Melayu Tawau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Masyarakat Melayu sebenarnya bukan sahaja terdapat di Semenanjung Tanah Melayu tetapi juga terdapat di Sarawak, di Kota Pontianak, di Brunei dan di Sumatera. Namun ramai yang tidak mengetahui bahawa masyarakat Melayu juga sebenarnya terdapat di Tawau, Sabah yang jauhnya di hujung Malaysia.[1] Walaupun sejak kemerdekaan, masyarakat Islam di Sabah diwartakan sebagai Bumiputra Islam namun kewujudan bangsa Melayu di Tawau sudah wujud sejak lebih seratus tahun dulu iaitu asmilasi di antara campuran keturunan dan budaya rumpun rumpun Melayu seperti Tidung, Suluk, Arab, Bugis Wajo, Banjar, Jawa, Kokos, Aceh, Boyan, Melayu Malaya ( semenanjung malaysia zaman penjajahan ) dan banyak lagi. Mereka bertutur dan mengamalkan adat dan budaya Melayu dan mereka telah lama wujud di Tawau sejak zaman pemerintahan British, saat pendudukan tentera Jepun dan era kemerdekaan Sabah melalui USNO.

Pemimpin-pemimpin Melayu seperti Penghulu Abu Bakar ( 1899 - 1953 ) dan Datuk Abu Bakar Titingan ( 1920 - 1980 ) adalah pemimpin Melayu yang berjasa dan diingati oleh generasi tua walaupun tidak diketahui oleh generasi muda kini. Masyarakat Melayu Tawau yang nenek moyangnya ini pernah melalui zaman pemerintahan British dan Jepun ini tidaklah sama dengan masyarakat pendatang Indonesia ( Bugis , Toraja , Timor ) dan pendatang Filipina ( Visaya , Tausuq ) yang diberikan taraf kewarganegaraan kerana masyarakat pendatang ini kewujudannya agak baru iaitu selepas kelahiran negara Malaysia dan selepas kewujudan negara mereka sendiri iaitu Indonesia dan Filipina. ( Nota : Melayu Tawau tidak sama dengan kaum bumiputra lain di Sabah seperti Kadazan Dusun , Bajau Kota Belud , Bajau Semporna , Idahan , Sungai , Tidong Kalabakan dan Kedayan . Ini kerana terdapat perbezaan budaya serumpun , perbezaan amalan dan gaya hidup serta perbezaan bahasa pertuturan di antara mereka . )

Tawau[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Tawau

Tawau adalah sebuah tempat begitu unik kerana satu satunya tempat di Sabah yang dihuni masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu Tawau yang wujud lebih seratus tahun dahulu ini adalah terdiri daripada pelbagai suku kaum Melayu yang telah lama hidup bersama dan mengamalkan cara hidup dan budaya yang sama iaitu Budaya Melayu. Walaupun berbeza asal keturunan namun di Tawau, mereka telah wujud dalam satu komuniti yang dipanggil Masyarakat Melayu. Mereka cuma menggunakan satu bahasa sebagai bahasa pertuturan dan pergaulan iaitu Bahasa Melayu Tawau.

Umumnya, masyarakat Melayu Tawau ( native community ) ini adalah kumpulan masyarakat dari gabungan pelbagai rumpun Melayu di Tawau sama ada tercantum melalui hasil perkahwinan campur sesama mereka dan juga hasil perkongsian cara hidup, amalan adat tradisi serta budaya setempat yang ditunjangi oleh agama Islam yang suci sebagai asas panduan utama dalam kehidupan dan disatukan oleh satu bahasa yang indah iaitu bahasa Melayu yang difahami dan dipertuturkan bersama. Masyarakat rumpun Melayu yang terdapat di Tawau adalah seperti Melayu Tidung, Melayu Arab, Melayu Suluk, Melayu Banjar, Melayu Jawa, Melayu Bugis Wajo-Kutei, Melayu Bulungan, Melayu Kokos dan lain-lain. Ini termasuk juga sebilangan kecil masyarakat dari keturunan yang lain seperti Cina-Muslim dan Iban-Muslim yang memilih untuk hidup bersama masyarakat Melayu yang lain. Masyarakat ini telah wujud sekian lama sebelum zaman penjajahan British lagi. Mereka telah membuka penempatan di kuala-kuala sungai dengan hidup sebagai nelayan dan menanam padi bukit. Mereka hidup bersama-sama, berkahwin di antara mereka dan saling mewujudkan masyarakat yang aman damai di Tawau sebelum kedatangan pihak British dan orang-orang Cina.[2]

Masyarakat Melayu Tawau[sunting | sunting sumber]

Semua penduduk tempatan ini telah wujud di Tawau sebagai Masyarakat Melayu Tawau. Pada awal kewujudan Tawau sebagai kampung nelayan suatu ketika dahulu sekitar tahun 1800an, masyarakat yang tinggal di sini ialah masyarakat Melayu (Tidung dan Suluk). Merekalah membuka penempatan di kuala sungai ini dan menamakannya sebagai Sungai Tawau. Di kampung ini, mereka hidup bersama secara aman damai di Tawau ini mengusahakan tanaman padi dan penangkapan ikan secara memancing (tawai) menggunakan perahu kajang serta menjual hasil hutan seperti rotan dan damar. Kewujudan penempatan masyarakat yang strategik di Tawau lama ini mengundang lebih ramai masyarakat Melayu lain untuk datang dan menetap di sini seperti perantau dari Kalimantan (Bugis Wajo-Kutei, Bulungan, Banjar, Iban), Tanah Melayu (Perak, Aceh, Minang, Boyan), Brunei dan lain-lain (Jawa) dan juga golongan peniaga berbangsa Arab dan Habib. Mereka tinggal menetap di sini dan berkahwin dengan masyarakat di Tawau ini. Seterusnya dari nenek moyang ini, melahirkan keturunan yang ramai seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat Melayu Tawau yang hidup dengan satu budaya dan amalan hidup yang sama iaitu budaya Melayu dan amalan agama Islam. ( Nota : Melayu Tidung dan Melayu Suluk adalah penduduk asal di Tawau lama dan merupakan asal-usul bermulanya dan perintis kepada kewujudan bangsa Melayu Tawau yang seterusnya berlaku perkembangan perkahwinan campur dengan perantau-perantau dari Jawa , Banjar , Bugis Wajo , Arab , Malaya , Sumatera dan sebagainya . Sama seperti bangsa Cina di Tawau yang berasal dari pelbagai rumpun seperti Hakka , Hokkein , Kantonis , Foochow , Teochew dan Hainan atau rumpun bangsa India seperti Tamil , Punjab , Malayali dan Telegu )

Setelah British melihat potensi Tawau sebagai kawasan strategik untuk dimajukan, mereka telah mewujudkan pusat pentadbiran di sini dan menjadikan Tawau ini sebagai wilayah mereka yang akan dimajukan dengan kegiatan ekonomi seperti penanaman kelapa dan getah. Sebuah kawasan di Silimpopon, 100 batu dari Tawau telah dikesan akan menjadi sumber arang batu yang menjadi hasil lumayan kepada Syarikat Borneo British. Pembukaan lombong arang batu ini telah membawa sebegitu ramai imigran-imigran Cina untuk datang ke Tawau seterusnya menjadi sebahagian dari masyarakat Tawau pada ketika ini.

Ketika zaman pemerintahan British North Borneo Company ini, pihak British telah melantik Kee Kim Swee atau juga dikenali sebagai OKK Kee Abdullah, seorang berketurunan Cina (Hainan) sebagai Pemeriksa Kastam dan Pemungut Hasil di Tawau pada 16 Oktober 1894. Beliau kemudiannya berkahwin dengan Jumatiah binte Ami Maidin, seorang gadis Melayu Suluk tempatan. Selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan, beliau telah dilantik menjadi Ketua Anak Negeri dan mendapat gelaran Orang Kaya Kaya (OKK) pada tahun 1900an untuk mewakili masyarakat tempatan di Tawau. Beliau mempunyai 18 orang anak dengan isterinya Jumatiah, tiga orang lagi anak dengan isterinya yang lain di daerah Kudat. Setelah beliau meninggal dunia iaitu sebelum Perang Dunia , anak beliau, Kee Abu Bakar(Penghulu Abu Bakar) dilantik menjadi penghulu menggantikan tempat beliau. Pada tahun 1937, terdapat dua orang ketua masyarakat Melayu di Tawau iaitu Penghulu Abu Bakar di Tawau dan Imam Salleh di Kalabakan. Penghulu Abu Bakar ( OKK Abu Bakar) menjadi Penghulu atau ketua masyarakat Melayu Tawau ketika pendudukan Jepun dan terus memegang jawatan itu hinggalah akhir hayatnya pada tahun 1953 dan digantikan oleh sepupu kepada isteri beliau iaitu Penghulu Imam Jainal (OKK).

Walaupun pegawai-pegawai kerajaan di pejabat daerah dan pejabat Residen adalah orang-orang Inggeris, beberapa orang Melayu turut diberi tempat di pejabat-pejabat kerajaan di Tawau. Antara pemimpin-pemimpin Melayu yang diiktiraf British ketika tahun 1922 ialah OKK Kee Abdullah, Habib Sheikh, Imam Mustapha dan Serang Saman. Mereka semua ini menduduki tempat di dalam mahkamah anak negeri (Native Court). Sebelum itu, Habib Sheikh telah menjadi Ketua Masyarakat Melayu (native chief) pada tahun 1912 setelah kematian Sarip Ali, ketua masyakarat terdahulu. Haji Mustapha pula dilantik menjadi imam pada tahun 1916 namun setelah Habib Sheikh meletakkan jawatan pada tahun 1925, Imam Mustapha menggantikan beliau menjadi ketua masyarakat Melayu sebelum jawatan OKK (Orang Kaya Kaya) diperkenalkan oleh British dan jawatan dipegang buat pertama kalinya oleh bekas pegawai British yang beragama Islam iaitu Kee Abdullah (OKK).[3]

Ketika pra-kemerdekaan pula iaitu selepas tahun 1945, telah lahir sebuah persatuan melayu di Tawau yang berperanan besar dalam menyatukan semua orang-orang Melayu di Tawau . Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau ( PKMT ) sebenarnya diasaskan pada tahun 1938 oleh Penghulu Abu Bakar dan kemudian diperkasakan oleh barisan pemimpin muda Melayu ketika itu iaitu Datuk Abu Bakar Titingan sebagai setiausaha PKMT bersama pemimpin pemimpin Melayu yang lain seperti Haji Abdul Karim Drahman, Datuk Kassim Kamidin, Datuk Hj Ahmad Ayid dan Imam Zainal. Persatuan ini ditubuhkan untuk menjaga dan mempertahankan hak dan kepentingan orang-orang Melayu di Tawau. Antara perjuangannya juga ialah memajukan taraf pendidikan anak anak orang orang Melayu ekoran dari perjuangan yang dibangkitkan oleh sebuah persatuan guru-guru sekolah melayu terdahulu iaitu Persatuan Sahabat Pena Tawau yang diasaskan pada tahun 1936 oleh Cikgu Sulaiman dan ( nama sebenarnya ialah Kee Sulaiman iaitu abang sulung kepada Penghulu Abu Bakar ) dan Cikgu Osman ( guru sekolah melayu berasal dari Tanah Melayu yang banyak berjasa di Tawau .

Dari penubuhan persatuan oleh guru guru Melayu , Persatuan Sahabat Pena pada tahun 1936 tercetuslah idea penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau ( PKMT ) pada tahun 1938 . Namun selepas orang-orang Melayu hidup menderita ketika era zaman perang Jepun, persatuan PKMT inilah yang berperanan besar dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyatukan masyarakat Melayu Tempatan. Seterusnya menyahut seruan untuk menyokong dan bersama-sama dengan Tun Datu Mustapa bin Datu Harun melalui parti keramat USNO bagi menuntut kemerdekaan Sabah melalui Malaysia pada 31 Ogos 1963. Pada bulan Mei 1963, dalam mesyuarat agung USNO Tawau, 200 perwakilan telah bersetuju melantik Datuk Abu Bakar Titingan sebagai Pengerusi USNO Cawangan Tawau menggantikan pengerusi sebelumnya OKK Penghulu Jainal yang bersetuju untuk melepaskan jawatan kepada orang yang lebih berwibawa demi kemajuan dan masa depan anak bangsa Melayu di Tawau.

Persatuan Islam Tawau ( PIT ) juga telah ditubuhkan tahun 1955 dahulu yang mana persatuan ini diketuai oleh Imam Zainal sebelum digantikan pada tahun 1956 oleh Haji Abdul Karim Drahman dan dibantu oleh naib pengerusi iaitu menantunya sendiri iaitu Datuk Kassim Kamidin . PIT yang berperanan untuk menjalankan pendidikan dan dakwah Islamiah di Tawau adalah salah sebuah persatuan yang berpengaruh dan telah bergabung dengan persatuan Islam lain di negeri Sabah dan membentuk Persatuan Islam Seluruh Sabah atau dikenali sebagai USIA. Persatuan inilah yang banyak menyumbangkan jasa dan memainkan peranan dalam hal-ehwal masjid dan dakwah islamiah sebelum era kemerdekaan Sabah bersama Malaysia. Ini termasuklah usaha penubuhan satu-satunya sekolah agama di Tawau iaitu Sekolah Islamiah Tawau pada tahun 1970. Sebelum itu, pada tahun 1962, PIT di bawah kepimpinan Haji Abdul Karim turut menyuarakan desakan dan tuntutan daripada 1,300 ahlinya dan mewakili 7000 orang-orang Islam di Tawau pada ketika itu untuk Sabah merdeka bersama-sama Malaysia.

Pada tanggal 16 September 1963, seramai lebih daripada 5000 orang-orang Melayu di Tawau berduyun-duyun datang dan berkumpul dengan rasa syukur dan bangga di Padang Bandaran untuk menyambut detik kelahiran sebuah negara baru Malaysia bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura. Hari yang bersejarah ini dinamakan Hari Malaysia.[3]

Perjuangan orang-orang Melayu di Tawau dan di Sabah umumnya terutama di dalam menegakkan hak dan kepentingan mereka walaupun telah dijajah British dan Jepun lebih 120 tahun adalah didorong oleh keberanian dan kesungguhan para pemimpinnya yang terdahulu. Mengikut sejarahnya, kepimpinan orang-orang Melayu di Tawau adalah mengikut beberapa peringkat. Pada awal 1910an hingga 1920an iaitu ketika awal kedatangan British, pemimpin-pemimpin yang menyumbangkan jasa adalah OKK Kee Abdullah, Habib Sheikh, Imam Mustapha, Encik Alang (berasal dari Sumatera), Serang Saman dan Imam Salleh (Kalabakan). Pada dekad 1930-an dan 1940-an pula iaitu termasuk ketika pendudukan tentera Jepun , barisan kepimpinan orang-orang Melayu dibarisi oleh OKK Abu Bakar, Habib Hussein (dibunuh oleh askar Jepun bersama Stephan Tan dan beberapa pemimpin masyarakat lain), Haji Abdul Karim Haji Drahman (Pengasas Persatuan Islam Tawau) dan Imam Galundang (Tanjung Batu). Manakala di dalam era 1950-an dan 1960-an pula sewaktu perjuangan menuntut kemerdekaan, orang-orang Melayu dipimpin oleh Datuk Titingan, Datuk Kassim Kamidin, OKK Penghulu Jainal, Imam Awang dan Habib Hassan (Pasir Puteh).[3]

Sejarah Masyarakat Melayu di Tawau[sunting | sunting sumber]

Di daerah Tawau ini, masyarakat Melayu telah wujud sejak beratus tahun lama dahulu. ( Buku 'Borneo Under the Sun', tulisan Nicholas Chung, Terbitan Natural History Publication: 2005 ). Penempatan masyarakat Melayu terawal di Tawau ialah di Kuala dan di sepanjang hilir Sungai Tawau atau Tawau Lama iaitu perkampungan nelayan masyakat Melayu keturunan Tidung dan Suluk. Nama Tawau sendiri sebenarnya adalah berasal dari perkataan Tidung yang bermaksud 'Tawai' iaitu cara orang-orang dahulu memancing ikan di sepanjang sungai Tawau. Kemudiannya panggilan itu lebih dikenali dengan sebutan 'Tawao' mengikut panggilan masyarakat Suluk yang merupakan penduduk majoriti di sekitar perairan wilayah Kesultanan Melayu Islam Sulu.[2]( Nota : Tinagat juga dinamakan mengikut panggilan bahasa Tidung yang bermaksud 'tebang'. )

Namun begitu, mengikut sejarah silamnya semasa kewujudan Tawau sebagai sebuah perkampungan nelayan seratus tahun dahulu, terdapat juga sebuah penempatan Melayu Islam tertua di Kalabakan yang pada ketika itu di bawah naungan Kesultanan Bulungan-Tarakan. Pemimpin mereka pada masa itu ialah Bujong Seripa yang kemudian digantikan oleh adiknya Imam Salleh (1923-1958). Tidak jauh dari Kalabakan, terdapat sebuah lagi penempatan lama di Serudong yang diasaskan oleh Datu Alun bersama pengikut-pengikutnya, seorang kerabat diraja Kesultanan Bulungan yang membawa diri dari tanahairnya. Namun kini yang tinggal hanyalah tapak perkuburan bersejarah. ( Nota : Selain dari kerajaan Kesultanan Sulu yang menguasai tanah jajahan di kawasan utara Borneo , terdapat juga beberapa kawasan jajahan yang dikuasai oleh Kesultanan Bulungan ( yang berpusat di Tanjung Palas ) dan Kerajaan Tidung Tengara ( yang berpusat di Tarakan )). Tawau pada masa itu hanyalah sebuah kampung yang belum dimajukan, didiami seramai 200 penduduk kampung yang mendirikan rumah-rumah kampung di tepi-tepi sungai dan di kawasan kuala sungai Tawau. Sebahagian besar muka buminya masih lagi hutan tebal dan belum lagi terdapat sebarang bentuk pembangunan sama ada pejabat kakitangan Kerajaan Inggeris atau sebarang penerokaan hutan untuk pertanian.

Namun setelah kampung Tawau Lama ini dimajukan oleh British sebagai kawasan penanaman kelapa ( kopra ) dan tembakau serta bermulanya aktiviti perlombongan arang batu yang bernilai tinggi di Silimpopon, Tawau Lama kemudiannya bertukar wajah menjadi sebuah pekan yang berkembang maju. Tawau telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran British yang serba lengkap. Pejabat residen Inggeris dan rumah pegawai serta kakitangan Kerajaan Inggeris telah dibina. Begitu juga balai polis, gudang-gudang kastam, rumah sakit dan beberapa sekolah mubaligh turut dibina. Pekan Tawau Lama pula menjadi pekan yang begitu ramai penduduknya dan dipenuhi dengan deretan kedai-kedai kayu.

Pembangunan yang pesat di kawasan Tawau Lama ini menyebabkan ramai masyarakat Melayu khususnya masyarakat Melayu Tidung yang sebelum ini tinggal lama di kawasan Tawau Lama telah berpindah ke kawasan di luar Tawau Lama yang lebih selesa seperti di Kuala Apas dan di Kuala Merotai. Mereka menjadi penduduk dan pemilik tanah di sana hingga ke saat ini. Manakala masyarakat Melayu Suluk pula banyak yang berpindah dari Tawau Lama dan mendiami kawasan perkampungan di Tinagat, Membalua, Ranggu dan Indrasabah. Mereka juga menjadi penduduk tetap dan pemilik tanah di sana hingga ke hari ini. Di Pulau Sebatik juga terdapat perkampungan nelayan Melayu lama di Sungai Tamang sebelum kewujudan pekan Wallace Bay sebagai pusat pentadbiran di sana.[3]

Setelah Syarikat North Borneo British bertapak dan menjadikan Tawau sebagai sumber kekayaan ekonomi mereka, telah membawa perantau perantau, peniaga dan pedagang untuk singgah dan menetap di Tawau. Kehadiran perantau perantau Bugis Wajo dari Kutei dan Sengkang ( Puado dan Mepata ) untuk membuka kebun kebun kelapa serta kehadiran ramai lagi perantau Melayu yang lain sama ada Arab, Banjar, Jawa dan Melayu Malaya mewujudkan masyarakat Melayu yang pelbagai. Manakala kehadiran imigran-imigran dari tanah besar Cina untuk membuka kedai dan bekerja di lombong arang batu di Silimpopon serta kehadiran pegawai-pegawai Inggeris serta polis polis berbangsa Sikh telah mewujudkan pelbagai komuniti pelbagai bangsa di Tawau.

Selepas itu, barulah wujud ladang ladang getah yang dibuka oleh ahli peniagaan dari Jepun seperti Kuhara Plantation milik Mr Kuhara seperti Ladang Merotai, Ladang Table, Ladang Tiger dan Ladang Sungai Imam dan juga Kubota Plantation milik Mr Kubota. Selepas perang Jepun tamat, ladang-ladang kepunyaan bangsa Jepun seperti Kuhara Plantation ini diambilalih sepenuhnya oleh British dan ditukarkan namanya kepada Borneo Abaca Limited ( BAL ). Begitu juga dengan kewujudan North Borneo Timber ( NBT ) yang berpusat di Wallace Bay pada awal era pemerintahan British yang bertujuan memonopoli sumber kekayaan hasil kayu balak di Tawau pada ketika itu.

Kedatangan masyarakat berbangsa Cina pula pada mulanya ialah untuk bekerja sebagai pelombong arang batu di Silimpopon, 80 km dari Tawau pada era 1900an. Cowie Harbour Coal Company telah ditubuhkan pada tahun 1905 untuk memonopoli kekayaan sumber arang batu di Tawau dan menarik minat orang-orang Cina dari Tanah besar China untuk berhijrah ke Tawau. Setelah lombong arang batu ini tutup, mereka mendiami pula kawasan bandar baru di kawasan yang dipanggil 'Tanjung' setelah Tawau Lama ditinggalkan kerana kawasannya kurang strategik. Kemudiannya, ramai di kalangan orang-orang Cina ini menceburi bidang perniagaan di kalangan masyarakat tempatan. Mereka pada asalnya membuka perniagaan kecil-kecil seperti menjual minyak gas, beras, ikan dan sayur untuk keperluan masyarakat tempatan. Namun dengan kesungguhan mereka dalam perniagaan, mereka telah mampu mengisi di rumah-rumah kedai yang disediakan pihak British di Pekan Tanjung dan berjaya menjadi kaya raya hingga ke hari ini.

Akhirnya Tawau Baru ( yang berpindah lokasi di Kawasan Tanjung )menjadi pekan yang bertambah maju dengan terbinanya pelbagai kemudahan awam yang disediakan kerajaan British pada masa itu. Kerajaan British juga banyak membina kemudahan infrasruktur di Pekan Tawau melalui PWD iaitu sebuah jabatan kerajaan yang ditanggungjawabkan untuk membina semua jalanraya di Tawau yang menghubungkan kampung kampung dengan Pekan Tawau. Selain itu, hospital, sekolah, balai polis dan pasar-pasar, rumah-rumah kedai juga dibina termasuklah pelabuhan Tawau yang merupakan laluan dan pintu masuk utama ke Tawau pada masa itu.

PKMT, PIT dan USNO[sunting | sunting sumber]

Semasa Tawau berada di bawah pemerintahan British yang diwakilkan oleh Residen (Alexander Rankin Dunlop sebagai Residen Inggeris yang pertama dilantik pada 1 Mac 1889) dan Pegawai Daerah Inggeris (John H. Molyneux adalah Pegawai Daerah Inggeris yang pertama dilantik pada 7 Mei 1903), komuniti di Tawau boleh dikatakan terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu masyarakat Melayu peribumi, masyarakat bangsa Cina dan masyarakat bangsa Inggeris sebagai pemerintah dan pegawai kerajaan (termasuklah anggota polis berbangsa Sikh yang dibawa dari negara India). Ketika itu, orang-orang Melayu telah memilih pemimpin di kalangan mereka sebagai wakil mereka yang diktiraf oleh kerajaan British sebagaimana British (termasuk juga komuniti bangsa Cina) mengiktiraf kewujudan orang-orang Melayu sebagai masyarakat peribumi di Tawau.[2]

Jawatan Ketua Masyarakat (dalam bahasa Inggeris, native chief) dan jawatan Imam telah diperkenalkan oleh British secara rasmi sekitar tahun 1900-an dan kemudian diwujudkan pula jawatan Penghulu atau Ketua Anak Negeri dengan gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK). Pemimpin-pemimpin Melayu ini memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan orang-orang Melayu terbela terutamanya di dalam urusan pentadbiran dan hal-ehwal agama Islam. Habib Sheikh telah memegang jawatan rasmi Ketua Masyarakat pada 1912 manakala jawatan Imam dipegang oleh Imam Mustapha pada 1916. Pada tahun 1922, mereka bertiga, Habib Sheikh, Imam Mustapa dan Kee Abdullah ( telah berusia 60 tahun ) adalah wakil orang-orang Melayu dan kedudukan mereka adalah secara rasmi di dalam Mahkamah Anak Negeri (dalam bahasa Inggeris, Natives Court).

Sebelum itu, ketika awal pembukaan pekan Tawau sebagai pusat pentadbiran British , Kee Abdullah ( semasa muda ) telah menjadi pegawai kerajaan British di Tawau. Kee Abdullah turut bekerjasama dengan seorang lelaki berketurunan Bugis Wajo iaitu Pua Ado ( yang dianggap British sebagai pemimpin masyarakat Melayu Tawau diberi gelaran Penghulu Puado ) untuk mentadbir bandar Tawau terutama segala urusan yang melibatkan orang-orang Melayu. Semasa itu, British telah menghantar wakil mereka iaitu Alexander R. Dunlop sebagai residen ( 1 Mac 1899 ), beberapa orang pegawai berbangsa Inggeris dan ramai anggota polis berbangsa Sikh. Tawau pada ketika itu juga telah didiami masyarakat Cina yang melibatkan diri dalam perniagaan kedai dan aktiviti perlombongan arang batu di Silimpopon ( 1900 ) dan mereka ini juga mempunyai pemimpin mereka sendiri.

Penghulu Puado ketika itu dianggap sebagai Ketua Masyarakat orang-orang Melayu di Tawau oleh pihak British kerana kewibawaan dan beliau sangat dihormati oleh masyarakat tempatan. Beliau menjadi pemimpin sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1902.[4][5] Kekosongan jawatan pemimpin masyarakat ini berterusan sehinggalah Sarip Ali diberi kepercayaan untuk menjadi ketua masyarakat yang seterusnya dan diberi gelaran 'Suluk Chief' pada tahun 1905. Beliau menjadi pemimpin selama 7 tahun sebelum tempat beliau digantikan oleh Habib Sheikh pada tahun 1912. Manakala jawatan Ketua Anak Negeri yang mendapat gelaran OKK atau Orang Kaya-Kaya ini hanya diperkenalkan oleh British di seluruh jajahan Borneo Utara pada akhir 1920an.

Ketua Anak Negeri yang pertama di Tawau ialah Kee Abdullah dan dengan itu beliau diberi gelaran OKK Kee Abdullah. Beliau secara rasmi menjadi pemimpin masyarakat Melayu di Tawau untuk menggantikan Imam Mustapa ( menjadi 'native chief' pada tahun 1925 ). Perlantikan ini adalah sangat bertepatan dan beliau adalah calon yang paling layak. Ini kerana jasa-jasa beliau yang besar semasa muda iaitu semasa menjadi beliau menjadi pegawai kerajaan British dan menjadi orang kepercayaan Residen Inggeris, Alexander Rankin Dunlop. Selain itu dalam usia beliau yang menjangkau lebih 60 tahun dan telah lama hidup sebagai orang Melayu yang sanggup hidup susah dan senang bersama-sama orang-orang Melayu yang lain, beliau sangat dihormati. Pengalaman hidup dan pengetahuan Kee Abdullah yang luas menjadikan pengaruh dan nama beliau sangat kuat di kalangan masyarakat pada ketika itu. OKK Kee Abdullah menjadi pemimpin masyarakat Melayu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1937 dan seterusnya anak beliau , OKK Kee Abu Bakar ( Penghulu Abu Bakar ) pula menjadi pemimpin masyarakat. Penghulu Abu Bakar adalah pemimpin ketika orang-orang Melayu di Tawau melalui detik detik yang paling sukar iaitu semasa Tawau dijajah dan ditadbir oleh tentera Jepun.( Rujuk : Buku ' Tawau : The Making of a Tropical Community : tulisan Ken Gotlet : Terbitan Opus Publication 2009)

Mengikut sejarahnya sebelum kedatangan British lagi, telah wujud pemimpin-pemimpin Melayu yang berwibawa dan sangat dihormati. Antaranya Imam Sabah (Apas) , Bujong Seripa (Kalabakan) dan Datu Alun (Serudung). Namun kewujudan pemimpin-pemimpin masyarakat Melayu ini ketika itu tidak diiktiraf secara rasmi oleh pihak British dan hanya menjadi sejarah dalam ingatan dan hati orang-orang Melayu Tawau.

PKMT[sunting | sunting sumber]

Setelah bertahun-tahun dijajah British ditambah pula dengan pemerintahan tentera Jepun yang kejam (dari 1942 hingga 1945), orang-orang Melayu telah bangkit dan sedar tentang pentingnya mereka mewujudkan perpaduan di kalangan mereka untuk melahirkan kekuatan bagi melawan sebarang ancaman yang mengugat maruah dan nyawa mereka serta menjamin masa depan anak-anak bangsa dan cucu-cicit mereka agar tidak terus dalam kehinaan dan dipandang rendah oleh bangsa asing. Renteten itu, pada tahun 1945 selepas perginya tentera Jepun ( salah seorang pemimpin Melayu iaitu allahyarham Habib Hussein telah dibunuh askar Jepun dengan kejam ), orang-orang Melayu di bawah kepimpinan Datuk Abu Bakar Titingan ( anak didik dan menantu Penghulu Abu Bakar ), Datuk Kassim Kamidin, Datuk Ahmad Ayid ( ahli perniagaan berketurunan Arab ) dan Penghulu Jainal telah bersatu di bawah pertubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT). Rujuk : Buku ' Tawau : The Making of a Tropical Community : tulisan Ken Gotlet : Terbitan Opus Publication 2009

Pada ketika itu, orang-orang Cina di Tawau telah pun menubuhkan beberapa pertubuhan untuk bangsa Cina bagi membantu orang-orang Cina di Tawau terutama di dalam memajukan ekonomi orang-orang Cina. Sebaliknya orang-orang Melayu yang rata-ratanya hidup serba sederhana amat mengharapkan pemimpin mereka untuk membela nasib mereka lebih-lebih ketika berada di dalam pemerintahan orang-orang Inggeris. PKMT telah memainkan peranan bukan sahaja untuk mengeratkan perpaduan di kalangan orang-orang Melayu melalui aktiviti kemasyarakatan malahan kewujudannya mencerminkan bahawa orang-orang Melayu perlu dipandang tinggi sebagai penduduk asal daerah ini walaupun tidak sekaya orang-orang Cina yang menguasai ekonomi di Tawau atau sehebat orang-orang Inggeris sebagai pihak pemerintah.

PIT[sunting | sunting sumber]

Seterusnya pada tahun 1956, diwujudkan pula pertubuhan Persatuan Islam Tawau (PIT) yang diketuai oleh Abdul Karim Haji Drahman. PIT telah tampil dengan semangat perjuangannya untuk membela nasib kaum Melayu yang semuanya adalah beragama Islam. Kesucian agama Islam adalah menjadi matlamat PIT agar ia terus terpelihara. Penyebaran dakwah dan aktiviti keagamaan termasuklah pembinaan masjid-masjid telah dijalankan sama ada dengan bantuan kerajaan ataupun dengan sumbangan orang ramai. Akhirnya PIT dibubarkan setelah peranannya untuk menjaga dan menyebarkan dakwah Islamiah diambil alih oleh Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA).

USNO[sunting | sunting sumber]

Yang lebih membanggakan pasa tahun 1961 orang-orang Melayu di Tawau telah bersatu dengan seluruh bangsa kaum bumiputera Islam lain di seluruh negeri Sabah di bawah naungan Pertubuhan Bangsa Sabah Bersatu (USNO) yang diketuai oleh Datuk Abu Bakar Titingan sebagai Pengerusi USNO Tawau (1963) ketika itu adalah saat-saat akhir sebelum Sabah bebas dari penjajahan dan merdeka bersama Malaysia. USNO adalah tunggak keutuhan orang-orang Melayu di Tawau yang telah berjasa membantu dan meningkatkan taraf ekonomi orang-orang Melayu melalui Yayasan Sabah. Ramai orang-orang Melayu yang serba kekurangan amat terhutang budi kepada Datuk Abu Bakar Titingan di atas jasa-jasanya semasa menjadi pemimpin masyarakat Melayu Tawau sama ada ketika menjadi pengasas PKMT ataupun wakil rakyat USNO ketika awal kemerdekaan Sabah dahulu.

Budaya Masyarakat Melayu di Tawau[sunting | sunting sumber]

Seperti juga masyarakat Melayu di lain-lain tempat seperti di Brunei, di Sarawak. di Singapura ataupun di Semenanjung Malaysia, masyarakat Melayu Tawau mengamalkan adat dan budaya Melayu. Orang-orang Melayu Tawau hidup selama ratusan tahun dengan mengekalkan adat dan budaya Melayu mereka yang berteraskan agama Islam.

Keunikan masyarakat Melayu di Tawau ini ialah mereka sebenarnya terdiri daripada pelbagai rumpun Melayu seperti Melayu Bugis, Melayu Suluk, Melayu Arab, Melayu Jawa, Melayu Tidung, Melayu Banjar, Melayu Brunei, Melayu Bulungan dan berbagai lagi rumpun Melayu seperti Melayu Boyan dan Melayu Aceh termasuk juga Cina muslim dan Iban muslim. Namun mereka telah hidup bersama di dalam satu adat dan budaya yang sama selama ratusan tahun. Lebih-lebih lagi dengan berlakunya perkahwinan campur di antara mereka. Setelah hidup bersama selama ratusan tahun inilah yang mewujudkan sebuah bangsa baru iaitu masyarakat Melayu Tawau yang wujud dengan adat dan budaya yang tersendiri. Sama seperti wujudnya bangsa manusia dimana bermula dengan Adam dan Hawa dan kini wujud dan bersatu dalam satu bangsa sahaja iaitu Melayu Tawau. Inilah yang difahami oleh orang-orang Melayu Tawau dan mereka telah membuktikannya dengan menubuhkan PKMT iaitu PERSATUAN KEBANGSAAN MELAYU TAWAU pada 1945 dan juga seterusnya menubuhkan PERSATUAN ISLAM TAWAU ( PIT ) pada tahun 1956. Rujuk : Buku ' Tawau : The Making of a Tropical Community : tulisan Ken Gotlet : Terbitan Opus Publication 2009

Oleh kerana agama Islam menjadi tunjang kepada kehidupan masyarakat Melayu Tawau, banyak aktiviti keagamaan menjadi amalan dan tradisi di sini. Misalnya aktiviti kenduri tahlil atau di sini dikenali sebagai ' Kenduri Arwah' yang diadakan pada penghujung bulan Syaaban iaitu sebelum tibanya bulan Ramadhan. Selain itu, di sini juga diadakan amalan 'Bergunting Rambut' iaitu untuk meraikan kelahiran bayi dalam sesebuah keluarga. Ketika majlis ini berlangsung adalah kemestiannya ialah diadakan Bacaan Berzanji dan kemudian Bacaan Selawat secara berdiri dan setiap tetamu digalakkan untuk menggunting sedikit rambut bayi yang diraikan. setiap tetamu juga akan diberikan 'Bunga Telur' sebagai hadiah untuk dibawa pulang.

Bagi adat perkahwinan masyarakat Melayu Tawau, ianya sama seperti masyarakat Melayu yang lain iaitu dimulakan dengan adat merisiḑk, meminang, bertunang, akad nikah dan bersanding. Namun di Tawau, adat membuat hantaran kahwin dikenali sebagai 'Adat Menghantar Jujuran'. ketika majlis persandingan pula, pihak lelaki akan diarak beramai-ramai dengan perarakan yang dibawa bersama 'bunga manggar' dan paluan kompang ke rumah pihak perempuan untuk acara majlis persandingan. Pihak lelaki juga akan ditabur degan 'beras kunyit' ketika sampai di rumah pihak perempuan.

Pakaian Tradisi orang-orang Melayu juga sama seperti Melayu di Semenanjung, Brunei dan di Sarawak iaitu pakaian Melayu ( cekak Musang atau Teluk Belanga ), bersamping dan bersongkok manakala wanitanya pula berbaju kurung atau baju kebaya. Di sini , wanita juga memakai kain songket Arab dan memakai kain batik Jawa kerana budaya Arab dan budaya Jawa juga sedikit mempengaruhi budaya masyarakat Melayu di sini sejak ratusan tahun. Di sini, lelakinya juga biasa berkain pelikat atau kain sarung dan 'Berbaju Selangur' iaitu nama panggilan melayu Tawau kepada Baju Melayu.

Makanan tradisi di Tawau juga ada persamaan dan ada juga kelainannya. orang-orang Melayu Tawau begitu menggemari 'nasi kuning' atau nasi kunyit yang dimakan bersama ikan sambal dan serunding kelapa ketika sarapan pagi. Masakan lauk pauk dan gulainya pula mungkin dipengaruhi dari Arab dan India seperti ikan dan ayam yang dimasak gulai masak putih, gulai masak kurma dan gulai masak kari. Selain itu, makanan kampung yang agak popular di kalangan masyarakat tempatan seperti gulai rebung, nangka atau jantung pisang masak lemak, gulai nenas masak paceri, kerabu pucuk ubi( urap ), kerapu pucuk paku dan ikan sembilang asam pedas. Makanan kudapan tradisional yang digemari pula ialah keropok belinju, keropok tempeyek, cendol dan bubur kacang hijau bersagu. Selain itu, makanan Jawa, makanan Bugis,makanan Banjar dan makanan Melayu lain seperti gado-gado atau pecal, soto dan sate juga amat popular di sini. Kuih-muihnya pula ialah kuih baulu, kuih penyaram, kuih dodol, kuih wajik, kuih terang bulan, kuih karipap, kuih apam, kuih talam dan kuih onde-onde.

Pertuturan Melayu Tawau[sunting | sunting sumber]

Semua masyarakat Melayu di Tawau bertutur dalam bahasa Melayu loghat tempatan. Walaupun ada persamaan yang ketara dengan bahasa Melayu yang dipertuturkan di tempat-tempat lain namun terdapat juga sedikit perbezaan. Contohnya sebutannya adalah lebih kepada sebutan Baku. Misalnya sebutan 'kitaa',,'kamii' dan 'kauu'. Terdapat juga setengah perkataan tertentu yang disebut dengan penambahan bunyi untuk menguatkan perkataan tersebut. Misalnya sebutan 'bapak' dan 'tigak'. Manakala perkataan lain yang tidak sama seperti bahasa Melayu lain pula ialah seperti 'ndak' yang bermaksud 'tidak' dan 'mamak' yang membawa maksud 'ibu' atau 'emak'. Dan sama seperti semua orang Sabah yang bertutur dalam bahasa Melayu selalunya di hujung atau di tengah ayat pertuturan biasanya akan ditambah dengan perkataan 'ba'. Misalnya 'mau kemana ba' , 'siapa ba namamu' atau 'manala ba aku tahu'.


Kehadiran Pendatang dari Indonesia dan Filipina[sunting | sunting sumber]

Kemajuan Tawau sebagai pusat pertanian ladang seperti koko, getah, abaka suatu masa dulu dan terkini penanaman kelapa sawit telah menarik minat ramai pendatang dari negara lain. Tawau adalah pintu masuk terdekat untuk ke Malaysia bagi masyarakat pendatang Indonesia. Kebanyakan pendatang Indonesia dari keturunan bangsa Bugis, bangsa Timor dan bangsa Toraja. Terdapat juga pendatang Indonesia yang berbangsa Jawa dan Butun yang datang ke Tawau. Manakala dari pendatang dari Filipina pula ialah daripada bangsa Visaya dan Tausuq. Kaum pendatang ini bukan sahaja bekerja di ladang ladang tetapi juga terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan. Misalnya, bangsa Toraja amat dikenali dengan penanaman sayuran, bangsa Bugis dikenali dengan perniagaan di pasar dan bangsa Suluk dikenali dengan gerai jualan jam tangan dan barangan kulit.

Masyarakat pendatang dari Indonesia dan Filipina ini bertutur dengan bahasa Melayu dalam gaya dan loghat yang berlainan dengan loghat masyarakat tempatan. Masyarakat bangsa Bugis misalnya masih menyelitkan bahasa ibunda mereka dalam pertuturan harian. Begitu juga dengan masyarakat bangsa lain seperti masyarakat bangsa Tausuq dan masyarakat bangsa Timor. Cara hidup, budaya dan adat resam mereka juga agak berlainan. Mereka mengamalkan cara hidup dan budaya dari kampung kelahiran asal mereka. Misalnya, majlis perkahwinan dan kenduri masyarakat pendatang ini adalah mengikut tradisi bangsa masing masing. Walau bagaimana, banyak di kalangan telah pun memilih untuk mengamalkan adat dan budaya Melayu tempatan Tawau setelah lama bersama-sama hidup dengan masyarakat tempatan di Tawau ini. Banyak di kalangan mereka telah pun diberi taraf kerakyatan Malaysia. Rujuk : Daftar Banci Imigresen 2000

Nota Kaki[sunting | sunting sumber]

  1. Rujuk: Data Penduduk Peribumi Negeri Sabah, Muzium Negeri Sabah dan Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tawau dan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah
  2. 2.0 2.1 2.2 Buku 'Borneo Under the Sun', tulisan Nicholas Chung, Terbitan Natural History Publication: 2005.
  3. 3.0 3.1 3.2 3.3 Ken Gotlet (2009). Tawau: Making the Tropical Communities. Opus Publication. 
  4. 2,000 sanak saudara Kee hadiri perhimpunan Jejak Kasih
  5. Historical d cultural gallery for Tawau mooted - Ministry of Tourism

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tawau dan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah
  • Muzium Negeri Sabah