Taman Negara Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Taman Negara Malaysia
تامن نڬارا مليسيا
IUCN Kategori II (Taman negara)
Lokasi  Pahang
 Malaysia
Bandar raya terdekat Kuala Tembeling
Luas 4,343 km²
Ditubuhkan 1938/1939
Badan pentadbir Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
sunting
Lihat pendokumenan templat ini

Taman Negara Malaysia dibuka pada 1938/1939 sebagai Taman Negara King George V. Ia kemudian dinamakan sebagai Taman Negara selepas kemerdekaan. Keluasan kawasan Taman Negara ialah 4,343 km².

Taman Negara terletak di antara sempadan 3 negeri iaitu Pahang, Terengganu, dan Kelantan, yang mana masing-masing memiliki kawasan milik sendiri. Enakmen Taman Negara (Pahang) No.2 pada 1939 dibuat untuk Pahang, Enakmen Taman Negara (Kelantan) No.14 pada 1938 untuk Kelantan, dan Enakmen Taman Negara (Terengganu) No.6 pada 1939 untuk Pahang. Semua enakmen memiliki persamaan kandungan.

Taman Negara Pahang merupakan yang terbesar dengan keluasan 2,477 km², diikuti oleh Taman Negara Kelantan seluas 1,043 km², dan Taman Negara Terengganu seluas 853 km².

Taman ini menjadi sebuah destinasi eko-pelancongan terkenal di Malaysia. Terdapat banyak daya tarikan dari segi geologikal dan biologikal di taman ini. Gunung Tahan merupakan titik tertinggi di Semenanjung Malaysia terletak di Taman Negara, pendaki boleh menggunakan Kuala Tahan atau Merapoh sebagai titik permulaan ekspedisi pendakian itu. Taman Negara mempunyai banyak haiwan mamalia yang jarang ditemui dan semakin pupus seperti harimau, tenuk, gajah, rusa, babi hutan, pelanduk, dan seladang. Sungai Tahan menjadi kawasan habitat kepada Ikan Kelah, sejenis ikan pertandingan.

Daya tarikan lain boleh ditemui di Kuala Tahan (tempat utama Taman Negara di Pahang) termasuk laluan kanopi, Gua Telinga, dan Lata Berkoh. Pengunjung dapat menikmati keindahan hutan hujan tropika, kicauan burung, ataupun merentas hutan (contoh: Tenor Rintis) dan pemandangan sungai ketika melalui Sungai Tahan.

Semua pengunjung mesti mendapatkan kebenaran/permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara sebelum menjejakkan kaki ke Taman Negara. Terdapat banyak hostel dan hotel di taman ini.

Pelancong ke Taman Negara juga boleh memilih untuk menyertai aktiviti memancing terutamanya di Lata Berkoh dan Sungai Kenyam. Terdapat 300 spesies ikan terutamanya dari keluarga kap seperti ikan kelisa, ikan kelah, dan lain-lain lagi banyak terdapat di sungai-sungai di Taman Negara. Pelancong juga boleh menyewa bot untuk aktiviti memancing dan sukan air.

Pelancongan[sunting | sunting sumber]

Pintu masuk ke Taman Negara Malaysia di Kuala Tahan
Titian kanopi

Taman Negara adalah Kawasan Perlindungan rasmi yang pertama dan tertua di negara ini dan pada waktu dahulu dikenali sebagai King George V National Park.

Taman negara ini yang diisytiharkan secara rasminya oleh Sultan Kelantan, Pahang dan Terengganu (sewaktu sambutan Jubli Perak King George) diwartakan bagi memelihara alam semulajadi kawasan ini. Taman ini dinamakan Taman Negara setelah negara mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

Aktiviti paling popular di Taman Negara ialah bersampan di sungai dan meneroka laluan trek hutan. Laluan Kanopi yang tedapat di sini juga sungguh menarik bagi memberikan pelawat pemandangan jarak dekat aktiviti haiwan dan tumbuhan di bahagian kanopi hutan yang tinggi.

Pondok pemerhatian juga disediakan bagi keselesaan pelawat untuk memerhati hidupan liar di sini. Pondok kecil yang dibina tinggi dari atas tanah membolehkan pelawat bermalam bagi memerhati hidupan liar di dalam habitat semulajadinya. Pelawat juga boleh meneroka gua sama ada menggunakan bot atau pun berjalan kaki.

Taman Negara adalah sebuah hutan hujan yang tertua di dunia yang dianggarkan berusia 130 juta tahun. Kekayaan dan kepelbagaian hidupan semulajadi di sini sangat menakjubkan dan menjadikannya salah satu eko-sistem yang paling rumit dan kaya di dunia.

Tips[sunting | sunting sumber]

Gunakan pakaian yang nipis dan longgar; kemeja-t lengan panjang yang selesa dan seluar panjang untuk perlindungan dari serangga dan luka cakaran. Pada masa-masa tertentu, keadaan di dalam hutan ini boleh menjadi sejuk. Bawa bersama jaket kalis air untuk keselesaan anda. Ketika meneroka hutan, pilih laluan trek yang boleh anda sempurnakan sebelum matahari terbenam dan pastikan anda memberitahu rancangan anda untuk meneroka kepada orang lain agar mereka boleh menjangka bila anda akan pulang dari penerokaan anda. Anda disarankan supaya tidak melencong dari laluan yang telah ditandakan di dalam hutan ini.

Pengangkutan[sunting | sunting sumber]

Keretapi Pintu masuk ke Taman Negara iaitu Kuala Tembeling yang dihubungkan dengan Kuala Lumpur, Singapura dan Kota Bharu (melalui Tumpat) oleh laluan keretapi. Keretapi dari stesen-stesen tersebut berhenti di Tembeling Halt, kira-kira setengah jam perjalanan dari jeti Kuala Tembeling dengan menaiki kereta.

Bot Pintu masuk utama untuk ke Taman Negara ialah menerusi Kuala Tembeling di mana pelawat boleh menaiki sampan yang bertolak pada pukul 9.00 pagi dan 3 petang setiap hari (kecuali hari Jumaat apabila bot bertolak pada pukul 2.30 petang), dalam perjalanan yang memakan masa selama 3 jam menuju ke Kuala Tahan. Mutiara Taman Negara Resort juga menyediakan perkhidmatan bot laju yang cuma mengambil masa selama 45 minit untuk sampai ke Kuala Tahan. Bot laju ini bertolak dari Kuala Tembeling pada pukul 10.30 pagi dan 1.30 petang setiap hari. Cara termudah untuk ke Taman Negara ialah sama ada melalui Jerantut di dalam perjalanan darat yang mengambil masa selama 3 jam dari Kuala Lumpur. Jika anda memandu kenderaan pacuan empat roda, anda boleh menggunakan jalan pembalakan hingga ke Kuala Tahan di mana anda perlu menaiki bot merentas Sungai Tahan untuk memasuki Taman Negara.

Bas atau Teksi Perkhidmatan teksi ke Jerantut boleh didapati dari Stesen Bas Puduraya di Kuala Lumpur. Anda juga boleh menaiki bas ke Jerantut yang boleh didapati di Stesen Bas Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur. Dari Jerantut, anda boleh menaiki bas tempatan atau teksi untuk ke Kuala Tembeling.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]