Pergi ke kandungan

Sultan Alauddin Riayat Shah III

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Alauddin Riayat Shah III
سلطان علاء الدين رعاية شاه
Sultan Johor
Pemerintahan1597 – 1615
Didahului olehSultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
Diikuti olehSultan Abdullah Ma'ayat Shah
KeputeraanRaja Mansur ibni Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
(tarikh dan tempat kelahiran tidak diketahui)
Kemangkatan1615
Aceh
PasanganRaja Bonda
AnakandaSultan Abdul Jalil Shah III
WangsaWangsa Melaka-Johor
AyahandaSultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
AgamaSunni Islam

Sultan Alauddin Riayat Shah III ibni Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (Jawi: سلطان علاء الدين رعاية شاه ابن سلطان علي جلا عبد الجليل شاه ; mangkat pada tahun 1615) ialah Sultan Johor ke-5 dari tahun 1597 hingga tahun 1615.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Nama asal baginda ialah Raja Mansur dan baginda bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah III apabila baginda menaiki takhta sebagai Sultan Johor ke-5. Baginda merupakan anakanda kepada Sultan Johor ke-4, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II. Bondanya merupakan anakanda kepada Seri Nara Diraja Pahang. Selepas ayahandanya mangkat, Bendahara Johor hendak menabalkan Raja Abdullah sebagai Sultan Johor yang baru tetapi Raja Abdullah menolak. Selepas Sultan Alauddin Riayat Shah III diangkat menjadi Sultan Johor, baginda menghabiskan masa dengan bermain-main dan berfoya-foya.

Pemerintahan Kesultanan Johor Lama diserahkan kepada Raja Abdullah yang merupakan sepupu sebelah ibu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah III. Raja Abdullah bersemayam di Kota Seberang yang terletak di seberang Sungai Johor dan bertentangan dengan Batu Sawar sehingga tempat tersebut menjadi masyhur.

Sultan Alauddin Riayat Shah III memerintah di Batu Sawar selama 11 tahun. Pada tahun 1608, baginda berpindah ke Pasir Raja tetapi Batu Sawar masih berfungsi sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Johor Lama pada ketika itu. Baginda bersemayam di Pasir Raja bersama-sama Bendahara Tun Sri Lanang.

Konflik dengan Portugis

[sunting | sunting sumber]

Sultan Alauddin Riayat Shah III menjalinkan hubungan persahabatan dengan Belanda yang tiba di Batu Sawar pada tahun 1602. Hubungan ini tidak disenangi oleh Portugis. Dengan itu, Portugis di Melaka telah memberi amaran kepada baginda supaya membatalkan persahabatan dengan Belanda. Setelah dinasihati oleh Raja Abdullah, Sultan Alauddin Riyat Shah III tidak mengendahkan amaran Portugis tersebut. Oleh sebab baginda tidak mematuhi amaran tersebut, angkatan Portugis telah melancarkan serangan ke atas Batu Sawar pada tahun 1604. Setelah beberapa lama menduduki Batu Sawar, angkatan Portugis pulang ke Melaka. Pada tahun 1608, sekali lagi Portugis menyerang Johor.[1]

Konflik dengan Aceh

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1610, Sultan Alauddin Riayat Shah III telah berbaik semula dengan Portugis. Ini menyebabkan Aceh berasa marah. Pada bulan Jun 1613, Aceh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda telah menyerang Johor hingga berlarutan selama dua bulan dan akhirnya Johor ditewaskan.

Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah, Bendahara Tun Sri Lanang, pembesar dan puluhan orang Belanda ditawan serta dibawa ke Aceh. Kemudian, kedua-dua belah pihak membuat perdamaian dan Sultan Alauddin Riayat Shah III bersama-sama tahanan dibenarkan pulang ke Johor pada tahun 1614. Antara syarat pembebasan baginda adalah Johor perlu bersatu dengan Aceh untuk memerangi Portugis di Melaka dan mengusir Belanda keluar dari Johor.[2]

Konflik dengan Pahang

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1612, konflik tercetus antara Sultan Alauddin Riayat Shah III dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah. Akibatnya, Johor telah mengisytiharkan perang terhadap Pahang. Dengan bantuan daripada Sultan Brunei, Sultan Abdul Jalilul Akbar, Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah telah berjaya mematahkan serangan Johor. Konflik ini telah melemahkan Kesultanan Johor Lama.[3]

Walaupun Sultan Alauddin Riayat Shah III dibebaskan oleh Aceh, baginda tetap meneruskan hubungan dengan Portugis dan Belanda. Baginda telah menandatangani perjanjian damai dengan Portugis pada tahun 1615. Tindakan ini menimbulkan kemarahan Aceh lalu baginda ditangkap dan dibawa ke Aceh semula dan dihukum bunuh di sana. Bendahara Tun Sri Lanang dilantik sebagai hulubalang di Aceh manakala Raja Abdullah pula dikahwinkan dengan Puteri Ratna Jauhari yang merupakan adinda Sultan Iskandar Muda. Kemudian Raja Abdullah telah diangkat menjadi Sultan Johor ke-6 dengan gelaran Sultan Abdullah Ma'ayat Shah.

  • R.O. Winstedt (1992). A History of Johore. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). ISBN 9839961462.
  • Aruna Gopinath (1991). Pahang 1880-1933 : A Political History. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS).
  • Zakiah Hanum (2004). Asal Usul Negeri-Negeri Malaysia. Times Editions-Marshall Cavendish. ISBN 9812326081.
  • Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid (2011). The Encyclopedia of Malaysia : Volume 16, The Rulers of Malaysia. Archipelago Press. ISBN 9789813018549.
  • Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Jilid 4, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, ISBN 9836252185

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Jilid 4, 1999, ms 2297
  2. ^ Aruna Gopinath, 1991, ms 16
  3. ^ Aruna Gopinath, 1991, ms 15

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Sultan Alauddin Riayat Shah III
Tarikh kemangkatan: 1615
Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
Sultan Johor
1597 – 1615
Diikuti oleh:
Sultan Abdullah Ma'ayat Shah