Ahmad Kamal Abdullah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Dato' Dr.
 Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)
Ahmad Kamal Abdullah

Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah


Tempoh berjawat
2011 – kini
Didahului oleh Dato' Dr. Anwar Ridhwan

Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (lahir 30 Januari 1941 di Gombak, Kuala Lumpur) (nama pena Kemala) adalah seorang penyair terkenal dan Sasterawan Negara (2011) Malaysia.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Ayah Kemala, Abdullah Hj. Daud merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar yang sebelum itu hanya khusus untuk anak golongan atasan sahaja. Dengan itu ayahnya dianggap sebagai “cendekiawan ilmu duniawi” dan fasih pula bertutur dalam bahasa Inggeris. Ibu Kemala, Rukiah Amir pula sangat meminati kesenian. Beliau pandai bercerita dan berkebolehan menyanyikan syair-syair termasyur seperti Dandan Setia, Siti Zubaidah, Selendang Delima dan lain-lain lagi. Di samping itu, ibunya juga kaya dengan perbendaharaan cerita dongeng rakyat. Datuk sebelah bapa Kemala juga merupakan seorang yang berpengaruh. Beliau merupakan seorang imam dan sekaligus guru agama di kampungnya. Daripada beliaulah Kemala mengikuti pengajian agama seperti Tafsir Al-Quran dan Ilmu Fiqah.

Mendapat pendidikan awal di beberapa buah sekolah di Kuala Lumpur. Pada tahun 1956, Kemala belajar di Institut Dharma. Kemudian, dari tahun 1958 hingga 1962, Kemala melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim. Dengan belajar sendiri beliau lulus Sijil Persekolahan pada tahun 1962 dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 1974. Mendapat doktor falsafah (Persuratan Melayu) pada 2000 di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bakat Kemala mulai tumbuh sejak di bangku sekolah rendah lagi. Dia pernah memenangi hadiah mengarang cerita pendek mingguan kanak-kanak Hiburan dengan cerita “Pengembaraan Ahmad”. Bakat beliau diperkembangkan semasa menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Di sana dia diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Pelajaran dan Persuratan bagi Persatuan Penuntut, Presiden Persatuan Bahasa Melayu, Ketua Pengarang Cenderamata dan Ketua Satu Perkumpulan Sastera 60 MPSI. Pada tahun 1961, drama beliau “Sri Lembayung” dipentaskan di MPSI.

Kemala pernah menjadi Guru Pelatih sebelum diterima belajar di MPSI. Selepas menjalani kursus perguruan, Kemala mengajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Baru pada tahun 1962 dan Sekolah Kebangsaan Tiram Buruk, Tanjung Karang dari tahun 1963 hingga 1966. Kemudian dia mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Gong, Pelabuhan Klang dari tahun 1967 sehingga tahun 1968.

Kemala meninggalkan lapangan perguruan pada bulan Mac 1968 dan berkhidmat pula sebagai Penyunting di Dewan Bahasa dan Pustaka. Di sini dia telah diberi tanggungjawab mengelolakan majalah Dewan Pelajar di samping membantu penerbitan majalah-majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya.

Antara tahun 1975 dan 1980, Kemala mengikuti program pengajian luar kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sehingga mencapai Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dengan pengkhususan dalam bidang kesusasteraan. Kemudian dia lulus pula ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1985 dari universiti yang sama.

Dalam organisasi penulis, Kemala pernah menjadi Setiausaha Satu GAPENA (1972 – 1974) dan kemudiannya menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja GAPENA mulai tahun 1974. Beliau juga menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dari tahun 1983 hingga 1984 dan dilantik semula bagi tahun 1986/1987. Pengasas dan Presiden Persatuan Sastera Bandingan Malaysia (sejak 1993).

Pada tahun 1973 dia telah diundang melawat Australia untuk meneliti kegiatan cendekiawan dan seniman Australia dalam bidang sastera dan teater. Dia pernah menyertai Puisi ASEAN 78 di Taman Ismail Marzuki, Jakarta. Pada tahun 1983 dia menyertai APPA I (Apresiasi Puncak Penyair Asean) di Bali, Indonesia. Pada bulan Mei 1986, Kemala telah berkunjung ke Republik Korea atas undangan Foreign Studies Department, Universiti Hankuk, Seoul untuk membaca puisi dan berceramah atas tajuk “Penyair Dunia Menjelang Abad 21”. Beliau juga mengunjungi Universiti Chongju. Di Korea, Kemala telah meneliti perkembangan organisasi penulis di sana serta menjalinkan hubungan GAPENA dengan Persatuan Penulis Korea. Kemudian dia berangkat ke Yugoslavia sebagai peserta “Struga Poetry Evenings” yang diadakan di Struga, Macedonia pada 21 hingga 25 Ogos 1986 dan ikut serta dalam Simposium Puisi Antarabangsa, “Poetry: Dialogue Cross Culture and Civilization”. Atas daya usaha Kemala Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (PPDKL) mula diadakan sejak tahun 1986 dua tahun sekali.

Karya kreatif[sunting | sunting sumber]

Persoalan yang sering diungkapkan dalam puisi-puisi beliau ialah tentang rakyat bawahan seperti petani, nelayan dan kaum buruh. Pada tahun 1970-an kisah yang sering dikemukakan Kemala ialah tentang renungan terhadap kehidupan yang condong kepada aspek-aspek kerohanian[1]. Kumpulan puisi Meditasi telah terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1972, di samping sebuah puisi beliau yang lain berjudul Laut. Puisi Kemala berjudul Maknawi Itu, Kasihku telah terpilih pula memenangi Hadiah Karya Sastera 1975. Kemudian sekali lagi dua buah puisi beliau terpilih pada tahun 1976, masing-masing berjudul “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” dan “Bahawa Cinta itu Kasihku”. Tiga buah puisinya daripada kumpulan ‘Ayn iaitu “Lelabah, Laut”, dan “Cakerawala”, sebuah cerpen “Peti” dan esei Persoalan Penyair dan Kepenyairannya, telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83. Puisi Kemala turut tersiar dalam penerbitan antarabangsa seperti Horison (Indonesia), Hemisphere (Australia), Asiaweek (Hong Kong), dan Journal Pacific (New Zealand).

Sajak-sajak Kemala penuh dengan musik dan irama mendalam. Dia dengan mahir menggunakan segala kebolehan bahasa Melayu dengan mengorak dari bahasa itu kadang-kadang bunyi lembut, kadang-kadang bunyi ekspresif dan meletup. Dia memenuhi setiap barisan puisinya dengan gerakan dan menjadikan setiap sajak sebagai organisma hidupan. Perpaduan perasaan dan cita-cita tinggi yang diresapi dengan cinta yang tak terhingga kepada Tuhan inilah merupakan punca yang tak henti-hentinya daripada ilham kreatif Kemala[2]. Puisinya ialah peleburan bayangan bersuara dan muzik, avangardisme dan motif-motif sufi tradisional serta juga bentuk irama puisi rakyat[3].

Dalam bidang drama pula, di samping telah berjaya menerbitkan buku drama berjudul Di Bumi Lain, drama Kemala Malam Perhitungan telah merebut hadiah terbaik dalam satu peraduan yang dianjurkan oleh Majlis Drama Malaysia pada tahun 1971. Drama yang terbaru ialah Pending Numera (2011).

Buku oleh Anna Pogadaeva tentang Intertekstualiti Puisi Kemala

Setakat ini Kemala sudah menerbitkan 9 kumpulan puisi, iaitu Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktus-Kaktus (1976)[4]., ‘Ayn (1983, 1989)[5], Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), Mim (1999)[6] dan Ziarah Tanah Kudup (2006).

Penghargaan[sunting | sunting sumber]

  • Hadiah Sastera Malaysia/Hadiah Sastera Perdana (1972, 1995, 1999)
  • SEA Write Award, Thailand (1986)
  • Anugerah Dato' Paduka Mahkota (2001)
  • Gelar Pujangga, UPSI (2003)
  • Anugerah Sasterawan Negeri Selangor Darul Ehsan (2005)
  • Anugerah Abdul Rahman 'Auf (2006)
  • Hadiah Sastera Utusan Ecxon (selama beberapa tahun)
  • Sasterawan Negara (2011)


Hasil penulisan[sunting | sunting sumber]

  1. Lanskap ungu :Penerbit UPM, 2010.
  2. Ziarah Tanah Kudup : puisi pilihan 1996-2004 ;DBP, 2006.
  3. CITRA wanita dalam sastera Melayu 1930-1990 / penyelenggara Ahmad Kamal Abdullah & Siti Aisah Murad.  ;DBP, 2000.
  4. REAKSI wawancara dengan sarjana Eropah / penyelenggara Ahmad Kamal & Abdullah Shamsuddin Jaffar  ;DBP, 1997.
  5. JAMBAK 4 : proses kreatif pengarang melayu / diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah & Zaiton Ajamain  ;DBP, 1995.
  6. Jambak 3: proses kreatif pengarang Melayu diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah, Zaiton Ajamain  ;DBP, 1995
  7. Mustika diri : bunga rampai karya penulis wanita 1930-1990 / diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah, Siti Aisah Murad  ;DBP, 1994.
  8. Sempana : himpunan esei penelitian oleh sarjana kesusasteraan Melayu antarabangsa / diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah, Shamsuddin Jaafar & Ahmad Razali Yusof  ;DBP,1994.
  9. Kesusasteraan bandingan dalam perbincangan  ;DBP, 1994.
  10. Puisi baharu Melayu, 1961-1986 / diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah & Ahmad Razali Yusof  ;DBP, 1990.
  11. Gagasan : esei- esei puisi Melayu moden  ;DBP, 1990.
  12. Gejala esei dan kritikan puisi Melayu moden 1955-1986 / diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah.  ;DBP, 1989.
  13. Kumpulan puisi Malaysia = Malaysian poetry 1975-1985.  ;DBP, 1988.
  14. Unsur-unsur Islam dalam puisi Melayu moden  ;DBP, 1988.
  15. Malaysia dalam puisi / diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah & Ahmad Razali Haji Yusof.  ;DBP, 1988.
  16. Tanggapan : pembicaraan karya-karya Shahnon Ahmad / diselenggarakan oleh Safian Hussain, Mohd Thani Ahmad & Ahmad Kamal Abdullah.  ;DBP, 1984.
  17. Puisi-puisi nusantara / diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah.  ;DBP, 1981.
  18. Ahmad Kamal Abdullah. Simbolisme dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-1990. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010

Terjemahan ke dalam bahasa Rusia[sunting | sunting sumber]

Kulit buku Puisi Kemala dalam bahasa Rusia (2001)
  • Kemala. Laut; Karang. Penterjemah E. Shuster dan Victor Pogadaev. - in: Ruchei. Traditsionnaya i Sovremennaya Malayskaya Poezia (Sumur di Ladang. Puisi Melayu Tradisional dan Moden). Penyusun dan prakata B. B. Parnickel. Moscow: Krasnaya Gora, 1996. ISBN 5-87647-006-6
  • Kemala. Stikhi. Iz Sbornikov Raznih Let (Puisi. Daripada Beberapa Kumpulan) [21 sajak]. Penterjemah Victor Pogadaev dan Anna Pogadaeva. Prakata oleh Anna Pogadaeva. Moscow: Humanitary, 2001. ISBN 5-89221-038-3
  • Kemala. Kata; Buku; Mim 27. Penterjemah Victor Pogadaev dan Anna Pogadaeva. - in: Azia i Afrika Segodnya (Asia dan Afrika Hari Ini), Moscow: Akademi Sains Rusia, 2008, № 11, hlm. 75-76.
  • Kemala. Ada; Buku; Mim 42. - in: Pokoryat' Vishinu. Stikhi Poetov Malayzii i Indonezii v Perevodah Victora Pogadaeva (Bertakhta di Atasnya. Puisi Penyair Malaysia dan Indonesia Dalam Terjemahan Victor Pogadaev). Moscow: Klyuch-S, 2009. ISBN 978-5-93136-089-8

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Mohamad Mokhtar Abu Hassan. Proses penciptaan puisi A. Wahab Ali, Dharmawijaya dan Kemala. Kuala Lumpur: NABIL, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1990.
  • Kemala. - in. V. A. Pogadaev. Malayziya. Karmannaya Entsiklopedia (Malaysia. Ensiklopedia Saku). Moscow: "Muravei-Guide", 2000, hlm. 254-255. ISBN 5-8463-0115-0
  • Anna Pogadaeva. Intertekstualiti Dalam Puisi Kemala. Editor Irwan Abu Bakar dan Victor A. Pogadaev. Kuala Lumpur: eSastera Enterprise, 2011 ISBN 978-967-5043-18-5
  • Arbak Othman. Kemala Penyair Hijrah. - in: Dewan Sastera, Julai 2011.
  • Rahman Shaari. Isu dan Gaya Dalam Sajak "Lidah Ibuku" Karya Kemala. - in: Dewan Sastera, Julai 2011.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Victor. A. Pogadaev. Khudozhestvennaya Kultura Yugo-Vostochnoy Azii (Kebudayaan Artistik Asia Tenggara) - in: Mirovaya Khudozhestvennaya Kultura (Kebudayaan Artistik Dunia). Moscow: Badan Penerbit "Vis'shaya shkola", 2001, hlm. 578
  2. Victor Pogadaev. Kemala duduki tempat khusus dalam dunia puisi Melayu - in: Berita Harian, 11.05.2002
  3. Anna Pogadaeva. Penyair Yang Selalu Dalam Kehairanan Menghadapi Misteri Kehidupan - in: Kemala. Stikhi. Iz Sbornikov Raznih Let (Puisi. Daripada Beberapa Kumpulan) [21 sajak]. Penterjemah Victor Pogadaev dan Anna Pogadaeva. Prakata oleh Anna Pogadaeva. Moscow: Humanitary, 2001, hlm.5
  4. Abdul Rahman Hanafiah. Kaktus-Kaktus Karya Kemala: Satu Penganalisaan Stilistika - in: Gejala. Esei Dan Kritikan Puisi Melayu Moden 1955-1986, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989
  5. Shahnon Ahmad, Kata Pengantar. - in: Kemala. ‘Ayn. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983
  6. Mana Sikana. Pengantar - in: Kemala. Mim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999