnya gred C dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik
  • Sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran Sejarah
  • Sekurang-kurangnya gred C dalam 3 mata pelajaran berikut: Fizik/ Kimia/ Biologi/ Matematik Tambahan/ Sains Komputer/ Sains/ Sains Tambahan/ Asas Kelestarian/ Pertanian/ Sains Rumah Tangga/Reka Cipta/ Sains Sukan/ Geografi/ Prinsip Perakaunan/ Ekonomi/ Perniagaan/ Pengajian Keusahawanan/ Tasawwur Islam/ Usul Al-Din/ Pendidikan Syari ah Islamiah/ Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah/ Al-Syariah/ Pendidikan Seni Visual/ Grafik Komunikasi Teknikal/ Lukisan Kejuruteraan/ Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik/ Pengajian Kejuruteraan Mekanikal/ Pengajian Kejuruteraan Awam/ Lukisan/ Rekabentuk Kraf/ Reka Bentuk Industri/ Reka Bentuk Grafik/ Multimedia Kreatif/ Hifz Al-Quran/ Maharat Al-Quran

Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro)

[sunting | sunting sumber]
  • Sekurang-kurangnya gred A dalam mata pelajaran Matematik
  • Sekurang-kurangnya gred A- dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris
  • Sekurang-kurangnya gred C dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik Tambahan
  • Sekurang-kurangnya gred A dalam 3 mata pelajaran berikut: Fizik/ Kimia/ Biologi/ Matematik Tambahan/ Sains Komputer/ Sains/ Sains Tambahan/ Asas Kelestarian/ Pertanian/ Sains Rumah Tangga/ Reka Cipta/ Sains Sukan/ Geografi/ Prinsip Perakaunan/ Ekonomi/ Perniagaan/ Pengajian Keusahawanan/ Tasawwur Islam/ Usul Al-Din/ Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah/ Pendidikan Syari ah Islamiah/ Al-Syariah/ Pendidikan Seni Visual/ Grafik Komunikasi Teknikal/ Lukisan Kejuruteraan/ Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik/ Pengajian Kejuruteraan Mekanikal/ Pengajian Kejuruteraan Awam.
  • LULUS ujian aptitud dan termuduga yang dilaksanakan oleh Bahagian Matrikulasi.

Mata Pelajaran

[sunting | sunting sumber]
Jurusan Kod Mata Pelajaran Modul Kod Kursus Wajib
Sains (SDS) SM015/SM025 Matematik 1,2,3 WE013/WE023 Bahasa Inggeris
SK015/SK025 Kimia 1,2,3 WP001 Pengajian Am Matrikulasi
SP015/SP025 Fizik 1,2 WI001/WM001 Pendidikan Islam/Moral
SB015/SB025 Biologi 1,3 WK002 Kokurikulum/Hifz Al-Quran**
SC015/SC025 Sains Komputer 2,3 *Modul 1 = Sains Hayat

*Modul 2 = Sains Fizikal

*Modul 3 = Sains Teknologi

**Mata pelajaran Hifz Al-Quran hanya ditawarkan di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dan Kolej Matrikulasi Kelantan

Sains Komputer
  • Matematik
  • Pengaturcaraan Komputer
  • Asas Pangkalan
  • Data Teknologi Digital
Perakaunan AM015/AM025 Matematik
AA015/AA025 Perakaunan
AE015/AE025 Ekonomi
AP015/AP025 Pengurusan Perniagaan
Kejuruteraan Matematik(SM015/SM025) X
EC015/EC025 Kimia
EP015/EP025 Fizik
EB015/EB025 Basic engineering
Perakaunan Profesional Matematik(AM015/AM025) X
FF015/FF025 Perakaunan Kewangan
FM015/FM025 Perakaunan Pengurusan
FB015/FB025 Perniagaan dan Teknologi
Sains (SES) DM015/DM025 Matematik 1,2,3 DE013/DE023 Bahasa Inggeris
DK014/DK024 Kimia 1,2,3 WP001 Pengajian Am Matrikulasi
DP014/DP024 Fizik 1,2 WI001/WM001 Pendidikan Islam/Moral
DB014/DB024 Biologi 1,3 WK002 Kokurikulum/Hifz Al-Quran**
DC014/DC024 Sains Komputer 2,3

Program Matrikulasi menggunakan sistem Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) untuk mengira pencapaian akademik pelajar. Keputusan pelajar dinilai berdasarkan 11 gred, iaitu: A, A-, B+, B, B-, C+, C, C-, D+, D, dan F. Setiap gred diberikan nilai mata purata, dengan 4.0 sebagai markah tertinggi dan 1.0 sebagai markah terendah. Jika pelajar mendapat gred F, mereka tidak memperoleh sebarang nilai mata (0.0).

Setiap semester, pelajar akan dinilai melalui sistem Penilaian Berterusan (PB) dan Peperiksaan Semester Program Matrikulasi (PSPM). Dahulu, penilaian berterusan merangkumi 20% hingga 40% daripada jumlah markah setiap subjek, tetapi mulai sesi akademik 2020/2021, peratusannya dinaikkan kepada 60%, manakala 40% dari Peperiksaan Semester Program Matrikulasi (PSPM).

PNGK akhir akan dikira berdasarkan PNGS daripada dua semester, di mana jumlah markah kedua-dua semester ditambah dan dibahagikan dengan dua, menghasilkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK)

Pelajar perlu memperoleh sekurang-kurangnya gred C untuk lulus. Pelajar yang mendapat gred C- hingga F dikategorikan sebagai gagal.

Jika PNGK pelajar kurang daripada 2.00 (tidak layak untuk memohon universiti awam) tetapi masih melebihi 1.50, mereka dibenarkan untuk mengulang kursus. Walau bagaimanapun, tempoh pengajian tidak boleh melebihi empat semester (dua tahun).

Gred Mata Nilai Markah Status
A 4.00 80 - 100
Lulus
A- 3.67 75 - 79
B+ 3.33 70 - 74
B 3.00 65 - 69
B- 2.67 60 - 64
C+ 2.33 55 - 59
C 2.00 50 - 54
C- 1.67 45 - 49
Gagal
D+ 1.33 40 - 44
D 1.00 35 - 39
F 0.00 0 - 34

Kontroversi

[sunting | sunting sumber]

Ketidakadilan dalam proses pemilihan UPU

[sunting | sunting sumber]

Walaupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah mendapat pengiktirafan antarabangsa[2], peluang kemasukan lepasan STPM ke universiti awam (IPTA) sangat terhad disebabkan oleh persaingan dari lepasan Program Matrikulasi.

Menurut data akademik tahun 2018/2019, jumlah pemohon lepasan STPM yang memohon ke universiti awam adalah seramai 33197 orang, namun hanya 24375 orang (73.4%) yang berjaya mendapat tempat. Sebaliknya, daripada 20907 pemohon lepasan Program Matrikulasi, sebanyak 20269 orang (96.9%) berjaya diterima masuk ke universiti awam[3]. Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia menegaskan bahawa dasar pengambilan pelajar ke universiti adalah berdasarkan sistem meritokrasi, perbezaan ketara dalam kadar penerimaan menunjukkan kelebihan yang lebih tinggi bagi lepasan Matrikulasi berbanding dengan lepasan STPM dalam proses pemilihan ke universiti awam melalui UPU[4].

Selain itu, terdapat kritikan bahawa STPM adalah laluan yang lebih sukar berbanding dengan Program Matrikulasi, tetapi tidak memberikan kelebihan yang setimpal dalam kemasukan ke program ijazah sarjana muda di universiti awam (IPTA). STPM mempunyai sistem penilaian yang lebih ketat, dengan peperiksaan yang dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan standard akademik yang lebih tinggi. Sebaliknya, Program Matrikulasi hanya memerlukan 10 bulan[5] untuk menamatkan pengajian berbanding dengan STPM yang mengambil masa 1.5 tahun dan mempunyai sistem pentaksiran yang lebih fleksibel, termasuk kuiz (UPS), kerja kursus, dan peperiksaan akhir semester yang lebih mudah. Oleh itu, program ini sentiasa dikritik sebagai "pintu belakang" bagi pelajar Bumiputera masuk universiti[6].

Program Matrikulasi dikenalkan selepas sistem meritokrasi diperkenalkan bagi menggantikan sistem kuota yang berdasarkan kaum bagi kemasukan universiti awam. Hakikatnya, kebanyakan pelajar kursus krtikal di Universiti Penyelidikan (UM, USM, UKM, UPM dan UTM) seperti perubatan, farmasi, pergigian, perundangan, sains komputer dan perakaunan merupakan pelajar lepasan matrikulasi. Sebaliknya, kursus-kursus tersebut hampir tiada pelajar STPM. Kebanyakan kursus-kursus yang kurang popular sentiasa ditawarkan kepada lepasan STPM[7][8][9][10][11].

Isu Kuota

[sunting | sunting sumber]

Tahun 2019

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2019, isu mengenai pengambilan pelajar ke Program Matrikulasi telah mencetuskan perdebatan hangat, terutamanya apabila ramai pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang dalam SPM tidak mendapat tempat dalam program tersebut. Walaupun Menteri Pendidikan Maszlee Malik meningkatkan jumlah tempat daripada 25,000 kepada 40,000, pengagihan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera dan 10% untuk pelajar bukan Bumiputera masih dikekalkan, di mana 5.43% untuk pelajar Cina, 3.72% untuk pelajar India dan 0.85% untuk pelajar lain-lain bangsa[12]. Hal ini telah menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Cina dan India[13].

Selain itu, terdapat juga pandangan bahawa program matrikulasi seharusnya membantu golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mendapat akses kepada pendidikan tinggi tanpa mengira kaum. Namun begitu, dengan mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera, peluang untuk pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan menjadi terhad[14].Terdapat seorang pelajar Cina B40 yang mendapat 8A (6A+, 1A, 1A-, 2B+)[15] pada tahun 2019 tidak ditawarkan ke Program Matrikulasi, sedangkan markah meritnya telah mencapai sebanyak 98.29%[16].

Tahun 2022

[sunting | sunting sumber]

Menurut laporan Malaysiakini, setiap tahun ramai pelajar bukan Bumiputera yang memperoleh keputusan cemerlang dengan banyak bilangan A+ dalam SPM tidak berjaya mendapat tempat dalam Program Matrikulasi dan ramai juga yang gagal ditempatkan dalam program ini walaupun telah membuat rayuan sehingga terpaksa melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6, universiti swasta atau luar negara[17][18].Pada tahun 2022, sekurang-kurangnya 200 orang pelajar India dengan keputusan semua A tidak ditawarkan ke Program Matrikulasi[19].

Tahun 2024

[sunting | sunting sumber]

Pada Jun 2024, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa semua pelajar yang memperoleh 10A atau lebih dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan tempat dalam Program Matrikulasi tanpa mengira kaum atau latar belakang[20]. Keputusan ini bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar dan memastikan akses pendidikan yang lebih adil[21].

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa walaupun langkah ini memberikan pengiktirafan kepada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, kerajaan tetap mempertahankan kuota bumiputera yang sedia ada, di mana 90% ditawarkan kepada pelajar bumiputera manakala 10% kepada pelajar bukan bumiputera[22].

Tahun 2025

[sunting | sunting sumber]

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan penawaran secara automatik ke Program Matrikulasi KPM kepada semua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A dan ke atas mulai sesi 2025/2026. Inisiatif ini dilaksanakan bertujuan untuk memastikan pelajar yang cemerlang ditawarkan secara automatik ke Program Matrikulasi KPM sebagai insentif atas usaha gigih pelajar yang mendapat keputusan terbaik dalam SPM.

Pelajar cemerlang SPM yang memenuhi syarat-syarat berikut akan ditawarkan secara automatik ke Program Matrikulasi tanpa mengambil kira markah PAJSK:

i. mendapat sekurang-kurangnya 10A dan ke atas tanpa mengira kaum, latar belakang dan aliran;

ii. gred A merujuk kepada gred A+ dan A termasuk empat mata pelajaran (Matematik, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik/Biologi) yang dikira merit;

iii. memenuhi syarat am dan syarat khusus yang ditetapkan; dan

iv. telah membuat permohonan ke Program Matrikulasi KPM.

Bagi pelajar-pelajar yang mempunyai gred dengan kombinasi lain (9A+, 8A+1A1A-, 9A1B+), sistem markah merit akan dilaksanakan bagi menentukan pengambilan pelajar berdasarkan kedudukan merit pelajar.

Senarai Kolej Matrikulasi

[sunting | sunting sumber]
No. Negeri/Wilayah Persekutuan Daerah Kawasan Nama Kolej Singkatan Poskod Tahun Penubuhan Keluasan
(km2)
Koordinasi
01  Melaka Alor Gajah Masjid Tanah Kolej Matrikulasi Melaka KMM 78300 1999 0.347 2°19′51″N 102°05′20″E / 2.3309°N 102.0888°E / 2.3309; 102.0888 (KMM)
02  Negeri Sembilan Kuala Pilah Senaling Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan KMNS 72000 2000 0.311 2°42′50″N 102°14′30″E / 2.7139°N 102.2416°E / 2.7139; 102.2416 (KMNS)
03  Pulau Pinang Seberang Perai Utara Kepala Batas Kolej Matrikulasi Pulau Pinang KMPP 13200 2000 0.292 5°29′29″N 100°26′07″E / 5.4914°N 100.4354°E / 5.4914; 100.4354 (KMPP)
04  Perlis Arau Kolej Matrikulasi Perlis KMP 02600 2000 0.327 6°26′35″N 100°16′47″E / 6.4431°N 100.2796°E / 6.4431; 100.2796 (KMP)
05 Wilayah Persekutuan Labuan Labuan Kolej Matrikulasi Labuan KML 87027 2002 0.208 5°21′34″N 115°13′30″E / 5.3595°N 115.2250°E / 5.3595; 115.2250 (KML)
06  Johor Bendera Ledang Tangkak Ledang Kolej Matrikulasi Johor KMJ 84900 2002 0.225 2°17′06″N 102°33′49″E / 2.2851°N 102.5636°E / 2.2851; 102.5636 (KMJ)
07  Perak Kampar Gopeng Kolej Matrikulasi Perak KMPk 31600 2002 0.274 4°26′39″N 101°07′51″E / 4.4442°N 101.1307°E / 4.4442; 101.1307 (KMPk)
08  Kedah Kubang Pasu Changlun Kolej Matrikulasi Kedah KMK 06010 2003 0.306 6°25′27″N 100°25′06″E / 6.4243°N 100.4182°E / 6.4243; 100.4182 (KMK)
09  Pahang Kuantan Gambang Kolej Matrikulasi Pahang KMPh 26300 2003 0.323 3°43′14″N 103°04′31″E / 3.7206°N 103.0752°E / 3.7206; 103.0752 (KMPh)
10  Kedah Pendang Pendang Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah KMKK 06720 2009 0.146 5°52′42″N 100°30′34″E / 5.8783°N 100.5094°E / 5.8783; 100.5094 (KMKK)
11  Pahang Maran Jengka Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang KMKPh 26400 2008 0.178 3°44′32″N 102°33′54″E / 3.7421°N 102.5651°E / 3.7421; 102.5651 (KMKPh)
12  Johor Bendera PontianPontian Rambah Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor KMKJ 82000 2010 0.114 1°26′31″N 103°24′48″E / 1.4419°N 103.4134°E / 1.4419; 103.4134 (KMKJ)
13  Selangor Kuala Langat Banting Kolej Matrikulasi Selangor KMS 42700 2010 0.345 2°49′15″N 101°26′32″E / 2.8209°N 101.4421°E / 2.8209; 101.4421 (KMS)
14  Kelantan Pasir Puteh Selising Kolej Matrikulasi Kelantan KMKt 16810 2014 0.231 5°55′37″N 102°17′09″E / 5.9269°N 102.2859°E / 5.9269; 102.2859 (KMKt)
15  Sarawak Kuching Sejingkat Kolej Matrikulasi Sarawak KMSw 93457 2012 0.129 1°35′50″N 110°25′41″E / 1.5973°N 110.4280°E / 1.5973; 110.4280 (KMSw)
16  Kedah Kulim Kulim Kolej MARA Kulim KMKulim 09000 1999 0.187 5°21′04″N 100°32′18″E / 5.3511°N 100.5384°E / 5.3511; 100.5384 (KMSw)
17  Kedah Padang Terap Kuala Nerang Kolej MARA Kuala Nerang KMKN 06300 2000 0.146 6°14′23″N 100°35′56″E / 6.2398°N 100.5990°E / 6.2398; 100.5990 (KMKN)
  1. ^ Bahagian Matrikulasi Melepasi Audit Pemantauan MS ISO 9001:2000 oleh SIRIM.
  2. ^ "STPM diiktiraf 2,000 universiti luar - Fadhlina". Berita Harian (dalam bahasa Inggeris). 2023-11-30. Dicapai pada 2025-03-17.
  3. ^ "STPM vs matriculation students: Who stands a better chance?". Malaysiakini. 2019-07-05. Dicapai pada 2025-03-16.
  4. ^ Sonicmax (2002-05-16). "How STPM and matriculation differs". Malaysiakini. Dicapai pada 2025-03-16.
  5. ^ liyana (2024-07-03). "Cuti Semester Matrikulasi 2025, Takwim & Tarikh Peperiksaan". eCentral.my (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-03-16.
  6. ^ Chie, Alyaa Alhadjri & Kow Gah (2019-05-06). "Dr M akui matrikulasi 'pintu belakang' Melayu masuk universiti". Malaysiakini. Dicapai pada 2025-03-16.
  7. ^ hollow100 (2024-07-22). "Do public Unis have a quota system for matrics and STPM student?". r/malaysiauni. Dicapai pada 2025-03-15.
  8. ^ "大学预科班学生占尽优势 邹宇晖:STPM生难进马大热门科系 | The Malaysian Insight". www.themalaysianinsight.com (dalam bahasa Cina). Dicapai pada 2025-03-15.
  9. ^ Mah, Osmond (2024-09-20). "Group upset after student with 4.0 CGPA in STPM denied varsity spot". Free Malaysia Today | FMT (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-03-15.
  10. ^ Esmail, Alief (2018-08-05). "M'sians in Debate After 4A's STPM Student Got Rejected by 4 Public Unis - WORLD OF BUZZ". worldofbuzz.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-03-15.
  11. ^ Kwan, Ling (2018-08-06). "Another Straight-A M'sian Student Who Hopes to Be Doctor Rejected by 4 Public Unis - WORLD OF BUZZ". worldofbuzz.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-03-15.
  12. ^ "Increase Indian intake in matriculation programme, senator urges | The Malaysian Insight". www.themalaysianinsight.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-03-15.
  13. ^ HARIAN, WARTAWAN SINAR (2019-04-24). "Kerajaan tambah 40,000 tempat untuk pelajar selesai isu kuota matrikulasi". Sinar Harian. Dicapai pada 2025-03-15.
  14. ^ "Tujuan matrikulasi bantu golongan B40 masuk universiti". Malaysiakini. 2019-05-23. Dicapai pada 2025-03-15.
  15. ^ 八度空间华语新闻 (2019-05-22), 申请大学预科班遭拒  安顺优秀生医生梦碎, dicapai pada 2025-03-15 no-break space character in |title= at position 10 (bantuan)
  16. ^ "三度申请预科班被拒 8A生抱母哭 | 北马 | 地方". 東方網 馬來西亞東方日報 (dalam bahasa Cina). 2019-05-22. Dicapai pada 2025-03-15.
  17. ^ Aun, Lee Hwok (2022-10-07). "LETTER | Unfair matriculation, varsity admissions: From reaction to solution". Malaysiakini. Dicapai pada 2025-03-15.
  18. ^ Ramasamy, P. (2019-04-17). "Have we gone wrong on matriculation intake?". Malaysiakini. Dicapai pada 2025-03-15.
  19. ^ Ramasamy, P. (2022-07-31). "Why discriminate non-Malays in matriculation programme?". Sinar Daily (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-03-15.
  20. ^ Sulaiman, Noor Atiqah (2024-06-30). "Calon SPM dapat 10A dan ke atas dijamin tempat lanjut pengajian - Anwar". Berita Harian (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-03-15.
  21. ^ Ismail, Khuzairi (2024-07-02). "Jaminan SPM 10A ke matrikulasi cetus persaingan sihat - Anuar". MalaysiaGazette (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-03-15.
  22. ^ www.astroawani.com https://www.astroawani.com/berita-malaysia/matrikulasi-kerajaan-jamin-kuota-bumiputera-dikekalkan-pm-477033. Dicapai pada 2025-03-15. Missing or empty |title= (bantuan)