Daerah Port Dickson

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Daerah Port Dickson
Transkripsi lain
 • Jawiڤورت ديکسن
 • Cina Tradisional波德申縣
 • Cina Ringkas波德申县
 • Tamilபோர்டிக்சன்
Lokasi Daerah Port Dickson di Negeri Sembilan
Lokasi Daerah Port Dickson di Negeri Sembilan
Map
Daerah Port Dickson is located in Bumi
Daerah Port Dickson
Daerah Port Dickson (Bumi)
Koordinat: 2°31′26″N 101°48′35″E / 2.523918494393872°N 101.80975207496563°E / 2.523918494393872; 101.80975207496563Koordinat: 2°31′26″N 101°48′35″E / 2.523918494393872°N 101.80975207496563°E / 2.523918494393872; 101.80975207496563
Negara Malaysia
Negeri Negeri Sembilan
PusatPort Dickson
Pihak berkuasa tempatanMajlis Perbandaran Port Dickson
Pentadbiran
 • Pegawai daerahKhairy Maamor
Keluasan
 • Jumlah572.35 km2 (220.99 batu persegi)
Penduduk
 (2020)
 • Jumlah128,689
 • Kepadatan220/km2 (580/batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (WPM)
 • Musim panas (DST)UTC+8 (Tidak diamalkan)
Poskod
71xxx
Nombor telefon+6-06
Nombor plat kenderaanN

Daerah Port Dickson merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan, Malaysia. Daerah ini terletak di barat daya Negeri Sembilan bersempadan dengan daerah Seremban di utara, Rembau di timur, negeri Selangor di barat laut, negeri Melaka di tenggara dan Selat Melaka barat dan selatan. Daerah ini satu-satunya daerah di Negeri Sembilan yang mempunyai persisiran pantai. Daerah ini juga merupakan satu-satunya daerah di dalam Negeri Sembilan yang penduduknya tidak mengamalkan adat perpatih.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Nama "Dickson" diambil bersempena dengan nama pegawai tinggi British bernama Sir John Frederick Dickson yang telah ditempatkan di Negeri-negeri Selat pada akhir abad ke-19. Perkataan "Port" pula bermaksud pelabuhan.[2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada abad ke-19, sebahagian daerah Port Dickson pada asalnya merupakan sebuah wilayah dalam Kesultanan Selangor. Wilayah taklukan Kesultanan Selangor telah melebar ke Lukut, Labu, Rekoh hingga ke Sungai Raya di Linggi. Akibat perluasan kuasa tersebut, telah berlaku pertikaian sempadan antara Selangor dan Sungai Ujong. Masalah sempadan di antara negeri Selangor dengan Sungai Ujong berpunca bila orang-orang Bugis mulai bertapak dan berpengaruh di Selangor di awal abad ke-18. Kedudukan Sungai Sepang pada asalnya adalah di dalam Sungai Ujong tetapi telah menjadi wilayah Selangor semasa orang-orang Bugis memperluaskan kuasa hingga ke Sungai Linggi. Sungai Linggi merupakan kawasan Dato’ Kelana Sendeng, Undang Luak Sungai Ujong pada waktu itu. Beliau bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu.

Pada tahun 1862, Dato’ Kelana Sendeng telah menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad kerana Negeri Selangor mengambil Sungai Linggi dan Tanjung Tuan. Ekoran daripada ini maka dalam tahun 1863, Raja Abdullah sebagai wakil negeri Selangor telah berunding dengan Dato’ Kelana Sendeng untuk menyelesaikan pertelingkahan sempadan tersebut. Dalam rundingan itu Raja Abdullah dengan berat hati terpaksa menyerahkan kawasan Lukut dan Sungai Linggi kepada Sungai Ujong secara lisan. Namun, pembesar-pembesar negeri Selangor masih terus memerintah Lukut dan Sungai Linggi.

Pada 10 Februari 1878, satu perjanjian telah termeterai antara Sultan Abdul Samad dengan Tunku Syed Abdul Rahman, Dato' Klana Sungai Ujong. Namun, perjanjian itu telah dibantah oleh Raja Bot yang memerintah Lukut kerana beliau tidak diajak berunding mahupun diminta pendapatnya dalam rundingan mengenai perjanjian itu. Raja Bot membantah keras mengenai keputusan memasukkan Lukut dalam pemerintahan Sungai Ujong kerana daerah itu adalah kepunyaan ayahandanya, Raja Jumaat.

Pada 30 Julai 1880, persetujuan penyerahan Lukut kepada Sungai Ujong telah dicapai setelah satu rundingan di antara Sultan Abdul Samad, Dato’ Kelana Sungai Ujong Tunku Syed ‘Abdul Rahman, Tunku Klana Petra Sri Jaya, Raja Bot bin Raja Jumaat dan Raja Daud bin Raja Sulaiman yang telah diadakan di Singapura.

Pada tahun 1889, British telah membuka perbandaran baru iaitu Pekan Port Dickson sebagai pusat pentadbiran, pelabuhan dan pusat ekonomi. Pada 8 Ogos 1895, Konfederasi Negeri Sembilan yang baharu telah dibentuk merangkumi lima daerah iaitu Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin dan Pantai Laut (Coast). Selepas kemerdekaan, Pantai Laut telah ditukar nama ke Port Dickson semula.[3]

Pemandangan[pautan mati kekal] di salah satu pantai di sekitar Port Dickson

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Daerah Port Dickson ditadbir oleh Majlis Perbandaran Port Dickson dan terbahagi kepada lima mukim. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Port Dickson. Terdapat dua bandar dan 14 pekan di dalam daerah ini.[4]

Mukim[sunting | sunting sumber]

  1. Mukim Jimah
  2. Mukim Linggi
  3. Mukim Pasir Panjang
  4. Mukim Port Dickson
  5. Mukim Si Rusa

Bandar dan pekan[sunting | sunting sumber]

  1. Bandar Port Dickson
  2. Bandar Teluk Kemang
  3. Pekan Lukut
  4. Pekan Pasir Panjang
  5. Pekan Pengkalan Kempas
  6. Pekan Chuah
  7. Pekan Port Dickson
  8. Pekan Teluk Kemang
  9. Pekan Bukit Pelanduk
  10. Pekan Linggi
  11. Pekan Air Kuning
  12. Pekan Sungai Menyala
  13. Pekan Bagan Pinang
  14. Pekan Tanah Merah Utara
  15. Pekan Tanah Merah Selatan
  16. Pekan Jemima

Demografi[sunting | sunting sumber]

Sebuah masjid yang terletak di Bagan Pinang

Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Port Dickson ialah seramai 128,689 orang dengan kepadatan penduduk 221 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Lebih separuh penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk 55 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Sebanyak lima peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[5]

Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 113:100. Terdapat 50,398 tempat kediaman dengan sebanyak 32,697 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 87 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 33 ribu dalam golongan muda dan selebihnya tujuh ribu orang merupakan warga tua.

Kewarganegaraan Kaum Jumlah
Warganegara Malaysia Bumiputera 67,695
Cina 31,236
India 22,893
Lain-lain 765
Bukan warganegara N/A 6,100
Agama Jumlah %
Islam 71,939 55.9
Buddha 29,892 23.2
Hindu 22,240 17.3
Kristian 2,448 1.9
Lain-lain 1,716 1.3
Tidak beragama 451 0.4
Tidak diketahui 3 0.0

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Antara sektor yang banyak menyumbang kepada ekonomi daerah Port Dickson termasuklah perlancongan, perniagaan, perindustrian, pertanian dan perikanan. Sektor perlancongan, perniagaan dan perindustrian lebih tertumpu di kawasan persisiran pantai yang menarik kedatangan ramai pelancong. Sektor pertanian pula lebih tertumpu kepada perladangan sawit di mukim Jimah.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Pejabat Daerah Dan Tanah Port Dickson - LATAR BELAKANG JABATAN". pdtpd.ns.gov.my.
  2. ^ "Asal Usul Nama Port Dickson". pdtpd.ns.gov.my. Dicapai pada 2023-02-25.
  3. ^ "Kerana perjanjian sempadan 1880, Port Dickson jadi milik Negeri Sembilan". PeoplePostInsider. 2021-06-06. Dicapai pada 2023-02-25.
  4. ^ "KOD DAN NAMA SEMPADAN PENTADBIRAN TANAH" (PDF).
  5. ^ https://www.dosm.gov.my/mycendash/
  6. ^ "MUKIM PORT DICKSON". pdtpd.ns.gov.my. Dicapai pada 2023-02-25.