Tundra

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Biom
Biom daratan
Tundra
Taiga, hutan boreal
Padang rumput dan tanah semak gunung
Hutan konifer sederhana
Hutan konifer tropika dan subtropika
Hutan daun lebar dan campur sederhana
Hutan, hutan jarang dan belukar Mediterranean
Hutan daun lebar lembap tropika dan subtropika
Hutan daun lebar kering tropika dan subtropika
Padang rumput, savana, dan tanah semak sederhana
Padang rumput, savana, dan tanah semak tropika dan subtropika
Gurun dan tanah semak xeros
Padang rumput dan savana terendam
Riparian
Tanah lembap
Biom akuatik
Kolam
Zon litorak, pasang surut
Hutan bakau
Hutan kelpa
Terumbu karang
Zon neritik
Pentas benua
Zon pelagik
Zon bentos
Lohong hidroterma
Resapan sejuk
Ais sarah
Biom lain
Zon endolitos

Dalam bidang geografi fizikal, tundra ialah sejenis biom di mana pertumbuhan pokok dibantut oleh suhu rendah dan musim bertumbuh yang singkat. Istilah tundra berasal daripada bahasa Rusia, yang meminjam tundra (тундра) daripada bahasa Kildin Sami, iaitu perkataan tūndâr "tanah tinggi", "kawasan gunung tanpa pokok."[1] Terdapat tiga jenis tundra, iaitu tundra Artik,[2] tundra alp,[2] dan tundra Antartik.[3] Iklim Tundra dinyatakan sebagai ET dalam sistem pengelasan iklim Köppen. Di kawasan tundra, tumbuh-tumbuhannya terdiri daripada pokok renek kerdil, rusiga, rumput, lumut dan liken, serta pokok yang berselerak. Ekoton (atau kawasan sempadan ekologi) di antara tundra dan hutan dikenali sebagai batasan pokok kayu.

Artik[sunting | sunting sumber]

Peta tundra artik
Tundra di Greenland
Tundra di Alaska

Tundra Artik terletak di Hemisfera Utara terjauh, di utara kawasan taiga. Lazimnya, istilah "tundra" hanya memaksudkan kawssan yang tanah dalamnya adalah permafros atau tanih yang beku secara berkekalan, tetapi ia juga boleh memaksudkan kawasan tanpa pokok secara amnya, supaya termasuknya kawasan Sápmi utara di rantau Skandinavia. Tundra permafros merangkumi sebahagian besar Rusia dan Kanada utara.[2] Tundra kutub ini menjadi tempat tinggal puak-puak gembala rusa kutub yang berpindah-randah, seperti kaum Nganasan dan Nenet di kawasan permafros (dan juga Sami di Sápmi).

Tundra Artik merangkumi kawasan yang tandus dan beku hampir sepanjang tahun. Tanih di situ terbeku dari 25–90 cm (9.8–35.4 inci) ke bawah, sehingga pertumbuhan pokok menjadi mustahil. Sebaliknya, tanah yang tandus dan adakalanya berbatu-batuan sebegini hanya boleh menampung tumbuh-tumbuhan yang bertumbuh rendah seperti lumut, kerangas (jenis-jenis Ericaceae seperti Empetrum nigrum dan Arctostaphylos alpina), dan liken. Kawasan tundra kutub mengalami dua musim utama sahaja, iaitu musim sejuk dan musim panas. Pada musim sejuk, tundra kutub menjadi sangat sejuk dan gelap, di mana purata suhunya sekitar −28 °C (−18 °F), adakalanya menjunam serendah −50 °C (−58 °F). Namun begitu, suhu sejuk melampau di tundra tidak menjunam serendah yang terletak di kawasan taiga yang jauh di selatan (cth. suhu terendah Rusia dan Kanada dicatatkan dalam lokasi di selatan batasan pokok kayu). Pada musim panas, suhunya meningkat seberapa, manakala lapis atas permafros lebur sehingga tanahnya sangat dipenuhi air. Kawasan tundra dilitupi rawa, tasik, bencah dan anak sungai sepanjang musim panas. Pada amnya, suhu waktu siang pada musim panas mencecah sekitar 12 °C (54 °F) tetapi masih boleh merosot kepada 3 °C (37 °F) ataupun di bawah takat lebur. Sekali-sekala, kawasan tundra artik menjadi titik tengah usaha pemuliharaan habitat. Di Kanada dan Rusia, kebanyakan kawasan tundra dilindungi dengan Rancangan Tindakan Biodiversiti kebangsaan.

Tundra merupakan kawasan yang sangat kencang anginnya, di mana angin bertiup ke atas langit sekuat 48–97 km/h (30–60 batu sejam). Namun, kerpasan tundra lebih kurang seakan gurun, dengan hanya curahan selebat 15–25 cm (6–10 inci) setahun (musim panas selalunya menjadi musim kerpasan maksimum). Pada musim panas juga, permafros melebur secukupnya untuk membolehkan pertumbuhan dan pembiakan tumbuhan, tetapi oleh sebab tanah di bawahnya masih beku, air tidak boleh resap ke bawah lagi, jadi air itu membentuk tasik dan rawang pada musim panas. Walaupun kerpasannya rendah, namun penyejatannya juga minimum.

Tahap biodiversiti kawasan tundra adalah rendah: 1,700 spesies tumbuhan pembuluh and 48 spesies mamalia daratan sahaja yang ditemui di situ, tetapi adanya jutaan burung yang bermigrasi ke rawang di kawasan tundra setiap tahun.[4] Juga terdapat sebilangan kecil spesies ikan seperti ikan sebelah. Antara haiwan tundra yang banyak bilangannya termasuk rusa kutub, lembu kesturi, arnab Artik, rubah Artik, burung hantu salji, lemming, dan beruang kutub (di paling utara sahaja).[5]

Disebabkan iklim tundra Artik yang teruk, kawasan sebegini jarang ada kegiatan manusia, biarpun mungkin kaya dengan sumber alam seperti petroleum dan uranium. Baru-baru ini, kawasan tundra di Alaska, Rusia dan sebagainya makin menerima kegiatan manusia.

Pemanasan global ialah satu ancaman besar kepada kawasan tundra, khususnya permafrosnya. Peleburan permafros di suatu tempat selama puluhan atau ratusan tahun boleh mempengaruhi taburan spesies yang boleh bermandiri di situ.[6]

Lebih membimbangkan lagi, kira-kira satu pertiga karbon terikat tanih di dunia terdapat di kawasan taiga dan tundra. Apabila permafros lebur, ia melepaskan karbon dalam bentuk karbon dioksida dan metana,[7] kedua-duanya ialah gas rumah hijau. Kesannya pernah diperhatikan di Alaska. Pada 1970-an, tundra merupakan kawasan tadahan karbon, tetapi kini, ia menjadi sumber karbon.[8]

Antartik[sunting | sunting sumber]

Tundra di Péninsule Rallier du Baty, Kepulauan Kerguelen.

Tundra Antartik terdapat di benua Antartika dan beberapa pulau di sekitarnya, termasuk Georgia Selatan dan Kepulauan Sandwich Selatan, dan Kepulauan Kerguelen. Sebahagian besar kawasan Antartika dilitupi oleh padang asi, dan terlalu sejuk dan kering untuk menampung tumbuh-tumbuhan. Namun demikian, ada sesetnengah tempat di benua ini yang bertanih batu-batuan dan boleh menampung kehidupan tumbuhan, khususnya Semenanjung Antartik. Floranya pada masa kini terdiri daripada sekitar 300–400 spesies liken, 100 lumut, 25 lumut hati, dan sekitar 700 spesies alga daratan dan air, yang hidup di kawasan batu dan tanih yang terdedah di sekitar pesisir pantai benua. Di Antartika ada dua spesies tumbuhan berbunga, iaitu Deschampsia antarctica dan Colobanthus quitensis, yang ditemui di bahagian utara dan barat Semenanjung Antartik.[9]

Berbeza pula dengan tundra Artik, tundra Antartik tiada fauna mamalia yang besar, disebabkan keterasingan benua ini daripada benua-benua lain. Mamalia dan burung laut, seperti anjing laut dan penguin, menduduki kawasan dekat pantai, manakala mamalia kecil seperti arnab dad kucing pula dibawa masuk oleh manusia ke dalam pulau subantartik. Kawasan ekologi tundra Kepulauan Subantartik Antipodes merangkumi Kepulauan Bounty, Kepulauan Auckland, Kepulauan Antipodes, Kepulauan Campbell, dan Pulau Macquarie.[10] Antara spesies yang endemik di kawasan ekologi ini termasuklah dua sahaja jenis pokok anggerik subantartik, iaitu Nematoceras dienemum dan Nematoceras sulcatum; penguin Diraja; dan albatros Antipodes.[10]

Flora dan fauna di Antartika dan Kepulauan Antartik (selatan dari garis lintang 60° selatan) dilindungi oleh Perjanjian Antartik.[11]

Alp[sunting | sunting sumber]

Pengembara menjelajah Rabung Franconia di White Mountains, New Hampshire, Amerika Syarikat yang terletak di zon alp.
Kawasan tundra yang mempunyai fiord, glasier dan gunung-ganang. Kongsfjorden, Spitsbergen.

Tundra alp atau tundra gunung ialah sejenis ekozon yang tiada pokok kerana altitud tingginya. Tundra alp berbeza dengan tundra artik, kerana tundra alp biasanya tiada permafros, dan tanih alp biasanya lebih salir daripada tanih artik. Tundra alp beralih kepada hutan subalp di bawah batasan pokok kayu; hutan bantut yang terdapat di ekoton hutan-tundra ecotone dikenali sebagai Krummholz.

Tundra alp terdapat di gunung-gunung seluruh dunia. Flora di tundra alp bercirikan pokok renek kerdil yang dekat sekali dengan tanah. Iklim sejuk tundra alp ini disebabkan oleh tekanan udara yang rendah, serupa dengan iklim kutub.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Aapala, Kirsti. "Tunturista jängälle". Kieli-ikkunat. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-10-01. Dicapai pada 2009-01-19.
  2. ^ a b c "The Tundra Biome". The World's Biomes. Dicapai pada 2006-03-05.
  3. ^ "Terrestrial Ecoregions: Antarctica"". Wild World. National Geographic. Dicapai pada 2009-11-02.
  4. ^ Great Plain of the Koukdjuak
  5. ^ "Tundra". Blue Planet Biomes. Dicapai pada 2006-03-05.
  6. ^ "Tundra Threats". National Geographic. Dicapai pada 2008-04-03.
  7. ^ "Global Warming: Methane Could Be Far Worse Than Carbon Dioxide". Sepp Hasslberger. 2005-02-01.
  8. ^ Oechel, Walter C. (1993). "Recent change of Arctic tundra ecosystems from a net carbon dioxide sink to a source". Nature. 361 (6412): 520–523. doi:10.1038/361520a0. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan); Cite has empty unknown parameter: |month= (bantuan)
  9. ^ "Terrestrial Plants". British Antarctic Survey: About Antarctica. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-02-14. Dicapai pada 2006-03-05.
  10. ^ a b "Antipodes Subantarctic Islands tundra". Wild World Full Report. World Wildlife Fund. Dicapai pada 2009-11-02.
  11. ^ "Protocol on Environmental Protection to the Antarctic Treaty". British Antarctic Survey: About Antarctica. Dicapai pada 2006-03-05.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]