Sejarah Mesir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sejarah Mesir merupakan sejarah berterusan paling panjang, sebagai sebuah negeri bersatu, antara negara-negara di dunia. Lembah Nil sudah menjadi kawasan petempatan kekal manusia sejak Zaman Paleolitik. Penduduk awal bercucuk tanam, memburu, serta memancing untuk menyara hidup. Menjelang 6000 S.M., kehidupan penduduk menjadi lebih berorganisasi. Firaun Menes telah menyatukan wilayah-wilayah di lembah Nil dan menubuhkan kerajaan Mesir yang pertama pada 3200 S.M. Dengan ini, pemerintahan Mesir secara dinasti bermula.

Dinasti Mesir Purba[sunting | sunting sumber]

Sphinx
Rencana utama: Mesir Purba
  • Zaman Protodinastik (3200 - 3000 S.M.)
  • Zaman Dinasti Awal (~3000 - 2575 S.M.)
    • Dinasti Pertama (~3000 - 2890 S.M.)
    • Dinasti Kedua (2890 - 2575 S.M.)
  • Kerajaan Lama (~2630 - ~2150 S.M.)
  • Zaman Pertengahan Pertama (~2150 - 2055 S.M.)
  • Kerajaan Tengah (~2030 - 1640 S.M.)
  • Zaman Pertengahan Kedua (~1640 - ~1549 S.M.)
  • Kerajaan Baru (1550 - 1077 S.M.) - pemerintahan Tutankhamun
  • Zaman Pertengahan Ketiga (1070 - 644 S.M.)
  • Zaman Lewat (672 - 330 S.M.)
    • Empayar Achaemenid (penaklukan Parsi pada 525 S.M.)
  • Zaman Graeco-Rom
    • Dinasti Ptolemy (305 - 30 S.M.)

Semasa Dinasti Ptolemy (Dinasti Ptolemeus) di bawah firaun Cleopatra VII, Mesir ditewaskan dan ditakluk oleh Empayar Rom selepas Pertempuran Actium. Selepas pemisahan Empayar Rom, Mesir diletakkan di bawah Empayar Rom Timur, iaitu Empayar Byzantine yang beragama Kristian. Pada 639 M pula, Mesir dikuasai oleh kerajaan Arab yang dipimpin oleh Khalifah. Pada zaman inilah penduduk Mesir memeluk agama Islam. Mesir kemudiannya ditakluk oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah pada 1517.

Zaman Moden[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Sejarah moden Mesir

Terusan Suez dibina pada 1869 dan menjadikan Mesir sebagai pusat perhubungan dan pengangkutan sedunia. Pertikaian antara kerajaan Uthmaniyyah dan British mendorong kepada pengambilan kawasan Mesir oleh pihak British pada 1914. British melantik Husayn Kamil sebagai Sultan Mesir.

Akibat gerakan nasionalisme yang hebat, British mengiytiharkan kemerdekaan Mesir pada 22 Februari 1922. Kerajaan baru ditubuhkan dan bersifat raja berperlembagaan. Pada 1948, Mesir terlibat dalam serangan oleh negara-negara Arab terhadap Israel tetapi kalah dalam perang tersebut. Golongan nasionalis yang tidak puas hati telah menggulingkan institusi beraja pada 1952 dalam Revolusi Mesir dan mengisytiharkan Republik Arab Mesir pada 1953.

Gamal Abdel Nasser menjadi Presiden Republik pada 1954 dan mengisytiharkan kemerdekaan penuh daripada United Kingdom. Tindakan Abdel Nasser memiliknegarakan Terusan Suez pada 1956 mambangkitkan kemarahan United Kingdom dan Perancis, dan mengakibatkan konflik tentera, iaitu Krisis Suez. Dalam Perang Enam Hari 1967, wilayah Mesir, iaitu Semenanjung Sinai dan Genting Gaza ditakluk oleh Israel.

Pengebumian Gamal Abdel Nasser

Abdel Nasser meninggal dunia pada 1970 dan digantikan oleh Anwar Sadat. Pada 1973, Mesir dan Syria melancarkan Perang Yom Kippur bagi mendapat balik wilayah Semenanjung Sinai dan Bukit Golan. Campur tangan pihak Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berjaya memulakan gencatan senjata. Pada 1977, Sadat menandatangani perjanjian damai dengan Israel untuk mendapatkan balik Semenanjung Sinai. Tindakannya mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Arab di dalam dan luar Mesir. Pada 1981, Sadat telah dibunuh.

Sadat digantikan oleh timbalannya Hosni Mubarak yang merupakan Presiden Mesir sehingga hari ini.