Fara (drama)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Fara
GenreDrama, Komedi
PengarahAziz M. Osman
Dibintangi oleh
Fara Fauzana
Mohd Kardanie Anwa
Pushpa Narayan
Jason Chong
Lagu pembukaan"Cepat-Cepat" oleh Jaclyn Victor
Negara asalMalaysia Malaysia
BahasaBahasa Malaysia
Bilangan musim3
Bilangan episod39 (Senarai episod)
Penerbitan
Penerbit eksekutifAziz M. Osman
PenerbitNor Aliah Lee
PenyuntingAben Othman
Tempoh siaran30 minit per episod
Penyiaran
Saluran asalTV3
Siaran asal13 Februari 20078 Mei 2007
Pautan luar
Laman sesawang

Fara ialah rancangan drama-komedi Malaysia terbitan Ace Motion Pictures yang dibintangi juruhebah radio terkemuka Fara Fauzana. Siri TV ini kini sudah mencecah tiga musim sejak ditayangkan buat julung kali pada tahun 2007.

Am[sunting | sunting sumber]

Fara (lakonan Fara Fauzana) diambil kerja sebagai juruhebah radio di sebuah stesen radio fiksyen bernama Panas FM lalu mendapati bahawa kerja sebagai juruhebah ini lebih sukar daripada apa yang dijangkanya, kerana stesen ini kelihatan banyak dilanda masalah dalam untuk terus bermandiri di udara, serta rakan sekerja yang banyak ragam yang boleh mempengaruhi kepuasannya untuk bekerja di situ.

Setiap kali penyiaran episod siri ini dimulakan dengan babak pertama diikuti dengan pembuka yang dimulakan dengan adegan di mana Farah berada dalam studio siaran dengan berucap: "Haaloo…Farah di sini! Ni nak tanya ni kan, ada orang cakaplah, wanita yang muda dan juga berjaya ni selalunya berat jodoh. Ah, betul ke?" Pembuka rancangan dilengkapi dengan montaj foto yang diambil sekitar Kuala Lumpur dan tampalan gambar Fara yang bersisipkan senarai pelakon utama dan diiringi lagu Cepat-Cepat oleh Jaclyn Victor.

Tambahan juga, di samping cerita utama, dalam setiap episod terdapat babak sisipan yang tidak terdapat dalam kesinambungan cerita tetapi berkaitan dengan pengalaman hidup Fara dalam setiap episod, iaitu yang mana Fara berada dalam studio penyiaran untuk meluahkan soalan, kemudian potongan potret orang ternama atau watak filem/televisyen yang dianimasikan bibirnya (sebenarnya merupakan rakaman bibir pelakon) memberi cadangan kepadanya. Antara potret yang dipakai termasuk Angelina Jolie, Nora Danish, ahli-ahli kumpulan Senario, George W. Bush, Ariel Sharon, Tony Blair, Michael Jackson, Shah Rukh Khan dan Michael Schumacher.

Watak-watak[sunting | sunting sumber]

Watak utama[sunting | sunting sumber]

  • Fara (Fara Fauzana) asalnya bekerja sebagai operator syarikat teksi sehingga dipujuk untuk menyertai bidang penghebahan oleh penyelia syarikat lamanya yang melihatnya sebagai berbakat sebagai juruhebah ala radio. Namun setibanya di Panas FM, kehidupannya makin bergolak setelah menghadapi dugaan dalam hidup setelah dinaikkan nama sebagai personaliti terkenal di gelombang radio.
  • Sanju (Pushpa Narayan) ialah Pengurus Panas FM yang amat tegas terhadap orang bawahannya, namun sedia membantu Fara dan rakan sekerjanya sekiranya mereka menghadapi masalah termasuk yang peribadi.
  • Nordin a.k.a. Din JJ (Mohd Kardanie "Danny" Anwa) ialah rakan sejawatan Fara yang kuat egonya. Pada musim pertama, Din menjadi dengki terhadap Fara lalu sanggup melakukan apa sahaja untuk menyingkirkannya dari Panas FM demi kepentingan sendiri. Pada musim kedua kedengkiannya sudah reda. Sering kali dia dilihat bertutur dalam loghat Kelantan. JJ ialah singkatan bagi "Jejaka Jambul".
  • Jimmy (Jason Chong) ialah penerbit rancangan Panas FM yang berperangai keperempuanan. Dia sentiasa bimbang akan sambutan pendengar dan pengiklan terhadap stesen tersebut dan mudah menjadi cemas jika dengar ada juruhebah yang hendak meninggalkan Panas FM.
  • Hisham (Fahrin Ahmad) muncul di awal musim ketiga, sebagai seorang wakil syarikat yang menaja rancangan Fara di Panas FM. Walaupun sudah bertemankan Diana, namun dirinya seolah-olah makin erat dengan Fara dan agak sukar untuk Fara menerima kenyataan ini walaupun beginilah yang disangka rakan-rakannya semenjak Hisham muncul.
  • Diana (Jue Aziz):Anak emas dalam keluarga pemilik syarikat penaja Panas FM, dan teman wanita Hisham. Dia muncul di musim ketiga untuk cuba membawa perubahan drastik kepada Panas FM tanpa kerelaan krew. Dia pernah membikin sebuah filem berjudul Dendam Berahi yang kurang berjaya di pawagam walaupun banyak berbelanja untuk penerbitan (dari episod Gali Lubang Tutup Lubang).

Watak sampingan dan watak kecil[sunting | sunting sumber]

  • Sean (Dalip Dale Suvitt) ialah seorang kenalan Wanda. Dalam episod Jejaka Idaman, Sean pernah menjalin hubungan dengan Fara buat seketika dan disangka oleh Din sebagai teman lelaki Wanda yang dicuri Fara.
  • Jaya (Siva Kumar) ialah suami kepada Sanju. Dalam episod Cita-cita dan Cinta, dia dengan bantuan krew Panas FM cuba memujuk Sanju menyambut hari jadi.
  • Nabil (Nabil Zamanhuri) muncul dalam episod Salah Pancing sebagai konsultan imej Panas FM yang diidamkan Wanda untuk bercinta, tetapi sebaliknya kelihatan lebih rapat dengan Fara dan malu berdekatan dengan Wanda.
  • Samad (Zami Ismail) ialah pengawal keselamatan bangunan yang menempatkan konti Panas FM. Dalam episod Tak Padan, dia menunjukkan rasa jelik terhadap sifat keperempuanan Jimmy, tetapi anaknya sendiri juga berperilaku keperempuanan.
  • Leong (Jeffrey Lim) ialah rakan sejawatan Samad yang juga muncul dalam episod Tak Padan.
  • Dr. Salim (Aziz M. Osman) ialah seorang pakar kecantikan palsu yang, dalam episod Duta Produk, memperguna nama Fara untuk melariskan keluaran terbarunya.
  • Maya (Fara Ali) ialah teman wanita Din JJ dalam satu perhubungan yang renggang. Dalam episod Cincang Air, Maya memutuskan hubungan setelah ditegah abangnya.
  • Rosman (Syed Aiman) ialah abang kepada Maya. Dalam episod Cincang Air, Din cuba menjalin hubungan dengan Rosman agar mendapatkan kembali Maya, tetapi hubungan baik itu tidak tahan lama jua.
  • Ayu (Farah Putri) ialah pelatih yang bekerja di premis Panas FM sementara di episod Budak Praktikal.
  • Michael (Aaron Aziz) ialah bekas teman lelaki Sanju yang pernah saling bercinta ketika masih bersekolah. Di episod Janji, dia kembali dari pengajiannya di England lalu cuba berhubung dengan bekas teman wanitanya.
  • Nia (Eira Syazira) ialah seorang pekerja di pejabat bersebelahan pejabat Panas FM yang menarik hati Jimmy di episod Cinta Jimmy.
  • Suhaimi (Fahrin Ahmad) ialah Pegawai Eksekutif Panas FM dan orang atasan kepada kelima-lima watak utama. Muncul buat julung kali di episod Siapa Ketua, Suhaimi menunjukkan personaliti yang peramah dan senang-lenang, tetapi berdendam terhadap Sanju dan mengambil kesempatan dengan memecatnya atas kesilapan kecil.

Bekas watak utama[sunting | sunting sumber]

  • Wanda (Yanie) ialah wartawan hiburan dan "tukang gosip" Panas FM yang sering cuba menceriakan suasana di pejabat stesen radio tersebut. Dia bersifat naif dan mudah terpedaya. Watak ini muncul selama dua musim pertama.

Penampilan istimewa[sunting | sunting sumber]

  • Hai Fara Di Sini!:Faizal Tahir ditampilkan secara khusus bagi episod ini untuk memainkan peranan seorang awam yang terlibat dalam kaji selidik.
  • Cincang Air (bhg 2): Barisan pelakon utama siri Puteri meminjamkan suara mereka sebagai pemanggil radio dalam episod ini.
  • De Javu: Panas FM mengadakan temubual bersama Ella dari wad hospital di mana Fara terlantar akibat kemalangan.

Senarai episod[sunting | sunting sumber]

Musim pertama[sunting | sunting sumber]

# Judul Siaran pertama Ringkasan
1 Hai Fara Di Sini! 13 Februari 2007 Pencarian suara baru Panas FM yang berada dalam kemelut sambutan pendengar, berakhir dengan penemuan Fara sebagai juruhebah di BB Plaza.
2 Rajuk Tak Ke Mana 20 Februari 2007 Hubungan tegang Fara dan rakan sekerjanya, Din JJ, menyebabkan Fara kesal menjadi juruhebah lalu pulang ke kampung halamannya, namun setelah dipujuk melalui cerita dari seorang kenalan lama, maka dia digalakkan kembali ke konti.
3 Jejaka Idaman 27 Februari 2007 Fara merapatkah hubungan dengan Sean, seorang kawan Wanda, yang menghadiahkan sekeping CD motivasi kepada Fara, lalu menimbulkan salah faham di stesen.
4 Buaya Internet 6 Mac 2007 Sikap dengki terhadap populariti Fara mendorong Din untuk "meminjam" akaun e-mel Fara untuk membalas surat dengan niat jahat. Akibatnya, Fara terpaksa melayan gangguan dari seorang bergelar "Buaya" yang tidak pernah dijumpainya.
5 Hari Malang 13 Mac 2007 Pada hari yang Din sepatutnya menjayakan temu janjinya dengan teman wanitanya, dia pula ditimpa nasib malang sepanjang hari.
6 Cita-cita dan Cinta 20 Mac 2007 Para krew Panas FM membantu, Jaya, suami Sanju, menujuk isterinya yang benci akan majlis hari jadi itu menyambut hari jadinya dengan bahagia.
7 Salah Pancing 27 Mac 2007 Wanda dengan tidak sengaja mendedahkan bahawa dia jatuh cinta kepada konsultan imej baru Panas FM, Nabil, yang tiba untuk membantu meningkatkan ketahanan populariti Panas FM melalui penukaran imej terhadap para juruhebah.
8 Tak Padan 3 April 2007 Jimmy didorong untuk menyerlahkan kelelakiannya setelah menghadapi rasa jelik Samad, pengawal keselamatan bangunan Panas FM. Namun, itu tidak bertahan lama setelah rakan sekerjanya pula jelik dan anak Samad kembali dengan penampilan keperempuanan.
9 Lady Driver 10 April 2007 Kereta Fara terlanggar oleh kereta di belakangnya, lalu pergaduhan antara Fara antara pemandu kereta lain itu meninggalkan rasa dendam dan tanggapan buruk terhadap pemandu lelaki.
10 Apa Kes? 17 April 2007 Sanju memecat Wanda kerana menyebabkan Panas FM tersiar khabar yang menyinggung perasaan seorang artis lalu menggantinya dengan orang baru yang berperwatakan jauh berbeza daripada Wanda.
11 Duta Produk 24 April 2007 Nama Fara dijadikan jenama krim kecantikan terbaru Dr Salim, tetapi sebenarnya krim itu didapati tidak selamat digunakan.
12 Cincang Air (bahagian I) 1 Mei 2007 Pihak pengurusan Panas FM membuat keputusan untuk memisahkan Fara dan Din. Sejak itu, Din muram kerana Maya memutuskan hubungannya kerana ditegah abangnya Rosman. Fara campur tangan dalam hal Din tetapi hanya memburukkan keadaan.
13 Cincang Air (bahagian II) 8 Mei 2007 Din meletak jawatan dari Panas FM dengan perasaan geram atas apa yang menimpanya dengan Rosman. Fara berasa serba salah lalu mengadakan segmen khas untuk para pendengar meluahkan perasaan mereka mengenai Din. Tetapi tiba-tiba Din kembali ke Panas FM dengan syarat.

Musim kedua[sunting | sunting sumber]

# Judul Siaran pertama Ringkasan
1 Anak Seni 29 Januari 2008 Din JJ terpaksa bergelut dalam acara membaca syair sementara Fara berpeluang mendekati anak-anak yatim.
2 Kawan Lama 5 Februari 2008 Sepucuk surat jemputan daripada "rakan" sekolej lama mengungkitkan kenangan pahit Fara, apapun dia terpaksa ke partinya, seblum diheret ke dalam "isu politik" yang kecil.
3 Selebriti 12 Februari 2008 Fara dan Din JJ menerima tawaran untuk berlakon dalam sebuah filem. Din tercedera dalam penggambaran dan menyedari bahawa bidang lakonan itu tidak semudah itu, sementara Fara teruja menantikan filem itu keluar di pawagam kelak.
4 Tukaran Wang 19 Februari 2008 Din melibatkan dalam satu "skim tukaran matawang asing" yang agak mencurigakan dan terpaksa meminjam duit Wanda untuk pelaburan itu. Akhirnya mereka berdua tertipu.
5 Budak Praktikal 26 Februari 2008 Tibanya seorang pelatih untuk bekerja di Panas FM, dan Fara menjadi penyelianya. Din JJ cuba meyakinkan Sanju bahawa dia dapat melatih orang baru itu dengan lebih baik.
6 Janji 4 Mac 2008 Seorang lelaki tidak dikenali menyerahkan sejambak bunga kepada Wanda untuk disampaikan ke "wanita yang tercantik" di Panas FM. Rupa-rupanya lelaki itu bekas teman lelaki Sanju.
7 Tikus Si Labu 11 Mac 2008 Sistem komputer pejabat Panas FM terjejas dan Din mengambil kesempatan menunjuk-nunjuk "kepakaran" membaiki komputer. Namun, seperti yang dijangka, din memburukkan keadaan sehingga bekalan elektrik terputus juga.
8 Lesen Terbang 18 Mac 2008 Musim perayaan telah tiba, dan Wanda teruja beria-ia hendak memandu kereta. Din JJ sekali lagi menipu Wanda agar membeli lesen tanpa perlu belajar memandu.
9 Juri Realiti 25 Mac 2008 Fara dan Din JJ dijemput untuk mengadili pertandingan naynyian radio. Tetapi, Fara menjadi curiga apabila digesa penganjur untuk memuji seorang peserta tanpa mendengar suaranya terlebih dahulu.
10 Cinta Jimmy 1 April 2008 Jimmy sudah bertemu dengan cinta pertama yang berbentuk seorang wanita yang baru dipindahkan ke ibu pejabat syarikatnya yang kebetulan berhampiran dengan premis Panas FM.
11 Tetamu Studio 8 April 2008 Pejabat Panas FM menjadi hiruk-piruk apabila tetamu jemputan membatalkan penampilannya pada saat-saat akhir. Jimmy bertungkus-lumus mencari seorang kawan Wanda sebagai penggantinya, tetapi tersilap orang lagi.
12 Siapa Ketua 15 April 2008 Suhaimi, Pegawai Eksekutif Panas FM datang ke konti untuk memantau kakitangan stesen radio, tetapi pada masa sama mengundang rasa was-was Sanju. Setelah berlakunya keterlanjuran di udara, Suhaimi mengambil kesempatan menjalankan komplot terhadap Sanju.
13 De Javu 22 April 2008 Fara cedera parah ditimpa kemalangan jalan raya lalu dikejarkan ke hospital. Berita ini mengejutkan keluarga dan rakan sekerjanya lalu mengingatkan detik-detik mereka bersama Fara selama ini. Demi menepati janji kepada para pendengar, sesudah Fara sedar dia mengadakan temubual dengan Ella dari wad.

Musim ketiga[sunting | sunting sumber]

# Judul Siaran pertama Ringkasan
1 Siapa Hebat 11 November 2008 Hisham, wakil dari sebuah penaja Konsert Ulang Tahun Panas FM, mula bekerja di pejabat Panas FM untuk memantau rancangan Fara yang turut ditaja syarikatnya. Warga kerja Panas FM yang lain memerhati gerak-geri Hisham apabila berdekatan dengan Fara seolah-olah Hisham minat terhadap Fara.
2 Duta Gelang 18 November 2008 Din berurusan dengan seorang ejen pemasaran berbilang tingkat yang mengaku menjual gelang mujarab, dan mengheret Fara sekali dalam perniagaan ini. Akhirnya setelah menyaksikan demonstrasi, mereka berdua tidak yakin akan keberkesanan produk terbabit lalu keluar dari urusan itu sekali.
3 Cinta Buta Buta Cinta 25 November 2008 Fara hampa kerana di tengah jalan memutik perasaan dengan Hisham, rupanya Hisham sudah berpunya. Retak hatinya terubat apabila bertemu semula dengan kawan lamanya Farid di galeri seni. Jimmy kecewa setelah mendapat khabar bahawa kakaknya sudah berputus tunang, atas alasan "cinta tak boleh dipaksa", tetapi lagi teresak-esak kerana tumpang gembira apabila mendapati kakaknya itu mengahwini seroang kawan lamanya.
4 Panas…Panas 2 Disember 2008 Panas FM menjemput kedatangan "ketua" penaja rancangan Fara dan Din iaitu Diana, iaitu teman wanita Hisham dan juga anak perempuan kepada majikan Hisham. Diana membuat beberapa tuntutan yang membuat krew Panas FM terasa janggal dan kurang senang gara-gara khuatir akan menjejaskan identiti Panas FM.
5 Gali Lubang Tutup Lubang 9 Disember 2008 Pengurusan Panas FM diambil alih oleh pihak penaja rancangan Fara, oleh itu Diana selaku pihak pengurusan baru mengumumkan langkah-langkah drastik untuk mengubah Panas FM termasuk memberhentikan Nordin. Krew Panas FM membantah lalu memujuk Diana untuk menarik balik pemberhentian Nordin, termasuk Fara mengugut untuk sama meninggalkan Panas FM sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi. Tan Sri Ramli pun muncul untuk meredakan keadaan.
6 Siapa Bos? 16 Disember 2008 Diana mencadangkan radio drama disiarkan di Panas FM, tetapi dibantah Hisham, lalu timbulnya perbalahan antara mereka yang dicampuri hubungan Hisham dengan Fara yang menimbulkan perasaan syak wasangka dalam diri Diana. Sungguhpun dipujuk Tan Sri Ramli, Fara tetap dengan keputusan untuk berpisah dari Panas FM dan mula menerima tawaran untuk berkhidmat di stesen lain.
7 Simpan Rahsia 23 Disember 2008 Pemergian Tan Sri Ramli menggemparkan seluruh warga kerja Panas FM dan Fara pula tak jadi meninggalkan Panas FM, tetapi Diana yang sepatutnya berkabung makin pelik perangainya. Pada suatu hari, Diana berkongsi rahsia dengan Fara bahawa dia ada teman lelaki kedua, maka menyebabkan Fara tertekan dan berkelakuan pelik di tempat kerja.
8 Rahsia Diana 30 Disember 2008 Rakan-rakan Fara akhirnya mengetahui rahsia besar yang disimpan Fara, lalu merancang sesuatu untuk mengajar Diana mengenai sikap curangnya.
9 Skandal 6 Januari 2009 Hisham lega menamatkan hubungan dengan Diana, tetapi timbulnya masalah baru apabila cerita hubungan Hisham dan Sanju muncul di tabloid, sekaligus mengeruhkan lagi hubungan Diana dengan krew Panas FM, khususnya hendak mengenakan Sanju.
10 Amukan Nordin 13 Januari 2009 Fara dan Sanju bercuti di Port Dickson untuk menjauhkan diri dari suasana haru-biru Panas FM. Di pejabat pula, Din semakin panas baran lalu cuba "menguasai" Diana dan Panas FM serta melakukan perubahan drastik di Panas FM.
11 Gila Kuasa 20 Januari 2009 Seluruh warga kerja Panas FM rimas dengan kekuasaan Din dan betapa jinaknya Diana terhadap "ketua" baru stesen radio mereka. Mereka harus cuba memulihkan keadaan sebelum kehilangan ramai pendengar.
12 Madah Penuh Helah 3 Februari 2009 Panas FM berjaya dikembalikan ke format asal, tetapi dendam antara Fara dan Diana belum reda. Diana menyambungkan kontrak Fara tetapi mensyaratkan Fara bersama Din dipindahkan ke slot larut malam.
13 Sandiwara Panas FM 10 Februari 2009 Fara dan Sanju tak tertahan kerenah Diana maka mereka cuba mengajar Diana mengenai kesan sikap dengki Diana terhadap prestasi Panas FM. Fara meluahkan perasaannya kepada Hisyam.

Trivia[sunting | sunting sumber]

  • Stesen radio Panas FM dari beberapa segi mencerminkan imej luaran Hot FM dalam alam sebenar, di mana Fara Fauzana bertugas.
    • Konti Panas FM sebenarnya merupakan konti Hot FM di Sri Pentas, tetapi pejabatnya merupakan studio rakaman di suatu tempat lain. Konti Hot FM tidak jauh dari pintu besar Sri Pentas.
    • Slogan Panas FM ialah "Lebih menggelagak daripada biasa," iaitu perkataan "menggelagak" menggenti perkataan "hangat" dalam slogan Hot FM.
    • Dalam lapan episod terawal musim pertama, logo Panas FM serupa dengan logo Hot FM. Semenjak episod 9, logo Panas FM bertukar menjadi bentuk bulatan berapi yang lebih unik.
  • Dalam episod ke-11 musim pertama, Fara mengujar ungkapan "lebih hangat daripada biasa" — slogan Hot FM — apabila berbincang mengenai satu produk yang menjadikan Fara sebagai duta.
  • Dalam episod ke-12 musim pertama, Din mengujar ungkapan "borẽ duriẽ siẽ Gred A, ''best in Klatẽ, best in Ganu, and sometime in Pahang" (Terbaik di Kelantan, Terbaik di Terengganu, dan kadang-kadang di Pahang) yang mengajuk ungkapan watak sitkom Singapura Phua Chu Kang iaitu "Best in Singapore and JB, and some say in Batam" (Terbaik di Singapura dan Johor Bahru dan kata orang di Batam juga).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]