Sejarah Nepal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kuil-kuil Hindu di Patan, ibu kota bagi salah satu daripada tiga kemaharajaan pertengahan
Kerabat diraja Nepal pada dekad 1920-an

Alat-alat Zaman Neolitik yang ditemui di Lembah Kathmandu menunjukkan bahawa manusia telah menghuni di kawasan Himalaya buat sekurang-kurangnya 9,000 tahun. Kelihatannya, orang-orang yang mungkin berasal daripada keetnikan Tibet-Burma telah tinggal di Nepal 2,500 tahun dahulu. [1]

Puak-puak Indo-Arya masuk ke lembah pada sekitar tahun 1500 SM. Pada sekitar tahun 1000 SM, kerajaan - kerajaan kecil dan gabungan-gabungan puak muncul. Salah seorang putera yang terkenal daripada gabungan Shakya ialah Siddhartha Gautama (563 SM483 SM) yang meninggalkan kerabat dirajanya untuk mengamalkan kehidupan zuhud dan kemudian dikenali sebagai Buddha ("Yang Sudah Jaga"). Menjelang 250 SM, kawasan itu dipengaruhi oleh Empayar Maurya di India utara, dan kemudian menjadi sebuah negeri boneka di bawah Dinasti Gupta pada abad ke-4. Sejak dari lewat abad ke-5, raja-raja yang dipanggil Licchavi memerintah kawasan ini. Dinasti Licchavi merosot pada lewat abad ke-8 dan disusuli oleh zaman Newar sejak tahun 879, walaupun takat penguasaannya terhadap seluruh negara ini tidak dapat dipastikan. Menjelang lewat abad ke-11, Nepal selatan dipengaruhi oleh Empayar Chalukya di India Selatan. Di bawah Empayar Chalukya, institusi keagamaan Nepal berubah ketika raja-rajanya menaungi agama Hinduisme dan bukannya lagi agama Buddhisme yang lazim dianuti ketika itu.

Menjelang awal abad ke-13, ketua-ketua dengan nama yang mempunyai akhiran bahasa Sanskrit, malla ("ahli gusti"), mula muncul. Pada mulanya, pemerintahan mereka ditandakan dengan pergolakan, tetapi raja-raja itu kemudian mengukuhkan kedudukan mereka pada sepanjang 200 tahun yang berikutnya. Menjelang akhir abad ke-14, kebanyakan negara ini mula disatukan. Bagaimanapun, perpaduan mereka tidak berkekalan lama. Pada tahun 1482, kerajaan tersebut dibahagi-bahagikan menjadi tiga — Kathmandu, Patan, serta Bhadgaon — dan memulakan persaingan-persaingan yang sengit selama berabad-abad.

Pada tahun 1765, Prithvi Narayan Shah, raja Gorkha, memulakan penyatuan kerajaan-kerajaan selepas mendapat bantuan serta senjata daripada raja-raja India, dan membeli keberkecualian daripada kemaharajaan-kemaharajaan India yang berjiran. Selepas banyak pertempuran dan pengepungan yang berdarah, baginda dapat menyatukan Nepal tiga tahun kemudian. Bagaimanapun, perang sebenar tidak pernah berlaku semasa penaklukkan Lembah Kathmandu. Sebenarnya, adalah semasa semua penduduk lembah sedang merayakan perayaan Indra Jaatra ketika Prithvi Narayan Shah dan askar-askarnya menawan lembah tersebut tanpa sebarang pertempuran. Ini menandakan kelahiran negara Nepal moden.

Satu pertikaian dan kemudiannya perang dengan Tibet tentang penguasaan genting-genting memaksakan Nepal berundur dan membayar ganti rugi yang banyak kepada China yang datang untuk menyelamatkan Tibet. Persaingan dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris tentang penghakmilikan negara-negara kecil yang menyempadani Nepal akhirnya mengakibatkan Perang Inggeris-Nepal yang singkat tetapi berdarah (1815–16). Dalam perang tersebut, Nepal mempertahankan sempadan-sempadan masa kini tetapi hilang semua wilayahnya di sebelah barat Sungai Kali, termasuk juga negeri Uttaranchal masa kini serta banyak negeri Bukit Punjab di Himachal Pradesh masa kini. Perjanjian Sugauli juga mengakibatkan penyerahan sesetengah bahagian di Terai dan Sikkim kepada Syarikat sebagai pertukaran untuk autonomi Nepal.

Faham kepuakan antara ahli-ahli kerabat diraja juga mengakibatkan ketidakstabilan selepas peperangan. Pada tahun 1846, ratu Nepal berkomplot untuk menggulingkan Jang Bahadur, seorang pemimpin tentera yang sedang bangkit dengan cepat, dan mengakibatkan Pembunuhan beramai-ramai . Pertentangan bersenjata antara kakitangan-kakitangan tentera dengan para pentadbir yang setia kepada ratu mengakibatkan pembunuhan beratus-ratus putera dan ketua puak di seluruh negara. Bahadur menang dan mengasaskan Dinasti Rana yang melahirkan autokrasi Rana. Kedudukan raja dijadikan kedudukan pada nama sahaja, dan jawatan Perdana Menteri dijadikan sebuah jawatan keturunan yang berkuasa. Para raja Rana merupakan penyokong British yang akrab, dan membantu pihak British semasa Pemberontakan Supai pada tahun 1857, serta kemudiannya dalam kedua-dua Perang Dunia. Pada tahun 1923, United Kingdom dan Nepal memeterai sebuah perjanjian persahabatan yang menyebabkan kemerdekaan Nepal diperakui oleh United Kingdom.

Pada lewat dekad 1940-an, gerakan-gerakan pro-demokrasi dan parti-parti politik yang baru muncul kritikan terhadap sistem autokrasi Rana. Pada masa yang sama, China menduduki Tibet pada tahun 1950 dan menyebabkan India minat akan kestabilan Nepal bagi mengelakkan kempen ketenteraan yang mahal. Oleh itu, India menyokong penuh Tribhuvan, raja baru Nepal pada tahun 1951, dan kerajaan baru Nepal yang terdiri sebahagian besarnya daripada Parti Kongres Nepal. Selepas pertengkaran bertahun-tahun antara raja dan kerajaan, uji kaji demokrasi dibubarkan pada tahun 1959, dan sebuah sistem panchayat "tanpa parti politik" dicipta untuk memerintah Nepal. Pada tahun 1989, Gerakan (Rakyat) "Jan Andolan" memaksa rajanya untuk menerima reformasi perlembagaan dan mengasaskan sebuah parlimen berbilang parti pada Mei 1991. [2] Parti Kongres Nepal memenangi pilihan raya demokrasi yang pertama di negara, dan Girija Prasad Koirala menjadi perdana menteri Nepal.

Pada tahun 1996, Parti Komunis Nepal (Maois) melancarkan usaha menggantikan sistem parlimen beraja dengan republik sosialis rakyat, maka tercetusnya Perang Saudara Nepal yang berlarutan, mengakibatkan 12,000 nyawa melayang. Pada 1 Jun 2001, berlakunya pembunuhan beramai-ramai di istana; antara yang terkorban termasuk Raja Birendra, Ratunya dan Pewaris Sah Putera Raja Dipendra. Putera Dipendra dituduh membunuh ayahanda lalu membunuh diri, dikatakan sebagai pembalasan kepada keengganan ayahanda dan bonda menerima pilihan isteri beliau. Namun begitu, timbulnya keraguan di kalangan warga Nepal mengenai siapa yang bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut. Berikutan keganasan itu, takhta diwarisi adinda Birendra iaitu Gyanendra. Pada 1 Februari, 2005, Gyanendra melucutkan seluruh tampuk kerajaan lalu mengambil alih segala kuasa eksekutif untuk menumpaskan pergerakan Maois. Pada tahun 2005, pihak Maois mengisytiharkan gencatan senjata selama tiga bulan untuk merundingkan tuntuan mereka.

Berikutan pergerakan demokrasi pada tahun 2006, raja bersetuju untuk menyerahkan kuasa kembali kepada rakyat dan memulihkan Dewan Perwakilan Rakyat pada 24 April 2006. Dengan menggunakan kekuasaan pemerintahan yang baru dipulihkan, pada 18 Mei 2006, Dewan Perwakilan Rakyat sebulat suara meluluskan usul untuk menghehadkan kuasa raja lalu mengisytiharkan Nepal sebuah negara sekular, sekaligus menghapuskan status rasminya sebagai negara Hindu. Pada 28 Disember 2007, satu rang undang-undang diluluskan di parlimen, untuk meminda Perkara 159 perlembagaan, iaitu menggnatikan "Peruntukan mengenai Raja" dengan "Peruntukan Ketua Negara", mengisytiharkan Nepal sebuah republik persekutuan, dan oleh itu memansuhkan pemerintahan raja.[3][4]

Parti Komunis Nepal (Maois) memenangi bilangan kerusi terbanyak di pilihan raya Dewan Perwakilan Rakyat pada 10 April 2008, lalu membentuk kerajaan gabungan bersama beberapa parti kecil. Pihak Maois selama ini menggesa sistem beraja dibubarkan dan Raja Gyanendra digulingkan, memberi laluan kepada Nepal menjadi negara demokratik persekutuan yang dipimpin ketua negara yang terpilih. Dewan Perwakilan yang baru diundi bersidang di Kathmandu pada 28 Mei 2008 dan memansuhkan sistem beraja yang memerintah selama 240 tahun. Undian dijalankan oleh para ahli dewan dan dari 564 orang wakil rakyat, 560 orang mengundi untuk menamatkan pemerintahan raja Nepal.[5][6] Dewan Perwakilan Rakyat menegeluarkan arahan kepada Raja Gyanendra untuk mengosongkan Istana Diraja Narayanhiti dalam masa 15 hari, selepas itu istana berkenaan dijadikan muzium.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Kajian Negara: Nepal". Bahagian Penyelidikan Persekutuan, Perpustakaan Kongres. Diperolehi pada 23 September.  Unknown parameter |accessyear= ignored (bantuan);
  2. "Timeline: Nepal". BBC News.  Unknown parameter |accessyear= ignored (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  3. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan Kant tidak disediakan
  4. Nepal votes to abolish monarchy - CNN
  5. http://news.bbc.co.uk/2/hi/south_asia/7424302.stm
  6. http://www.kantipuronline.com/kolnews.php?