Sado "Chad" Yasutora

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sado Yasutora
Watak 'Bleach'
Chado.jpg
Chad seperti yang dilihat dalam tema pembuka Bleach.
Dicipta oleh Tite Kubo
Disuarakan oleh Hiroki Yasumoto (Bahasa Jepun)
Marc Worden (Bahasa Inggeris)
Profil
Nama panggilan Chad
Spesies Manusia
Jantina Lelaki
Senjata Brazo Derecha de Gigante
Brazo Izquierda del Diablo

Sado Yasutora (茶渡 泰虎) adalah salah seorang watak utama dalam manga dan siri anime Bleach. Dia merupakan rakan sekelas Kurosaki Ichigo. Oleh sebab Ichigo membaca tanda nama Sado sebagai Chad, sehingga kini Ichigo masih memanggilnya dengan nama tersebut.

Watak dan Perwatakan[sunting | sunting sumber]

Chad ialah remaja berketurunan Jepun dan Mexico. Dia juga sangat tinggi dan kelihatan jauh lebih dewasa daripada umur sebenarnya. Chad mempunyai tatu pada bahu kirinya yang bertulis "Amore e Morte" (cinta dan kematian dalam Bahasa Itali) dan terdiri daripada seekor ular dan satu malaikat bersayap yang berada di sekitar bentuk hati. Dalam siri, dia selalu dilihat memakai pakaian seragamnya atau kemeja T. Pernah juga dia dilihat mengenakan baju gelap berlengan panjang bercorakkan bunga mawar di lengan kirinya. Bunga mawar itu mungkin dipakai sebagai tanda penghormatan kepada arwah datuknya kerana nama datuknya ialah Oscar Joaquin de la Rosa dan "de la Rosa" membawa makna "Mawar" dalam bahasa Spanish.

Chad pendiam orangnya dan kadang kala dibuli dan diketawakan kerana dia tidak pernah melawan semula kecuali dengan hollow dan shinigami apabila perlu. Tetapi, dia dilayan dengan baik oleh rakan-rakannya di Bandar Karakura (Ichigo, Keigo dan Mizuiro). Chad juga suka akan barangan yang comel seperti mainan kecil dan Kon. Malah, Chad merupakan antara watak yang melayan Kon dengan rasa hormat tetapi pada kebanyakan masanya, dia juga tidak mengendahkan Kon. Chad juga memiliki kekuatan fizikal yang luar biasa. Sebelum dia membangunkan kuasa semangatnya, dia mampu menahan impak yang diakibatkan oleh palang besi yang jatuh dari tapak pembinaan, mendapat kecederaan kecil apabila berlanggar degan motosikal, mencabut tiang telefon untuk dihayunkan sebagai senjata dan melontar manusia yang berbadan kecil seperti Rukia ke langit.

Chad suka akan musik tetapi jarang menonton televisyen. Dia hanya suka menonton rancangan "Carnivore Kingdom" yang disiarkan pada pukul 8 pagi setiap hari Ahad. Dia juga telah membeli DVD bagi rancangan tersebut. Oleh sebab Kon ialah patung mainan bagi watak utama "Carnivore Kingdom", tidak hairanlah jika Chad mendapati Kon comel. Chad mempunyai sebuah gitar yang disimpan di dalam biliknya (ditunjukkan dalam episod 69 dan klip penamat kelapan). Gitar itu juga ditunjukkan dalam episod 9 selepas satu "latihan kumpulan" dan sebelum kemunculan satu arrancar yang belum sempurna. Makanan kegemaran Chad ialah tomato.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Ichigo cuba melindungi Chad dan syilingnya

Chad dilahirkan di Okinawa, jepun tetapi dibawa ke Mexico oleh ibu bapanya pada usia yang muda. Selepas kematian mereka, Chad dibesarkan oleh Oscar Joaquin de la Rosa yang dipercayai merupakan datuk Chad kerana dia memanggilnya "Abuelo" ("datuk" dalam bahasa Spanish). Pada usia mudanya, Chad amat buas dan menggunakan saiz badannya untuk menakutkan dan memukul mana-mana budak kecil yang membangkitkan kemarahannya. Abuelo cuba mendidik Chad untuk menjadi seorang yang penyayang tetapi tidak berjaya. Pada suatu hari, ayah kepada kanak-kanak yang dibulinya mencari Chad untuk menghukumnya. Mereka kemudiannya menyerang Chad. Abuelo berdiri di antara mereka dan menerima setiap pukulan tanpa berlawan. Selepas peristiwa itu, Chad berazam untuk menjadi seorang yang baik. Abuelo kemudiannya menghadiahkan sekeping syiling Mexico kepada Chad. Beberapa tahun kemudian, apabila Abuelo meninggal dunia, Chad berjanji tidak akan berlawan kecuali untuk mempertahankan seseorang walaupun nyawanya terancam. Syiling yang diterima itu menjadi lambang kepada janji yang dibuat dan mengikut kata-kata Chad, syiling itu lebih berharga daripada nyawanya. Beberapa lama kemudian, beberapa kaki buli mengugut untuk membuang syiling kepunyaan Chad. Ichigo menyelamatkan Chad daripada mereka dan membuat pakatan dengan Chad bahawa Ichigo akan berlawan demi Chad dan sebaliknya kerana Chad tidak akan berlawan untuk melindungi dirinya.

Setelah Abuelo meninggal dunia, Chad berkeputusan untuk pulang ke Jepun. Dia menghadiri Sekolah Tinggi Junior Mabashi. Oleh sebab dia sentiasa terlibat dengan gangster, dia turut dianggap sebagai seorang budak jalanan. Orang lain juga takut akan Chad apabila dia bersekolah di Sekolah Tinggi Karakura tetapi hal ini tidak kekal lama. Dia berjumpa dengan Ichigo sebelum sesi persekolahan bermula dan menyelamatkan Ichigo daripada beberapa orang kaki buli. Dia dan Ichigo tamat pengajian di Mabashi dan menyambung pelajaran di Sekolah Tinggi Karakura.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Kisah awal[sunting | sunting sumber]

Chad dan tangan kanan berperisainya

Chad diperkenalkan sebagai rakan sekelas Ichigo yang agak baik prestasinya dalam akademik (menduduki tempat ke-11). Beberapa hari selepas Ichigo menjadi shinigami, Chad memelihara seekor burung kakak tua yang disumpah (kesemua tuan terdahulu bagi burung ini telah mati dengan dahsyat). Sebaik sahaja dia membela burung ini, Chad dihempap oleh sebatang palang besi di tapak pembinaan, dilanggar oleh motorsikal dan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya (semuanya berlaku pada hari yang sama). Dia dirawat di Klinik Kurosaki. Di sana, Kuchiki Rukia serta Ichigo mendapati kesan tapak tangan hollow pada belakangnya. Hollow tersebut berhadapan dengan Rukia dan Chad. Mereka mencari jalan penyelesaian yang agak inovatif memandangkan Chad tidak boleh melihat hollow tersebut dan Rukia telah kehilangan kuasa shinigaminya. Burung peliharaan Chad memberitahu mereka bahawa ia bernama Shibata Yūichi, seorang budak lelaki yang telah membunuh pembunuh ibunya dengan tidak sengaja. Sebagai hollow, pembunuh bersiri itu ingin membalas dendam dan mengurung rohnya di dalam badan seekor burung kakak tua. Hollow itu kemudiannya mendakwa bahawa ia boleh menghidupkan kembali ibu Shibata. Ichigo menewaskan hollow tersebut yang kemudiannya dihantar ke Neraka kerana dosa yang telah dilakukan. Ichigo menjalankan upacara pengebumian roh untuk Shibata dan berharap agar dia boleh bertemu dengan ibunya di Soul Society. Chad berjanji bahawa jika dia dapat berjumpa dengan Shibata lagi, dia akan mendukungnya seperti mana yang dibuat oleh Chad terhadap Shibata si burung kakak tua beberapa hari sebelumnya.

Apabila Ishida Uryū menggunakan umpan hollow untuk membawa masuk sekumpulan hollow ke Bandar Karakura, Chad sengaja membawa hollow yang mengekorinya ke sebidang tanah lapang jauh dari pekan supaya hollow itu tidak dapat mencederakan orang awam. Di sana, dia menemui Kurosaki Karin dan kawan-kawannya. Karin yang boleh melihat hollow tersebut dengan jelas membantu Chad menentang hollow. Tetapi, hollow itu berjaya melontar Chad ke tepi. Semasa pertarungan ini, kuasa semangat Chad berevolusi dan dia boleh melihat hollow dengan lebih jelas. Dia menyedari bahawa kekuatan yang dimilikinya harus digunakan untuk melindungi orang lain dan menumbuk tangan hollow tersebut. Tangan Chad kini diselubungi perisai dan dia menggunakannya untuk menghapuskan hollow. Chad rebah kerana keletihan dan dibawa pulang ke kedai Urahara oleh Urahara Kisuke. Di sana, dia menjumpai Orihime yang juga telah dibawa ke sana setelah menewaskan hollow. Mereka dibawa ke sebatang jambatan untuk menyaksikan pertarungan antara Ichigo dengan Menos Grande dan seterusnya membuat keputusan untuk menggunakan kuasa baharu mereka bagi membantu perjuangan Ichigo.

Babak Soul Society[sunting | sunting sumber]

Selepas Rukia dibawa pulang ke Soul Society, Chad dan Inoue Orihime dilatih oleh Shihouin Yoruichi supaya dapat menggunakan kuasa mereka pada bila-bila masa. Selepas seminggu, Chad bertolak ke Soul Society bersama-sama dengan Orihime, Ishida, Yoruichi dan Ichigo. Di Rukongai, dia bertemu semula dengan Shibata yang belum lagi berjumpa dengan ibunya tetapi sedang tinggal bersama-sama dengan sebuah "keluarga" yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengannya.

Apabila kumpulan ini berpisah selepas mencerobohi Seireitei, Chad terpaksa bergerak sendirian. Dia hampir-hampir dapat berjumpa dengan Ichigo apabila Chad memusnahkan dinding dengan tangan kanannya. Namun demikian, tindakan ini membuka peluang kepada Ichigo untuk melarikan diri daripada shinigami Bahagian ke-11. Chad menewaskan mereka dengan satu serangan sahaja. Dia kemudiannya tiba di ibu pejabat Bahagian ke-8 dan mengalahkan Tempat Ketiga Enjōji Tatsufusa dengan satu pukulan. Dia meneruskan perjalanannya tetapi dihalang oleh Kyōraku Shunsui, kaptan Bahagian ke-8 dalam Gotei 13. Mereka berdua saling menasihati agar tidak masuk campur dalam urusan masing-masing. Chad akhirnya menembak beberapa siri tenaga semangat tetapi kesemuanya berjaya dielak atau dihadang oleh Shunsui. Chad yang berpegang teguh kepada janjinya kepada Ichigo iaitu dia akan berjuang demi sahabatnya mengumpulkan segala kuasa semangatnya ke dalam satu serangan dan ditujukan kepada Shunsui. Tetapi, Shunsui dengan mudahnya dapat mengelak serangan itu dan menikam Chad.

Chad dirawat oleh Bahagian ke-4 dan diletakkan di dalam sebuah bilik tahanan. Di sana, dia berjumpa dengan Shiba Ganju dan Ishida. Mereka dibebaskan oleh Zaraki Kenpachi dan bertemu dengan Orihime. Leftenan Kenpachi, Kusajishi Yachiru memimpin kumpulan itu ke Sōkyoku dan menyaksikan pertarungan antara Ichigo dengan Kuchiki Byakuya. Selepas Byakuya ditewaskan, mereka merawat kecederaan Ichigo. Mereka kemudiannya mempelajari bahawa segala kejadian yang berlaku di Soul Society sebenarnya telah dirancang oleh Aizen Sōsuke dan cuba menghalangnya tetapi gagal (Aizen sempat diselamatkan oleh hollow dan dibawa ke Hueco Mundo). Selepas itu, Ishida, Chad, Ichigo dan Orihime bertolak pulang ke dunia manusia.

Babak Bount[sunting | sunting sumber]

Dalam anime, Chad pulang ke sekolah dan membantu Ichigo menewaskan roh modifikasi yang dicipta oleh Urahara. Dia pernah diculik bersama-sama dengan Orihime dan roh modifikasi Kuroud menyamar sebagai Chad di hadapan Ichigo. Ichigo kemudiannya berjaya mengenal pasti identiti Chad yang palsu. Chad yang sebenar pula telah diberitahu tentang rancangan Urahara dan berpakat dengannya sehinggalah Ichigo dapat mengetahui objektif dan kenyataan sebenar "permainan" tersebut.

Apabila peperangan dengan Bount bermula, Chad menjadi sebahagian daripada kumpulan Ichigo yang berusaha untuk menewaskan Bount. Dia mengambil roh modifikasi Nova sebagai pasangan dan bekerjasama untuk memusnahkan Bount. Dia berhadapan dengan Sawatari dan bekerjasama dengan Matsumoto Rangiku, Nova dan Tsumugiya Ururu untuk menewaskan Bount itu.

Selepas Bount menceroboh masuk ke dalam Soul Society, Chad berganding bahu dengan Ichigo untuk menentang Kariya Jin. Tetapi, pertarungan ini tidak lama kerana Kariya menyerap kuasa Jōkaishō dan mengugut akan memusnahkan Soul Society jika mereka berdua cuba berbuat apa-apa.

Babak Arrancar[sunting | sunting sumber]

Selepas kepulangan Chad dari Soul Society, seorang pelajar baru, Hirako Shinji tiba di sekolah. Chad dan Orihime mengekori Shinji dan terdengar perbualannya dengan Sarugaki Hiyori tentang rancangan untuk meyakinkan Ichigo agar menganggotai organisasi vizard. Hiyori ingin membunuh mereka tetapi dibawa pergi oleh Shinji. Orihime ingin mengejar mereka tetapi dihalang oleh Chad yang sedar akan jurang kuasa mereka dengan dirinya serta Orihime.

Apabila pasangan arrancar Ulquiorra dan Yammy tiba di dunia sebenar, Chad dan Orihime cuba menghalang mereka sambil menyelamatkan orang awam di sekitar. Tetapi, tangan kanan Chad dicederakan dengan teruk oleh Yammy dan perlu dirawat selama beberapa hari oleh Ayame dan Shun'ō.

Sebaik sahaja lukanya sembuh, Chad ingin bertarung dengan arrancar di bawah pimpinan Grimmjow Jaggerjack tetapi hampir-hampir ditikam di jantung oleh D-Roy. Chad sedar bahawa dirinya tidak lagi berupaya untuk berlawan demi Ichigo dan meminta Urahara untuk melatihnya. Maka, dia berlatih dengan pasangan lawannya, Abarai Renji sehingga mampu menggunakan pembebasan tahap terakhir tangan kanannya.

Babak Hueco Mundo[sunting | sunting sumber]

Apabila Orihime diculik oleh Aizen Sōsuke, Chad dan Ishida menawarkan diri untuk membantu Ichigo menyelamatkan Orihime. Ichigo teragak-agak untuk menerima jasa baik mereka dan Chad mendemonstrasi kuasa baharunya untuk meyakinkannya. Mereka bertiga bertolak ke Hueco Mundo. Di sana, Ishida dan Chad bertarung dengan dua orang arrancar, Iceringer dan Demōra dan meminta Ichigo untuk menyaksikan pertarungan ini. Chad menghadapi sedikit masalah dengan Iceringer dan bertukar lawan dengan Ishida. Dengan ini, dia dapat menewaskan Demōra yang kurang bijak dan lebih lambat pergerakannya dengan serangan baharunya, El Directo.

Dengan kekalahan arrancar, bilik tempat mereka berada mulai bergegar dan runtuh. Mereka terpaksa meninggalkan ruangan tersebut dan keluar dari istana Aizen. Mereka kemudiannya melihat padang jarak padang tekukur dengan beberapa hollow kecil berkelana di sana. Selepas menjelajah buat seketika, mereka menemui beberapa hollow "baik" dan menjadikan mereka sebagai rakan seperjuangan. Mereka kemudiannya disapa oleh Rukia dan Renji dan berpecah lagi setibanya di luar tembok Las Noches. Kumpulan ini mara ke ibu kota Aizen dan bersumpah akan berjumpa sesama sendiri hidup-hidup selepas ini.

Chad bertemu dengan Gantenbein Mosqueda, arrancar ke-107. Dia bertarung dengannya dan tidak mampu menguasai perlawanan tersebut. Tetapi, dengan penggunaan tanagn kanan yang baru (Tangan Kanan Gergasi), dia dapat meningkatkan ketangkasannya dan mampu menghadang serangan Gantenbein. Selepas Gantenbein membebaskan zanpakutōnya, Chad mendedahkan roh datuknya yang bersebati dengan tangan kanannya. Tindakan ini berjaya menyelamatkan Chad. Kuasa serangan ini sebenarnya berasal dari tangan kirinya yang juga dilindungi oleh perisai dan dikenali sebagai "Brazo Izquierda del Diablo" (Tangan Kiri Syaitan).

Chad kini lebih berkuasa daripada Gantenbein dan mampu menumbangkannya dengan satu serangan daripada tangan kirinya. Chad mengucapkan terima kasih kepada Gantenbein kerana membantunya membangunkan kuasa tangan kirinya dan mendoakan nasibnya. Chad juga mendapati bahawa terdapat juga langit yang terang seperti pada waktu pagi dan bukannya bilik gelap yang tidak mempunyai pengakhiran. Gantenbein menyuruh Chad melarikan diri tetapi mendapati Nnoitra berdiri di belakangnya dan sedang memegang sebilah zanpakutō berbentuk dua bulan sabit yang bersambung. Chad ingin bertarung dengan arrancar ini dan menumbuk Noitara. Noitara menghadang serangan itu dengan mudah dan membelah tangan berperisai Chad kepada dua. Kekalahan Chad dirasai oleh empat ahli pasukan Ichigo dan Orihime. Chad tidak dibunuh kerana Noitara percaya bahawa dengan membunuh orang yang lemah, dia tidak akan mendapat apa-apa penghormatan. Chad cuba menyerang sekali lagi tetapi serangannya dihentikan oleh orang bawahan Noitara, Tesla.

Kuasa[sunting | sunting sumber]

Apabila diperkenalkan, Chad tidak mempunyai apa-apa kuasa istimewa selain daripada kekuatan fizikal dan ketahanan badan yang luar biasa. Selepas insiden dengan burung kakak tua Shibata Yūichi, dia dapat mengesan dan mengagak kedudukan roh dan hollow walaupun tidak boleh melihat mereka dengan jelas. Selepas menyelamatkan Kurosaki Karin daripada satu hollow dan pertarungan antara Ichigo dengan Ishida, barulah Chad dapat melihat roh dengan jelas.

Sebaik sahaja Chad dapat melihat roh, kuasa semangatnya juga dapat dibangunkan. Dia mempunyai tangan kanan berperisai yang bernama "Brazo Derecha de Gigante" (巨人の右腕, Tangan Kanan Gergasi). Perisai ini berwarna hitam dengan jaluran merah (warna yang digunakan pada pakaian seragam tentera Mexico). Perisai ini meningkatkan kuasa Chad dan membenarkannya menembak tenaga semangat dari penumbuknya. Selepas menerima latihan daripada Yoruichi, Chad belajar untuk menggunakan kuasa baharunya pada bila-bila masa dan meningkatkan staminanya agar dapat menembak beberapa kali.

Selepas menyedari betapa lemahnya kemahiran kombatnya (selepas peristiwa arrancar menceroboi Bandar Karakura), Chad meminta Urahara untuk melatihnya. Urahara meletakkan Abarai Renji sebagai pasangan latihannya (Renji diminta untuk menggunakan tahap terakhir Zabimaru). Urahara sedar bahawa kuasa Chad masih berpotensi untuk berkembang dan kuasanya tidak mirip kepada kuasa shinigami mahu pun Quincy. Selepas berlatih dengan Renji, Chad memperoleh tangan kanan berperisai yang lebih hebat. Tangan baharu ini mempunyai corak yang lebih rumit dan banyak meningkatkan kuasa serangannya. Chad juga mempelajari gaya serangan yang baharu iaitu "El Directo" (巨人の一撃).

Ketika di Hueco Mundo, kuasa Chad banyak dipengaruhi oleh keadaan sekelilingnya lantas mengehadkan keupayaannya. Kuasanya meningkat semula selepas Chad dibelasah oleh Gantenbein Mosqueda. Dengan ini, Chad sedar bahawa kuasanya mirip kuasa hollow dan bersesuaian dengan keadaan di Hueco Mundo. Dalam pertarungannya dengan Gantenbein, tangan kiri Chad dilindungi oleh perisai dan mempunyai kuasa yang tersendiri.

Tangan kanannya kini digunakan untuk mempertahankan dirinya. Chad mengatakan bahawa roh Abuelonya mengalir dalam tangan kanannya. Perisai itu berubah bentuk dan kelihatan seperti perisai dan mempunyai gigi hollow di tengah. Dia juga memperoleh sepasang onjek yang kelihatan seperti kepak yang tersembul dari bahunya.

Tangan kiri berperisai Chad digunakan untuk menyerang dan dikenali sebagai "Brazo Izquierda del Diablo" (悪魔の左腕, Tangan Kiri Syaitan). Tangan ini kelihatan seperti tangan kanan yang asal tetapi warnanya disongsangkan. Sejenis lembing tersembul dari dada kirinya dan sebatang lagi dari bahunya. Tangan kiri Chad dapat menggunakan serangan khas "La Muerte" (魔人の一撃, Kematian). Dia hanya perlu menumbuk pihak lawan dan satu tembakan tenaga semangat berbentuk tengkorak akan terhasil.

Jalan cerita tamat di sini.

Rujukan dan nota[sunting | sunting sumber]

  1. Manga Bleach ; jilid 2, halaman 189