Televisyen digital di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Televisyen digital bertapak di Malaysia sejak pertengahan 1990-an dengan perkhidmatan Astro, kini disinambungi oleh kemunculan perkhidmatan TV berbayar yang baru pada dekad 2000-an, serta pelaksanaan pendigitalan TV terestrial yang dijangka siap menjelang pertengahan 2010-an. Perkhidmatan televisyen digital disalurkan melalui pelbagai piawaian mengikut cara penyampaian, termasuklah Penyiaran Video Digital (DVB) (DVB-S untuk televisyen satelit dan DVB-T untuk televisyen terestrial) dan Televisyen Protokol Internet (IPTV).

Kaedah penyiaran DTV[sunting | sunting sumber]

Televisyen satelit[sunting | sunting sumber]

Era televisyen digital di Malaysia bermula dengan pengenalan perkhidmatan televisyen satelit Astro pada tahun 1996. Astro kini memancarkan lebih kurang 80 saluran televisyen langganan tempatan dan antarabangsa, mematuhi piawaian DVB-S dan memancar video dalam format MPEG-2 melalui jalur Ku dalam spektrum elektromagnet, menggunakan transponder sistem satelit MEASAT. Pemancaran isyarat Astro mudah terjejas oleh hujan di kawasan yang beriklim tropika, akibatnya menyebabkan gangguan dalam penerimaan siaran.

Astro juga merupakan penyiar pertama yang memperkenalkan televisyen definisi tinggi (HDTV) menerusi pancaran satelit kepada orang umum menerusi perkhidmatan Astro B.yond pada akhir tahun 2009.[1]

Televisyen kabel[sunting | sunting sumber]

Pada bulan Oktober 2008, Astro melancarkan Astro Mobile TV yang pada masa ini menyediakan 18 saluran, di mana kesemuanya adalah versi mudah alih saluran TV Astro yang sedia ada, termasuk tujuh saluran dalaman. Perkhidmatan ini hanya tersedia untuk pelanggan Maxis dengan 2.5G serasi atau telefon bimbit 3G, dan tidak mengulangi peranannya daripada televisyen kabel Maxis TV.

Televisyen terestrial[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2005, Kementerian Penerangan mengumumkan rancangan pendigitalan siaran televisyen percuma seluruh negara yang diterajui Radio Televisyen Malaysia.[2] Siaran percubaan dijalankan melibatkan seribu rumah tangga di Lembah Klang mulai September 2006 hingga Februari 2007. Menurut Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Chia Kwang Chye, percubaan ini menerima maklum balas yang amat memberangsangkan, iaitu "lebih 60 peratus menyatakan mutu isyarat adalah dari bagus ke amat bagus, lebih 88 peratus berkata mutu gambar bertambah baik, sementera 70 peratus berkata mutu bunyi lebih bagus."[3] Media Prima dijangka memulakan ujian DTV pada bulan Mac 2009.[4]

Menurut Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, RTM dijangka menyiapkan sepenuhnya proses pendigitalannya menjelang tahun 2012 sebagai sebahagian langkah penstrukturan semulanya.[5] Setelah memasang kelengkapan yang diperlukan (kotak atas set atau set iDTV), penonton dijangka menerima sebanyak 19 saluran: tujuh di bawah bumbung RTM dan selebihnya di bawah penyiar swasta seperti Media Prima (TV3, ntv7, 8TV dan TV9).[6] Setakat ini, di samping menyiarkan TV1 dan TV2 serentak dengan siaran analog, RTM juga menyampaikan RTMi, Muzik Aktif dan Arena hanya melalui platform digital, dipancarkan pada saluran 44 UHF, dan dimodulatkan pada 64QAM.[7] RTM juga dijangka menambahkan saluran setempat untuk negeri-negeri dan wilayah-wilayah dalam proses pendigitalan.[8]

Malaysia dan seluruh negara ASEAN (kecuali Filipina yang memilih ISDB) memilih DVB-T sebagai piawaian penyiaran televisyen digital, dan dijangka melupuskan siaran analog sepenuhnya menjelang tahun 2018.[9] Pada bulan Jun 2008, para hadirin Mesyuarat Penyiaran Digital ASEAN ke-6 dari tujuh buah negara Asia Tenggara (termasuk Malaysia) bersetuju menetapkan spesifikasi kotak atas set TV digital untuk kegunaan penduduk anggota-anggota ASEAN, serta mewujudkan Pusat HD ASEAN yang bertujuan menyediakan latihan pengendalian kandungan HDTV bagi penyiar negara anggota.[10]

Setakat Julai 2011, tiada berita mengenai pelaksanaan televisyen terestrial digital, tetapi ada kemungkinan bahawa RTM akan beralih pula ke teknologi DVB-T2 sebagai pengganti DVB-T untuk tujuan itu.

Penutupan siaran analog[sunting | sunting sumber]

Siaran TV analog akan ditutup secara berperingkat dan dijangka siap pada tahun 2018 seperti yang disyorkan oleh ASEAN. Pelan peralihan televisyen digital dibahagi kepada tiga fasa:[11]

  1. Fasa I (2007-2015)
    • TV analog dan digital wujud bersama
    • TV analog ditutup secara berperingkat
    • Perkhidmatan utama lain dikosongkan (radar dan LMS)
  2. Fasa II (2016-2020)
    • Tiada perkhidmatan TV analog
    • Perkhidmatan DTT di saluran 56 ke atas dikosongkan
    • LMS dalam jalur 477MHz hingga 478MHz dikosongkan
  3. Fasa III (2020-)
    • 100% perkhidmatan DTT menggunakan saluran 5 hingga 12 dan 21 hingga 54

IPTV[sunting | sunting sumber]

TM pula telah melancarkan khidmat IPTV Hypp TV sebagai sebahagian perkhidmatan Internet jalur lebar kelajuan tinggi UniFi yang dilancarkan pada tahun 2010[12], termasuk juga saluran HDTV.

Pada tahun 2011, Astro B.yond juga ditawarkan dalam bentuk siaran IPTV dengan usahasama TIMEdotcom.[13]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Astro labur RM350j tahun depan, Utusan Malaysia, 12 Disember 2009. Dicapai pada 15 Julai 2011.
  2. ^ "Malaysia to launch digital TV trial program". 2005-10-06. Dicapai pada 2008-06-21. 
  3. ^ "Malaysia adopts DVB-T standard for digital broadcast transmissions". ABU. 2007-03-28. Dicapai pada 2008-06-21. 
  4. ^ Major, Rose (2009-03-05). "Media Prima asks govt for help on DTT". Rapid TV News. Dicapai pada 2009-03-06. 
  5. ^ "Penstrukturan Semula RTM Dalam Tempoh Tiga Tahun". BERNAMA. 2008-09-22. Dicapai pada 2008-09-28. 
  6. ^ "RTM Kaji Mekanisme Terbaik Untuk Penyiaran Digital". BERNAMA. 2009-02-14. Dicapai pada 2009-02-16. 
  7. ^ "Malaysian DVB-T trial underway". DVB. 2007-01-06. Dicapai pada 2008-06-21. 
  8. ^ "RTM Bakal Wujud Saluran TV Wilayah". BERNAMA. 2008-09-28. Dicapai pada 2008-09-28. 
  9. ^ "ASEAN picks DVB-T as common TV standard". 2005-06-17. Dicapai pada 2008-06-21. 
  10. ^ "Penyiar Asean Bersedia Untuk Penyiaran Digital". Bernama (Kementerian Penerangan Malaysia). 2008-06-19. Dicapai pada 2008-06-21. 
  11. ^ Ahmad Nasruddin Atiqullah Fakrullah (2008). "Fulfilling Needs for Digital Media" (PDF). .my Convergence: 15. Dicapai pada 2008-06-24. 
  12. ^ TM belanja RM2 bilion bagi HSBB tahun ini, Berita Harian, 3 Julai 2010. Dicapai pada 15 Julai 2011.
  13. ^ Astro Byond IPTV Dilancarkan Secara Rasminya, amanz, 20 April 2011. Dicapai pada 15 Julai 2011.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Am
Penyedia perkhidmatan