Pergi ke kandungan

Taufan (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Taufan
Poster filem Taufan.
PengarahT. C. Santos
PenulisT. C. Santos
Lakon layarT. C. Santos
Dihasilkan olehRunme Shaw
DibintangiAhmad Mahmud
Zaiton
Mariani
Disunting olehHayat Harris
Muzik olehOsman Ahmad
Fred Libio
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehShaw Brothers
Tarikh tayangan
1958
Negara Malaysia &  Singapura
BahasaMelayu

Filem Taufan merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Singapura, ketika itu sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu, pada tahun 1958. Filem Taufan diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.

Filem Taufan diarah oleh pengarah T. C. Santos pada 1958. Penolong Pengarah filem ini ialah S. Sudarmaji. Cerita asal oleh B. H. Chua.

Mengisahkan Fatimah (Zaiton) yang digelar anak taufan kerana dilahirkan ketika ribut taufan membadai kampungnya. Ibunya telah meninggal dunia semasa dia berusia 8 tahun. Selang beberapa tahun, Fatimah sudah dewasa. Ayah Fatimah, Ismail (Mustarjo) seorang nelayan sering jatuh sakit dan ini merungsingkan keadaan didalam urusan mencari nafkah keluarga. Hasrat ayahnya sebelum dijemput Ilahi, dia mengharapkan agar Fatimah berkahwin dengan Amir (Ahmad Mahmud). Ibu Amir (Sa'amah) juga berkenan menerima Fatimah sebagai menantunya.

Sementara itu, Hamid (Salleh Kamil) merupakan orang kaya dan gemar menindas orang kampung yang hidupnya susah dan miskin. Setiap orang nelayan akan menjual hasil tangkapan kepada Hamid. Tetapi Hamid mengambil dengan harga yang terlalu rendah. Hamid seorang yang angkuh. Fatimah memerlukan sedikit wang untuk membantu ayahnya dengan menjual hasil tangkapan ikan ayahnya. Tetapi Hamid telah memberikan wang tanpa membeli ikan dari Fatimah. Hamid teringin untuk memperisterikan Fatimah tetapi cintanya ditolak oleh Fatimah kerana hatinya telah berpaut pada Amir dan akan berkahwin tidak lama lagi. Hamid sangat kecewa.

Pada suatu hari, seorang rakan nelayan mereka, Yusof telah terkorban selepas mengambil beberapa biji mutiara di dasar laut yang dianggap berpuaka. Sementara itu, Hamid dan rakan - rakannya telah berpakat untuk membalas dendam terhadap Amir. Amir telah bergaduh dengan Omar (Omar Suwita) dan Ali (Ali Fiji). Pada mulanya mereka berdua ingin mencederakan Amir tetapi berlaku sebaliknya. Ismail pula semakin tenat, Ismail dijangkiti penyakit keracunan darah berkemungkinan leukemia mengikut pengalaman Tok Penghulu. Amir telah bernekad untuk pergi ke dasar laut untuk mengutip mutiara kerana ingin membantu ayah Fatimah. Dengan mutiara itu, Amir akan memperoleh banyak wang. Dengan wang itu ia dapat membantu Ismail. Keesokkan harinya, Dollah telah terkorban kerana dibaham ikan jerung selepas dia pergi ke tengah lautan tersebut untuk mencari mutiara. Mengikut ramalan Tok Penghulu (Nyak Osman) dasar laut tersebut dijaga oleh bidadari laut dan hanya orang yang tamak sahaja akan menjadi korban disitu.

Mengikut pengalaman Tok Penghulu semasa muda, dia pernah menyelam di dasar laut. Dia terlalu asyik memerhatikan alam di lautan amat berbeza dengan alam di darat. Undang - undang di dasar laut banyak pantang larangnya. Yang kuat akan selamat yang lemah akan terkorban. Hanya mutiara dan ibu mutiara boleh diambil oleh sesiapa sahaja tidak kira lelaki atau perempuan yang penting syaratnya dia mesti seorang yang jujur orangnya. Sementara itu, Salmah (Mariani) telah dicederakan oleh Hamid kerana gurau sendanya. Salmah sangat kecewa. Hamid tidak lagi mempunyai rasa kasih dan sayang terhadap Salmah.

Hamid masih memujuk rayu Fatimah dan dia sanggup laburkan banyak wang demi mambantu Ismail dengan harapan dapat memiliki cinta Fatimah. Fatimah tetap menolaknya. Salmah pula sangat kecewa dan marah terhadap Hamid kerana suaminya sudah membencinya setiap masa. Pada malamnya, Ismail semakin tenat dan Fatimah telah membuat keputusan yang salah. Ketika Hamid telah menghalau Salmah. Fatimah pula tiba dirumah Hamid untuk meminjam wang dan berjanji sanggup menjadi isteri kepada Hamid sebagai balasannya. Keadaan Ismail sudah nazak dan akhirnya Ismail menghembuskan nafasnya terakhir.

Hamid datang berjumpa Fatimah untuk menuntut janjinya yang semalam. Fatimah tidak bersetuju dengan keegoan Hamid. Maka berlakulah pergelutan diantara mereka berdua. Mujurlah adik Fatimah, Aminah (Baby Suriani), sempat memanggil Amir, Amir terus bergelut dengan Hamid. Mujurlah Tok Penghulu berjaya menenangkan keadaan itu. Amir berjanji akan menebus semua hutang Fatimah agar dirinya tidak menjadi jaminan untuk berkahwin dengan Hamid. Amir ditemani Samad (Ahmad C) anak kepada Tok Penghulu untuk menyelam ke dasar laut keesokkan harinya. Setelah seminggu berlalu, Amir dan Samad tidak kembali semula, mereka dipercayai telah mati. Tok Penghulu dan Hamid telah datang berjumpa Fatimah untuk menunaikan janjinya. Fatimah bersetuju untuk berkahwin dengan Hamid pada minggu hadapannya jika Amir masih tidak pulang.

Sementara itu, Amir dan Samad mula menyelam dan memerhatikan ciptaan Ilahi di dasar lautan. Mereka berhati mulia dan tidak melakukan apa jua kerosakan di dasar laut. Manakala Fatimah pula yang tertekan mengambil keputusan untuk membunuh diri mujurlah Aminah sempat menyelamatkan kakaknya. Sementara itu, Amir dan Samad berjaya memperoleh mutiara tunggal di dasar laut. Mereka berdua selamat sehingga ke daratan. Amir telah melunaskan hutang Fatimah kepada Hamid, dengan lebihan wang tersebut, Amir berkahwin dengan Fatimah.

TAMAT

  • Nelayan - Aziz Jaafar dan Nona Asiah.
  • Filem ini turut memuatkan lagu "Suara Ghaib" ciptaan Osman Ahmad dan dinyanyikan oleh Aziz Jaafar dan Nona Asiah dan diajuk oleh Ahmad Mahmud dan Zaiton sebagai pasangan kekasih dalam filem tersebut.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]