Zombitopia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Zombitopia
PengarahWoo Ming Jin
Penerbit
  • Woo Ming Jin
  • Aron Koh
  • Lim Ying Xian
  • Lim Kim Seng (eksekutif)
  • Ivan Low (eksekutif)
  • Hoo Yee Han (eksekutif)
  • Lim Kar Yik (eksekutif)
  • Ong Teck Loong (eksekutif)
  • Steven Eng (eksekutif)
  • Siow Lee Ching (eksekutif)
Penulis
  • Woo Ming Jin
  • Neesa Jamal
Dibintangi oleh
Muzik oleh
  • Chapavich Temnitikul
  • Wuttipon Phumcokrak
SinematografiLesly Leon Lee
Disunting oleh
  • Woo Ming Jin
  • Yap Xhian Way
  • Edmund Yeo
Syarikat
penerbitan
  • Greenlight Pictures
  • Sunstrong Entertainment
  • Lomo Pictures
PengedarSkop Productions
Mula ditayangkan
1 Julai 2021 (Malaysia)
Tempoh tayangan
90 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
PerbelanjaanRM3 juta

Zombitopia ialah sebuah filem seram thriler apokaliptik Malaysia 2021 arahan Woo Ming Jin dengan skrip ditulis oleh Ming Jin dan Neesa Jamal, dibintangi oleh Shaheizy Sam, Elvina Mohamad, Bront Palarae, Azman Hassan dan Sharifah Amani.[1] Filem ini berkisarkan mengenai sejenis virus yang menyerang manusia sehingga mereka yang dijangkiti bertindak ganas 15 tahun lalu. Penyebaran virus ini menyebabkan dunia menjadi huru-hara dan kecoh sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam.[2] Pada asalnya filem ini dijadualkan akan ditayangkan pada 13 Februari 2020 namun ditangguhkan berikutan penularan pandemik koronavirus, bagaimanapun ia ditayangkan secara rasmi pada 1 Julai 2021 di Disney+ Hotstar.[3]

Plot[sunting | sunting sumber]

Kira-kira 15 tahun yang lalu sejenis virus telah menyerang manusia sehingga mereka yang dijangkiti bertindak ganas. Zidik telah terbangun melihat kakaknya menyerang ibunya dan bapanya telah mengorbankan diri dan Zidik berjaya melarikan diri.

Kemudian Zidik telah dibesarkan di rumah anak-anak yatim dan dikendalikan oleh Kak Lily yang merupakan seorang yang kejam. Zidik berkawan dengan seorang lagi anak yatim piatu iaitu Zooey. Suatu hari, Zidik diusir dari rumah anak yatim kerana tidak mematuhi arahan Kak Lily dan selepas itu dia tidak pernah lagi melihat Zooey.

Setelah dewasa Zidik bekerja dengan Hassan yang membawanya bekerja selepas menemui Zidik yang tinggal di jalanan sahaja. Sebenarnya, mereka berdua terjebak kisah silam, di mana Hassan tidak dapat menerima kehilangan isterinya akibat virus itu dan sering lupa bahawa isterinya sudah mati, manakala Zidik terus mengingati kenangan dia bersama Zooey.

Sementara itu, Dr. Rahman yang ingin membalas dendam telah menghasilkan sejenis virus zombie baharu untuk membuat dunia kembali ke dalam kekacauan. Zidik dan Hassan terperangkap dalam situasi huru-hara yang berlaku dengan gelombang kedua wabak zombie. Apakah yang terjadi?

Pelakon[sunting | sunting sumber]

  • Shaheizy Sam sebagai Zidik
  • Elvina Mohamad sebagai Zooey
  • Bront Palarae sebagai Dr. Rahman
  • Nur Shahidah sebagai Siti
  • Azman Hassan sebagai Hassan
  • Sharifah Amani sebagai Maya
  • Idan Aedan sebagai Zidik kecil
  • Amanda Amry sebagai Zooey kecil
  • Ruzana Ibrahim sebagai Kak Lily
  • Eqy Afandi sebagai Jamal
  • Kazar Razak sebagai Mika
  • Nu'Man Salleh sebagai Bob
  • Jay Iswazir sebagai Kamarul
  • Ken Abdullah sebagai Bentong Khan
  • Michael Leong Chee Wah sebagai Yuri
  • Steve Yap sebagai Lee Boon Kit
  • Dania Erisha sebagai Kiki
  • Danny Low sebagai Mustapha

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Zombitopia diarahkan oleh Woo Ming Jin yang sebelum ini mengarahkan beberapa filem termasuk KL Zombi (2013), sekaligus menjadi filem zombi kedua arahannya.[4][5] Menurut Ming Jin dalam satu sidang media maya yang diadakan, berbeza dengan KL Zombi arahannya, Zombitopia ialah sebuah filem serius yang mengangkat isu kemanusiaan sejagat.[1][6] Katanya:

"Diakui saya adalah penggemar filem zombi seperti I Am Legend, The Walking Dead dan Train to Busan. Inti pati filem itu mengetengahkan watak individu yang kehilangan insan tersayang dan kemandirian mereka dalam menghadapi serangan mayat hidup. Bagi saya, filem zombi bukan sekadar zombi menyerang orang tetapi lebih kepada soal kemanusiaan seperti yang dipaparkan dalam semua filem zombi itu. Filem sebegitu memberikan inspirasi kepada saya untuk menghasilkan Zombitopia,"

Untuk filem ini, Ming Jin menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) dan kesan khas visual bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Beliau turut mendapatkan khidmat hampir 20 penari latar bagi menjayakan watak zombi di mana mereka dikehendaki memakai kanta lekap jika berdepan dengan risiko penglihatan kurang jelas.[1][7] Kos pembikinan dianggarkan berjumlah hampir RM3 juta dengan penggambaran dijalankan pada 2016 di Selangor dan Kuala Lumpur. Zombitopia menandakan kolaborasi kedua Shaheizy Sam bersama Ming Jin selepas Mamak Cupcake.[2] Sam dalam satu sidang media maya, yang turut dihadiri oleh Ming Jin dan pelakon filem itu, mengatakan filem ini boleh dikaitkan dengan situasi pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia, malah mengibaratkan zombi seperti virus.[8][9][10] Bagi memantapkan persediaan sebelum penggambaran, Sam menjalani latihan kecergasan bagi mengelakkan keletihan semasa menjayakan adegan dikejar zombi.[11][12]

Elvina Mohamad yang terkenal dengan drama lakonannya seperti Mariam Alisa, Shhh... I Love You dan Kalis Kasih, memegang watak sebagai Zooey.[13] Elvina mengakui sewaktu berlakon dalam filem ini, beliau berasa gementar dan tidak mempunyai pengalaman kerana beliau baru sahaja berkecimpung dalam bidang lakonan. Sebagai pendatang baharu dalam bidang lakonan pada masa itu, Elvina turut mengakui watak Zooey benar-benar menguji kebolehannya; Untuk watak itu, beliau perlu menukar emosi untuk disesuaikan dengan zombi.[14][15]

Keluaran[sunting | sunting sumber]

Zombitopia pada mulanya dijadualkan untuk tayangan pada 13 Februari 2020, iaitu sebulan sebelum penularan pandemik COVID-19,[16][17][18] namun ditunda kepada Jun atau Julai 2020, kemudian ditunda sekali lagi sehingga tarikh tayangan baru akan diumumkan.[19][20][21] Selepas lebih setahun terperam, filem ini ditayangkan secara rasmi pada 1 Julai 2020 dengan tayangan perdana di Disney+ Hotstar.[1][2][3] Treler rasmi filem ini dikeluarkan pada 21 Januari 2020 di saluran YouTube rasmi Skop Productions[22] dan pada 4 Mei 2021 di saluran YouTube rasmi Disney+ Hotstar.[23]

Filem ini menerima ulasan positif daripada pengkritik filem. Budiey dari Sensasi Selebriti yakin bahawa "Zombitopia menjanjikan perjalanan yang menyeronokkan, penuh aksi dan dramatik untuk semua penonton dan seisi keluarga".[16] Helmy Effendy dari The Patriots berpendapat Zombitopia ialah sebuah "filem zombi yang gagal" dan memberikan 2 daripada 10 bintang untuk filem ini.[24] Rekomen Filem memberikan penarafan 5 daripada 10 bintang untuk filem ini dan mengulas: "Dari sudut teknikal Zombitopia agak cantik, akan tetapi penulisan dan pengarahannya sangat teruk".[25] Portal filem, Kakimuvee pula memberikan penarafan 1 daripada 5 bintang untuk Zombitopia.[26]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

  • KL Zombi – Filem serupa yang dikeluarkan pada 2013 arahan Woo Ming Jin

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d Farihad Shalla Mahmud (4 Julai 2021). "Zombi serang lagi". Berita Harian. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  2. ^ a b c Ridzuan Abdul Rahman (3 Julai 2021). "Zombitopia baris nama besar". Harian Metro. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  3. ^ a b "'Zombitopia' premieres today on Disney+ Hotstar" ['Zombitopia' ditayangkan hari ini di Disney+ Hotstar] (dalam bahasa Inggeris). The Vibes. 2 Julai 2021. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  4. ^ Arif Zikri (2 Julai 2020). "Malaysian director Woo Ming Jin hopes to break new ground with Zombitopia" [Pengarah Malaysia Woo Ming Jin berharap untuk pecahkan tembok bersama Zombitopia] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 26 Julai 2020.
  5. ^ "Not your typical zombie movie" [Bukan filem zombi biasa anda] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 1 Julai 2021. Dicapai pada 26 Julai 2021 – melalui PressReader.
  6. ^ "Zombitopia, karya terbaru Malaysia taraf dunia". Syok.my. 30 Jun 2021. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  7. ^ Aref Omar (9 Julai 2021). "#Showbiz: Another stab at the undead" [#Hiburan: Satu lagi tikaman terhadap mayat hidup] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  8. ^ Nur Asyikin Mayudin (30 Jun 2021). "Shaheizy Sam kaitkan filem Zombitopia dengan pandemik, orang takut nak keluar rumah - "Zombi itu umpama virus sentiasa kejar kita"". mStar Online. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  9. ^ Siti Athirah Dzulkifly (30 Jun 2021). "Belum ada filem zombi yang serius - Shaheizy Sam". Utusan Malaysia. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  10. ^ Mumtaj Begum (2 Julai 2021). "'Zombitopia' not that different from COVID-19 pandemic, says actor Shaheizy Sam" ['Zombitopia' tidak banyak bezanya daripada pandemik COVID-19, kata pelakon Shaheizy Sam] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  11. ^ Syafiqah Jalal (1 Julai 2021). "Takut zombi, Shaheizy Sam terpaksa menjalani latihan kecergasan". Astro Gempak. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  12. ^ Nisa Irina (22 Januari 2020). "Shaheizy Sam rasai cabaran berbeza lakon filem Zombitopia". Cinema Online. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  13. ^ Nisa Irina (23 Januari 2020). "Elvina Mohamad teruja nantikan tayangan filem Zombitopia". Cinema Online. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  14. ^ Farihad Shalla Mahmud (20 Julai 2021). "Elvina malu terkam Sam dalam Zombitopia". Berita Harian. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  15. ^ Nur Asyikin Mayudin (5 Julai 2021). "Akibat terlalu imaginasi dikejar zombi, gusi Elvina Mohamad berdarah terlanggar kamera ketika penggambaran". mStar Online. Dicapai pada 26 Julai 2020.
  16. ^ a b Budiey (31 Januari 2020). "Sinopsis filem Zombitopia lakonan Shaheizy Sam dan Bront Palarae". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 26 Julai 2021. Kisah manusia dijangkiti virus sehingga menjadi zombi.
  17. ^ Fariza Saidin (1 Julai 2021). "Mula-mula Zombi Kampung Pisang! Selepas itu KL Zombi, KL24: Zombies! Kini Zombitopia!". Kita Reporters. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  18. ^ "Zombitopia memaparkan kisah manusia dijangkiti virus sehingga menjadi zombi". Kakimuvee. 24 Januari 2020. Dicapai pada 26 Julai 2020.
  19. ^ "Pengarah Zombitopia tak kisah tarikh tayangan ditunda". Kopiplanet. 3 Februari 2020. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  20. ^ Ashraff Nasser (3 Februari 2020). "Tayangan "Zombitopia" ditunda ke tarikh baru". Cinema Online. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  21. ^ "Zombitopia tangguh tayangan". Berita Harian. 10 Februari 2020. Dicapai pada 26 Julai 2021 – melalui PressReader.
  22. ^ "Zombitopia official trailer HD | Di pawagam 13 Februari 2020". Skop Productions. 21 Januari 2020. Dicapai pada 26 Julai 2021 – melalui YouTube.
  23. ^ "Zombitopia trailer". Disney+ Hotstar. 4 Mei 2021. Dicapai pada 26 Julai 2021 – melalui YouTube.
  24. ^ Helmy Effendy (4 Julai 2021). "Kenapa Zombitopia ialah filem zombie yang gagal". The Patriots. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  25. ^ "Review Zombitopia: Gagal menjadi filem zombi". Rekomen Filem. 4 Julai 2021. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  26. ^ "Review: Zombitopia (2021)". Kakimuvee.net. 6 Julai 2021. Dicapai pada 9 Ogos 2021.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]