Abdur Rahman bin Abdul Hamid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Latarbelakang[sunting | sunting sumber]

Haji Abd. Rahman Limbong

Nama lengkapnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong. Lahir tahun 1285 H/1868M, meninggal dunia di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.

Haji Abdul Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Di antara gurunya ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya. Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa yang tinggal di Paya Bunga dan seterusnya daripada Tok Ku Paloh.

Haji Abdul Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, adalah seorang pengamal Tarikat Sammaniyah.

Pendakwah[sunting | sunting sumber]

Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai, Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu, antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fekah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri di dalam mengembangkan syiar Islam. Antara tempat yang pernah menerima kunjungan beliau adalah Beserah dan Kuantan di Pahang, Kelantan, Patani, Kedah, Sambas di Kalimantan, Jambi dan Riau di Sumatera dan Brunei.

Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang.

Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.

Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal.

Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.

Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.

Pejuang[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam selok belok persoalan dunia. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri dan adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama.

Dibuang Negeri[sunting | sunting sumber]

Walau bagaimanapun, menurut laporan oleh H. W. Thomson dan J. L. Humphreys, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu. Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian, ulama pejuang Islam berbangsa Melayu itu meninggal dunia di sana.