Fansub

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Imej fansub rekaan, bertujuan untuk menunjukkan lagi permulaan. Perhatikan penggunaan katakana, romaji dan bahasa Inggeris, serta warna berbeza yang digunakan. Sebagaimana karaoke, lirik yang telah dinyanyikan ditebalkan bagi setiap bahasa.

Fansub (kependekan bagi fan-subtitled atau sari kata peminat) adalah versi filem atau rancangan televisyen asing yang diterjemahkan oleh peminat serta ditambah sari kata bagi bahasa selain bahasa asal, biasanya di dalam bahasa ibunda penterjemah.

Disebabkan pengedaran kandungan terjemahan peminat melanggar undang-undang hak cipta bagi kebanyakan negara, implikasi etika bagi penerbitan, penghasilan, serta penayangan fansub merupakan topik kontroversi.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Fansub mula muncul berikutan ledakan penerbitan anime pada tahun 1980an di Jepun. Pada masa itu, judul yang dilesenkan bagi pengedaran di luar Jepun sangat sedikit. Ia menyebabkan kesukaran bagi peminat anime untuk memperoleh judul baharu. Sesetengah peminat yang mempunyai pengetahuan Bahasa Jepun mula menghasilkan salinan amatur yang dilengkapi sari kata dari rancangan anime baharu supaya boleh dikongsi dengan peminat lain yang tidak faham Bahasa Jepun.

Bahantara edaran terawal bagi fansub ialah pita VHS dan Betamax. Salinan sedemikian selalunya bermutu rendah, mengambil masa yang lama untuk dihasilkan, memakan belanja yang mahal (lebih AS$4000 pada tahun 1986)[2] serta sukar diperolehi. Sebilangan salinan yang terhad dihasilkan dan diposkan ke kelab anime tempatan. Peminat boleh membeli fansub pada harga yang berpatutan atau setidak-tidaknya menghubungi kelab tersebut yang menyediakan perkhidmatan menyalin rakaman ke dalam pita video kosong.

Namun, dengan munculnya capaian Internet berkelajuan tinggi, proses suntingan meja, penyalinan DVD dan cakera Blu-ray, serta penangkapan TV, proses asal sudah diabaikan berikutan teknologi fansub digital serta pengedaran elektronik. Teknologi baharu tersebut menjadikan proses menghasilkan fansub berubah, daripada proses yang lambat dan meletihkan serta menghasilkan tayangan bermutu rendah kepada cara yang murah, mudah dan pantas bagi menghasilkan tayangan bermutu tinggi serta mudah didapati sebagai alternatif kepada keluaran rasmi DVD atau Blu-ray.

Berikutan mutu siaran televisyen yang rendah (jika dibandingkan dengan DVD atau Blu-ray bagi judul yang sama), mutu fansub yang dihasilkan dari sumber video televisyen tidak setinggi versi DVD atau Blu-ray rasmi. Terdapat beberapa "piawaian" rasmi yang perlu dipatuhi kumpulan fansub, menghasilkan kodek tertentu yang digunakan serta saiz fail sasaran bagi fansub yang dienkodkan. Ia menyebabkan kebanyakan fansub mempunyai saiz fail yang lebih kurang sama: 175 MB, 233 MB, dan 350 MB dianggap saiz "piawai" bagi satu fail fansub kerana ia dibahagikan sama banyak daripada 700 MB, saiz lazim CD-R. Memandangkan harga cakera keras semakin turun sementara saiz storan semakin meningkat, pembentukan saiz fail fansub tidak lagi dianggap penting. Fansub yang menggunakan sumber siaran HDTV memerlukan kadar bit yang lebih tinggi untuk mengekalkan kualitinya, serta dengan kombinasi dengan jumlah pergerakan yang berubah-ubah antara episod (pergerakan yang lebih banyak memerlukan kadar bit lebih tinggi untuk mengekalkan mutu), saiz fail fansub HD merangkumi antara 200MB hingga 800MB walaupun melalui penggunaan kodek H264 terkini. Bagi episod yang diperoleh dari cakera Blu-ray, saiz fail boleh mencecah beberapa gigabait. Sesetengah siri anime HD tidak dikeluarkan dalam Blu-ray. Oleh itu, memuat turun fansub yang diperoleh dari HDTV menghasilkan mutu video yang lebih baik daripada DVD rasmi, berikutan perbezaan resolusi.

Fansub terawal[sunting | sunting sumber]

Fansub tradisional dihasilkan dengan menggunakan peralatan suntingan video analog. Pertama sekali, salinan bahan sumber asal, dipanggil bahan mentah diperolehi, selalunya daripada cakera laser. Pita VHS biasa juga boleh digunakan, tetapi mutu produk akhir adalah lebih rendah. Skrip yang diterjemah kemudian dibuat untuk dipadankan dengan dialog video mentah. Pemasaan skrip video kemudian dilakukan dengan menggunakan komputer. Sebaik skrip sudah disediakan, langkah seterusnya ialah menghasilkan satu atau lebih pita utama. Kumpulan fansub akan memainkan video mentah melalui komputer yang dilengkapi genlock untuk menjana sari kata dan kemudiannya ditambah di dalam salinan mentah. Hasil akhir susunan tersebut kemudian dirakam. Pita utama biasanya dirakam ke dalam pita S-VHS untuk memperoleh mutu terbaik, walaupun ada kumpulan fansub yang terpaksa menggunakan VHS atau Betamax yang bermutu rendah tetapi lebih murah. Sebaik sahaja siap, salinan asal dihantar kepada pengedar.

Gaya sebegini sangat memakan belanja bagi kumpulan fansub serta kepada pengedar. Bahan mentah biasanya dibeli dengan harga yang mahal. Kebanyakan kumpulan fansub turut mengupah penterjemah profesional untuk menghasilkan skrip. Kemudian, peralatan video yang mahal turut diperlukan: pemain cakera laser, PC, genlock, serta dek rakaman untuk menghasilkan pita utama; biasanya lebih daripada dua dek video diperlukan untuk menghasilkan salinan edaran. Perkakasan video profesional pula sangat mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.

Teknik fansub moden[sunting | sunting sumber]

Fansub moden dihasilkan dengan menggunakan komputer sepenuhnya. Bahan mentah masih lagi diperlukan, tetapi tidak seperti fansub terawal, kebanyakan bahan mentah sekarang dihasilkan daripada rakaman TV Jepun yang boleh didapati melalui program perkongsian fail Jepun. Selain rakaman TV, salinan DVD Kawasan 2 turut digunakan.

Sebaik fail video berada dalam komputer, ia boleh disunting dan sari kata boleh ditambah dengan pengurangan mutu yang minimum atau sifar, berbanding fansub tradisional. Walau bagaimanapun, kebanyakan format pengenkodan secara amnya menyebabkan sedikit penurunan kualiti berbanding siaran asal atau DVD. PC yang murah boleh melakukan banyak manipulasi yang diperlukan tanpa memerlukan peranti yang mahal seperti dek suntingan dan genlock.

Terjemahan selalunya dilakukan dengan mendengar rakaman. Selalunya, penterjemah tidak berpengalaman dengan teknologi fansub serta hanya menyediakan terjemahan.[3] Sementara versi komersial mempunyai capaian kepada skrip, penterjemah fansub pula perlu mendengar menggunakan telinga, yang ada kalanya boleh menyebabkan kesilapan ejaan nama. Kebanyakan kumpulan mempunyai penyemak terjemahan bagi mengurangkan peluang ralat tersebut daripada berlaku. Satu lagi alternatif kepada bahan mentah Jepun untuk terjemahan audio ialah penggunaan video yang diterjemahkan ke Bahasa Cina.

Proses pemasaan boleh berlaku sebelum atau selepas terjemahan. Kebanyakan kumpulan akan melakukan pemasaan awal sebelum terjemahan selesai, kemudian selepas proses terjemahan tamat, dan seterusnya memasukkan terjemahan kepada baris yang dilakukan pemasaan, sementara dalam masa yang sama "pemasaan halus" digunakan. Pemasaan halus sering melibatkan penggunaan "pemasaan babak", yang dilakukan apabila permulaan atau penamat baris dilakukan mengikut perubahan babak.

Proses seterusnya ialah set taip bagi teks atau bahagian lain video yang diterjemahkan (papan tanda, skrin telefon bimbit dsb.).

Suntingan dilakukan selepas terjemahan selesai. Kebanyakan penterjemah lebih fasih berbahasa Jepun daripada bahasa Inggeris; oleh itu, ada kalanya terjemahan mereka kurang tepat dari segi tatabahasanya. Adalah menjadi tugas penyunting bagi menjadikan sari kata lebih difahami penutur asal Bahasa Inggeris sebagaimana audio Jepun difahami penutur asal Jepun, sementara masih mengekalkan makna asal sebaik mungkin. Kebanyakan kumpulan mempunyai penyemak terjemahan untuk menyemak semula episod dengan sari kata yang disunting untuk memastikan penyunting tidak mengubah maksud sesuatu baris secara tidak sengaja.

Kawalan mutu, atau QC,[4] merupakan salah satu proses terakhir penghasilan fansub. Kebanyakan kumpulan melakukan "soft QC", kemudian mengenkod episod, seterusnya melakukan "hard QC". Matlamat penyemakan mutu bagi setiap episod ialah mengesan ralat semasa set taip, pemasaan, suntingan, dan, dalam kes "hard QC", ralat pengenkodan. Kebanyakan kumpulan mempunyai ramai penyemak mutu, setiap seorang menghimpunkan laporan ralat dalam episod serta menghantarnya supaya ia boleh diperbetulkan. Penyemak mutu biasanya berupaya melakukan kerja fansub yang lain, atau mempunyai pengetahuan penuh mengenai proses fansub, selain berupaya mengesan pelbagai ralat.

Pengedaran serta main balik[sunting | sunting sumber]

Pita VHS dari pengedar fansub internet.

Pada lewat 1990an serta awal 2000an, fansub dalam bentuk elektronik diedarkan melalui CD-R yang diposkan. Kebanyakan peminat pada masa itu tiada capaian Internet berkelajuan tinggi serta tidak berupaya memuat turun fail yang besar. Kebanyakan fansub elektronik terawal dihasilkan daripada fansub pita video biasa.

Pada pertengahan 2000an, kebanyakan fansub diedarkan melalui saluran IRC, perkhidmatan pengehosan fail dan BitTorrent. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini kebanyakan kumpulan beralih daripada menggunakan IRC kepada BitTorrent sebagai saluran utama. Penjejak BitTorrent khusus untuk keluaran fansub anime membolehkan peminat mencari episod terbaru, dan kumpulan fansub individu sering menggunakan laman web mereka untuk memaklumkan peminat mengenai keluaran terbaru. Disebabkan tumpuan yang kurang terhadap pengedaran CD-R dan DVD-R, piawaian saiz fail tidak lagi diikuti.

Kodek main balik video dan audio yang sesuai mesti dipasang pada komputer untuk memain balik fansub. Sebagai tambahan, kebanyakan fail video menggunakan format bekas multimedia alternatif seperti OGM dan Matroska. Dekoder khas untuk main balik juga perlu didapati. Satu faedah utama penggunaan bekas multimedia Ogg atau Matroska ialah keupayaannya untuk menghasilkan satu fail tunggal yang mempunyai ciri seakan DVD seperti sokongan bab serta runut berbilang audio dan/atau sari kata, di samping sokongan kepada fail animasi pembukaan/penamat berasingan. Kebanyakan kumpulan fansub mengesyorkan penggunan pek kodek, seperti CCCP, untuk membolehkan format tersebut dimain balik dengan mudah.

Isu perundangan dan etika[sunting | sunting sumber]

Di negara-negara yang menghadiri Konvensyen Berne, kegiatan fansub adalah salah di sisi undang-undang kerana ia merupakan satu bentuk pencabulan hak cipta. Walau bagaimanapun, kumpulan fansub berpegang kepada kod etika umum serta tidak menganggap mereka sebagai lanun cetak rompak.[5] Disebabkan fansub dihasilkan oleh peminat, untuk peminat, serta selalunya bukan untuk tujuan komersial, kebanyakan peminat mempercayai bahawa fansub sepatutnya tidak dijual bagi mendapatkan keuntungan.

Kebanyakan fansub mempunyai teks sari kata yang menyatakan "Ini merupakan fansub percuma: bukan untuk dijual, disewa, atau dilelong" yang muncul semasa iklan,[6] sebagai langkah untuk tidak menggalakkan kegiatan rakam rompak daripada melanggar peraturan tersebut. Sesetengah laman pula mengenakan yuran bulanan untuk muat turun dengan menawarkan lebih lebar jalur.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Tokyo Anime Center Posts "Stop! Fan-Subtitle" Notice". Anime News Network. March 29, 2008. http://www.animenewsnetwork.com/news/2008-03-29/tokyo-anime-center-posts-stop-fan-subtitle-notice. Capaian September 24, 2009. 
  2. Leonard, Sean. Progress against the law: Anime and fandom, with the key to the globalization of culture International Journal of Cultural Studies, 9 2005; vol. 8: pp. 281–305.
  3. Cintas, Jorge Díaz; Pablo Muñoz Sánchez. "Fansubs: Audiovisual Translation in an Amateur Environment" (PDF). http://www.jostrans.org/issue06/art_diaz_munoz.pdf. Capaian September 24, 2009. 
  4. "Of Otakus and Fansubs". Law.ed.ac.uk. Diarkibkan daripada yang asal pada February 17, 2008. http://web.archive.org/web/20080217024839/http%3A//www.law.ed.ac.uk/ahrc/SCRIPT-ed/vol2-4/hatcher.asp%23Quality. Capaian September 24, 2009. 
  5. Solomon, Charles. "File Share and Share Alike", New York Times, August 21, 2005. Dicapai pada September 24, 2009. 
  6. Hatcher, Jordan S.. "Of Otaku and Fansubs. Appendix - Fansub Samples" (PDF). Script-ed. Vol. 2, No. 4, 2005.. http://www.law.ed.ac.uk/ahrc/script-ed/vol2-4/otaku_appendix.pdf. Capaian September 24, 2009. 

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]