Sungai Linggi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sungai Linggi
Lokasi
NegaraMalaysia
Ciri-ciri fizikal
MuaraSelat Melaka, Melaka
Panjang83.5 km

Sungai Linggi antara sungai yang utama yang berada dalam Negeri Sembilan. Ia bermula dari kaki Banjaran Titiwangsa di kawasan Kampung Jerlang, Pantai, Daerah Seremban, Negeri Sembilan dan mengalir melalui kawasan lembangan sekitar Daerah Seremban dan Daerah Port Dickson, dan berakhir di Kuala Linggi, Daerah Alor Gajah, Melaka.

Menurut sumber lisan, dahulu-kala Sungai Linggi boleh dimudik sejauh ke Pantai. Kapal-kapal kecil boleh belayar jauh ke pedalaman lembah Sungai Linggi.

Sungai Linggi menjadi sempadan bagi Negeri Sembilan dan Melaka yang bermula di pertemuan Sungai Rembau dan Sungai Linggi.

Sejarah awal sekitar abad ke-16 Masihi, Sungai Linggi menjadi laluan perdagangan utama antara Kesultanan Melayu Melaka dan Sungai Ujong. Pada abad ke-18 Masihi,ia menjadi laluan perdagangan bijih timah. Kawasan-kawasan seperti Seremban, Rasah, Rahang, Mambau, Rantau dan Pengkalan Kempas menjadi kawasan rangkaian perdagangan bijih timah yang penting ketika itu.

Sungai Linggi juga menjadi kawasan dan sempadan pengaruh politik antara Datuk Syahbandar Sungai Ujong dan Datuk Kelana Sungai Ujong. Datuk syahbandar Sungai Ujong mengawal dan berpengaruh bermula dari Linggi, Pengkalan Kempas, Rantau,Mambau, Rahang, Bukit Kepayang dan Labu. Manakala Datuk Kelana Sungai Ujong berpengaruh dari Lenggeng, Mantin, Ampangan, Paroi dan Sungai Gadut.

Panjang sungai ini anggaran 83.5 kilometer bermula dari kawasan berbukit di Kampung Jerlang, Pantai, Negeri Sembilan hingga ke Kuala Linggi, Melaka.

Sungai Linggi turut menjadi sumber air bersih bagi Daerah Seremban. Terdapat beberapa anak sungai utama yang menyumbang aliran air ke Sungai Linggi iaitu Sungai Jerlang, Sungai Paroi, Sungai Temiang Diversion, Sungai Temiang, Sungai Kepayang, Sungai Mantau, Sungai Kayu Ara, Sungai Belangkan, Sungai Simen dan Sungai Rembau.

Aliran sungai dari muara sehingga ke pertemuan dengan kuala Sungai Temiang Diversion dikenali dengan nama Sungai Linggi, manakala aliran bermula dari titik pertemuan dengan kuala Temiang Devirsion hingga ke pedalaman punca sungai di Kampung Jerlang, ia dikenali dengan nama Batang Penar.