Hadiah Nobel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hadiah Nobel
Sebuah pingat emas dengan imej timbul Alfred Nobel menghadap ke kiri dalam profil. Ke kiri beliau ialah teks "ALFR•" kemudian "NOBEL", dan di kanan, teks (lebih kecil) "NAT•" kemudian "MDCCCXXXIII" di atas, diikuti oleh (lebih kecil) "OB•" kemudian "MDCCCXCVI" di bawah.
PenghargaanSumbangan cemerlang untuk manusia sejagat dalam Fizik, Kimia, Kesusasteraan, Keamanan, Fisiologi atau perubatan dan Hadiah Peringatan Nobel dalam Sains Ekonomi
NegaraSweden,
Norway (hanya Hadiah Keamanan)
Disampaikan olehAkademi Sweden
Jawatankuasa Nobel Akademi Sains Diraja Sweden
Jawatankuasa Nobel Karolinska Institutet
Jawatankuasa Nobel Norway
Anugerah pertama1901
Laman web rasminobelprize.org

Hadiah Nobel (sebutan Sweden: [noˈbɛl], bentuk tentu, mufrad bahasa Sweden: Nobelpriset; bahasa Norway: Nobelprisen) ialah hadiah yang dimulakan oleh wasiat Alfred Nobel, dan dianugerahkan kepada individu (dan juga pertubuhan dalam kes Hadiah Keamanan Nobel) yang telah melakukan penyelidikan yang ulung, mencipta teknik atau radas yang luar biasa, atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat. Hadiah-hadiah Nobel yang umumnya dianugerahkan setiap tahun dalam kategori-kategori yang disenaraikan di bawah, dianggap secara meluas sebagai pujian yang tertinggi dalam dunia pada hari ini.[1][2][3]

Sejak November 2005, sebanyak 776 buah Hadiah Nobel telah dianugerahkan (758 kepada individu dan 18 kepada pertubuhan).[4] Bagaimanapun, beberapa pemenang hadiah telah menolak anugerah ini. Terdapat juga tahun-tahun yang hadiah ini tidak dianugerahkan; umpamanya, semasa Perang Dunia II, hadiah-hadiah Nobel langsung tidak dianugerahkan antara tahun 1940 dan 1942. Khususnya, pemilihan hadiah keamanan amat terjejas oleh pendudukan Jerman Nazi di Norway.[5]

Hadiah-hadiah Nobel harus dianugerahkan sekurang-kurangnya satu kali pada setiap lima tahun.[6] Calon-calon harus masih hidup pada masa pencalonan dan sejak tahun 1974, anugerah ini tidak boleh diberikan kepada orang yang sudah meninggal dunia. Hadiah yang diberikan tidak boleh ditarik balik.[7]

Kategori hadiah[sunting | sunting sumber]

Pingat Kategori Ciri-ciri
Reka bentuk asli ®© Yayasan Nobel. Hadiah Nobel dalam Fizik Dianugerahkan oleh Akademi Sains Diraja Sweden kepada "individu yang telah membuat penemuan atau rekaan yang paling penting dalam bidang fizik".
Reka bentuk asli ®© Yayasan Nobel. Hadiah Nobel dalam Kimia Dianugerahkan oleh Akademi Sains Diraja Sweden kepada "individu yang telah membuat penemuan atau pembaikan kimia yang paling penting".
Reka bentuk asli ®© Yayasan Nobel. Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan Dianugerahkan oleh Karolinska Institutet kepada "individu yang telah membuat penemuan yang paling penting dalam bidang fisiologi atau perubatan".
Reka bentuk asli ®© Yayasan Nobel. Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan Dianugerahkan oleh Akademi Sweden kepada "individu yang telah menghasilkan karya berkecenderungan idealistik yang paling cermelang dalam bidang kesusasteraan".
Reka bentuk asli ®© Yayasan Nobel. Hadiah Keamanan Nobel Dianugerahkan oleh Jawatankuasa Nobel Norway kepada "individu yang telah membuat kerja yang paling banyak atau paling baik untuk persaudaraan antara negara, penghapusan atau pengurangan tentera tetap, ataupun mengadakan dan mempromosikan kongres-kongres keamanan".

Hadiah Peringatan Nobel[sunting | sunting sumber]

Pingat Kategori Ciri-ciri
Reka bentuk asli ®© Yayasan Nobel. Hadiah Peringatan Nobel dalam Sains Ekonomi Juga dikenali sebagai Hadiah Bank Sweden dalam Sains Ekonomi untuk Peringatan Alfred Nobel, hadiah ini dimulakan pada tahun 1969 oleh Sveriges Riksbank (Bank Sweden). Walaupun hadiah ini dianugerahkan oleh Akademi Sains Diraja Sweden pada waktu yang sama dengan Hadiah-hadiah Nobel – dan menyebabkan banyak orang dan pengulas menganggapnya sebagai satu "Hadiah Nobel" – berdasarkan alasan-alasan teknik, hadiah ini bukannya sebuah hadiah Nobel kerana hadiah ini tidak diwasiat oleh Alfred Nobel atau dibiayai oleh pusakanya.

Upacara penganugerahan[sunting | sunting sumber]

Dewan Konsert Stockholm, di mana majlis penganugerahan Hadiah Nobel diadakan setiap tahun.

Jawatankuasa-jawatankuasa dan institusi-institusi yang berperanan sebagai lembaga pemilihan untuk penghadiahan lazimnya mengumumkan nama-nama penerimanya pada Oktober. Hadiah-hadiah ini dikurniakan di upacara rasmi yang diadakan pada 10 Disember setiap tahun, iaitu ulang tahun kematian Alfred Nobel.

Upacara hadiah keamanan diadakan di Institut Nobel Norway sejak 1905 hingga 1946, kemudiannya di Aula Universiti Oslo, dan kini di Dewan Bandaraya Oslo sejak tahun 1990. Upacara hadiah lain pula diadakan di Dewan Konsert Stockholm sejak tahun 2005.

Setiap anugerah layak dikurniakan kepada tidak lebih daripada tiga penerima setiap tahun. Setiap hadiah mengandungi sebutir pingat emas, diploma, dan sejumlah wang. Hadiah wangnya pada masa kini bernilai 10 juta krona Sweden (bersamaan dengan sedikit lebih sejuta euro atau kira-kira 1.3 juta dolar Amerika Syarikat). Asalnya, ini dimaksudkan untuk membolehkan para penerima untuk menyambungkan kerja-kerja atau kajian mereka tanpa tekanan pembiayaan. Sebenarnya, kebanyakan pemenanng sudah bersara sebelum meraih hadiah mereka. Jika terdapat dua pemenang dalam satu kategori, maka hadiah wang itu dibahagikan sama rata untuk dikongsi kedua-dua mereka. Jika terdapat tiga pemenang pula, suruhanjaya penganugerahan boleh memutuskan sama ada untuk membahagikan wang itu sama rata untuk ketiga-tiga mereka, atau mengurinakan separuh wang itu kepada seorang pemenang dan separuh yang lain dikongsi sama rata oleh dua pemenang lain itu. Para penerima juga sering menderma wang hadiah mereka untuk tujuan saintifik, kebudayaan atau kemanusiaan.

Sejak 1902, Raja Sweden sentiasa mengurniakan hadiah-hadiah Nobel secara rasmi, kecuali Hadiah Keamanan Nobel, di Stockholm. Raja Oscar II mula-mulanya tidak berkenan dengan pemberian hadiah kebesaran kebangsaan kepada warga asing, tetapi adalah dikatakan bahawa pendirian baginda berubah setelah menyedari nilai publisiti hadiah-hadiah ini kepada negara.

Hadiah Keamanan Nobel pertama dianugerahkan pada tahun 1901, oleh Presiden Parlimen Norway sehingga Jawatankuasa Nobel Norway ditubuhkan pada tahun 1904. Lima ahli jawatankuasa ini dilantik oleh Parlimen Norway (Stortinget), dan diamanahkan dengan kerja penyediaan yang berkaitan dengan hadiah berkenaan dan penganugerahan Hadiah Keamanan Nobel. Ahli-ahlinya bebas dalam menjalankan tugas mereka dan tidak menjawab kepada penggubal undang-undang. Ahli-ahli kerajaan Norway tidak dibenarkan menyertai kegiatan jawatankuasa ini.

Wasiat Nobel[sunting | sunting sumber]

Alfred Nobel

Hadiah-hadiah ini diperkenalkan oleh wasiat terakhir Alfred Nobel, seorang ahli kimia, usahawan, dan pencipta dinamit berbangsa Sweden. Alfred Nobel pernah menulis beberapa wasiat ketika hidup, yang terakhir ditulis pada 27 November 1895—sedikit lebih setahun sebelum kematiannya. Beliau menandatangannya di Kelab Sweden-Norway di Paris pada 27 November 1895. Hasil kerja Nobel secara langsung melibatkan perekaan bahan letupan, dan beliau menjadi kurang senang hati dengan penggunaan ciptaannya oleh pihak tentera. Adalah dikatakan bahawa kerimasan ini sedikit sebanyak didorong oleh pembacaan obituari pramasa dirinya yang tersilap disiarkan oleh sebuah akhbar Perancis ketika kematian abang Nobel iaitu Ludvig, dan mengecam Alfred sebagai "saudagar maut." Maka dalam wasiatnya, Alfred meninggalkan 94% hartanya kepada penubuhan lima Hadiah:

Keseluruhan harta saya yang boleh direalisasi yang tinggal patut diuruskan dengan cara ini:

Modal akan dilabur oleh wasi saya dalam sekuriti-sekuriti yang selamat dan terdiri daripada satu dana, yang faedah yang dikenakan padanya akan diagihkan setiap tahun dalam bentuk hadiah-hadiah kepada sesiapa yang, sepanjang tahun yang berlalu, akan dikurniakan amal yang terhebat pernah diberi kepada manusia. Faedah itu akan dibahagi kepada lima bahagian sama rata, yang akan diperuntukkan seperti berikut: sebahagian kepada tokoh yang akan melakukan penemuan atau penciptaan terpening dalam bidang fizik; sebahagian kepada tokoh yang akan melakukan penemuan atau pemajuan kimia terpenting; sebahagian kepada tokoh yang akan melakukan penemuan terpenting dalam bidang fisiologi atau perubatan; sebahagian kepada tokoh yang akan menghasilkan karya berkecenderungan idealistik yang paling cemerlang dalam bidang sastera; dan sebahagian kepada tokoh yang akan melakukan kerja terbanyak atau terbaik demi persaudaraan antara bangsa, untuk pembubaran atau pengurangan tentera-tentera yang masih ada dan untuk menganjuran dan promosi kongres keamanan.

Hadiah-hadiah untuk fizik dan kimia akan dianugerahkan oleh Akademi Sains Sweden; hadiah untuk kerja fisiologi dan perubatan oleh Institut Karolinska di Stockholm; hadiah untuk sastera oleh Akademi di Stockholm; dan hadiah untuk pejuang keamanan oleh satu jawatankuasa lima ahli untuk dilantik oleh Storting Norway. Adalah hasrat saya yang nyata bahawa ketika menganugerahkan hadiah-hadiah berkenaan kewarganegaraan para calon tidak dipertimbangkan langsung, agar yang paling sewajarnya akan menerima hadiah, sama ada dia itu orang Scandinavia atau tidak.

Sungguhpun wasiat Nobel berjaya menubuhkan hadiah-hadiah ini, namun rancangan beliau belum selesai. Maka, oleh sebab adanya halangan lain, setelah lima tahun berlalu barulah Yayasan Nobel dapat ditubuhkan dan hadiah-hadiah pertamanya dianugerahkan pada 10 Disember 1901.[8]

Proses pencalonan dan pemilihan[sunting | sunting sumber]

Berbanding dengan sesetengah hadiah yang lain, pencalonan dan pemilihan Hadiah Nobel agak memakan masa dan dikawal ketat. Inilah satu sebab yang penting Hadiah-hadiah menjadi semakin penting dan berprestij sejak bertahun-tahun sehingga menjadi hadiah-hadiah terpenting dalam bidang masing-masing.

Borang-borang yang berbentuk undangan peribadi dan eksklusif, dihantar kepada lebih kurang 3000 individu terpilih untuk menjemput mereka untuk mengemukakan pencalonan. Contohnya, Yayasan Nobel menyatakan bahawa bagi Hadiah Keamanan, pihak-pihak berikut boleh mengemukakan pencalonan:

  • Ahli-ahli perhimpunan kebangsaan dan kerajaan negeri
  • Ahli-ahli mahkamah antarabangsa
  • Rektor universiti
  • Profesor-profesor sains sosial, sejarah, falsafah, undang-undang dan teologi
  • Pengarah-pengarah institut penyelidikan keamanan dan institut dasar luar negeri
  • Individu yang pernah dianugerahkan Hadiah Nobel
  • Ahli lembaga pertubuhan yang telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel
  • Ahli-ahli aktif dan bekas ahli Suruhanjaya Nobel Norway
  • Bekas penasihat yang dilantik oleh Institut Nobel Norway

Syarat-syarat yang serupa dikenakan untuk hadiah-hadiah lain.

Tarikh akhir penyerahan pencalonan dikuatkuasa dengan ketatnya pada 31 Januari.[9] Pencalonan diri ditarik balik kelayakan secara automatik dan hanya orang yang masih hidup layak untuk menerima Hadiah Nobel.

Tidak sama dengan anugerah-anugerah lain, calon-calon Hadiah Nobel tidak diumumkan kepada orang awam, dan tidak sepatutnya diberitahu bahawa mereka sedang dipertimbangkan untuk hadiah langsung. Catatan-catatan ini disimpan selama 50 tahun.

Setelah tarikh akhir pencalonan berlalu, satu Jawatankuasa menyusun dan menapis semua pencalonan sehingga terhasilnya satu senarai yang mengandungi kira-kira 200 calon awal. Senarai ini dihantar ke pakar-pakar terpilih dalam bidang kerja setiap calon dan, selepas itu, senarai dikurangkan lagi kepada kira-kira 15 calon muktamad. Jawatankuasa ini kemudiannya menulis satu laporan yang mengandungi cadangan lalu menghantarnya ke Akademi atau mana-mana institusi serupa yang lain, bergantung kepada Hadiah. Sebagai contoh mengenai saiz insitut, Perhimpunan untuk Hadiah Perubatan mempunyai 50 orang ahli. Ahli-ahli institusi ini bersidang dan mengundi untuk memilih pemenangnya.

Proses ini menampakkan sedikit perbezaan antara bidang-bidang berlainan. Contohnya, Hadiah Sastera jarang dikurniakan kepada rakan usaha sama tetapi hadiah-hadiah lain sering membabitkan pelbagai nama.

Larangan pencalonan selepas mati[sunting | sunting sumber]

Pencalonan anumerta (selepas mati) bagi Hadiah tidak dibenarkan sama sekali. Hal ini kadang-kala mencetuskan kritikan bahawa pihak yang patut meraih Hadiah Nobel tidak dapat menerimanya kerana mereka meninggal dunia sebelum dapat dicalonkan. Telah berlakunya dua kali yang mana Hadiah dikurniakan secara anumerta kepada tokoh yang masih hidup ketika masih hidup, iaitu Setiausaha Agung PBB, Dag Hammarskjöld (1961, Hadiah Keamanan) dan Erik Axel Karlfeldt (1931, Hadiah Sastera) — kedua-dua mereka dikurniakan Hadiah pada tahun kematian masing-masing.

Sejak tahun 1974, penerimaan anugerah tidak dibenarkan untuk tokoh yang sudah meninggal dunia. William Vickrey (1996, Ekonomi) meninggal sebelum sempat menerima hadiah beliau, tetapi selepas namanya diumumkan.

Kritikan hadiah[sunting | sunting sumber]

Hadiah Nobel sering menghadapi kritikan selama bertahun-tahun, kerana ramai pihak berpendapat bahawa persetujuan rasmi dan pengiktirafan nama lebih penting daripada pencapaian sebenar dalam proses menentukan penerima Hadiah. Senario sedemikian yang terburuk mungkin berlaku pada tahun 1973 apabila Henry Kissinger dan Le Duc Tho berkongsi hadiah Keamanan kerana membawa keamanan ke Vietnam, sungguhpun Perang Vietnam masih berlarutan ketika itu. Le Duc Tho menolak anugerahnya itu atas sebab yang dinyatakan bahawa keamanan masih belum tercapai. Terdapat juga banyak kritikan terhadap penganugerahan Hadiah Keamanan 1994 kepada Yasser Arafat.

Penerima berkontroversi[sunting | sunting sumber]

Pihak Jawatankuasa Nobel dituduh memilih penerima berdasarkan agenda politik tertentu, dan oleh itu, mengabaikan calon yang lebih berkelayakan. Selain itu, pihak tersebut dikritik kerana berat sebelah kepada golongan Eropah, terutamanya bagi Hadiah Kesusateraan.[10]


Kegagalan untuk menghargai pencapaian dengan setimpal[sunting | sunting sumber]

Mahatma Gandhi dicalonkan untuk Hadiah Keamanan Nobel sebanyak lima kali antara tahun 1937 dan 1948 tetapi tidak pernah memenanginya. Kaji selidik menunjukkan bahawa Pihak Berkuasa barangkali bercadang untuk menganugerahkan hadiah kepada beliau pada tahun 1948; bagaimanapun, beliau dibunuh pada tahun itu. Jawatankuasa itu dilaporkan mempertimbangkan anugerah anumerta untuk beliau tetapi akhirnya mematahkan hasrat itu, sebaliknya memutus untuk tidak mengurniakan Hadiah Keamanan Nobel kepada sesiapa pada tahun itu.

Peraturan-peraturan ketat yang melarang penganugerahan Hadiah kepada lebih daripada tiga orang sekaligus juga dijadikan titik pertikaian. Jika sesuatu hadiah diberi untuk mengiktiraf satu pencapaian oleh sepasukan lebih daripada tiga rakan usaha sama, maka sudah tentu ada pihak yang terlepas daripada hadiah tersebut. Contohnya, pada tahun 2002, satu Hadiah dianugerahkan kepada Koichi Tanaka dan John Fenn kerana pemajuan spektrometri jisim mereka dalam kimia protein, maka tidak dapat mengiktiraf pencapaian Franz Hillenkamp dan Michael Karas dari Institut untuk Kimia Fizik dan Teori di Universiti Frankfurt.[11]

Begitu juga, peraturan yang melarang penganugerahan anumerta sering gagal mengiktiraf pencapaian penting oleh soerang rakan usaha sama yang didapati meninggal dunia sebelum hadiah dikurniakan. Contohnya, Rosalind Franklin melakukan beberapa perkembangan penting dalam penemuan strukutr DNA pada tahun 1953, namun beliau meninggal akibat penyakit barah ovari pada tahun 1958, maka Hadiahnya dianugerahkan kepada Francis Crick, James D. Watson dan Maurice Wilkins (rakan kerjasama Franklin) pada 1962.[12]

Kritikan makin menjadi-jadi menyelubungi Hadiah Nobel dalam Fizik 2005, terutamanya pengiktirafan Roy Glauber dan bukan George Sudarshan untuk anugerah terlibat. Meskipun kiraan petikan menunjukkan bahawa kertas kerja 1963 Glauber lebih banyak dijadikan rujukan, naum adalah jelas bahawa kedua-dua mereka memberi sumbangan penting ke dalam bidang-bidang optik kuantum dan teori kepaduan. Di sini lagi, kematian secara tiba-tiba Len Mandel dan Dan Walls yang turut memberi sumbangan besar juga menarik balik kelayakan mereka.

Begitu juga, Hadiah Nobel dalam Kimia 2000 "Untuk penemuan dan pemajuan polimer-polimer organik yang konduksian" mengabaikan penemuan polimer "kompleks peralihan bercas" sama konduksiannya yang lebih awal, laporan Weiss et al pada 1963 mengenai konduksian tinggi dalam polipirol beroksida yang dibubuh iodin [1], dan laporan sebelumnya [2] bagi perkakas elektronik organik yang berfungsi dalam keadaan "pasang" konduksian tinggi.

Ketiadaan hadiah matematik[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa sebab yang berkemungkinan bagi ketiadaan hadiah Nobel bagi matematik. Wasiat Nobel membincangkan hadiah-hadiah untuk penciptaan atau penemuan yang terbesar manfaat amalinya kepada manusia, iaitu kebarangkalian memikirkan kerja praktikal dan bukannya teori. Matematik tidak dianggap sebagai suatu sains praktikal yang boleh dimanfaatkan manusia, iaitu satu tujuan penting bagi Yayasan Nobel.[13]

Satu lagi sebab lain ialah bahawa sudah terdapat satu hadiah Scandinavia yang dikenali untuk ahli matematik. Anugerah matematik yang sedia ada pada masa itu terutamanya dicetuskan oleh hasil kerja Gösta Mittag-Leffler yang menubuhkan Acta Mathematica, iaitu antara jurnal matematik yang terutama di dunia. Dengan pengaruh beliau di Stockholm beliau menggesa Raja Oscar II untuk membiayai pertandingan berhadiah dan menngiktiraf ahli matematik yang cemerlang di seluruh Eropah, termasuk Hermite, Bertrand, Weierstrass, dan Poincaré.

Trivia[sunting | sunting sumber]

Marie Skłodowska-Curie, pemenang Hadiah Nobel dua kali yang pertama dalam sejarah

Dalam sejarah Hadiah Nobel, terdapat hanya empat orang yang pernah menerima hadiah ini sebanyak dua kali. Mereka adalah:

  1. Marie Skłodowska-Curie
    Fizik (1903): Penemuan keradioaktifan
    Kimia (1911): Pengasingan radium tulen
  2. Linus Pauling
    Kimia (1954): Teori Orbital Hibrid
    Keamanan (1962): Aktivisme Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear
  3. John Bardeen
    Fizik (1956): Rekaan transistor
    Fizik (1972: Teori kesuperkonduksian
  4. Frederick Sanger
    Kimia (1958): Struktur molekul insulin
    Kimia (1980): Penjujukan nukleotida virus

Selain itu, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) telah menerima Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 1917, 1944, dan 1963. Dua hadiah yang pertama itu adalah semata-mata untuk menghargai kerja kumpulan ini semasa perang-perang dunia.

Adik-beradik yang tunggal untuk memenangi Hadiah-hadiah Nobel ialah Jan Tinbergen (Ekonomi, 1969) dan adik lelakinya, Niko Tinbergen (Perubatan, 1973).

Hanya seorang tunggal yang pernah merupakan pemenang Oscar dan Hadiah Nobel. Tokoh Ireland, George Bernard Shawm memenangi Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan pada tahun 1925, serta anugerah Oscar untuk "Padanan Skrip Filem Yang Terbaik" pada tahun 1938.

Hadiah lain[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa hadiah dan anugerah antarabangsa yang terkenal dalam berbagai-bagai bidang usaha, termasuklah bidang-bidang yang tidak mempunyai hadiah Nobel, dengan kebanyakannya yang tidak begitu terkenal. Anugerah yang paling terkenal termasuk Pingat Fields, Anugerah Turing, Hadiah Templeton, dan Hadiah Wolf. Hadiah Templeton merupakan hadiah kewangan tahunan yang terbesar, dengan nilai sebanyak 795,000 paun sterling atau RM 5.56 juta (ASD$1.4 juta) pada tahun 2006. Hadiah ini diberikan kepada seorang individu tunggal untuk merit intelektualnya.

Hadiah Bidang Ciri-ciri
Anugerah Mata Pencarian Betul Perlindungan alam sekitar, hak asasi manusia, kesihatan, pendidikan Diasaskan oleh Jakob von Uexkull pada tahun 1980, hadiah ini disampaikan setiap tahun di bangunan Parlimen Sweden untuk menghargai mereka "yang memberi penyelesaian praktik serta dapat menjadi contoh terhadap cabaran-cabaran terpenting yang dihadapi oleh dunia pada hari ini".
Anugerah Peringatan Astrid Lindgren Kesusasteraan kanak-kanak dan pemuda-pemudi Dimulakan pada tahun 2002 untuk menghormati Astrid Lindgren, pengarang buku kanak-kanak Sweden, hadiah ini dianugerahkan setiap tahun dengan nilai sebanyak SEK 5 juta (RM2.5 juta).
Fellowship MacArthur Semua bidang kajian manusia Hadiah ini diberikan oleh Yayasan MacArthur pada setiap tahun, biasanya kepada 20 hingga 40 orang warganegara atau penduduk Amerika Syarikat yang telah "menunjukkan merit luar biasa dan harapan untuk meneruskan dan mempertingkatkan kerja kreatif mereka". Pemberian hadiah ini tidak mengambil kira umur atau bidang".
Hadiah Alam Sekitar Goldman Perlindungan alam sekitar Anugerah ini ialah anugerah alam sekitar yang paling lumayan di dunia, dan diberikan kepada aktivis-aktivis alam sekitar dari enam kawasan geografi: Afrika, Asia, Eropah, Pulau-pulau, dan Negara-negara Pulau, serta Amerika Utara, Tengah, dan Selatan.
Hadiah Ig Nobel Fizik, kimia, perubatan, kesusasteraan, keamanan Diuruskan oleh jurnal lucu saintifik, Catatan Penyelidikan Mustahil (AIR), hadiah ini yang merupakan parodi kepada Hadiah Nobel diberikan setiap tahun kepada sepuluh pencapaian yang "buat pertama kali membuat orang ketawa, tetapi kemudiannya menyebabkan mereka berfikir".
Hadiah Kyoto Seni dan falsafah, teknologi lanjutan, sains asas Hadiah ini dianugerahkan pada setiap tahun sejak 1984 oleh Yayasan Inamori, sebuah pertubuhan bukan untung yang diasaskan oleh usahawan Jepun, Kazuo Inamori.
Hadiah Schock Logik dan falsafah, matematik, seni tampak, muzik Dimulakan oleh wasiat ahli falsafah serta ahli seni, Rolf Schock, hadiah-hadiah ini dianugerahkan buat pertama kali pada tahun 1993 di Stockholm, Sweden, dan telah dianugerahkan setiap dua tahun sejak masa itu. Setiap pemenang kini menerima SEK 400,000 (RM 201,500) .
Hadiah Wolf Pertanian, kimia, matematik, perubatan, fizik, seni Dianugerahkan setiap tahun sejak tahun 1978 kepada ahli sains dan ahli seni yang masih hidup untuk "pencapaian terhadap kepentingan manusia dan hubungan persahabatan antara orang-orang... tanpa mengira kerakyatan, ras, warna, agama, jantina, atau pandangan politik".
Pingat Fields Matematik Hadiah ini dianugerahkan pada setiap Kongres Antarabangsa Kesatuan Matematik Antarabangsa kepada dua hingga empat orang ahli matematik yang umurnya tidak melebihi 40 tahun.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Nobel Prize facts". Nobel Foundation. Dicapai pada 25 October 2018.
  2. ^ "Nobel Prizes and Laureates". Nobel Foundation. Dicapai pada 29 March 2018.
  3. ^ "Which country has the best brains?". BBC News. 8 October 2010. Dicapai pada 6 December 2011.
  4. ^ Yayasan Nobel. "Fakta Hadiah Nobel". Dicapai pada 30 Julai 2006.
  5. ^ Øyvind Tønnesson. "Dengan Fahaman Fasis di Depan: Institusi Nobel di Norway, 1940-1945". Dicapai pada 4 September 2006.
  6. ^ "Montreal-born doctor gets posthumous Nobel honour". CBC News. 3 October 2011. Dicapai pada 3 October 2011.
  7. ^ Schmidhuber, Jürgen (2010). "Evolution of National Nobel Prize Shares in the 20th century".
  8. ^ The History Channel, This Day in History. "First Nobel Prizes: December 10, 1901". Dicapai pada 30 Julai 2006.[pautan mati kekal]
  9. ^ Nobel Foundation. "Nomination and Selection Process". Dicapai pada 30 Julai 2006.
  10. ^ Tuohy, William (20 September 1981). "Literature Award Hardest for Nobel Prize Panel". Sarasota Herald Tribune. m/s. 58. Dicapai pada 9 Mac 2010. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  11. ^ The Scientist, Volume 3, Issue 1, Page 20021211-03. "Nobel Prize controversy". Dicapai pada 30 Julai 2006.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  12. ^ Nobel Foundation. "The Discovery of the Molecular Structure of DNA - The Double Helix". Dicapai pada 30 Julai 2006.
  13. ^ The Nobel Prize Internet Archive. "Why is there no Nobel Prize in Mathematics?". Dicapai pada 30 Julai 2006.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]