Kāla

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Patung dewa Kala, Kuil Tiang Bandar Raya Bangkok[1]

Kala (Sanskrit: काल, rumi: Kālá/Kālam, sebutan bahasa Sanskrit: [kɑːˈlɑ][2]) merupakan perkataan Sanskrit yang bermaksud "masa" [3] atau "kematian".[4] Sebagai personifikasi waktu, Kala juga dipuja sebagai dewa maut, pemusnah semua benda dan turut digunakan sebagai salah satu gelaran Yama. Dalam kepercayaan Saivisme, Kala dikatakan adalah jelmaan Siwa yang dipanggil Kala Bhairava atau Kalagni Rudra; dan dalam Waisynawisme, Kala juga dikaitkan dengan dewa Narasimha dan Pralaya.[5] Kālá kadangkala digunakan secara bersilih ganti dengan kāla, yang bermaksud 'hitam' apabila bercakap tentang dewa-dewi.[4]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Kamus Sanskrit-Inggeris Monier-Williams [4] menyenaraikan dua perkataan berbeza dengan ejaan yang sama kāla:

  • kāla 1 bermaksud "hitam, berwarna gelap, biru tua ..." dan mempunyai bentuk feminin yang berakhir dengan īkālī – seperti yang disebutkan dalam Pāṇini 4–1, 42.
  • kālá 2 bermaksud "titik masa yang tetap atau tepat, ruang masa, waktu ... takdir, nasib ... kematian" dan mempunyai bentuk feminin (ditemui di hujung kata majmuk) berakhir dengan ā, seperti yang disebutkan dalam ṛgveda Prātiśākhya. Sebagai unit masa Hindu tradisional, satu kālá bersamaan dengan 144 saat.

Menurut Monier-Williams, kāla 2 berasal daripada akar kerjaan kal "mengira", manakala akar kāla 1 tidak pasti tetapi mungkin sama.[4]

Dalam kisah-kisah para dewa, seperti Devī Māhātmya dan Skanda Purāṇa, kāla 1 dan kāla 2 sukar dibezakan. Oleh itu, Wendy Doniger semasa menterjemah perbualan antara Śiva dan Pārvatī daripada Skanda Purāṇa, berkata Mahākāla mungkin bermaksud " 'Kematian Besar' ... atau 'Sang Hitam Agung' ".[6] Seorang lagi penterjemah Hindu bagi Devī Māhātmya, Swāmī Jagadīśvarānanda, menerjemahkan kata majmuk feminin kāla-rātri (rātri bermaksud "malam") kepada "malam yang gelap pembubaran kala".[7]

Dewa[sunting | sunting sumber]

Patung Kala, Muzium Negara Indonesia .

Hikayat dan Purana[sunting | sunting sumber]

Kala merupakan seorang dewa dalam Mahabharata, Ramayana, dan Bhagavata Purana. Dalam Mahabharata, Krishna, salah seorang watak utama, mendedahkan bahawa dialah personifikasi Waktu. Dia memberitahu Arjuna bahawa kedua-dua pihak di medan perang Perang Kurukshetra sudah pun dimusnahkan. Pada akhir hikayat, seluruh dinasti Yadu (dinasti Krishna) juga habis dihapuskan.

Kala, yang menjadi utusan Kematian (Yama), muncul dalam bab terakhir Ramayana iaitu Uttara Kanda. Pada akhir cerita, Waktu memberitahu Rama zaman pemerintahannya di Bumi sudah berakhir. Dengan satu muslihat atau dilema, Waktu memaksa Laksamana mati dan memberitahu Rama bahawa dia mesti kembali ke alam dewa. Laksamana rela meninggal dunia dengan restu Rama dan Rama kembali ke Vaikuntha.

Bhagavata Purana menceritakan Waktu sebagai daya yang menyebabkan semua ciptaan berubah. Menurut Purana, semua benda ciptaan adalah khayalan, dan akan tercipta dan musnah. Segala perubahan ini dikatakan adalah disebabkan oleh peredaran Waktu. Waktu juga dianggap sebagai sifat Tuhan yang tidak terlihat yang kekal selepas seluruh dunia musnah pada penghujung jangka hayat Brahma. Menurut Soifer, Narasimha amat terkait dengan Pralaya atau Yuganta (kemusnahan) dalam versi Bhagavata Purana, Linga Purana, dan Kurma Purana; dia dikatakan muncul seperti Kala atau api pemusnah.[5]

Dalam Chaitanya Bhagavata, kitab agama Waisynawisme Gaudiya dan biografi Chaitanya Mahaprabhu, api yang keluar dari mulut Sankarshana pada akhir zaman dipanggi Kālānala, atau "api Waktu".[8] Salah satu nama Sankarshana ialah kālāgni, juga bermaksud "api masa".[9]

Purana Vishnu juga mengatakan bahawa Waktu (kala) adalah salah satu daripada empat jelmaan utama Wisnu, yang lain-lain ialah jirim (Pradhana), zat yang kelihatan (vyakta), dan Roh (Purusha).[10][11] Menurut Pinchman, "Pada awal penciptaan, tiga bentuk dikatakan muncul daripada Wisnu: masa (kala), purusha, dan prakrti".[12]

Bhagavad Gita[sunting | sunting sumber]

Pada Bhagavad Gita 11.32, Krishna bertukar bentuk kepada kāla, sang pemusnah, mengumumkan kepada Arjuna bahawa semua pahlawan kedua-dua belah pihak akan dibunuh, selain daripada para Pandawa:

कालो ऽस्मि लोकक्षयकृत् प्रवृद्धो लोकान् समाहर्तुम् इह प्रवृत्तः ।

Ayat ini bermaksud: "Masa (kala) itu aku, pemusnah agung sekalian alam, dan aku datang ke sini untuk membinasakan semua orang."[13] Ungkapan ini terkenal kerana dipetik oleh J. Robert Oppenheimer semasa beliau merenung tentang letupan bom nuklear pertama Projek Manhattan pada tahun 1945.

Dalam budaya lain[sunting | sunting sumber]

Dalam mitologi Jawa, Betara Kala ialah seorang dewa pemusnah. Dia dewa yang sangat besar, perkasa dan berkuasa yang digambarkan sebagai gergasi, lahir daripada sperma Shiva, raja segala dewa.

Di Borobudur, pintu tangga dihiasi dengan kepala gergasi, membuatkan pintu gerbang nampak seperti mulut raksasa yang terbuka. Banyak pintu gerbang lain dalam binaan tradisional Jawa mempunyai hiasan begini. Wajah Kala yang paling terperinci di Jawa mungkin yang terletak di sebelah selatan Candi Kalasan.

Di Thailand, dia popular disembah bersama dengan Lak Mueang dalam agama rakyat Thai dan Chitragupta dalam agama Hindu.[14]

Jainisme[sunting | sunting sumber]

Kalacakera dalam Jainisme
Skala waktu logaritma yang digunakan dalam teks-teks Jainisme.

Dalam Jainisme, Kāla (Masa) adalah tidak terbatas dan ditakrifkan dalam dua cara:

  • Ukuran tempoh, seperti jam, hari, dsb.
  • Punca benda-benda terus berfungsi.

Namun, Jainisme menerima satu ukuran masa yang sangat kecil yang dipanggil samaya iaitu pecahan yang sangat-sangat kecil dalam satu saat. Dalam jangka masa ini, terdapat kitaran (kalachakra). Setiap kitaran ada dua zaman, avasarpini dan utsarpini, dengan jangka masa yang sama.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "ศาลหลักเมืองกรุงเทพมหานคร (Bangkok City Pillar Shrine)".
  2. ^ www.wisdomlib.org (2019-09-14). "Kalam: 6 definitions". www.wisdomlib.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2022-11-04.
  3. ^ Dalal 2011.
  4. ^ a b c d Monier-Williams, Monier (1899). "Sanskrit Dictionary". Dicapai pada 2023-10-04. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "MW" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  5. ^ a b Soifer 1991.
  6. ^ Doniger O'Flaherty, Wendy; Hindu Myths; Penguin, 1975; ISBN 0-14-044306-1 footnote to page 253.
  7. ^ Jagadīśvarānanda terj; Devi Mahatmyam (Sanskrit dan English); Sri Ramakrishna Math, Madras, 1953; bab 1 ayat 78.
  8. ^ Thakura, Vrndavana Dasa. Chaitanya-Bhagavata. Diterjemahkan oleh Sarvabhavana Dasa. m/s. 203.
  9. ^ "A Thousand Names of Lord Balarama". Stephen Knapp.
  10. ^ Wilson, Horace H. (1840). "Preface". The Vishńu Puráńa: A System of Hindu Mythology and Tradition. m/s. ix.
  11. ^ Roy, Janmajit (2002). "Signs and Symptoms of Avatārahood". Theory of Avatāra and Divinity of Chaitanya. New Delhi: Atlantic Publishers & Distributors. m/s. 66.
  12. ^ Pintchman 2001.
  13. ^ Lihat teks dan terjemahan Inggeris
  14. ^ "Phra Kanchaisi". Bangkok City Pillar Shrine. 2019.

Sumber[sunting | sunting sumber]