Kemasik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pantai Kemasik yang menjadi destinasi popular bagi peminat fotografi untuk mengambil gambar sudut batu yang cantik disini.

Kemasik merupakan sebuah mukim dan bandar yang terletak di daerah Kemaman, Terengganu, Malaysia. Daya tarikan utama bandar ini ialah Pantai Kemasik. Kemasik terletak antara Kerteh dan Kijal di antara Jalan Kemaman-Kuala Terengganu yang merupakan jalan utama dari Kemaman ke Kuala Terengganu. Kemasik berada kira-kira 30 kilometer dari Bandar Chukai dan kira-kira 10 minit pemanduan dari Kertih. Penduduk seringkali mengunjungi bandar yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat seperti institusi perbankan, pasaraya-pasaraya besar dan perkhidmatan kerajaan dan sawasta seperti pejabat pos, hospital dan sebagainya. Kedudukannya yang stategik dan sistem perhubungan yang efisien memudahkan penduduk untuk keluar dan juga memudahkan pengunjung yang ingin datang bersantai disini. Kemasik juga pernah menjadi venue permulaan peringkat 9 Le Tour de Langkawi 2012 dari Kemasik ke Kuala Terengganu sejauh 165.7 Km.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Menurut cerita warga tua di Kemasik, sebelum membangun seperti sekarang Kemasik hanyalah sebuah perkampungan nelayan tradisional, dari mana wujudnya nama Kemasik tidak pula diketahui. Walau bagaimanapun, Kampung Kemasik telah wujud sebelum merdeka lagi. Walaupun kampung ini telah berusia lebih 50 tahun, namun ia masih lagi mengekalkan ciri-ciri dan budaya timur masyarakat Melayu. Kampung ini merupakan kawasan pekan lama sebelum Daerah Dungun dan Kertih pesat membangun dan kampung ini masih popular sehingga kini. Kewujudan mahkamah dan pejabat kastam di dalam kampung ini menunjukkan bahawa kampung ini pernah menjadi pusat pentadbiran suatu ketika dahulu.

Jika datang ke kampung ini, gemersik angin laut yang mendayu-dayu pastinya membuatkan anda terleka sebentar. Walaupun pernah menjadi antara ‘kawasan hitam’ ketika zaman penjajahan Jepun namun kini semuanya telah banyak berubah. Pembangunan yang amat ketara dapat dilihat di sini dan penduduk juga semakin seronok mengecapi kemajuan dalam hidup dan peningkatan taraf hidup. Aspirasi penduduk ialah untuk menjadikan kampung ini sebagai salah satu perkampungan nelayan yang terbaik di negeri persisiran pantai ini.

Pantai Kemasik[sunting | sunting sumber]

Batu di Pantai Kemasik

Salah satu pantai batu menarik yang terdapat di Terengganu ialah Pantai Kemasik. Pantai ini terletak di persisiran Kampung Kemasik, Kemaman. Dari sudut bentuk muka bumi, Kemasik terletak di persisiran pantai. Kebiruan air laut dan panorama langit yang sungguh indah membuatkan seolah-olah berada di suatu penempatan yang baru. Pokok-pokok kelapa di persisiran pantai yang tumbuh melata, bot sangkut nelayan dan kawasan pantai lagun pasti menggamit siapa jua yang datang ke sini. Di kawasan pedalaman Kemasik, terdapat kawasan tanah berpaya dan kawasan tanah pamah bagi mereka yang ingin meneruskan aktivti pertanian. Paling menarik, cara kehidupan kampung masih dikekalkan di kawasan ini dan sekitarnya.

Mesra Mall[sunting | sunting sumber]

Pusat membeli belah Mesra Mall di Kemasik yang menawarkan kiosk perniagaan jenama antarabangsa untuk semua peringkat umur.

Mesra Mall adalah sebuah pusat membeli belah moden yang mesti dilawati jika berkunjung ke Kemasik, dengan hanya satu-satunya kompleks panggung wayang (Cineplex) di Terengganu, pusat boling dengan 24-lorong, gelanggang skuasy, sebuah gelanggang futsal berhawa dingin, dan medan selera kontemporari direka khas dalam kompleks membeli belah ini.

Dibuka pada 10 Oktober 2009, MESRA MALL telah dibina di atas tapak seluas 30 ekar, dengan keluasan binaan 315,000 kaki persegi lebih daripada satu tingkat. Ia berfungsi sama seperti mall di bandar-bandar besar yang lain dengan mempunyai campuran perkedaian runcit dan gudang pakaian dengan jenama global yang menjadikan Mesra Mall sebagai hub atau pusat sehenti untuk membeli-belah, perbankan, makan, leisure dan hiburan bagi penduduk Kemasik dan Kemaman.

Disini juga terdapat sebuah dewan serbaguna 20,000 kaki persegi yang terbesar dengan jejari 50 meter, pusat konvesyen dan sesuai untuk menjadi tuan rumah pameran, jamuan katering untuk 800 tetamu, dan acara pemasaran. Mesra Mall telah dibangunkan oleh Metro Kemasik Sdn Bhd dan adalah anak syarikat milik penuh KLCC (Holdings) Sdn Bhd.

IKBN Kemasik[sunting | sunting sumber]

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Terengganu merupakan salah satu dari 20 IKBN yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Malaysia. Ia terletak kira-kira 22 km dari Bandar Kemaman melalui Jalan Kemaman-Dungun. Pembinaan institut ini telah bermula sejak 19 Disember 2007 dan mula beroperasi secara rasminya pada 18 Oktober 2010. Majlis Penyerahan Projek telah diadakan oleh Pengarah Urusan Ledang Raya Sdn Bhd kepada JKR dan seterusnya kepada wakil Kementerian Belia dan Sukan.

Institut yang didirikan di atas kawasan seluas 50 ekar ini mampu menampung sehingga 500 orang pelatih pada satu masa dan telah memulakan sesi pengambilan yang pertama pada Julai 2011. Antara bidang yang ditawarkan di IKBN Kemasik ialah bidang Perhotelan, Hospitaliti dan Perkhidmatan Personal. Selain bangunan pentadbiran dan bengkel mengajar, pihak IKBN Kemasik juga menyediakan kemudahan-kemudahan seperti perpustakaan, padang bola, gelanggang permainan, surau, dewan makan, kuarters, asrama, dan lain-lain lagi untuk kegunaan pelatih dan kakitangan IKBN Kemasik.

IKBN Kemasik yang memfokuskan pengajian dalam bidang hospitaliti dan perkhidmatan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]