Perang Aceh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Perang Aceh
ڤرڠ اچيه
Generaal Kohler sneuvelt in de Mesigit.jpg
Jeneral J.H.R. Köhler terbunuh di Mesigit
Maklumat am
Tarikh 1873—1913[1]
Lokasi Aceh, Indonesia
Hasil Kemenangan Belanda
  • Permulaan penjajahan Belanda ke atas Aceh.
Perubahan wilayah Aceh diserahkan kepada Syarikat Hindia Timur Belanda.
Pihak yang berperang
Flag of the Netherlands.svg Belanda Flag of the Aceh Sultanate.png Kesultanan Aceh
Flag of the Aceh Sultanate.png Alim ulama Aceh[1][2]
Komander dan pemimpin
Flag of the Netherlands.svg Mejar Jeneral Johan Harmen Rudolf Köhler†
Flag of the Netherlands.svg Jeneral Jan van Swieten
Flag of the Netherlands.svg Mejar Jeneral Karel van der Heijden
Flag of the Netherlands.svg Jeneral J.B. van Heutsz (1898-1904)[1]
Flag of the Netherlands.svg Leftenan Jeneral J.C. van der Wijck (1904-05)[1]
Flag of the Netherlands.svg G.C.E van Daalen (1905-08)[1]
Flag of the Netherlands.svg H.N.A. Swart (1908-13)[1]
Flag of the Aceh Sultanate.png Sultan Mahmud Syah[3]
Flag of the Aceh Sultanate.png Sultan Ibrahim Mansur Syah (1874-1903)[4]Flag of the Aceh Sultanate.png Tuanku Raja Keumala[1]
Flag of the Aceh Sultanate.png Tuanku Mahmud[1]
Flag of the Aceh Sultanate.png Teuku Panglima Polem Muda Perkasa[3]
Flag of the Aceh Sultanate.png Teuku Umar[5]
Flag of the Aceh Sultanate.png Cut Nyak Dhien[6]
Kekuatan
3,000 tentera (Ekspedisi Aceh Pertama)[3]
13,000 (Ekspedisi Aceh Kedua)[3]
12,000 tentera KNIL Eropah (1903)[2]
23,000 tentera KNIL Indonesia[2]
10,000-100,000 tentera[7]
Kerugian dan kehilangan
37,000 terbunuh[2] 60-70,000 terbunuh[2]
10,000 menjadi pelarian[2]
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Leftenan Jeneral Van Heutsz sedang memerhatikan pasukannya sewaktu Perang Aceh

Perang Aceh ialah perang antara Kesultanan Aceh dengan Belanda antara tahun 1873 hingga tahun 1904. Kesultanan Aceh menyerah kalah kepada Belanda pada tahun 1904 akan tetapi tentangan rakyat Aceh terhadap Belanda berlanjutan dengan perang gerila. Perang Aceh juga dikenali sebagai Perang Belanda ataupun Perang Kafir. Perang Aceh merupakan sebahagian daripada siri pertempuran pada kurun ke-19 yang memantapkan pemerintahan Belanda ke atas Indonesia moden.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Pada sebahagian besar abad ke-19, kemerdekaan Aceh dijamin oleh Perjanjian Inggeris-Belanda 1814 dan juga taraf Aceh sebagai negeri naungan Empayar Uthmaniyyah semenjak abad ke-16. Pada tahun 1820-an Aceh menjadi kuasa politik dan perdagangan serantau, dan membekalkan separuh daripada bekalan lada hitam dunia yang meningkatkan pendapatan dan pengaruh raja-raja feudal tempatan.[8] Permintaan bagi lada hitam yang meningkat di Eropah dan Amerika Syarikat membawa kepada pergeseran bersenjata antara pihak British, Perancis dan Amerika. Di bawah pemerintahan Sultan Tuanku Ibrahim (1838–1870), Kesultanan Aceh berjaya mengawal raja-raja tempatan dan memanjangkan kuasa kesultanan ke pantai timur.[8] Namun, pengembangan kuasa Aceh di utara membawa pertembungan dengan pihak Belanda yang sedang meluaskan pemerintahan kolonialisme di Sumatera.[8]

Berikutan pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 serta perubahan dalam laluan perkapalan, pihak British dan Belanda memeterai Treati Sumatera Inggeris-Belanda 1871 yang menamatkan tuntutan British terhadap Sumatera dan membenarkan Belanda memperluaskan pengaruh mereka terhadap Asia Tenggara maritim sambil menggalas tanggung jawab menangani aktiviti-aktiviti lanun.[3] Sebagai balasan, pihak British memperoleh kawalan ke atas Dutch Gold Coast di Afrika dan hak perdagangan yang sama dengan Belanda di Siak.[7] Keinginan Belanda memperluas wilayah didorong oleh kehadiran sumber asli, terutamanya lada hitam dan minyak, dan juga untuk menghapuskan kuasa negara tempatan. Belanda juga ingin mengelak kuasa kolonial lain, khususnya Britain dan Perancis, daripada berkembang di Asia Tenggara.[9]

Operasi-operasi Tempur[sunting | sunting sumber]

Ekspedisi Aceh Pertama ataupun perang pertama (1873-1874) melibatkan tentera Kesultanan Aceh yang dipimpin Panglima Polim dan Sultan Mahmud Syah yang menentang tentera Belanda di bawah pimpinan Jeneral Kohler. Tentera Aceh berjaya menewaskan Kohler dengan 3,000 orang tenteranya dan Kohler sendiri terbunuh pada April 1873.

Strategi[sunting | sunting sumber]

Pihak Belanda mencuba strategi demi strategi dalam waktu beberapa dasawarsa. Pada tahun 1873 mereka mencuba dengan satu serangan pantas, namun gagal. kemudian mereka mencuba kepungan laut, perdamaian, berkumpul dalam barisan kota-kota, dan kemudian pembendungan secara pasif. Mereka tidak berjaya. Dengan perbelanjaan yang menghampiri 15 ke 20 juta guilder setahun, keadaan ini nyaris-nyaris menjadikan kerajaan kolonial muflis.[10]

Serangan Belanda pertama[sunting | sunting sumber]

Lihat juga: Ekspedisi Aceh Pertama

Pada tahun 1873, rundingan dijalankan antara wakil-wakil Kesultanan Aceh dengan konsul tempatan AS berkaitan kemungkinan pengwujudan sebuah treati dwipihak.[7] Pihak Belanda melihat ini sebagai pelanggaran perjanjian yang lebih awal dengan pihak British yang dimeterai pada tahun 1871, dan menggunakan kesempatan ini bagi merampas Aceh secara ketenteraan.[1] Sebuah ekspidisi di bawah perintah Mejar Jeneral Johan Harmen Rudolf Köhler dihantar pada 26 Mac 1873, dan peperangan bermula apabila Belanda membedil ibu kota Kesultanan Aceh, Banda Aceh, dengan tembakan meriam dari kapal perang Cidatel van Antwerpen. Pada 8 April 1873, angkatan Belanda mendarat di Pantai Ceureumen, dan berjaya menawan daerah-daerah pesisiran pantai.[7] Sememangnya niat Belanda untuk menyerang dan merampas istana Sultan yang sekaligus akan membawa kepada penaklukan Aceh. Sultan meminta, dan berkemungkinan besar menerima, bantuan daripada Itali dan United Kingdom di Singapura. Walau apapun, tentera Aceh diperbesar dan dipermoden, dan kekuatannya dianggarkan antara 10,000 dan 100,000 anggota.[7] Pihak Belanda melakukan beberapa kesilapan taktik akibat memandang rendah kebolehan ketenteraan Aceh, dan mengalami kerugian termasuklah kematian Kohler dan 60 anggota.[7] Kekalahan ini menjejaskan semangat dan martabat Belanda.[3]

Pihak Belanda terpaksa berundur dan kemudian meletakkan kepungan laut terhadap Aceh. Dalam percubaannya bagi mengekalkan kemerdekaan Aceh, Sultan Mahmud meminta pertolongan kuasa-kuasa Barat yang lain, dan juga Empayar Uthmaniyyah, namun tidak diindahkan. Sementara Konsul Amerika bersimpati, kerajaan Amerika tetap berkecuali. Pihak Uthmaniyyah pula tidak mampu membantu kerana kedudukannya yang lemah di persada politik antarabangsa. Dalam masa yang sama pihak British enggan membantu ekoran perjanjian mereka dengan Belanda sementara Perancis juga tidak mahu membantu.[4]

Serangan Belanda kedua[sunting | sunting sumber]

1873 – 1880[sunting | sunting sumber]

Lihat juga: Ekspedisi Aceh Kedua

Tentara VOC Aceh setelah peperangan selesai

Pada November 1873, ekspedisi kedua terdiri daripada 13,000 tentera yang diketuai Jeneral Jan van Swieten dihantar ke Aceh.[11] Serangan berbetulan dengan peletusan penyakit taun yang mengorbankan beribu orang di kedua-dua belah pihak.[4] Menjelang bulan Januari 1874, keadaan yang bertambah buruk memaksa Sultan Mahmud Syah dan para pengikutnya meninggalkan Banda Aceh dan berundur ke darat. Dalam masa yang sama, tentera Belanda menakluk ibu kota Aceh dan juga istana Sultan. Ini mendorong tanggapan pihak Belanda bahawa mereka telah menang. Pihak penakluk Belanda kemudianya memansuhkan Kesultanan Aceh dan mengisytiharkan bahawa Aceh diilhakkan kepada Hindia Timur Belanda.[4]

Berikutan kemangkatan Sultan Mahmud akibat penyakit taun, orang Aceh menobatkan cucu kecil Tuanku Ibrahim, bernama Tuanku Muhammad Daud Syah, sebagai Sultan dengan gelaran Sultan Ibrahim Mansur Syah (memerintah 1874–1903). Mereka meneruskan perjuangan di kawasan bukit bukau dan hutan rimba selama sepuluh tahun, dengan kerugian besar pada kedua-dua pihak.[4] Pada lingkungan tahun 1880 pihak Belanda menukar strategi dan daripada meneruskan peperangan, mereka menumpukan perhatian kepada strategi mempertahankan kawasan-kawasan yang telah mereka takluk, yakni kawasan-kawasan yang terbatas kepada ibu kota (Banda Aceh), [3] dan pekan pelabuhan Ulee Lheue. Kepungan laut Belanda berjaya memaksa uleebelang (hulubalang) menandatangani treati-treati yang memanjangkan kawalan Belanda terhadap kawasan-kawasan pesisiran. Walau bagaimanapun, hulubalang-hulubalang kemudiannya menggunakan pendapatan yang dipulangkan kepada mereka bagi membiayai angkatan pembangkang Aceh.

Campur tangan Belanda mengakibatkan kehilangan nyawa beribu-ribu anggota tentera Belanda dan membebankan perbelanjaan kerajaan kolonial. Pada 13 Oktober 1880 kerajaan kolonial mengisytiharkan bahawa perang telah berakhir dan meletakkan kerajaan awam, namun masih berbelanja besar demi mengekalkan kawalan di kawasan-kawasan yang ditaklukinya. Dalam percubaan untuk meraih sokongan orang Aceh, pihak Belanda membina Masjid Raya Baiturrahman sebagai tanda perdamaian.[3]

Jihad[sunting | sunting sumber]

1883 – 1900-an[sunting | sunting sumber]

Perang bermula sekali lagi pada tahun 1883, apabila kapal British Nisero terkandas di kawasan yang tidak dikawal Belanda di Aceh. Seorang pembesar tempatan meminta wang tebusan daripada kedua-dua British dan Belanda dan, dengan tekanan kuat British, pihak Belanda terpaksa mencuba membebaskan anak-anak kapal. Berikutan kegagalan percubaan menyelamat oleh pihak Belanda (seorang pembesar tempatan, Teuku Umar, enggan membantu selepas diminta Belanda) pihak Belanda bersama-sama British menyerang daerah itu. Sultan kemudiannya menyerahkan sandera dan memerima sejumlah bayaran besar sebagai balasan.[12]

Menteri Perang Belanda, August Weitzel, sekali lagi mengisytiharkan perang terhadap Aceh, dan, seperti sebelumnya, peperangan berlanjutan tanpa banyak kemajuan. Berdepan dengan musuh yang lebih maju dari segi teknologi, pihak Aceh memilih jalan perang gerila, khususnya dengan menggunakan perangkap dan serang hendap. Tentera Belanda membalas dengan menghapuskan kampung-kampung dan membunuh kedua-dua para tawanan dan orang kampung sekali. [13] Pada tahun 1884, pihak Belanda bertindak dengan mengundurkan kesemua anggota tentera mereka ke dalam barisan kubu di persekitaran Banda Aceh.[3] Pihak Belanda juga mencuba mendapatkan khidmat pembesar tempatan: Teuku Umar diupah dengan wang tunai, candu, dan persenjataan. Umar diberi gelaran "Panglima Prang Besar".

Penaklukan Kuto Reh pada 14 Jun 1904, mengakibatkan beratus orang Aceh terkorban

Umar sebaliknya menggelar dirinya "Teuku Djohan Pahlawan" dan pada 1 Januari 1894 Umar mendapat bantuan Belanda bagi membina bala tenteranya. Namun dua tahun kemudian, daripada membantu pihak Belanda menundukkan kawasan dalaman Aceh, Umar menyerang Belanda dengan tentera baharunya. Peristiwa ini dicatatkan dalam rekod sejarah Belanda sebagai Het verraad van Teukoe Oemar (pembelotan Teuku Umar). Bermula dari pertengahan 1880-an, pucuk pimpinan tentera Aceh dikuasai ulama, termasuk Tengku Chik di Tiro (Muhammad Saman), yang mengetengahkan konsep Jihad melalui khutbah dan teks yang dikenali sebagai "hikayat" ataupun cerita puisi. Pejuang Aceh melihat diri mereka sebagai mujahid yang memerangi "penceroboh kafir".[1] Pada waktu ini Perang Aceh menjadi tanda tentangan Muslim terhadap imperialisme Barat. [2]

Pada tahun 1892 dan 1893, Aceh kekal merdeka, walaupun Belanda cuba menakluknya. Mejar Jeneral JB van Heutsz, seorang ketua tentera kolonial, menulis siri rencana berkenaan Aceh. Beliau disokong Dr Christiaan Snouck Hurgronje daripada Universiti Leiden, pada masa itu seorang pakar Islam Belanda. Hurgronje berjaya mendapat kepercayaan ramai ketua Aceh dan mengumpul perisikan tentang kegiatan jemaah Haji Aceh bagi pihak kerajaan Belanda.[2] Kerjanya menjadi rahsia rasmi buat beberapa tahun. Dalam analisis Hurgronje tentang masyarakat Aceh (lihat di bawah), beliau memperkecilkan peranan Sultan dan berhujah bahawa perhatian harus diberikan kepada ketua-ketua turun-temurun, yakni Ulee Balang, yang difikirnya dapat dipercayai sebagai pentadbir tempatan. Tentang ulama pula, beliau berhujah bahawa golongan ini tidak boleh dipercayai atau dipujuk agar bekerjasama, dan harus dihapuskan. Sebagai sebahagian dasar pecah dan perintah, Hurgronje menggesa kerajaan Belanda memperbesarkan ruang antara ulama dan bangsawan Aceh.[2]

Pada tahun 1894 penghulu Hasan Mustafa juga membantu menghentikan pertempuran dengan mengeluarkan fatwa yang menyuruh orang Islam tunduk kepada kerajaan kolonial Belanda.[14]

Siasatan Snouck Hurgronje[sunting | sunting sumber]

Untuk mengalahkan pertahanan Aceh, pihak Belanda mengguna tenaga seorang pengkaji, Dr Snouck Hurgronje, yang menyamar selama dua tahun di pedalaman Aceh bagi meneliti kemasyarakatan dan ketatanegaraan Aceh. Hasil kerjanya itu dibukukan dengan judul Rakyat Aceh (De Acehers). Dalam buku itu Hurgronje menyebut strategi bagaimana mahu menakluk Aceh.

Usulan strategi Hurgronje kepada Gabenor Tentera Belanda van Heutz adalah agar golongan Keumala (iaitu Sultan yang tinggal di Keumala) dan para pengikutnya disisihkan dahulu. Belanda harus tetap menyerang para ulama. Belanda juga tidak harus berunding dengan para pemimpin gerila; dan mendirikan pangkalan tetap di Aceh Raya. Belanda juga harus menunjukkan niat baik kepada rakyat Aceh dengan cara mendirikan masjid, memperbaiki alur-alur pengairan dan membantu kebajikan rakyat Aceh.

Laporan Hurgronje diterima van Heutz yang menjadi Gabenor tentera dan awam di Aceh (1898-1904). Hurgronje kemudiannya diangkat sebagai penasihatnya.

Pendamaian[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1898 van Heutsz diberi jawatan gabenor Aceh dan, dengan pembantunya, Hendrikus Colijn, yang kemudiannya menjadi perdana menteri Belanda, berjaya menakluk sebahagian besar negeri Aceh. Mereka mengikuti cadangan Hurgronje dengan mencari hulubalang yang mahu bekerjasama dengan Belanda di kawasan pedalaman dan dengan cara itu menyisihkan para penentang dari pangkalan mereka di kawasan kampung.[2] Pihak Belanda menyusun strategi melawan pemberontakan dengan menggunakan unit-unit Gendamerie (pasukan separa tentera) yang bersenjata ringan dan dengan menjalankan dasar bumi hangus.[1] Van Heutsz memberi tanggung jawab mematahkan penentangan Aceh kepada Kolonel Gotfried Coenraad Ernst van Daalen. van Daalen kemudiannya memusnahkan beberapa kampung dan membunuh sekurang-kurangnya 2,900 orang Aceh termasuk 1,150 wanita dan kanak-kanak. Korban Belanda sebanyak 26 orang, dan van Daalen dinaikkan pangkat.

Jeneral van Heutz dan staf.

Pada tahun 1903, ketua-ketua sekular utama pergerakan penentang Aceh termasuk Sultan Muhammad Daud, Tuanku Raja Keumala dan Muda Perkasa menyerah kalah.[1] Menjelang tahun 1904 sebahagian besar Aceh terletak di bawah kawalan Belanda, dan mempunyai kerajaan orang tempatan yang bekerjasama dengan negara kolonial. Pihak Belanda mengukuhkan kawalan mereka terhadap Aceh dengan mengamalkan dasar toleransi agama sebagai satu cara untuk meyakinkan orang Aceh agar tidak menjalankan pemberontakan bersenjata.[1] Namun demikian, kejadian kezaliman tentera Belanda masih berlaku pada waktu itu. Gambar-gambar penyembelihan orang kampung Koeto Reh di wilayah Gayo dan Alas Aceh pada tahun 1904 menunjukkan pembunuhan orang awam beramai-ramai berlaku.[15] Bilangan korban pihak Aceh dianggarkan seramai 50,000 ke 60,000 orang, dan lebih sejuta orang tercedera.[2] Pemusnahan kampung juga menyebabkan 10,000 orang Aceh melarikan diri ke Malaya British.[2]

Di Belanda pula, van Heutz dianggap wira, dan digelar "Pendamai Aceh". Beliau dinaikkan pangkat dan menjadi gabenor jeneral seluruh Hindia Timur Belanda pada tahun 1904. Sebuah tugu yang masih kekal didirikan di Amsterdam, mahupun nama dan gambarnya kemudiannya dibuang sebagai bantahan terhadap legasi ganasnya.

Pentadbiran Belanda mempertahankan tindak tanduknya di Aceh dengan menyatakan dorongan moral untuk melepaskan rakyat Aceh daripada penindasan dan amalan mundur raja-raja merdeka tempatan yang tidak menuruti resam-resam antarabangsa.[16] Perang Aceh juga menggalakkan Belanda mengilhak negeri-negeri merdeka di Bali, Maluku, Borneo dan Sulawesi antara tahun 1901 dan 1910.[16]

Pengaruh kolonial di tanah tinggi Aceh tidak seberapa dan, mahupun terhad, tentangan gerila pimpinan ulama masih berjalan sehingga tahun 1942.[1] Kegagalan menyingkirkan Belanda menyebabkan banyak ulama menghentikan tentangan sedikit demi sedikit. Wilayah Gayo kekal sebagai pusat tentangan sehingga selewat tahun 1914.[17] Seorang intelek, Sayyid Ahmad Khan menganjurkan agar jihad menentang Belanda dihentikan oleh sebab perkataan itu ditakrifkan sebagai perjuang ketenteraan melawan penindasan agama.[1]

Kesan[sunting | sunting sumber]

Meriam Uthmaniyyah dan Aceh, dibuka berikutan kemenangan Belanda di Aceh pada tahun 1874. Illustrated London News.

Berikutan Perang Aceh, para bangsawan tempatan (Ulee Belang) membantu pihak Belanda mengawal Aceh melalui pemerintahan tak langsung.[18] Pada awal abad ke-20, kedua-dua Standard Oil dan Royal Dutch Shell membangunkan kilang penapisan minyak bagi mengeluarkan simpanan minyak wilayah tersebut.[19] Walaupun persengketaan terbuka sudah berakhir, tentangan orang Aceh melawan pemerintahan Belanda masih berjalan sehingga serangan Jepun terhadap Hindia Timur Belanda pada tahun 1942 semasa Perang Dunia Kedua.

Sepanjang awal abad ke-20, rakyat dan anggota Belanda tetap menjadi sasaran serangan bunuh diri oleh patriot Aceh yang terpengaruh dengan Hikayat Perang Sabil dan teks-teks yang diharamkan pemerintah.[20] Fenomenon ini dikenali sebagai Atjeh-moord atau "Pembunuhan Aceh" dan memaksa kerajaan Belanda menempatkan angkatan bersenjata yang ramai di Aceh. [17]

Rasa tidak puas hati orang Aceh ditambah dengan sistem buruh paksaan yang menetapkan bahawa rakyat Aceh perlu bekerja dalam projek-projek pembinaan jalan 24 hari setahun.[17] Menjelang pertengahan tahun 1920-an, Aceh kembali kepada peperangan gerila semula.

Perang Dunia Kedua dan Kemerdekaan Indonesia[sunting | sunting sumber]

Ketibaan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua mula-mulanya disambut baik oleh oleh para pejuang kebangsaan Aceh; namun perselisihan faham membawa kepada penentangan oleh pemberontak yang memuncak dalam satu pemberontakan di Bayu.[21] Sewaktu Revolusi Kebangsaan Indonesia yang berlaku berikutan kekalahan Jepun pada Ogos 1945, pihak bangwasawan dijadikan sasaran balas dendam kerana bekerjasama dengan Belanda, dan daerah Aceh menjadi kubu kuat para pejuang revolusi Sukarno yang mahu menjadikan Indonesia sebuah republik.[18] Memandangkan perasaan anti-kolonial yang kuat di Aceh, Belanda memintas wilayah itu dalam tindakan polisnya dari tahun 1947 hingga ke 1948.[21]

Berikutan pemindahan kedaulatan Belanda ke Indonesia pada bulan Ogos 1949, ramai orang Aceh tidak berpuas hati pula dengan dasar-dasar kerajaan pusat Indonesia di Jakarta yang dikuasai orang Jawa, dan mula meminta kuasa autonomi.[22] Sungutan termasuk penggabungan Aceh ke dalam wilayah Sumatera Utara yang dikuasi kaum Batak Kristian, ganjaran politik dan kewangan yang sedikit dalam kesatuan Republik Indonesia dan kegagalan pelaksanaan hukum syariah.[21][23] Faktor-faktor ini membawa kepada pemberontakan pendek pergerakan Darul Islam pimpinan Daud Bereueh[21] yang ditangani tentera Indonesia kendatipun tentangan berlanjutan di daerah pedalaman sehingga tahun 1959 apabila pihak pemberontak berjaya mendapatkan status autonomi buat Aceh.[23][24] Namun demikian, ramai orang Aceh dan Sumatera berasa geram akan kedudukan orang Jawa yang menguasai jawatan-jawatan kerajaan dan tentera.[23] Pemberontakan ekoran perasaan ini, yang diketuai Gerakan Aceh Merdeka, berlanjutan di wilayah itu sehinggalah sebuah perjanjian damai dimeterai antara pergerakan Aceh dan kerajaan Indonesia berikutan tsunami Lautan Hindi pada tahun 2004.

Tanah perkuburan Kerkhoff Poucut Belanda[sunting | sunting sumber]

Ramai orang Belanda yang terkorban disemadikan di tanah perkuburan tentera Belanda Kerkhoff Poucut, yang terletak bersebelahan Muzium Tsunami di tengah-tengah Banda Aceh. Kerkhoff Poucut merupakan tanah perkuburan tentera Belanda yang terbesar di luar negara Belanda itu sendiri. Terdapat lebih kurang 2,200 kubur tentera orang Eropah Belanda dan rekrut dari Ambon, Manado dan pulau Jawa, dan juga beberapa jeneral Belanda.[25]

Surat perjanjian tanda menyerah[sunting | sunting sumber]

Sewaktu perang Aceh, Van Heutz menciptakan surat pendek ("Korte Verklaring, Traktat Pendek) tentang penyerahan yang harus ditandatangani oleh para pemimpin Aceh yang telah ditangkap dan menyerah diri. Intipati surat pendek ini ialah: Raja (Sultan) mengakui daerahnya sebagai sebahagian daripada daerah Hindia Belanda; Raja berjanji tidak akan mengadakan hubungan dengan kuasa di luar negeri dan berjanji akan mematuhi seluruh perintah yang ditetapkan Belanda. Perjanjian pendek ini menggantikan perjanjian-perjanjian terdahulu yang rumit dan panjang dengan para pemimpin setempat.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.00 1.01 1.02 1.03 1.04 1.05 1.06 1.07 1.08 1.09 1.10 1.11 1.12 1.13 1.14 Ibrahim (2001), p. 133
  2. 2.00 2.01 2.02 2.03 2.04 2.05 2.06 2.07 2.08 2.09 2.10 2.11 Vickers (2005), p. 13
  3. 3.0 3.1 3.2 3.3 3.4 3.5 3.6 3.7 3.8 Ibrahim (2001), p. 132
  4. 4.0 4.1 4.2 4.3 4.4 Ricklefs (1993), p. 145
  5. Anthony Reid (2005), p. 336
  6. Anthony Reid (2005), p. 352
  7. 7.0 7.1 7.2 7.3 7.4 7.5 Ricklefs (2001), p. 144
  8. 8.0 8.1 8.2 Ricklefs (1993), p. 143
  9. Vickers (2005), p. 10
  10. E.H. Kossmann, The Low Countries 1780-1940 (1978) pp 400-401
  11. Ricklefs (1993), p. 185-188
  12. Anthony Reid (2005), p. 186–88
  13. Vickers (2005), pp. 11
  14. Mufti Ali, "A Study of Hasan Mustafa's 'Fatwa: 'It Is Incumbent upon the Indonesian Muslims to be Loyal to the Dutch East Indies Government,'" Journal of the Pakistan Historical Society, April 2004, Vol. 52 Issue 2, pp 91–122
  15. Linawati Sidarto, 'Images of a grisly past', The Jakarta Post: Weekender, July 2011 [1]
  16. 16.0 16.1 Vickers (2005), pp. 14
  17. 17.0 17.1 17.2 Reid (2005), p. 339
  18. 18.0 18.1 Vickers (2005), p. 102
  19. Vickers (2005), p. 18
  20. Reid (2005), p. 340
  21. 21.0 21.1 21.2 21.3 Reid (2005), p. 341
  22. Vickers (2005), p. 140
  23. 23.0 23.1 23.2 Reid (2005), p. 19
  24. Vickers ( 2005), p. 120
  25. Hotli Semanjuntak, 'Kerkhoff Poucut Cemetery, testifying to the Aceh War', The Jakarta Post, 20 March 2012.