Pergi ke kandungan

Sultan Terengganu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Sultan-sultan Terengganu)
Sultan Terengganu
Negeri
Penjawat kini
Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
sejak 15 Mei 1998
kemahkotaan 4 Mac 1999
Butiran
GelaranKebawah Duli Yang Maha Mulia
Pewaris takhtaTengku Muhammad Ismail
Penyandang pertamaSultan Zainal Abidin Shah I ibni Almarhum Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid I al-Aydrus
Sultan Terengganu
Wangsa Bendahara
Pembentukan31 Disember 1725; 298 tahun yang lalu (1725-12-31)
PersemayamanIstana Syarqiyyah, Kuala Terengganu
Laman sesawangwww.istana.terengganu.gov.my

Sejarah Kesultanan

[sunting | sunting sumber]

Sultan Terengganu ialah ketua negeri Terengganu. Kesultanan Terengganu bermula pada tahun 1725 dengan Sultan Zainal Abidin. Sultan Terengganu kini ialah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pengasas Kesultanan Terengganu hari ini ialah Sultan Muhammad Ismail. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Padang Saujana). Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk (Raja Tua) di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain menyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas takhta kerajaan Terengganu oleh Phra Nang Chau Yang, Raja Patani.

Mengikut Hikayat Johor Serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Patani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar tahun 1688. Ketika berada di Patani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Patani, Phra Nang Chau Yang.

Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708, berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin tidak lama bersemayam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, Langgar dan Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (Kota Lama).

Sultan Zainal Abidin digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur (Sultan Mansur I) pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah 1 berkahwin dengan Raja Bulang, anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur 1 telah menghabiskan empat belas tahun (1746 - 1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus (Yang DiPertuan Kelantan), putera Long Sulaiman ibni Long Bahar menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.

Sultan Mansur digantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 - 1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Muhammad ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 - 1830), Sultan Abdul Rahman (1830), Sultan Daud (1830-1831), Sultan Mansur II (1831 - 1837), Sultan Muhammad (1837 - 1839), Baginda Omar (1839 - 1876). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 menggantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad ismail dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.

Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876 - 1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881 - 1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918 - 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 - 1942).

Apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, putera sulung al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Tengku Ali menduduki tahta kerajaan Negeri Terengganu dengan gelaran Sultan Ali Shah (1942-1945). Baginda ditabalkan di hadapan kerabat-kerabat diRaja Terengganu secara sah.

Tengku Sri Paduka Raja, Tengku muhammad Ismail diisythiarkan sebagai Sultan Terengganu pada 16 Disember 1945, setelah beliau menjalankan suatu konspirasi bersama 13 orang kerabat diRaja Terengganu bagi menjatuhkan Sultan Ali Shah yang merupakan Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Terengganu yang sah. Beliau seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Tengku Ismail Nasiruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke-6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Tengku Ismail Nasiruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 14 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang Dipertuan Muda Tengku Muhammad Ismail

Senarai Sultan Terengganu

[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan senarai sultan Terengganu dari permulaan Kesultanan Terengganu sehingga kini[1].

Sultan-sultan Terengganu
Bilangan Sultan Pemerintahan
01 Sultan Zainal Abbiddin Shah I[2] 1708 - 1733
02 Sultan Mansur Abbiddin Shah I[3] 1733 - 1794
03 Sultan Zainal Abbiddin Shah II[4] 1794 - 1808
04 Sultan Ahmad Muazzam Shah I[5] 1808 - 1830
05 Sultan Abdul Rahman Shah[6] 1830 - 1831
06 Sultan Dhaud Riayat Shah[6] 1831 - 1831
07 Sultan Mansur Abbidin Shah II[7] 1831 - 1836
08 Sultan Muhammad Muazzam Shah I[7] 1836 - 1839
09 Sultan Ommar Riayat Shah[7] 1839 - 1876
10 Sultan Mahmudd I al-Mustaffar Shah 1876 - 1877
11 Sultan Ahmad Muazzam Shah II[7] 1877 - 1881
12 Sultan Zainal Abbiddin Shah III[8] 1881 - 1918
13 Sultan Muhammad Muazzam Shah II[9] 1918 - 1920
14 Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah[9] 1920 - 1942
15 Sultan Ali Bhadrull Hassan Shah[9] 1942 - 1945
16 Sultan Ismail Nasiruddin Shah[10] 1945 - 1979
17 Sultan Mahmudd II al-Muktaffi Billah Shah[10] 1979 - 1998
18 Sultan Mizan Zainal Abidin[10] 1998 - kini
  • Mohamed Anwar Omar Din, Nik Anuar Nik Mahmud dan Jawatankuasa Teknikal & Sidang Editor Yayasan DiRaja Sultan Mohamad (2011). Dirgahayu Tuanku:Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008. Yayasan DiRaja Sultan mohamad.
  • Laman web Rasmi KDYMM Sultan Terengganu Diarkibkan 2015-04-07 di Wayback Machine

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Mohamed Anwar Omar Din, Nik Anuar Nik Mahmud dan Jawatankuasa Teknikal & Sidang Editor Yayasan DiRaja Sultan Mizan, 2011, m/s 36-38
  2. ^ "Terengganu". The Royal Ark. Christopher Buyers. 2008. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  3. ^ "Terengganu". The Royal Ark. Christopher Buyers. 2008. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  4. ^ "Terengganu". The Royal Ark. Christopher Buyers. 2008. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  5. ^ "Terengganu". The Royal Ark. Christopher Buyers. 2008. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  6. ^ a b "Terengganu". The Royal Ark. Christopher Buyers. 2008. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  7. ^ a b c d "Terengganu". The Royal Ark. Christopher Buyers. 2008. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  8. ^ "Terengganu". The Royal Ark. Christopher Buyers. 2008. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  9. ^ a b c "Terengganu". The Royal Ark. Christopher Buyers. 2008. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  10. ^ a b c "Terengganu". The Royal Ark. Christopher Buyers. 2008. Dicapai pada 19 Januari 2010.