Ibrahim Pendek

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ibrahim Pendek
Ibrahim pada tahun 1960an
Kelahiran
Ibrahim bin Hassan

1932 (1932)
Meninggal dunia25 November 2003 (berumur 70–71)
Sebab kematianPenyakit buah pinggang, paru-paru berair dan sesak nafas
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur, Malaysia
PekerjaanPelakon, pelawak
Tahun aktif1954–2003
Ketinggian1.30 m (4 ka ​3 316 in)
Pasangan
  • Che Hasnah Mohd Amin (cerai)
  • Asiah Osman (cerai)
Anak-anak7

Ibrahim Pendek (lahir Ibrahim bin Hassan; 1932 – 25 November 2003) ialah seniman filem Melayu terkenal bukan sahaja terhadap lakonan tetapi juga istimewa kerana beliau dikurniakan dengan tubuh badan yang kerdil iaitu berketinggian 130cm. Antara filem-filem terkenal lakonan beliau ialah Ali Baba Bujang Lapok, Nasib Si Labu Labi dan Keluarga Si Comat.

Penglibatan dan kerjaya seni[sunting | sunting sumber]

Ibrahim telah memulakan kerjaya seninya sejak tahun 1950-an lagi. Beliau telah meninggalkan kampung halamannya pada tahun 1953 untuk ke Singapura merantau mencari rezeki. Pada masa itu, beliau tidak terlintas difikirannya untuk menjadi pelakon. Rezeki untuk menapak dalam bidang perfileman datang kepadanya apabila diterima bekerja sebagai operator projektor di Studio Jalan Ampas. Semasa berkelah, beliau bertemu dengan Run Run Shaw, pemilik syarikat tempat beliau bekerja dan menawarkannya bekerja sebagai budak pejabat. Sewaktu bekerja di situ, beliau tinggal serumah dengan seniman S. Sudarmaji dan bermula ketika itulah beliau telah mendapat peluang berlakon dalam beberapa buah filem sebagai pelakon tambahan. Ini berterusan sehinggalah beliau mendapat peluang lebih besar dalam filem Panggilan Pulau dengan memegang watak sebagai Ramli bersama P. Ramlee, S. Kadarisman dan Normadiah pada tahun 1954. Selepas itu, kerjaya lakonan beliau terus berkembang dan, sesuai dengan perwatakan beliau yang kelakar, beliau diberi peluang berlakon di dalam beberapa buah filem lain, antaranya seperti Kipas Hikmat, Anakku Sazali, Hantu Jerangkung, Pusaka Pontianak, Siti Muslihat dan di bawah arahan P. Ramlee seperti Ali Baba Bujang Lapok dan Nasib Si Labu Labi.

Cipta Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sewaktu berlakon dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, pihak Universal International, Hollywood yang mengadakan lawatan ke Studio Jalan Ampas telah tertarik dengan lakonan beliau dalam filem tersebut. Dari saat itulah pihak Universal International telah menghantar surat tawaran kepadanya untuk berlakon sebagai pembantu seorang doktor dalam filem keluaran Hollywood itu. Bermula detik indah itulah beliau telah mencatat sejarah agung perfileman Melayu kerana beliau ialah pelakon Melayu pertama berlakon dalam filem keluaran Hollywood bersama Rock Hudson dan Gena Rowlands dalam filem The Spiral Road pada tahun 1962. Selepas mencatat sejarah berlakon dalam filem tersebut, beliau telah ditawarkan sekali lagi oleh pihak Hollywood untuk terus berlakon dalam filem-filem keluarannya tetapi hajat beliau tidak kesampaian untuk meneruskan kerjaya beliau di sana kerana pihak pemerintah pada ketika itu tidak meluluskan Visa beliau.

Setelah tertutupnya Studio Jalan Ampas di Singapura, beliau meneruskan kerjaya beliau di Kuala Lumpur dan berlakon di dalam beberapa buah filem lagi antaranya Keluarga Si Comat, Pendekar, Tuan Badul, Penyamun Tarbus, Serampang Tiga, Da Di Du, Setinggan, Sikit Punya Gila, Anak Sulung Tujuh Keturunan dan Jejaka Perasan. Filem terakhir beliau ialah XX Ray arahan Aziz M. Osman pada tahun 1992.

Selepas lama menyepi dari dunia lakonan, beliau banyak menghabiskan masa dengan perniagaan menjual makanan di sekitar tempat tinggalnya di Cheras, Kuala Lumpur. Walaupun banyak menerima tawaran berlakon, beliau terpaksa menolak tawaran tersebut kerana kesihatan beliau yang tidak mengizinkan dan beliau bimbang tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Walau bagaimanapun, beliau sempat menghabiskan sebuah "telemovie" (VCD) dan ia juga merupakan lakonan terakhir beliau bertajuk Selamat Hari Jadi Abah.

Perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Sepanjang kehidupan beliau, beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali dengan Che Hasnah Mohd Amin dan Asiah Osman. Kedua-dua perkahwinan tersebut tidak berkekalan. Dalam tempoh perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan dengan tujuh orang cahaya mata.

Meninggal Dunia[sunting | sunting sumber]

Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 71 tahun pada 25 November 2003 pada pukul 9:00 pagi ketika umat Islam sedang menyambut Aidilfitri, selepas menjalani pembedahan di bahagian perut di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebelum itu, beliau telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu akibat penyakit buah pinggang, paru-paru berair dan sesak nafas. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur.

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Catatan
1954 Panggilan Pulau Ramli Filem pertama
Kechewa Ibrahim
1955 Kipas Hikmat Ibrahim
Menyerah Panjang
1956 Anak-ku Sazali Pendek
1957 Belantara
Hantu Jerangkung Ketot
1958 Taufan Pendek
Sri Menanti
Hantu Kubor Ketot
1959 Saudagar Minyak Urat Tuan Pendek
Pendekar Bujang Lapok Berahim Penampilan khas
1960 Isi Neraka Pendek
Lela Manja Endot
1961 Panji Semerang Pengikut Raden Inu
Ali Baba Bujang Lapok Sarjan
Si Tanggang Orang Kampung
Indera Bangsawan Si Gambar
1962 The Spiral Road Stegomyia Filem pertama Hollywood sebagai pelakon pembantu
Siti Muslihat Khadam / Pendek
Batu Durhaka
1963 Pilih Menantu Pendek
Nasib Si Labu Labi Haji Tometot
Kasih Tanpa Sayang Pendek
1964 Mambang Moden Manan
Siapa Besar Jiran 1
Dupa Cendana
1965 Melanchong Ke Tokyo
Pusaka Pontianak Comat
Dayang Senandong Kecut
Sayang Si Buta Pendek
1966 Aksi Kuching Ibrahim
Sri Andalas Labu
1968 Raja Bersiong Pendek
Mat Lanun
1969 Mat Toyol Orang Upahan Rahim
1975 Keluarga Si Comat Comat
1977 Pendekar
1979 Tuan Badul Ibrahim
1980 Penyamun Tarbus Dirinya sendiri
Sumber Ilhamku
1981 Serampang Tiga Jalur
Da Di Du Bada
Setinggan Bakar
1982 Sikit Punya Gila Pak Brahim
Anak Sulung Tujuh Keturunan Panjang
1986 Jejaka Perasan Atan
Aniaya Jenayah
1988 Gila-Gila Si Pikoy
1989 Hero Ibrahim
Awang Spanar Tuan Malek
Ragam Pemandu Bos Geng Pencuri Kereta
1992 XX Ray Paragas Filem terakhir

Telefilem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
2003 Selamat Hari Jadi Abah Abah VCD

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Ibrahim Pendek (Telah Meninggal Dunia 25-11-2003) Diarkibkan 2013-10-23 di Wayback Machine
  2. ARKIB : 05/08/2012 Keluarga Ibrahim Pendek mohon sumbangan © Utusan Melayu (M) Bhd
  3. Derita keluarga Ibrahim Pendek dapat perhatian, 2012/08/10 - 06:03:04 AM Diarkibkan 2014-07-14 di Wayback Machine
  4. Updated: Isnin Ogos 6, 2012 MYT 1:49:27 PM, Keluarga Ibrahim Pendek Dapat Tanah, Rumah Baru. Oleh ALLISON LAI

Pautan luar[sunting | sunting sumber]