Abarai Renji

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Abarai Renji
Watak 'Bleach'
AbaraiRenji.jpg
Dicipta oleh Tite Kubo
Disuarakan oleh Kentaro Ito
Reiko Kiuchi (kanak-kanak)
Wally Wingert
Yuri Lowenthal (kanak-kanak)
Profil
Spesies Shiningami
Jantina Lelaki
Zanpakutō Zabimaru[1]

Abarai Renji (阿散井) adalah salah satu watak utama dalam manga dan siri anime Bleach. DIa merupakan leftenan Bahagian ke-6 dalam Gotei 13 di bawah pimpinan Kuchiki Byakuya.

Watak dan Perwatakan[sunting | sunting sumber]

Renji merupakan salah satu daripada beberapa watak dalam Bleach yang tampak unik dan berbeza dari segi luaran. Dia mempunyai rambut panjang berwarna merah yang selalunya diikat di belakang dan bahagian tubuh atasannya dipenuhi dengan tatu. Asal usul tatu tersebut tidak diketahui tetapi nampaknya, dengan setiap peningkatan kemahiran pertarungan yang diperoleh Renji, semakin banyak tatu yang menghiasi badannya. Perkara ini mungkin bermula sejak Renji mula-mula menjadi calon shinigami hinggalah dia dipenjarakan oleh Kuchiki Byakuya (tatunya telah memenuhi keseluruhan bahagian belakangnya pada masa ini). Dia mengenakan pakaian shinigami rasmi walaupun kadang kala dia akan memakai aksesori kepala yang bergaya (selalunya sepasang kaca mata yang mahal). Koleksi cermin mata hitam Renji dibeli dari "Kedai Kaca Mata Pepatung Perak" di Seireitei yang berharga separuh daripada gaji tahunannya. Malangnya, setiap kali dia memakai kaca matanya, alatan tersebut akan pecah atau rosak (biasanya kerana berlawan dengan Ichigo). Dia menggemari taiyaki (sejenis lempeng berbentuk ikan berinti kacang merah) dan tidak suka akan makanan pedas.

Personaliti Renji tidak jauh berbeza dengan shinigami lain. Dia boleh menjadi angkuh dan besar kepala atau pun panas baran dan muram selepas ditewaskan dalam pertarungan besar. Tetapi, dia telah ditunjukkan beberapa kali sebagai seorang lawan yang serius dan berkeyakinan semasa berhadapan dengan cabaran sebenar. Renji amat menyayangi Rukia. Hal ini dibuktikan selepas Ichigo menewaskannya dengan berkata, "Aku mahu menandingi Kuchiki Byakuya dan merampas Rukia daripadanya." Dia rela berlawan, membunuh dan mati demi sesiapa yang dipercayainya. Renji juga merupakan seorang pihak lawan yang berbahaya dan kuat. Dia mencerminkan Kurosaki Ichigo dalam kebanyakan aspek. Malah, mereka berdua pernah disalah anggap sebagai adik-beradik dalam babak Bount. Ichigo mendakwa bahawa mereka berdua merupakan sepupu untuk mendiamkan rakan sekelasnya.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Renji dan Rukia pada zaman kanak-kanak

Abarai Renji pada mulanya berasal dari daerah ke-78 Rukongai dan membesar sebagai seorang anak yatim bersama beberapa kanak-kanak lain termasuklah Kuchiki Rukia. Kumpulan budak-budak ini menyara hidup dengan mencuri atau memburu makanan. Walaupun Renji dan Rukia menyedari bahawa mereka memiliki kuasa semangat dari mula lagi, mereka bercadang untuk tinggal bersama-sama dengan sahabat mereka sehinggalah mereka meninggal dunia. Selepas itu, mereka menjadi shinigami demi mencapai taraf kehidupan yang lebih baik.

Di akademi shinigami, Renji dimasukkan ke kelas atasan kerana berkemahiran bermain pedang (walaupun agak lemah dalam kidō. Bekas gurunya ialah Hisagi Shūhei. Di akademi, Renji bersahabat dengan Kira Izuru dan Hinamori Momo. Mereka bertiga kemudiannya dinaikkan pangkat kepada leftenan. Hubungan persahabatan antara Renji dengan Rukia kian renggang selepas Rukia menjadi adik angkat kepada Byakuya (lantas menjadi sebahagian daripada keluarga bangsawan Kuchiki). Renji meluahkan rasa gembiranya kerana kini Rukia adalah seorang bangsawan. Walaupun sedih, dia tidak mahu menjadi batu penghalang kepada kebahagiaan Rukia. Hakikatnya, masing-masing tidak bersetuju dengan tawaran Byakuya kerana sedar bahawa mereka mungkin tidak akan dapat berjumpa lagi.

Renji, Kira dan Hinamori bertugas di bawah Aizen Sōsuke dan Ichimaru Gin dalam Bahagian ke-5. Tetapi, selepas Ichimaru menjadi kaptan, Kira dan Hinamori (pengikut yang setia) masing-masing diletakkan di bawah pimpinan Gin dan Aizen dalam Bahagian ke-3 dan Bahagian ke-5. Renji yang lebih mudah memberontak dipindahkan ke Bahagian ke-11 dan selepas itu ke Bahagian ke-6. Semasa di Bahagian ke-11, Madarame Ikkaku mengajar Renji untuk bertarung. Ketika Rukia ditugaskan ke dunia manusia, Renji dinaikkan pangkat kepada leftenan Bahagian ke-6. Selepas bertemu dengan kaptannya, Kuchiki Byakuya, Renji bercita-cita untuk mengatasi kekuatan Byakuya.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Babak Soul Society[sunting | sunting sumber]

Renji muncul buat pertama kali dalam kisah ini bersama-sama Byakuya ketika mereka tiba ke dunia manusia untuk memberkas Rukia. Tugas mereka diganggu oleh Ishida Uryū yang kemudiannya ditewaskan oleh Renji dengan mudahnya. Ichigo tiba tepat pada masanya untuk menghalang Renji dan Byakuya. Ichigo mampu berlawan dengan Renji (pada tahap yang lebih baik daripada Ishida) selepas membebaskan kuasa semangat yang terpendam. Byakuya masuk campur dalam pertarungan untuk menyelamatkan Renji dan berjaya memotong pedang Ichigo ke hulu serta mencederakannya dengan parah.

Selepas Renji pulang ke Soul Society dan kumpulan Ichigo menceroboh masuk ke Seireitei, Renji menyalahkan Ichigo kerana menimbulkan banyak masalah kepada Rukia dan bersedia untuk bertarung dengannya. Walaupun pada mulanya Renji mampu menguasai perlawanan, pada saat-saat akhir Ichigo berjaya menumpaskannya. Setelah menyaksikan keupayaan Ichigo, Renji merayu kepadanya agar menyelamatkan Rukia.

Setelah dirawat dan dipenjarakan (Byakuya mendakwa bahawa Renji tidak mempunyai sebab untuk tewas kerana berkeputusan untuk bertarung sendirian tanpa berfikir masak-masak), roh zanpakutōnya, Zabimaru muncul di katilnya. Zabimaru mengkehendaki satu lagi perlawanan dengan Ichigo tetapi Renji mengatakan bahawa mereka bukan lagi musuh. Dia kemudiannya memecah keluar dari bilik tahanan untuk menjejaki Ichigo yang sedang berusaha untuk mencapai pembebasan tahap terakhir zanpakutōnya di sebuah kawasan bawah tanah dengan bantuan Shihouin Yoruichi. Renji hampir-hampir menguasai tahap terakhirnya dan bergerak ke kawasan yang lain untuk menyelesaikan latihannya.

Sementara Ichigo meneruskan latihannya, Renji cuba menyelamatkan Rukia sendirian tetapi dihalang oleh Byakuya. Renji menggunakan tahap terakhir Zabimaru untuk menewaskan Byakuya tetapi kekurangan pengalaman kombat dan jurang kekuatan antara mereka berdua menyebabkan Renji tewas di tangan kaptannya. Byakuya mengatakan bahawa Renji tidak akan dapat memaksanya berlutut tetapi leftenannya berjaya berbuat demikian. Byakuya kemudiannya mengatakan bahawa dia tahu selama ini Renji sentiasa bercita-cita untuk mengatasinya dan sebab kepada kegagalan Renji adalah perbezaan perwatakan. Byakuya menganalogikan perjuangan Renji sebagai seekor beruk yang sentiasa berusaha untuk mencapai bulan di langit tetapi tidak kira betapa kerasnya dia bekerja, dia tetap tidak akan berjaya. Renji cuba sekali lagi untuk menyerang Byakuya tetapi zanpakutōnya musnah dalam proses ini. Byakuya meninggalkan selendangnya dengan Renji yang kini tinggal nyawa-nyawa ikan dan mengakui bahawa "taring" Renji akhirnya dapat samapi kepadanya.

Selepas dirawat semula, Renji berusaha menyelamatkan Rukia sekali lagi dan kali ini, dia menjumpai Ichigo yang sedang memikul Rukia di tempat hukuman. Di sana, dari menara yang tinggi, Ichigo membaling Rukia kepada Renji dan menyuruhnya mempertahankan Rukia dengan nyawa sendiri. Mereka berdua telah tiba di kaki bukit tetapi ditranslasikan semula ke tempat permulaan. Aizen Sōsuke yang turut hadir ke tempat kejadian meminta Renji meninggalkan Rukia. Renji berganding bahu dengan Ichigo untuk menyerang Aizen tetapi tidak berjaya. Selepas Aizen meloloskan diri daripada para shinigami, Renji menunggu di hospital bersama-sama Byakuya yang tercedera semasa menyelamatkan Rukia daripada Aizen. Apabila Byakuya bertanya sebab Renji berada di wadnya, Renji hanya menjawab bahawa Byakuya ialah kaptannya. Perbualan mereka diganggu oleh Ichigo yang sedang mencari Rukia di seluruh Soul Society.

Babak Bount[sunting | sunting sumber]

Dalam anime, selepas peristiwa di Soul Society, Renji ditugaskan ke dunia manusia sebagai ganti Rukia. Dia tidak menjelaskan tujuan di sebalik penyusunan ini tetapi berasa berang apabila Ichigo mengatakan bahawa dia telah diturunkan pangkat. Dia juga mendakwa bahawa kegagalan Ichigo untuk mengawal kuasa semangatnya menarik perhatian hollow. Maka, Renji dipertanggungjawab untuk membantunya. Sepanjang masanya di alam nyata, Renji tinggal di Kedai Urahara dan di sana, dia digelar "penumpang" (居候, isōrō) serta tidak diberikan makanan tambahan apabila Urahara dan yang lain-lain memainkan perasaan bersalahnya.

Selepas Bount mendedahkan diri mereka, dia turut serta dalam usaha kumpulan Ichigo untuk menentang Bount di rumah agam Kariya tempat Kariya mengorbankan Yoshino untuk menghidupkan bitto. Semasa meronda-ronda di bandar, Renji mendapati bahawa seorang budak lelaki diserang oleh bitto dan mempertahankannya. Bitto tersebut berundur selepas menerima arahan daripada Bount tetapi Renji telah cedera parah dan budak tersebut hampir-hampir ketiadaan roh. Renji berjaya diselamatkan oleh Yamada Hanatarō tetapi budak lelaki itu masih dalam keadaan kritikal. Namun demikian, dalam omake di penghujung episod 92, Hanatarō dilihat berjaya memulihkan budak tersebut.

Sementara itu, Kira Izuru, Hisagi Shūhei, Matsumoto Rangiku dan Ayasegawa Yumichika telah diarahkan oleh Hitsugaya Tōshirō untuk menumpaskan Bount di dunia nyata. Mereka berjaya mengesan tempat persembunyian Bount dan memasuki gua tersebut. Di sana, mereka terpaksa berhadapan dengan doll Ugaki, Gesell. Renji, Ichigo dan rakan-rakan turut memasuki gua tersebut dan juga diserang oleh Gesell. Sebahagian besar daripada kumpulan itu terpaksa tinggal di belakang kerana kecederaan mereka dan meninggalkan Ichigo serta Renji untuk mara ke hadapan. Selepas Gesell hampir-hampir membunuh Yumichika, Renji mengingati semangat berlawan yang disuntik ke dalamnya semasa bertugas dalam Bahagian ke-11 dan bertarung satu-lawan-satu dengan Gesell. Yumichika menghalang Ichigo daripada masuk campur dan menjelaskan bahawa semua shinigami yang pernah berada dalam Bahagian ke-11 percaya bahawa pertarungan mereka haruslah satu-lawan-satu dan sebarang pertolongan yang diterima dianggap memalukan. Renji dapat mencederakan Gesell dan menyebabkan berang lalu membunuh tuannya.

Selepas mesyuarat ringkas Ichigo dengan shinigami lain tentang Bount yang berjaya memecah masuk ke Soul Society, Renji yang tercedera (memerlukan bantuan Yumichika untuk berjalan) memaklumkan Ichigo dan lain-lain bahawa dia akan pulang ke Soul Society. Walaupun dia tidak ke sana dengan Ichigo, dia kemudiannya dilawat oleh Hitsugaya yang ingin mengetahui maklumat lanjutan berkenaan dengan Bount.

Di Soul Society, laporan siasatan Renji, Hitsugaya dan Matsumoto menunjukkkan bahawa terdapat aktiviti yang pelik di hutan Rukongai. Apabila ketiga-tiga shinigami tiba di tempat tersebut, Bount telah menghilangkan diri. Tetapi, Ichinose Maki sedang menunggu kedatangan mereka bagi memberi peluang kepada Bount untuk melarikan diri. Apabila Zaraki Kenpachi muncul di tempat kejadian, dia mengabaikan rancangan awalnya untuk membunuh Kenpachi.

Selepas pulang ke Seireitei, Renji banyak membantu memengsankan shinigami lain yang dikuasai oleh doll Mabashi, Ritz. Selepas Mabashi dibunuh, dia menolong merawat mereka yang tercedera. Dia juga membawa Rukia (yang ingin membantu Ichigo dalam pertarungannya dengan Kariya) ke tempat hukuman.

Babak Arrancar[sunting | sunting sumber]

Renji, Rukia dan empat shinigami lain dihantar ke dunia manusia untuk membantu Kurosaki Ichigo dalam menangani ancaman arrancar. Dia tinggal dengan Urahara Kisuke semasa berada di dunia nyata.

Apabila Espada Grimmjow Jaggerjack mengetuai sepasukan arrancar untuk menyerang dunia manusia, Renji bertarung dengan arrancar Il Forte Grantz. Walaupun menggunakan tahap terakhir Zabimaru, Renji masih tidak mampu menyainginya. Keadaan bertambah buruk apabila Tsumugiya Ururu masuk campur dalam pertarungan ini. Dia berjaya mencederakan Il Forte dan memaksanya membebaskan zanpakutōnya. Dalam bentuk sebenar (seakan-akan lembu jantan), Il Forte menikam Ururu dengan tanduknya dan memecahkan Zabimaru dengan senang. Tetapi, peraturan pengehadan kuasa terhadap shinigami bertaraf kaptan dan leftenan dimansuhkan buat sementara waktu, Renji berupaya juga menewaskan Il Forte.

Selepas pertarungan tersebut, Urahara membenarkan Renji menetap di kedainya. Tetapi, Urahara berkeras tidak mahu menjawab pertanyaan Renji (perkara inilah menyebabkan Renji berkeputusan untuk tinggal di Kedai Urahara). Di sana, dia melatih Sado Yasutora untuk meningkatkan keupayaan kombatnya bagi memenuhi janjinya kepada Urahara; Renji akan melaksanakan segala tugas yang diarahkan oleh Urahara selama tiga bulan berikutnya jika dia mahukan jawapan kepada persoalannya.

Babak Hueco Mundo[sunting | sunting sumber]

Apabila arrancar melancarkan serangan kedua untuk mengalihkan perhatian shinigami sementara Inoue Orihime dipaksa untuk bekerja dengan Aizen, Renji dan Chad tinggal di kedai dan membiarkan Urahara membantu sekutunya. Apabila pasukan Hitsugaya mengetahui bahawa Orihime kini berada di tangan arrancar, Renji menawarkan diri untuk menyelamatkan Orihime demi Ichigo dan membentuk sebuah pasukan bagi membawa Orihime kembali ke dunia manusia dengan menggunakan kekerasan. Tindakan Renji tidak dibenarkan dan dia (bersama-sama shinigami lain) terpaksa pulang ke Soul Society di bawah arahan Kuchiki Byakuya dan Zaraki Kenpachi. Tetapi, tidak lama kemudian, Byakuya memberi kebenaran kepada Renji dan Rukia untuk memasuki Hueco Mundo dan membantu perjuangan Ichigo.

Setibanya di istana Aizen dan berhadapan dengan lima cabang jalan, kumpulan Ichigo bersedia untuk berpisah. Sebelum itu, Renji memberitahu Ichigo tentang perlunya menghormati kemahiran kombat rakan seperjuangannya dan memimpin kumpulannya dalam satu doa yang dahulunya digunakan oleh Gotei 13; mereka bersumpah tidak akan menyerah kalah dan akan keluar dari Hueco Mundo hidup-hidup. Selepas itu, Renji dengan tidak sengaja telah dikejar oleh hollow Dondo Chakker walaupun mereka merupakan sekutu. Walaupun Dondo Chakker hanya berasa bimbang akan keselamatan kakaknya, Nell, rupa luaran dan perangainya amat menakutkan Renji dan memaksanya berlari sambil dikejar oleh hollow tersebut. Senario ini berterusan selama beberapa ketika dan selepas menyedari kenyataan sebenar, masing-masing menyuruh pihak bertentangan untuk berhenti berlari dahulu. Kemudian, Renji mengesan Rukia membebaskan zanpakutōnya dan berhenti. Tetapi, dia terjerumus ke dalam perangkap (bersama-sama Dondo Chakker) yang dipasang oleh Zaera-Polo Grantz. Arrancar itu menyindir mereka sebelum memperkenalkan dirinya. Dia kemudiannya mendedahkan bahawa bilik tempat mereka berada direka khas untuk memendam tahap terakhir Zabimaru dan berjaya dibina selepas menganalisis mayat abangnya, Il Forte.

Zabimaru[sunting | sunting sumber]

Roh Zabimaru
Hihiō Zabimaru

Zanpakutō milik Abarai Renji bernama Zabimaru. Arahan pembebasan tahap pertama Zabimaru ialah "ngaum" (咆えろ, hoero).

Renji merupakan salah satu daripada dua orang shinigami yang roh zanpakutōnya menjadi nyata (shinigami yang satu lagi ialah Ichigo). Zabi bermaksud "ekor ular" manakala maru ialah imbuhan bagi nama lelaki. Roh Zabimaru suka akan pertarungan dan angkuh seperti tuannya, Renji. Ia berkeras mahu bertarung dengan Ichigo sekali lagi dan yakin bahawa ia akan menang dalam pertarungan kali kedua. Kedua-dua ular dan beruk mampu bertutur tetapi beruk tersebut lebih mendominasi. Perwatakn ekor ularnya pula lebih buas dan agresif.

Dalam tahap pertama, Zabimaru bertransformasi kepada bilah pedang yang terdiri daripada beberapa segmen dan mempunyai bentuk seolah-olah tukul di hujung bilah. Segmen-segmen ini dihubungkan dengan benang yang boleh diregangkan menyebabkan Zabimaru berfungsi seperti laso dan pedang. Sementara Zabimaru mampu meregang dengan agak panjang dalam bentuk laso, Renji hanya boleh menyerang sebanyak tiga kali berturut-turut sebelum memulangkan Zabimaru kepada keadaan asal. Renji juga boleh menggunakan tenaga semangatnya untuk mengasingkan segmen-segmen tersebut dan mengelilingi pihak lawan sebelum menikamnya dari semua arah. Serangan ini dipanggil higa zekkō (狒牙絶咬, Taring Beruk Patah) tetapi teknik ini merosakkan Zabimaru dan meninggalkan Renji terdedah kepada serangan luar.

Pembebasan tahap terakhir Zabimaru ialah Hihiō Zabimaru (狒狒王蛇尾丸, Raja Beruk Zabimaru) untuk menukarkan Zabimaru kepada versi tahap pertama yang lebih besar dan kelihatan seperti kerangka ular. Zabimaru memperoleh lebih banyak segmen dan kesemuanya lebih besar daripada versi tahap pertamanya. Zabimaru juga mempunyai kepala ular yang bersaiz seperti sebuah kereta kecil. Pakaian Renji turut berubah; dia mempunyai selendang bulu pada bahunya dan seutas rantai yang nampaknya diperbuat daripada taring berwarna merah. Segmen-segmen Zabimaru dikekalkan kedudukannya oleh tenaga semangat Renji. Hal ini menyebabkan Renji berupaya mengasingkan atau menyambungkan bahagian-bahagian tersebut mengikut kehendak diri. Oleh sebab segmen-segmen kukuh buatannya, adalah sukar untuk menghancurkan tubuh Zabimaru. Jika salah satu daripada segmen tersebut rosak, Renji hanya perlu mengasingkannya dan membentuk semula Zabimaru. Ia juga berupaya menggunakan teknik baharu yang dikenali sebagai Meriam Tulang Beruk (狒骨大砲, hikō taihō) selepas Renji benar-benar menguasai pembebasan tahap terakhir ini. Teknik ini menembak tenaga semangat yang tepu dari mulut Zabimaru. Dia juga boleh menggunakan higa zekkō yang lebih berkuasa; kesemua segmen akan berasingan dan diasah menjadi lebih tajam oleh tenaga semangat.

Jalan cerita tamat di sini.


Ralat petik: Tag <ref> ada tetapi tag <references/> tidak disertakan