Bukit Besi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Koordinat: 4°46′U 103°12′T / 4.767°U 103.2°T / 4.767; 103.2 Bukit Besi ialah sebuah bandar kecil dalam daerah Dungun, Terengganu, Malaysia. Ia mendapat nama dari aktiviti perlombongan bijih besi di situ. Ia dikenali juga sebagai 'Bukit Batu Besi'. Koordinat Bukit Besi ialah 4°45'Utara, 103°10'Timur.

Bukit Besi terletak dalam kawasan Ketengah (Kemajuan Terengganu Tengah). Ia juga terletak dalam jajaran Lebuh Raya Jerangau-Jabor.

Wakil rakyat[sunting | sunting sumber]

Adun Bukit Besi ialah Datuk Din Adam dari parti Barisan Nasional /UMNO. Beliau memang dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008. Beliau salah seorang daripada 24 anggota BN dan 8 daripada Pas dalam DUN Terengganu. Calon PAS ialah Nordin Othman.

Datuk Din Adam digugurkan dari jawatan exco Terengganu pada 9 April 2009. [1]

Geologi[sunting | sunting sumber]

Laporan pemetaan Geologi Bukit Besi Syit 49, Terengganu (1975) menunjukkan Bukit Besi mengandungi selangkapis 'argillaceous' dan 'arenaceous'. Ia terdiri daripada sabak, serpih, fikit dan argilit. Kajian ini termasuk Hutan Simpan Jerangau, Terengganu pada 1975 oleh Jabatan Geologi Malaysia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bukit Besi dahulunya merupakan tempat perlombongan bijih besi dalam daerah Dungun. Ia telah dilombong oleh syarikat dari Jepun sebelum 1939 lagi. Lombong ini telah ditutup berikutan bijih besi di sini telah habis dilombong oleh syarikat Jepun suatu ketika dahulu.Syarikat Jepun itu ialah Nippon Mining Company (Nippon Kogyo). [2] Jeneral Jepun tidak dapat mengawal buruh lombong khususnya pelombong Cina. Ketika itu terdapat juga lombong manganese di Gual perio dan Temangan di Kelantan. Pengeluaran bijih besi berjumlah 1962,000 tan pada 1940. Semasa penjajahan Jepun, operasi lombong ini masih berjalan. Ia dipantau oleh seorang perisik Jepun bernama Kosaki Ishigai. Maklumat-maklumat rahsia tentang potensi ekonomi yang diberikan inilah maka Jepun menyerang Tanah Melayu melalui Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Dahulunya terdapat jajaran landasan keretapi dari Bukit Besi ke Jeti Sura, Dungun untuk membolehkan syarikat Jepun mengangkut bijih besi untuk dieksport. Syarikat mengeksport bijih timah ke Jepun melalui Sura, Kuala Dungun, Terengganu.[3] Pengurusan dan penyelenggaraan landasan kereta api menelan kos yang tinggi kerana curahan hujan yang lebat, banjir semasa musim tengkujuh di Terenganu.

Di Bukit Besi terdapat landasan kereta api untuk mengangkut keluar bijih besi. Inilah keunikan Bukit Besi kerana Terengganu sendiri tidak punya landasan kereta api. Ketika itu Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin. Baginda lebih dikenali sebagai Marhum Haji.[4] Tiga pekerja dari South Manchurian Railway telah dibawa masuk untuk membina landasan kereta api di kawasan lombong bijih timah ini. Ia dikendalikan oleh Genichiro Watanabe.

Pada 1924, perisik Jepun bernama Kosaki Ishigai telah mempunyai tanah di Terengganu. Dia bekerja dengan Nippon Yusen Kaisha di San Francisco dan datang ke Singapura pada 1918. Kemudian menjadi setiausaha kepada pengarah Muzium Perdagangan Jepun.

Perlombongan semula[sunting | sunting sumber]

Perunding yang dilantik mengesahkan masih terdapat lima juta metrik tan bijih besi di situ. Oleh itu , kerajaan negeri Terengganu telah melantik tiga syarikat untuk mengendalikan pajakan selama lima tahun iaitu TBM Minerals Sdn Bhd, Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd, dan Wahaba Wangi Sdn Bhd yang kesemuanya beralamat di Terengganu.

Perlombongan semula ini dijangka memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya 50 % daripada pekerja yang diupah seperti mana yang disyaratkan.[5]

Kronologi[sunting | sunting sumber]

1910:: Ahli kajibumi Jepun, Mr. Kuhara datang ke Dungun membuat kajian di konsesi Chemuak, Ulu Dungun dan mendapati kawasan tersebut mengandungi bijih besi dalam jumlah yang banyak.

1927:: Syarikat Kuhara Mining Ltd. menjalankan aktiviti perlombongan secara tidak rasmi. Syarikat ini kemudiannya telah ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC).

1929:: 13 Januari - Kerajaan Terengganu mengeluarkan ‘mining lease’ secara rasmi kepada NMC. Kawasan seluas 1,080 ek. ini terdiri daripada M.L. 129, M.L. 130, M.L. 131 dan M.L. 132, iaitu pecahan daripada M.L. 75, kawasan yang telah dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada seorang kerabatnya, Tengku Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil.

Sebelum ini, Tengku Abu Bakar pernah memberi kebenaran kepada Wong Sin, seorang pengusaha lombong untuk membuka lombong bijih timah di situ, tetapi tidak begitu berjaya. Apabila NMC mengakui kawasan tersebut mengandungi bijih besi, Wong Sin telah menjual hak melombong di situ kepada NMC pada bulan Oktober 1917 dengan bayaran sebanyak $50,000.00.

Menurut kenyataan Encik Abdullah Awang, yang ditemuramah di rumahnya di Kemaman oleh Encik Mohd. Hairon Yasar pada 30 September 1975 Beberapa orang penduduk tempatan telah bercerita bahawa seorang pencari rotan telah menjumpai seketul batu yang berat menyerupai besi. Sebenarnya di kawasan itu usaha melombong pernah dijalankan pada tahun 1910 tetapi gagal kerana kawasan tersebut tidak mengandungi bijih timah, sebaliknya cuma terdapat haomatait sahaja.

1930:: Pengurus lombong pertama, R.Kunada telah memulakan tugasnya pada bulan April 1930. Dalam tahun tersebut juga laluan keretapi Dungun - Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che Lijah. Beberapa tahun kemudian, pihak NMC terpaksa memberhentikan beberapa pekerja akibat kurangnya permintaan daripada syarikat-syarikat keluli di Jepun.

1934:: Keadaan pulih semula. Para pekerja yang telah diberhentikan, diambil bekerja semula, malah ditambah dengan pekerja-pekerja baru. Permintaan yang berterusan daripada syarikat-syarikat keluli di Jepun telah mendorong pihak syarikat meningkatkan pengeluaran.

1935:: Jumlah penduduk di Bukit Besi telah meningkat sehingga 6,000 orang (termasuk 3,000 pekerja).

1936:: Sebuah terowong yang dikenali sebagai Bukit Tebuk telah dapat disiapkan. Perjalanan melalui Bukit Tebuk dapat menjimatkan masa. Oleh itu tempat memunggah bijih dari Che Lijah telah dipindahkan ke Nibong.

Para pekerja perlombongan di Bukit Besi ini terdiri daripada pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India dan Jepun.

1938:: Peperangan antara China dengan Jepun - menyebabkan pekerja-pekerja Cina berhenti beramai-ramai, akibat daripada hasutan dan sentimen anti Jepun. Ini menyebabkan syarikat perlombongan hampir lumpuh. Pihak pengurusan syarikat terpaksa mengambil pekerja-pekerja baru, sebahagian daripadanya diimport terus daripada India.

1945:: Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia ke II. Perusahaan perlombongan bijih besi oleh NMC berakhir.

1946 – 1949:: Darurat. Aktiviti perlombongan terhenti kerana tiada permintaan.

1948:: Ogos, kerajaan British memutuskan untuk menjual harta lombong Bukit Besi kepada Syarikat Eastern Mining and Metal Berhad (EMMCO).

Awal 1950an:: EMMCO menjalankan aktiviti perlombongan secara besar-besaran, kesan daripada pemulihan peperangan dan permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat Jepun.

Pengeluaran bijih digandakan untuk mendapat keuntungan besar dalam masa yang singkat. Aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti, kecuali hari Jumaat. Kepala keretapi juga telah diganti dengan yang baru, ditempah dari England. Jentera-jentera moden juga telah digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih. Dengan ini pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu, di samping mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Oleh itu tidak hairanlah jika pendapatan para pekerja perlombongan Bukit Besi ini menyamai atau lebih baik daripada para pekerja di jabatan kerajaan pada masa itu.

Pihak EMMCO juga telah mewujudkan banyak jabatan, seperti pejabat pos, pejabat ukur, pejabat kebajikan masyarakat dan sebagainya di zaman kegemilangan Bukit Besi.

Oleh kerana pengeluaran yang berterusan dengan jumlah yang besar, akhirnya bijih besi mula berkurangan dan akaun syarikat mula mencatatkan kerugian.

1970:: 1 Oktober - Mesyuarat Lembaga Pengarah EMMCO membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit besi.

1971:: 8 September - Sektor perlombongan bijih besi ditutup. Ini memberi kesan bukan sahaja kepada penduduk di Bukit Besi, tetapi juga kepada Bandar Dungun. Bagi memastikan Bandar Dungun terus hidup, Kerajaan Terengganu telah membina sebuah cawangan ITM di sana. Pihak KETENGAH pula telah merancang pembangunan semula Bandar Bukit Besi. Berbagai kemudahan awam dan perniagaan, telah diwujudkan.

Bukit Besi telah meninggalkan beberapa artifek sejarah yang menjadi aset penting dalam industri pelancongan. Artifek-artifek seperti chimney, stock pile, washing plant / tin plant, crushing plant, tempat menyimpan bahan letupan dan sebahagian daripada kuarters masih tersergam hingga ke hari ini, walaupun telah mengalami berbagai kerosakan. Tasik Puteri yang wujud hasil daripada perlombongan bijih besi di Bukit Besi ini sedang dimajukan oleh KETENGAH sebagai kawasan rekreasi yang menarik. Sebuah Galeri sejarah juga diwujudkan bagi tatapan generasi muda.

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Rujukan[sunting | sunting sumber]

[6]

  1. Sepuluh Exco Terengganu Angkat Sumpah
  2. [1]The Japanese file: pre-war Japanese penetration in Southeast Asia By Eric Robertson
  3. Land, people, and economy in Malaya By Jin-Bee Ooi
  4. [2]Growing Up in Trengganu By Awang Goneng
  5. Sidang DUN Terengganu: Penyokong Kerajaan Bergasak Sesama Sendiri
  6. Video sejarah Bukit Besi