Sultan Hussein Muhammad Shah
| Sultan Hussein Muhammad Shah سلطان حسين محمد شاه | |
|---|---|
Cap mohor Sultan Hussein Muhammad Shah | |
| Sultan Johor (Singapura) (tidak diiktiraf oleh Bendahara Tun Ali) | |
| Pemerintahan | 6 Februari 1819 – 5 September 1835 |
| Pengiktirafan | 6 Februari 1819 (oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris melalui Perjanjian 6 Februari 1819) |
| Didahului oleh | Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (sebagai Sultan Johor-Pahang) |
| Diikuti oleh | Sultan Ali Iskandar Shah (diiktiraf sebagai Pewaris Sultan Hussein Muhammad Shah oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris sehingga tahun 1855 tetapi tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali) |
| Keputeraan | Tengku Hussein ibni Sultan Mahmud Riayat Shah III 1776 Tanjung Pinang, Kepulauan Riau |
| Kemangkatan | 5 September 1835 Tengkera, Melaka |
| Pemakaman | 5 September 1835 Masjid Tengkera, Tengkera, Melaka |
| Pasangan | 1. Tun Inche Che' Puan Bulang binti Tun Engku Muhammad bin Temenggung Tun Abdul Jamal 2. Che' Wan Aisha binti Bendahara Tun Koris 3. Cik Wuk binti Sulaiman 4. Tengku Prabu binti Tengku Mahmud ibni Sultan Daud |
| Anakanda | 1. Tengku Muhammad Hitam 2. Tengku Mahmud 3. Tengku Sulaiman 4. Tengku Abdul Jalil 5. Sultan Ali Iskandar Shah 6. Tengku Jaafar 7. Tengku Putri 8. Tengku Tengah Cik Besar 9. Tengku Andak Safriah |
| Wangsa | Wangsa Bendahara |
| Ayahanda | Sultan Mahmud Riayat Shah III |
| Bonda | Inche Makuh binti Daeng Maturang |
| Agama | Sunni Islam |
Sultan Hussein Muhammad Shah ibni Sultan Mahmud Riayat Shah III[1][2] (Jawi: سلطان حسين محمد شاه ابن سلطان محمود رعاية شاه ; 1776 – 5 September 1835)[3] ialah Sultan Johor ke-17 dari tahun 1819 hingga tahun 1835.[4] Baginda dilantik sebagai Sultan Johor dengan bantuan daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Temenggung Tun Abdul Rahman selepas mereka menandatangani satu perjanjian pada 6 Februari 1819 di Singapura.
Pertabalan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor pada tahun 1819 telah menyebabkan Kesultanan Johor Lama mempunyai dua orang Sultan pada masa yang sama iaitu baginda yang bersemayam di Singapura dan adindanya, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang bersemayam di Lingga dan telah diangkat terlebih dahulu menjadi Sultan Johor oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar pada tahun 1812. Namun, baginda telah membelakangkan adat-istiadat Melayu apabila baginda ditabalkan tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama lalu menjadikan pertabalannya tidak sah di sisi adat-istiadat Melayu.[5]
Memandangkan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah berjaya ditabalkan semula bersama alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dengan bantuan Belanda pada tahun 1823,[6][7] maka Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu yang lain telah membuat keputusan untuk mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor yang sah di sisi adat-istiadat Melayu dan memilih untuk bertuankan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah.[8]
Walaupun baginda menjadi Sultan Johor yang bersemayam di Singapura, menurut Gabenor Negeri-Negeri Selat ke-3, Kenneth Murchison, kedudukannya sebagai Sultan Johor tidak pernah diakui oleh negeri-negeri Melayu yang lain dan baginda tidak pernah menikmati apa-apa hasil di Johor dan tidak pernah menjalankan sebarang kegiatan politik di Johor. Baginda memang telah diisytiharkan sebagai Sultan Johor oleh British tetapi itu hanya kerana terdapat muslihat tertentu.[9][10][11] Bukan itu sahaja, menurut Gabenor Negeri-Negeri Selat ke-5, William John Butterworth, kedudukannya hanya sekadar boneka yang diangkat oleh Sir Thomas Stamford Raffles untuk mendapatkan hak terhadap Singapura demi kepentingan British.[12]
Pemerintahan
[sunting | sunting sumber]Krisis pewarisan takhta Kesultanan Johor Lama
[sunting | sunting sumber]Sultan Johor, Sultan Mahmud Riayat Shah III mangkat pada tahun 1812 setelah memerintah selama lebih 50 tahun tanpa melantik pewaris takhta. Baginda meninggalkan dua orang putera berlainan bonda dan kedua-duanya berketurunan Bugis. Menurut adat kebiasaannya, Tengku Hussein sebagai putera sulung akan menggantikan Sultan Mahmud Riayat Shah III berbanding adindanya, Tengku Abdul Rahman yang lebih muda.[13] Walau bagaimanapun, Tengku Hussein sedang berada di Pahang semasa ayahandanya mangkat.
Tengku Abdul Rahman dengan sokongan orang Bugis yang diketuai oleh Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar telah dilantik menjadi Sultan Johor sebelum Tengku Hussein sempat kembali ke Lingga. Sebagai balasan untuk sokongan yang diberikan oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar, beliau telah dilantik sebagai Raja Muda dan diberi kuasa pentadbiran penuh.[14] Tengku Hussein yang tinggal di Pahang dan menunggu angin monsun tiba tidak mengetahui mengenai pelantikan adindanya sebagai Sultan Johor kerana isi kandungan surat yang ditulis oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar kepada Tengku Hussein untuk memaklumkan baginda mengenai kemangkatan Sultan Mahmud Riayat Shah III tidak menerangkan pelantikan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor. Surat balasan telah dihantar dari Pahang ke Lingga untuk memaklumkan mengenai pelantikan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali di Pahang. Akhirnya Tengku Hussein berlayar pulang ke Lingga apabila tibanya angin monsun lalu telah disambut oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang telah menawarkan untuk menyerahkan takhta Kesultanan Johor Lama kepada Tengku Hussein. Walau bagaimanapun, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dengan cepat menarik balik tawaran tersebut kerana diancam oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.[15]
Kesahihan pemerintahan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dipersoalkan kerana alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama berada dalam simpanan Engku Puteri Raja Hamidah, balu Sultan Mahmud Riayat Shah III dan bonda tiri Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan Tengku Hussein, yang telah menyatakan pilihannya bahawa Tengku Hussein layak untuk menaiki takhta Sultan Johor. Tambahan pula, Tengku Hussein mendapat sokongan Bendahara, Temenggung dan para pembesar Melayu yang lain. Hal ini menyebabkan soal peralihan kuasa bertambah rumit.[16]

Pada tahun 1819, Sir Thomas Stamford Raffles telah tiba di Singapura dan menjalinkan hubungan dengan Temenggung Tun Abdul Rahman untuk mendapatkan kebenaran bagi mendirikan loji (pejabat syarikat perniagaan yang dibuat berkubu) Syarikat Hindia Timur Inggeris di Singapura. Raffles dan Temenggung Tun Abdul Rahman kemudian menandatangani Perjanjian 30 Januari 1819 yang menandakan bermulanya pertapakan British di Singapura. Selepas mendengar krisis perebutan takhta Kesultanan Johor Lama daripada Temenggung Tun Abdul Rahman, Raffles telah mengambil peluang untuk memujuk Temenggung Tun Abdul Rahman supaya menjemput Tengku Hussein ke Singapura bagi tujuan melantik baginda menjadi Sultan Johor dengan niat untuk mengukuhkan kedudukan Inggeris di Singapura.
British telah berjaya mengetepikan pengaruh politik Belanda dengan pelantikan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Hussein Muhammad Shah. Baginda juga dikenali sebagai "Sultan Singapura" dan "Yang Dipertuan Selat".[17][18] Pelantikan ini membolehkan British mengukuhkan pengaruhnya di Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, kesahihan pelantikan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor tidak diiktiraf oleh raja-raja dan para pembesar Melayu dan jawatan baginda hanya sekadar nama. Pada masa yang sama, kedudukan Temenggung Tun Abdul Rahman bertambah kukuh akibat Perjanjian 6 Februari 1819 yang beliau menandatanganinya bersama Sultan Hussein Muhammad Shah dan British yang membolehkan beliau memutuskan pengaruh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar ke atas beliau.[19]
Belanda pula mengambil langkah berani dengan merampas alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama daripada Engku Puteri Raja Hamidah apabila mendengar khabar angin bahawa Sultan Hussein Muhammad Shah meminta bantuan British untuk merampas alat tersebut.[20] Pada bulan November 1823, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah telah ditabalkan semula sebagai Sultan Johor oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dengan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama.[21] Selepas peristiwa pelantikan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor di Singapura dan pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor di Lingga yang dibuat dengan adanya alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama, Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu yang lain telah membuat keputusan untuk mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor yang sah kerana Sultan Hussein Muhammad Shah telah membelakangkan adat raja-raja Melayu apabila pertabalan baginda dibuat tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama.
Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, yang lebih mengabdikan diri kepada agama Islam, mengehadkan pengaruh politiknya di Lingga, di mana keluarga baginda tinggal di bawah pentadbiran[22] Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar yang memerintah di bawah pengaruh Belanda.[23] Walau bagaimanapun, timbul pula persoalan kekaburan kesahihan kepimpinan tempatan, seperti status Johor dan Pahang, yang merupakan hak milik de jure Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan penggantinya kerana Perjanjian 29 Oktober 1830, yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu, melarang baginda daripada berkuasa di Johor dan Pahang.[24] Selepas kedua-dua perjanjian tersebut ditandatangani, Bendahara dan Temenggung mula menjadi lebih berkuasa di kawasan pegangan mereka. Tambahan pula, peningkatan pengaruh British di Semenanjung Tanah Melayu dan perubahan politik semasa mengurangkan secara perlahan-lahan pertelingkahan tersebut. (Pada tahun 1857, Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, yang merupakan Sultan de jure Johor-Pahang, telah menuntut hak kedaulatannya ke atas Pahang dan ini menyebabkan berlakunya Perang Saudara Pahang.[25])
Manakala Sultan Hussein Muhammad Shah tidak meneruskan sebarang tuntutan secara aktif terhadap haknya ke atas kedaulatan Johor walaupun Temenggung Tun Abdul Rahman telah meninggal dunia pada tahun 1825, dan pewarisnya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim pula masih terlalu mentah dan remaja ketika itu.[26]
Sultan Hussein Muhammad Shah akhirnya dilihat lebih banyak menghabiskan masanya di kediaman rasminya di Singapura iaitu Istana Kampong Gelam sehingga tahun 1834, sebelum baginda berpindah ke Melaka dengan menaiki sebuah kapal yang bernama Julia milik Sultan Kedah. Baginda sebenarnya telah diusir oleh Sir John Crawfurd yang tidak mengiktiraf baginda sebagai Sultan Johor di Singapura. Baginda lebih gemar untuk tinggal di Melaka kerana baginda mempunyai ramai saudara-mara yang tinggal di Tengkera, Melaka. Menurut sumber laporan, Sultan Hussein Muhammad Shah ialah seorang yang lemah lembut, sifat dan perwatakannya cukup menunjukkan baginda kekurangan kuasa dan pemerintahan yang tidak setanding dengan gelaran Sultannya.[27]
Perjanjian 6 Februari 1819, Perjanjian 7 Jun 1823 dan Perjanjian 2 Ogos 1824
[sunting | sunting sumber]Sultan Hussein Muhammad Shah dikenali sebagai seorang Sultan yang menandatangani tiga perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris yang membawa kepada penubuhan Singapura moden. Baginda telah diiktiraf sebagai Sultan Johor ke-18 melalui Perjanjian 6 Februari 1819 dan baginda kemudian memerintahkan agar dibina sebuah istana di Singapura yang dinamakan Istana Kampong Gelam pada tahun 1820. Pada 7 Jun 1823, baginda menandatangani Perjanjian 7 Jun 1823 yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan British ke atas Singapura. Dan pada 2 Ogos 1824, baginda menandatangani Perjanjian 2 Ogos 1824 selepas British dan Belanda menandatangani Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di mana Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura berada di bawah pengaruh British manakala Kepulauan Riau dan Lingga pula berada di bawah pengaruh Belanda. Berikut adalah kesan daripada perjanjian tersebut:
- Negeri Pahang kemudiannya telah diperintah oleh Bendahara dan keturunannya menjadi Sultan Pahang Moden hari ini.
- Negeri Johor kemudiannya telah diperintah oleh Temenggung dan keturunannya menjadi Sultan Johor Moden hari ini.
- Kepulauan Riau dan Lingga yang berada di bawah pengaruh Belanda pula telah diperintah oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang kemudiannya menjadi Sultan Riau-Lingga pertama.
- Yang Dipertuan Muda dan keturunannya menguasai Riau.
Kesannya, pada 2 Ogos 1824, Sultan Hussein Muhammad Shah hilang kuasa ke atas Singapura setelah baginda menandatangani Perjanjian 2 Ogos 1824 dengan Residen British di Singapura, Sir John Crawfurd untuk menyerahkan Singapura dan pulau sekitarnya kepada British untuk selama-lamanya. Sir John Crawfurd menggantikan William Farquhar sebagai Residen British di Singapura pada pertengahan tahun 1823. John Crawfurd mendesak Sultan Hussein Muhammad Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman untuk melepaskan Singapura kepada British dan diberikan pencen sebanyak 20,000 dollar kepada Sultan Hussein Muhammad Shah dan 15,000 dollar kepada Temenggung Tun Abdul Rahman secara bayaran penuh tetapi mereka berdua tidak mahu menandatangani perjanjian penyerahan Singapura kepada British. Akibat kelangsungan hidup yang agak sempit, Sultan Hussein Muhammad Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman akhirnya menandatangani perjanjian tersebut. Dengan itu, Singapura berjaya diambil alih dan dilepaskan hak kepada British untuk selama-lamanya.
Sebagai Sultan Johor (Singapura)
[sunting | sunting sumber]Walaupun Sultan Hussein Muhammad Shah diangkat menjadi Sultan Johor di Singapura oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris, baginda tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor-Pahang yang sah dan berdaulat oleh Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu yang lain. Namun demikian, terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan bahawa Sultan Hussein Muhammad Shah menggunakan kedudukannya sebagai Sultan Johor yang hanya diiktiraf oleh Inggeris:
Pengibaran bendera Inggeris di Johor untuk menghalang penguasaan Kesultanan Johor Lama
[sunting | sunting sumber]Pada bulan Februari 1823, beberapa orang ketua kampung yang tinggal di tepi Sungai Johor telah meminta kebenaran daripada Inggeris di Singapura untuk menaikkan bendera Inggeris di Johor kerana mereka bimbang bahawa orang-orang dari Riau yang bersahabat dengan Belanda akan datang dan menduduki Johor lalu menganggap Johor berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang berpusat di Lingga.[28] Dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh Sir Thomas Stamford Raffles, Sultan Hussein Muhammad Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman, Sultan Hussein Muhammad Shah memberikan sehelai bendera Inggeris kepada seorang penghulu dari Johor untuk dikibarkan di sana dan sebagai tanda amaran kepada orang-orang dari Riau dan Lingga yang bersahabat dengan Belanda supaya tidak datang dan menguasai Johor.[29] Pada bulan Ogos 1823, Syarikat Hindia Timur Inggeris di Benggala telah mengarahkan Residen Inggeris di Singapura, John Crawfurd untuk menurunkan bendera Inggeris yang dikibarkan di Johor. Residen Crawfurd memberitahu orang-orang Johor supaya tidak mengibarkan bendera Inggeris di Johor.[30]
Pada bulan November 1823, atas perintah Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar, satu pasukan yang terdiri daripada orang-orang dari Riau yang diketuai oleh Dato' Syahbandar Abdullah dan dibantu oleh dua orang pegawai Belanda telah datang ke Johor Lama dan mendapati bahawa bendera Inggeris dikibarkan di sana pada setiap hari Ahad dan hari cuti.[31] Pasukan tersebut telah menurunkan bendera Inggeris dan, atas nama Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, menaikkan bendera Kesultanan Johor Lama dan bendera Belanda sebagai tanda bahawa Johor berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang berpusat di Lingga.[32] Selepas itu, Dato' Syahbandar Abdullah pulang ke Riau dan melaporkan aktivitinya di Johor kepada Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.[33]
Beberapa orang ketua di Johor telah datang ke Singapura untuk berjumpa dengan Sultan Hussein Muhammad Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman bagi membuat aduan tentang perbuatan orang-orang Riau dan Belanda.[34] Kemudian, Sultan Hussein Muhammad Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman telah menyuarakan aduan mereka kepada Residen Crawfurd.[35] Residen Crawfurd menyedari bahawa arahannya kepada orang-orang Johor untuk tidak mengibarkan bendera Inggeris di Johor tidak diikuti oleh mereka.[36] Residen Crawfurd menerangkan kepada Sultan Hussein Muhammad Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman bahawa Inggeris tidak dapat membantah tindakan Kesultanan Johor Lama yang dibantu oleh Belanda kerana Perjanjian 7 Jun 1823 yang ditandatangani antara mereka dan Inggeris tidak mengandungi syarat yang membolehkan Inggeris mencampuri hal-ehwal di Johor.[37]
Penguasaan Pulau Karimun yang terletak berhampiran dengan Singapura
[sunting | sunting sumber]Memandangkan Sultan Hussein Muhammad Shah menganggap Pulau Karimun, yang terletak tidak jauh dari Singapura, sebagai sebahagian daripada Johor, baginda menghantar Saiyid Akil, seorang Peranakan Arab, sebagai wakilnya ke pulau tersebut untuk mengusahakan aktiviti perlombongan bijih timah.[38] Sultan Hussein Muhammad Shah juga membenarkan orang Inggeris yang bernama Cox untuk melombong bijih timah di Pulau Karimun.[39]
Namun, pada bulan Julai 1827, Sultan Hussein Muhammad Shah menerima berita bahawa adindanya, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah telah menyerahkan Pulau Karimun kepada Belanda dan Residen Belanda di Riau, Cornelis Pieter Jacob Elout ingin baginda mengeluarkan pengikutnya dari pulau tersebut.[40] Namun, baginda tidak mengendahkan berita tersebut.[41] Pada 13 Ogos 1827, Residen Elout memaklumkan kepada Inggeris di Singapura bahawa Pulau Karimun berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang dipimpin oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah.[42] Pada masa yang sama, Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar memaklumkan kepada Sultan Hussein Muhammad Shah bahawa bendera Kesultanan Johor Lama akan dikibarkan di pulau tersebut.[43] Dalam erti kata lain, Pulau Karimun bukan sebahagian daripada Johor dan Sultan Hussein Muhammad Shah tidak ada hak ke atas pulau tersebut.[44]
Pada bulan yang sama, Sultan Hussein Muhammad Shah meminta bantuan daripada Inggeris untuk menghalang Belanda daripada menduduki Pulau Karimun.[45] Namun, Inggeris menerangkan kepada baginda bahawa Inggeris tidak dapat membantu baginda kerana Pulau Karimun berada di luar bidang kuasa mereka di Singapura dan baginda bebas untuk mengambil sebarang tindakan bagi menyelesaikan masalah pemilikan pulau tersebut.[46] Tidak lama kemudian, atas perintah Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar, satu pasukan yang terdiri daripada orang-orang dari Riau yang diketuai oleh Engku Saiyid Muhammad Zain Al-Kudsi telah datang ke Pulau Karimun untuk mengibarkan bendera Kesultanan Johor Lama.[47] Menurut Tuhfat al-Nafis, Engku Saiyid Muhammad Zain Al-Kudsi juga menghantar surat kepada Sultan Hussein Muhammad Shah dan memberi nasihat kepada wakil baginda, Saiyid Akil.[48]
Tuhfat al-Nafis menambah bahawa orang Bugis yang bernama Wak Puasa bersama pengikutnya telah ditugaskan untuk menjaga bendera Kesultanan Johor Lama di Pulau Karimun.[49] Namun, selepas Engku Saiyid Muhammad Zain Al-Kudsi pulang ke Riau, Saiyid Akil telah menghalau Wak Puasa dan pengikutnya keluar dari Pulau Karimun dan menurunkan bendera Kesultanan Johor Lama.[50] Maka, Wak Puasa dan pengikutnya pulang ke Riau dan melaporkan tindakan Saiyid Akil tersebut kepada Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dan Residen Elout.[51] Setelah Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dan Residen Elout mengetahui tindakan Saiyid Akil, mereka berasa marah lalu membuat persiapan perang.[52] Pada bulan September atau Oktober 1827, sebuah pasukan perang dari Riau bersama sebuah kapal sekunar Belanda mula bertolak dari Riau menuju ke Pulau Karimun untuk mengambil alih pulau tersebut daripada penguasaan Sultan Hussein Muhammad Shah.[53]
Selepas itu, tercetusnya Perang Karimun yang berakhir dengan kemenangan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dan Residen Elout.[54] Saiyid Akil dan pengikutnya pula terpaksa melarikan diri ke Singapura.[55] Semasa Perang Karimun, Residen Elout menulis surat kepada Inggeris untuk menyatakan bahawa Inggeris telah mencampur tangan dalam urusan Pulau Karimun.[56] Inggeris kemudian membalas surat Residen Elout dengan menyatakan bahawa Sultan Hussein Muhammad Shah bebas untuk melakukan sebarang tindakan dan Inggeris tidak ada kaitan dengan tindakan baginda yang berada di luar bidang kuasa mereka di Singapura.[57] Pada 8 November 1827, Residen Elout bersama-sama dua orang pegawai Belanda yang membawa sebuah pasukan askar Belanda telah tiba di Pulau Karimun lalu mengambil alih pulau tersebut untuk diletakkan semula di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang berada di bawah pengaruh Belanda pada ketika itu.[58]
Pelantikan Raja Temenggung Muar yang baru
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1830, Raja Temenggung Muar, Temenggung Engku Konit bin Temenggung Engku Burok telah meninggal dunia.[59] Anakandanya, Engku Said menghadap Sultan Hussein Muhammad Shah di Singapura untuk memaklumkan kepada baginda mengenai kemangkatan ayahandanya lalu beliau diangkat menjadi Raja Temenggung Muar yang baru.[60] Sejak Sultan Hussein Muhammad Shah menjadi Sultan Johor dengan bantuan daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris, Raja Temenggung Muar menghantar wang cukai yang dikutip daripada penduduk Muar dan 200 kampit beras kepada baginda pada setiap tahun.[61] Raja Temenggung Muar juga diberi kuasa oleh Sultan Hussein Muhammad Shah untuk mengenakan cukai ke atas barang yang diimport ke Muar, seperti candu, beras dan garam, dan barang yang dieksport ke luar Muar, seperti kayu arang dan timah.[62] Semasa zaman pemerintahan Temenggung Engku Said, daerah Segamat telah membebaskan diri daripada penguasaan beliau.[63] Namun, tidak lama kemudian, beliau berjaya menguasai semula daerah Segamat.[64]
Kemangkatan
[sunting | sunting sumber]Sultan Hussein Muhammad Shah berpindah ke Melaka pada tahun 1834 lalu mangkat di Tengkera, Melaka lima belas bulan kemudian iaitu pada 5 September 1835. Baginda dimakamkan secara sederhana di penjuru tanah perkuburan di dalam perkarangan Masjid Tengkera.[65]
Keturunan
[sunting | sunting sumber]Berikut merupakan antara waris dan keturunan Sultan Hussein Muhammad Shah yang diketahui:
- Anakandanya, Sultan Ali Iskandar Shah.
- Cucundanya, Tengku Alam Shah ibni Sultan Ali Iskandar Shah.
- Raja Permaisuri Agong Malaysia ke-4, Tengku Ampuan Intan Zaharah binti Tengku Seri Setia Raja Hitam Omar bin Tengku Osman ibni Tengku Abdul Jalil ibni Sultan Hussein Muhammad Shah.
- Ketua Waris Pemangku Adat Sultan Hussein Muhammad Shah, Tengku Muhammad Shawal bin Tengku Abdul Aziz bin Tengku Hussain bin Tengku Ali bin Tengku Alam Shah.[1][66][67][68]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Buyong Adil (2020). Sejarah Johor: Edisi Semakan. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789834922405.
- Carl A. Trcocki (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. NUS Press. ISBN 9789971693763.
- Institut Terjemahan Negara Malaysia (2008). Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia : Old Treaties & Documents of Malaysia (1791-1965). Attinpress Sdn. Bhd. ISBN 9789830683058.
- R.O. Winstedt (1992). A History of Johore. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). ISBN 9839961462.
- Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789834611538.
- Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. (26 Januari 2024). Penubuhan rungkai status pemilikan Kesultanan Johor ke atas Singapura. Berita Harian. Diambil daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/01/1204963/penubuhan-rungkai-status-pemilikan-kesultanan-johor-ke-atas-singapura
- Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof. (2023). Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence]. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences, 6 (3). pp. 245-261. E-ISSN 2600-9080
Nota kaki
[sunting | sunting sumber]- ^ Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia : Old Treaties & Documents of Malaysia (1791-1965), halaman 12 dan 14-18
- ^ Bastin, Winks, Malaysia: Selected Historical Readings, pg 130
- ^ Marcus Scott-Ross, See Historical Malacca in One Day, pg 22
- ^ Sejarah Kesultanan Negeri Johor, Laman Web Rasmi Pejabat Daerah Kota Tinggi, retrieved 12 March 2009
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 198, 207, 212 & 247
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 215
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 198 & 210
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 197-198, 200 & 209
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 230
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (26 Januari 2024), Penubuhan rungkai status pemilikan Kesultanan Johor ke atas Singapura, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/01/1204963/penubuhan-rungkai-status-pemilikan-kesultanan-johor-ke-atas-singapura
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 237
- ^ Turnbull, A Short History of Malaysia, Singapore and Brunei, pg 97
- ^ Trocki, Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore, 1784-1885, pg 36
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 77
- ^ Trocki, Singapore: Wealth, Power and the Culture of Control, pg 82
- ^ Dr Elmi Zulkarnain Osman. (13 Februari 2024). “The Last Sultan of Singapore.” — By Dr Elmi Zulkarnain Osman. Medium. Diambil daripada https://medium.com/p/cc9868b3c1d8
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 207
- ^ Ministry of Culture (Publicity Division), Singapore; Ministry of Communications and Information, Singapore., Singapore: A Ministry of Culture Publication, pg 24
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 84
- ^ Trocki, Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore, 1784-1885, pg 108
- ^ Bastin, Winks, Malaysia: Selected Historical Readings, pg 132 Though in 1818 Major Farquhar had signed a treaty with the Underking of Riau by virtue of powers granted him by 'Abdu'r- Rahman Sultan of Johor, Pahang and dependencies, and though in his letter suggesting the Carimons (Karimun) for a port he had again referred to 'Abdu'r-Rahman as emperor, he now conveniently remembered that the potentate had deprecated being called ruler of the Johor empire and had declared that he was Sultan of Lingga only. So aware that under Dutch surveillance neither Sultan 'Abdu'r-Rahman of Lingga nor the Underking at Riau would be able to convey any rights at Singapore to the British,...
- ^ Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland, Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, pg 57
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 112
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 116
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 106
- ^ David Brazil, Street Smart Singapore, pg 231
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 213
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 213
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 214
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 215
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 215
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 215
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 215
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 215
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 215
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 215-216
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 220-221
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 221
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 221
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 221
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 221
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 221
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 221
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 222
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 222
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 222
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 223
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 223
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 223
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 223
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 223
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 223
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 223-224
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 224
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 224
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 224
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 225
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 225
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 225
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 225
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 225
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 225
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 225
- ^ Reports Service, by American Universities Field Staff, published by American Universities Field Studies, 1965, pg 20
- ^ Rashid, R. (23 Oktober 2024). Rahsia Dua Kurun: 4 perkara yang anda perlu tahu tentang Masjid Sultan. BERITA Mediacorp. Diambil daripada https://berita.mediacorp.sg/singapura/rahsia-dua-kurun-4-perkara-yang-anda-perlu-tahu-tentang-masjid-sultan-886501
- ^ Reuters. (27 Oktober 2020). Cabbies and office workers: Meet Singapore’s ordinary royals. AWANI International. Diambil daripada https://international.astroawani.com/global-news/cabbies-and-office-workers-meet-singapores-ordinary-royals-265473
- ^ Daud, M. R. (14 Mei 2025). ALAM MELAYU: Menyerlah Ikatan Singapura dan Bugis. BERITA Mediacorp. Diambil daripada https://berita.mediacorp.sg/komentar/alam-melayu-menyerlah-ikatan-singapura-dan-bugis-938806
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Kesultanan Johor Lama
- Sultan Johor
- Sejarah Johor Moden
- Kesultanan Riau-Lingga
- Sultan Riau-Lingga
- Sejarah Singapura
- Penubuhan Singapura moden
Sultan Hussein Muhammad Shah Tarikh keputeraan: 1776 Tarikh kemangkatan: 5 September 1835
| ||
| Gelaran pemerintah | ||
|---|---|---|
| Didahului oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor-Pahang Diangkat menjadi Sultan Johor oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar pada tahun 1812 dan kemudian diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali pada tahun 1823 selepas istiadat pertabalan dibuat mengikut adat-istiadat Melayu |
– Kedudukan sebagai Sultan Johor menurut Perjanjian 6 Februari 1819 tidak diiktiraf oleh Bendahara Tun Ali – Sultan Johor 6 Februari 1819 – 5 September 1835 Diangkat menjadi Sultan Johor oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1819 melalui Perjanjian 6 Februari 1819 tetapi tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali kerana istiadat pertabalan tidak dibuat mengikut adat-istiadat Melayu |
Diikuti oleh: – Tuntutan terhadap jawatan Sultan Johor tidak diiktiraf oleh Bendahara Tun Ali – Sultan Ali Iskandar Shah sebagai "Sultan Johor" (Pewaris Sultan Hussein Muhammad Shah) Diiktiraf sebagai Pewaris Sultan Hussein Muhammad Shah oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1840 dan kemudian diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim pada tahun 1855 melalui Perjanjian Setia 1855 tetapi hanya berkuasa di daerah Kesang manakala negeri Johor (kecuali daerah Kesang) kekal diperintah oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim |