Pergi ke kandungan

Anjing gembala Croatia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing gembala Croatia
Negara asalCroatia
Trait
Tinggi Jantan 45–50 cm (18–20 in)[1]:8[2]
Betina 43–48 cm (17–19 in)[1]:8[2]
Warna hitam
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gembala Croatia[a] ialah satu baka anjing gembala biri-biri Croatia daripada jenis spits Eropah Selatan.[3] Ia merupakan salah satu daripada tujuh baka anjing beriktiraf di Croatia[4] dan salah satu daripada dua baka anjing gembala biri-biri – yang lagi satu ialah tornjak. Ia amat serupa dengan mudi dari Hungary – yang dengannya kawasan masing-masing bertindih – tetapi lebih besar sedikit.[5]:319

Asal usul anjing gembala Croatia tidak diketahui. Ia merupakan baka tradisional bekas rantau Baranja dan Bačka di Slavonia, hampir dengan sempadan dengan Hungary, dan mungkin diterbitkan daripada anjing yang dibawa ke kawasan itu dari Greece atau Turki, atau dari tempat lain di rantau Balkan.[5]:319 Sebuah naskhah dari tahun 1374 di dalam arkib Keuskupan Agung Đakovo-Osijek dilaporkan menyebut anjing gembala biri-biri di Croatia, dengan menggunakan frasa bahasa Latin canis pastoralis croaticus.[6]:6

Pada sekitar tahun 1935, ahli agronomi dan pakar bedah veterinar, Stjepan Romić, memulakan pembiakbakaan terpilih ke atas anjing hitam Slavonia, lalu membawa kepada perkembangan anjing gembala Croatia moden.[1][2][7] Contoh baka ini ditunjukkan pada tahun 1949 dalam sebuah pertunjukan anjing di Zagreb, pada masa itu ibu kota Republik Sosialis Croatia; piawaian baka dirangka pada tahun 1951 oleh Otto Rohr.[1][2] Baka ini diterima secara muktamad oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1967.[8]

Seekor anak anjing

Anjing gembala Croatia bersaiz sederhana: jantan berdiri setinggi sekitar 45–50 cm (18–20 in) pada paras kelasa, sementara betina adalah lebih rendah sebanyak 2 cm (0.79 in); untuk anjing dengan pengakuran dan jenis yang luar biasa bagus, piawaian baka mengizinkan toleransi sehingga 3 cm (1.2 in) lebih atau kurang berbanding dengan batas piawaian.[1]:7[2] Lapis bulunya ialah lapis bulu ganda pada kebanyakan kawasan tubuh yang terdiri daripada lapis bulu bawah lembut padat dan lapis bulu atas lembut panjang, sama ada keriting atau beralun, dengan ukuran panjang yang berbeza-beza dalam lingkungan 6–14 cm (2.4–5.5 in); bulu pada muka, telinga, dan tungkai bawah adalah pendek. Lapis bulunya sentiasa hitam, tetapi sesetengah tanda putih terbatas ditoleransi.[1]:8[2]

Anjing gembala Croatia memiliki naluri gembala cukup berkembang dan digunakan sebagai anjing gembala biri-biri dan sebagai anjing pengawas.[5]:319

  1. Jawi: انجيڠ ݢمبالا کروءيشا; Croatia: hrvatski ovčar; bahasa Inggeris: Croatian shepherd dog, Croatian shepherd, Croatian sheepdog
  1. 1 2 3 4 5 6 "FCI-Standard Nr. 277 HRVATSKI OVČAR (Kroatischer Schäferhund)" [Piawaian FCI No. 277 Anjing Gembala Croatia] (pdf) (dalam bahasa Jerman). Diterjemahkan oleh Hrvatski Kinološki Savez. Disemak oleh Axel Komorowski. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 10 Ogos 2016. Dicapai pada 13 Julai 2024.CS1 maint: others (link)
  2. 1 2 3 4 5 6 "FCI-Standard N° 277 HRVATSKI OVČAR (Croatian Shepherd Dog)" [Piawaian FCI No. 277 Anjing Gembala Croatia] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Bailey, Christina. Disemak oleh Renée Sporre-Willes. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 27 Mei 2015. Dicapai pada 30 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  3. "Croatian Sheperd Dog = Hrvatski ovčar" [Anjing gembala Croatia] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Hrvatski Kinološki Savez. Dicapai pada 12 Julai 2025.
  4. Janeš, Mateja; Brajković, Vladimir; Držaić, Ivana; Zorc, Minja; Dovč, Peter; Čubrić Čurik, Vlatka (27 Jun 2019). "Mitochondrial variability of Small Međimurje dog" [Kebolehubahan mitokondrion anjing kecil Međimurje]. Agriculturae Conspectus Scientificus (dalam bahasa Inggeris). Universiti Zagreb. 84 (2): 203–209. ISSN 1331-7776. S2CID 204885471.
  5. 1 2 3 Fogle, Bruce (1 September 2000). The New Encyclopedia of the Dog [Ensiklopedia Baharu Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. ISBN 9780789461308. OCLC 43615283.
  6. "HRVATSKI OVČAR, CANIS PASTORALIS CROATICUS: IZMJERA I ANALIZA DNA HRVATSKIH OVČARA" [ANJING GEMBALA CROATIA: UKURAN DAN ANALISIS DNA ANJING GEMBALA CROATIA] (pdf) (dalam bahasa Croatia). Zaklada Hrvatski Ovčar. m/s. 6–7. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 29 Mei 2025. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  7. Krleža, Miroslav (2013). "Romić, Stjepan". Hrvatska enciklopedija, mrežno izdanje (dalam bahasa Croatia). Institut Leksikografi Miroslav Krleža. Dicapai pada 12 Julai 2025.
  8. "FCI breeds nomenclature: HRVATSKI OVCAR (277)" [Tatanama baka FCI: ANJING GEMBALA CROATIA (277)] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 12 Julai 2025.