Bravo 5 (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Bravo Lima
Bravo5poster.jpg
Pengarah Yeop Hitler
Penerbit Nik Nur ashikin Nik Abdul Majid
Lakon layar oleh Yeop Hitler
Cerita oleh Mejar Zainal Hayat
Berdasarkan Diari Misi Komando
Dibintangi oleh Beto Kusyairy
Remy Ishak
Sofi Jikan
Sashi Tharan
Xavier Fong
Frank Peterson
Chew Kin Wah
Muzik oleh Edrie Hashim
Sinematografi Madnorkassim
Disunting oleh Dora Mahadi
Muhd Kamarul Ariffin Zazali
Syarikat
produksi
KaryaPrima Production
Pengedar Empire Film Solution
Mula ditayangkan
10 September 2015
Tempoh tayangan
77 minit
Negara  Malaysia
Bahasa Bahasa Melayu
Perbelanjaan RM 4.5 Juta[1]
Pecah panggung RM 298,000[2]

Bravo Lima merupakan sebuah filem aksi/perang yang diarahkan oleh Yeop Hitler dan dibintangi oleh Beto Kusyairy ,Remy Ishak,Sofi Jikan ,Sashi Tharan,Xavier Fong,Frank Peterson dan Chew Kin Wah. [3], [4]Filem ini mengisahkan mengenai lima anggota Komando Tentera Darat yang menjalankan operasi mengekang kebangkitan pengganas komunis.[5]Filem ini telah ditayangkan kepada umum pada 10 September 2015.[6]Filem ini telah didekasikan kepada para pejuang negara yang terkorban dan Kuswadinata.

Plot[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1989, Parti Komunis Malaya sedang merancang untuk menguasai kedudukan strategik kawasan tengah Semenanjung Malaysia.Komunis ini diketuai oleh Komander Lim Yatt (Chew Kin Wah) dan Sidek Tapa (Soffi Jikan).Lima anggota Komando Tentera Darat (Rejimen Gerak Khas) telah diarah untuk menghalang perkara ini dari berlaku di dalam operasi Bravo V. Leftenan Azri (Remy Ishak) yang baru sahaja berkahwin dengan Aida (Siti Saleha) menjadi ketua kepada empat ahli yang lain, Trooper Karim (Beto Kusyairy), Koperal Morgan (Sashi Tharan), Koperal Ah Chia (Xafier Fong) dan Sarjan Unya (Frank Petterson).

Selepas semakin hampir dengan kubu musuh, Leftenan Azri telah menugaskan Trooper Karim dengan Koperal Morgan manakala Koperal Ah Chia dengan Sarjan Unya. Koperal Morgan menyatakan kesedihan dirinya kepada Leftenan Azri berkenaan kematian ibunya, Sarjan Unya pula telah meningalkan isterinya (Adeline Tsen) yang akan melahirkan anak mereka dan Koperal Ah Chia dihantui kejadian silam di mana bapa dan kakaknya mati dibunuh komunis manakala Trooper Karim dipenjarakan kerana memukul tunang Nadia hingga cedera parah. Masalah peribadi masing-masing telah diminta untuk diketepikan oleh Leftenan Azri dan fokus untuk pulang dari misi dengan selamat.

Mereka menyerang kubu musuh yang telah menawan dua orang anggota tentera dengan senyap. Ketika Leftenan Azri cuba menyelamatkan tawanan tersebut, Sidek Tapa cuba menyerangnya tetapi digagalkan oleh Trooper Karim. Sedikit pertempuran berlaku ketika mereka keluar dari kubu musuh dan Sarjan Unya telah terkorban. Sidek Tapa pula telah dimarahi oleh Komander Lim Yatt kerana cuai. Bantuan artileri telah mengebom kubu musuh tersebut selepas itu.Komunis bertindak balas dengan menyerang kampung Leftenan Azri dan merogol Aida dan adiknya manakala Haji Manaf (Kuswadinata), bapa Leftenan Azri dan Aida dibunuh.

Komunis terus mengganas dengan menyerang sebuah perkampungan Orang Asli. Empat anggota komando yang tinggal cuba mendapatkan bantuan tetapi set komunikasi telah rosak. Mereka cuba mendapatkan bantuan pula di perkampungan Orang Asli tersebut tetapi lambat menyedari bahawa kampung tersebut telah ditawan komunis. Koperal Morgan dan Koperal Ah Chia telah ditawan. Sidek Tapa yang berdendam dengan pengeboman kubu mereka yang terdahulu, telah membunuh Koperal Morgan. Koperal Ah Chia pula telah diseksa oleh Komander Lim Yatt. Ketika sesi seksaan itu berjalan, Koperal Ah Chia berjaya membunuh dua pengawal peribadi Komander Lim Yatt dan meletupkan sebiji bom tangan. Mereka berdua cedera parah sebelum Koperal Ah Chia menembak Komander Lim Yatt kerana dendamnya ke atas Komander Lim Yatt yang membunuh bapanya dan merogol kakaknya hingga mati dua puluh tahun lalu. Sidek Tapa memasukkan Koperal Ah Chia yang nazak, ke dalam sebuah lubang di penjara yang menempatkan tawanan Orang Asli. Dia sempat menyanyikan lagu Negaraku sebelum meninggal dunia di situ. Orang-orang Asli yang diketuai Tok Batin tidak dapat menahan kesedihan melihat kematian Koperal Ah Chia lantas memberi tabik hormat bagi memberi penghormatan ke atas kematiannya sebagai seorang wira.

Leftenan Azri dan Trooper Karim menyelinap masuk ke dalam kampung itu dan menyelamatkan tawanan yang tinggal. Ketika mereka cuba keluar, Leftenan Azri telah terpijak periuk api. Leftenan Azri cedera parah, tetapi telah diselamatkan oleh Trooper Karim. Ketika dibawa keluar dari kampung tersebut, berlakunya pertempuran antara Leftenan Azri dan Trooper Karim dengan komunis yang diketuai Sidek Tapa. Komunis yang menyerang mereka berdua berjaya ditembak mati, hanya tinggal Sidek Tapa. Leftenan Azri meninggal dunia setelah sampai ke lokasi penarikan keluar. Trooper Karim bertembung dengan Sidek Tapa. Mereka bertarung sebelum Sidek Tapa mati kerana terkena jerangkap samar yang dipasangnya sendiri, Trooper Karim pula pengsan selepas itu.

Di markas tentera, kesemua ahli keluarga anggota komando ini tidak dapat menahan kesedihan akibat kehilangan anak mereka. Ibu Koperal Ah Chia menjamah secebis roti yang dibawakan untuk anaknya, menandakan sungguhpun sedih atas kematian anaknya, namun hatinya puas setelah anaknya berjaya membalas dendam ke atas pembunuh yang membunuh suami dan anak perempuannya.

Kesemua ahli keluarga yang tinggal berkumpul di Tugu Negara untuk memberi penghormatan kepada komando yang terkorban. Trooper Karim yang berkerusi roda, meminta mereka untuk menerima dirinya sebagai ahli keluarga mereka.Mereka semua pun berpelukan.


Pelakon[sunting | sunting sumber]

Kuswadinata melakonkan watak Haji Manaf di dalam filem ini.
  • Beto Kusyairy sebagai Truper Karim
  • Remy Ishak sebagai Leftenan Azri
  • Sashi Tharan sebagai Koperal Morgan
  • Xavier Fong sebagai Koperal Ah Chia
  • Frank Peterson sebagai Sarjan Unya
  • Faril Desa sebagai Koperal Kamal,Tebusan Lim Yatt
  • Chew Kin Wah sebagai Komander Lim Yatt, Ketua Parti Komunis Malaya
  • Sofi Jikan sebagai Sidek Tapa, orang kanan Komander Lim Yatt
  • Siti Saleha sebagai Aida
  • Tasha Shilla sebagai Nadia
  • Adeline Tsen sebagai Isteri Sarjan Unya
  • Kuswadinata sebagai Haji Manaf, bapa Leftenan Azri[7]
  • Normah Damanhuri sebagai Isteri Haji Manaf
  • Uncle Muniandy sebagai Bapa Koperal Morgan
  • Jobot sebagai tunang Nadia
  • Kapten Madnor Bond sebagai Panglima Briged

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Tugu Negara merupakan antara lokasi pengambaraan bagi filem ini,

Filem ini mendapat sokongan dari Kementerian Pertahanan Malaysia dan Tentera Darat Malaysia. Majlis pra-pelancaran filem ini telah dilakukan pada 9 April 2012. Filem ini telah bertukar pengarah sebanyak tiga kali iaitu Fauzi Nawawi[8], Arab Khalid dan akhirnya Yeop Hitler.[9] Lima pelakon utama telah menjalani latihan intensif asas komando selama dua minggu di Kem Sungai Udang, Melaka.[10] 12 orang pelakon lagak ngeri telah dibawa dari Singapura dan China untuk pengembaraan.Sebanyak 65 hingga 70 peratus adalah aksi menggunakan khidmat 120 anggota tentera ATM. Penulis skrip, Mejar Zainal Hayat telah merombak skrip sebanyak 26 kali bagi mendapatkan kualiti dan keaslian cerita yang ingin disampaikan. “Saya mengambil masa agak lama untuk menyiapkan skrip ini. Draf pertama saja mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan iaitu sejak Jun 2007." [11] Filem ini menjalani pengambaraan di Tugu Negara, Kuala Lumpur, Melaka, Perak dan Johor.[12]Filem ini pada asalnya akan ditayangkan pada tahun 2013 sebelum ditarik ke tahun 2014.[13] Filem ini akhirnya ditayangkan pada tahun 2015.

Runut bunyi[sunting | sunting sumber]

Runut bunyi filem ini asalnya akan dinyanyikan oleh Hattan dan komposernya ialah Edrie Hashim. Namun begitu, pada 29 Mei 2015, lagu OST filem ini telah dimuatnaik ke Youtube. Lagu OST ini bertajuk Redha Kemenangan dan dinyanyikan oleh Amy Search dan Edrie Hashim.

OST Bravo 5
Runut bunyi oleh Pelbagai
Dikeluarkan pada 2015
Genre Runut bunyi
Syarikat Neo Worldwide
No. TajukPenyanyi Masa
1. "Redha Kemenangan"  Amy Search 4:18
2. "Ku Bakar Matahari"  Hazama 5:47
3. "Berapi Dikalbu"  Caroline 4:20
4. "Berani Mati"  Projek Pistol 4;26
5. "Redha (The Victory)"  Edrie Hashim 5:01
6. "Gendang Gendang"  Awie 2:44

Ulasan[sunting | sunting sumber]

Aidil Rusli dari The Malay Mail mengulas filem ini gagal mengambil peluang yang terhidang untuk menjadi sebuah filem yang berpotensi.Walau bagaimanapun, sinematografi bagi filem ini telah dipuji sebagai "...calon Sinematografi Terbaik Festival Filem Malaysia tahun hadapan." [14]Portal kehidupan MyRujukan pula memberi filem ini sebagai mempunyai permulaan yang baik tetapi hampa di penghujung.[15] Blog Kakimuvee menyifatkan CGI dan kesan khas tidak realistik bagaimanapun memuji langkah berani penghasilan filem ini.[16]

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Anugerah Kategori Penerima Hasil
Festival Filem Malaysia ke-28 Busana Terbaik Hasnan Yaacob Dicalonkan
Sinematografi Terbaik Md Noor Kassim Dicalonkan
Penataan Seni Terbaik Mohd Khairul Md Dan Dicalonkan

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:IMFDB title